Khamis, 12 September 2024

The Journey of A People Pleaser - 1

People pleaser (PP) - yang mencicip bahagia setelah mendapat pengesahan dari yang lain. Yang lain itu merangkumi pelbagai aspek, individu kebiasaannya - sama ada individu terdekat ataupun sekadar seseorang yang baru dikenali.

Asas hidup seorang people pleaser ialah memastikan orang lain dapat mencapai impian dan cita-cita mereka. Kemahuan sendiri sentiasa berada di kedudukan terakhir, kerana keutamaan mereka adalah memenuhi kehendak yang lain.

People pleaser tidak akan menolak sebarang permintaan bantuan oleh yang lain. Perkataan 'tidak boleh' atau 'tidak' tidak ada dalam kamus hidup seorang people pleaser.

Aku adalah salah seorang people pleaser itu, yang sedang bergelut keluar - People Pleaser Fighter.


--------------------------------------------------------------------------------------------


Mungkin aku memang dilahirkan sebagai seorang people pleaser. 

Sejak kecil aku sentiasa mahu membantu yang lain. Dan gembira apabila bantuan aku akhirnya membantu merealisasikan cita-cita dan impian yang lain. Aku dapati aku juga tersenyum melihat senyuman mereka. Justeru aku kira, mungkin ini maksudnya berbahagia atas kebahagiaan orang lain.

Meski selepas itu selalunya aku akan dicampak ke tepi, atau acapkali akan dianggap tidak wujud. Sehingga suatu ketika aku kategorikan diri sebagai kawan sedih, bukan kawan gembira. Kebetulan pula nama aku sendiri bermaksud Cahaya Penambahan - yang selalu aku definisikan sebagai 'tanpa aku dunia bergerak seperti biasa tapi adanya aku dunia akan lebih berwarna-warni'.

Perasan, ya begitulah.

Maka jadilah aku 'si kawan sedih' - dicari saat mahu meluahkan, atau saat memerlukan bantuan dan pertolongan, dan sebaik sahaja segalanya dilepaskan, atau matlamat sudah tercapai, aku akan dilepaskan dan terbanglah aku tanpa ibarat layang terputus talinya.

Sedihnya, aku pernah berada di fasa di mana aku menganggap gelaran itu sebagai sesuatu yang normal. 

Didekati hanya kerana punyai sesuatu yang mereka mahukan, dan mereka melangkah pergi tanpa pamit setelah segalanya diperolehi. Menjadi hampas kelapa yang dibuang selepas santannya diperah habis. Adakalanya dikutip semula hanya untuk diperah sedapat yang boleh sebelum dicampak sekali lagi.

Kitaran ini berulang, lagi dan lagi. Sehingga akhirnya umur pun sudah hampir mencecah empat dekad.




Selasa, 18 Jun 2024

Penat

Penat, sungguh terasa tenaga dan semangat disedut dek sebuah lohong hitam. 

Namun beginilah hakikat. Menongkah arus tidak pernah mudah. Ia menuntut tenaga yang bukan sedikit, malah memerlukan pula pengorbanan yang cukup besar.

Walaupun di akhirnya nanti tetaplah sang lembu yang sirna namanya dek sang sapi yang dijulang sebagai perwira. 

Menyakitkan, tetapi perlu juga berdamai dengan rasa itu. Kerana di penghujungnya bukan nama yang dicari, sebaliknya sebatang sungai yang airnya sejuk dan tidak memabukkan. 

Khamis, 28 Mac 2024

Penghujung Mac 2024

Selepas berkobar-kobar membuat entry di hari pertama tahun baru, kesibukan (dan ketakutan) terus membelenggu hingga sekali lagi amat sukar singgah di sini. 

Singgah itu sentiasa, tapi untuk meninggalkan jejak, ketakutan dan kerisauan yang sama kembali membungkus diri.

Januari aku dipenuhi program Konvo Daerah yang melibatkan 30 kelas semuanya. Sebuah program berskala besar yang kali pertama aku depani. Diikuti pula dengan Team Building yang melibatkan semua guru dan penolong guru. 

Tamat Team Building, sambung persekolahan seminggu lagi - yang juga amat sibuk. Terus disambung dengan cuti sekolah yang mana aku kembali ke kampung.

Meskipun kedengaran melegakan tapi jujurnya tidak. Kembali ke sini, aku terus ke kelas membuat pelbagai persiapan - dari keadaan kelas hinggalah kemaskini dokumen tujuh tahun ke belakang. Kelas aku akan kenaziran tahun ini, justeru persiapan yang amat ampuh perlu dibuat.

Baki cuti tiga minggu semuanya hanya di kelas - hinggalah aku tersedar aku bukan lagi si gadis 20-an dengan tenaga tanpa had.

Tekanan akhirnya menyebabkan eczema di kaki, kembali. Berdengkot-dengkot berjalan hingga akhirnya ia membengkak. Puasa sudahpun bermula waktu itu, tapi akhirnya terpaksa juga ke klinik dan mengambil antibiotik. Mujurlah hanya dua kali sehari, maka berjaya aku pertahankan puasa.

Kaki mulai elok, tiba-tiba batuk pula datang. Sehingga entry ini ditulis pada 17 Ramadan, aku masih sedang batuk. Ada malam-malam yang mana hanya mampu tidur menjelang empat pagi kerana batuk yang henti. Ubat sudah masuk botol ketiga, cuma itulah, kesihatan itu masih belum kembali.

Maka begitulah sepanjang tiga bulan ini.

Jika tiada perubahan kelas aku akan dinazir pertengahan Jun nanti, seminggu sebelum Raya Haji. Sehingga detik itu, maka berkejarlah aku dengan waktu.


Isnin, 1 Januari 2024

Lembaran 2024

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2024. 

Agak jarang aku terus membuat entry seawal hari pertama tahun baru.


Cuti tahun baru memandangkan masih di Selangor. Akan datang, belum pasti sama ada masih berusia panjang dan masih di bumi yang menyambut tahun baru sebagai cuti umum.

Lebih enam tahun dulu, kami sekeluarga ke Selangor dengan satu matlamat - menyelesaikan hutang dan komitmen. Meski sudah pun berada di bumi Kelantan waktu itu, tapi bahagia yang kami cari tidak kunjung tiba. Mungkin juga kerana cara kami mencari bahagia tidak kena dengan caranya.

Tiba di Selangor, tak sangka pula bertimpa-timpa juga dugaan yang datang. Berpindah-randah dalam masa hanya dua tahun, terperdaya oleh pemilik-pemilik rumah, deposit yang tidak dipulangkan, dikenakan caj yang bermacam, sehingga akhirnya tiba di Pelabuhan Klang. Baru beberapa bulan di sini, PKP pula muncul. 

Tapi di sini akhirnya aku mendapat pekerjaan - yang sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran. Malah, impian sekian lama terlaksana di sini. Dan, dalam PKP, rupanya Allah lorongkan rezeki untuk berjaya selesaikan hutang beberapa tahun lebih awal. Serta, diberi peluang pula untuk mencicip pelbagai rezeki lain.

Jujurnya ia adalah proses mendewasakan seorang aku.


Kami masih kekal di sini meski hutang piutang sudah selesai. Rancangan untuk pulang ke kampung di sisi orang tua masih ada. Masih segar walaupun ada waktu impian yang  satu itu nampak samar dan kabur. Pekerjaan aku selaku seorang penolong guru tabika nampaknya antara yang membejat keinginan itu. 

Sama ada aku melepaskan peluang yang cukup sukar aku capai ini, atau aku mohon sahaja pertukaran. Cuma, seperti yang umum maklum, menembus masuk ke Kelantan adalah cukup sukar. Tapi aku selalu yakin andai Allah berkehendak, urusan itu terlalu mudah bagi-Nya. 

Perjalanan hidup aku sehingga hari ini - adalah bukti paling kukuh. Allah sentiasa memberikan yang terbaik, tepat pada masanya. 


Maka beginilah aku membuka lembaran tahun baru, dengan azam menjadi yang lebih baik. Insya-Allah.


Sabtu, 2 Disember 2023

Tolak

Aku perasan, masalah utama aku bukanlah sepenuhnya sukar mengatakan tidak, atau menolak sebarang permintaan. Sebaliknya, ia jadi sukar untuk menolak apabila permintaan tu menarik minat aku.

Contohnya, kakak yang pernah minta aku semakkan akaun dia, walaupun aku dah tolak, tapi dia tanya lagi beberapa hari ni.

Aku sedar yang aku tertarik nak selesaikan masalah akaun dia yang tak tally tu. Aku teringin nak cari kat mana silapnya. 

Lalu, aku cuma terdiam mendengar dia bercerita. 

Nyaris menjawab ya, tapi sejak akhir-akhir ni aku pandai sikit mengunci mulut dan menangguhkan percakapan. Dapatlah elakkan badan binasa dek mulut.

Sebelum tu pula, lepas hantar penilaian yang terakhir beberapa hari lepas (yang aku dah mohon masa tambahan sebanyak dua hari), aku dah berniat akan mulakan balik penilaian selepas tamat majlis Selasa nanti.

Tapi tiba-tiba editor bertanya adakah aku boleh buat penilaian segera. 'Segera' selalunya tiga ke empat hari. 

Aku agak terkejut masih ada sebahagian pertimbangan yang mahu menjawab ya. Tentu manuskrip yang menarik, kan. Tak sabar berkenalan dengan watak. 

Mujurlah kewarasan masih mendominasi, lalu aku maklumkan aku agak sibuk untuk menerima tugasan tersebut. Dan editor terbuka sahaja menerima jawapan itu. 


----

Nampaknya aku boleh berjaya mengatakan tidak, cuma masih perlu melatih kewarasan supaya lebih menguasai keadaan.

Begitulah.

Oh ya, selepas lima bekas tahun, beberapa hari lepas aku kemalangan. Alhamdulillah aku ok. Motor pun ok. Aku pun tak jatuh, masih tegak berdiri. Cuma ya menggigil sedikit. 


Rabu, 8 November 2023

Takut Apa

Sebenarnya apa yang aku takutkan?

Lebih sepuluh kali aku menaip di laman ini, pelbagai tajuk, pelbagai gaya, pelbagai cara. Tapi semuanya berkesudahan dengan control + A diikuti butang delete/ clear.

Ini laman aku.

Selagi aku tidak menyalahi agama dan undang-undang, apalah yang aku risaukan?

Jadi untuk kali ini, sementara keyakinan ini bersisa...

Hai dunia.

Aku penolong tabika sepenuh masa, dan penilai manuskrip separuh masa.

Kedua-duanya aku suka.

Yang pertama, aku masih sedang terokai. 

Yang kedua, adalah sebuah impian yang menjadi nyata. Ah tak kiralah ia hanya sebuah pekerjaan yang tidak membanggakan atau apa, ia adalah bukti aku tidak pernah berseloroh dengan cinta terhadap bacaan dan penulisan.

Insya-Allah suatu ketika nanti aku akan mencari kesempatan meningkatkan diri untuk yang kedua ini.

Yang ketiga, oh aku suka kopi. Dan jika teringin menasihatkan aku bahawa kopi dan migrain tidak seiringan, mohon berkenalan lebih lanjut tentang mereka. Mungkin kau pula yang jatuh hati nanti? 

Kuncinya kan, bersederhana.



Adios!

Jumaat, 22 September 2023

Langkah

Sepuluh tahun lepas, aku menikmati masa aman bekerja. Seorang customer service yang menjawab sehingga 150 panggilan setiap hari.

Namun persekitaran kerja yang tidak menekan membuat aku berasakan apalah itu semua. Sela lima enam detik antara panggilan pun sudah cukup untuk aku membelek sehelai dua novel. 

Enam ke tujuh tahun lepas pula adalah tempoh paling bawah yang pernah aku lalui. Tiada siapa mahu mengerti malah rata-rata meletakkan aku terlalu emosi dalam menghadapi cabaran sebuah kehidupan. Lalu hiduplah aku bak jasad tanpa jiwa. Meracun rasa hari demi hari. 

Mendaki itu payah meski menuruni lembah juga tidak mudah. Yang pasti mengorak semula langkah setelah jatuh terperosok itu jelasnya susah.

Namun kematangan yang sedikit itu buat aku lebih tenang menapak. Walau tidak setinggi puncak yang pernah aku tawani suatu masa dulu namun kali ini matlamat aku juga sudah berbeza.

Yang pasti segala pahit ubat dan tusukan duri yang dulunya aku kira amat menyakitkan itu rupanya buat aku jadi mangli.

Cuma rendah diri yang terpasak dalam itu masih sedikit ngilu bila cuba aku tarik keluar. Sesekali bercucuran juga air mata apabila perit pedih dan jerihnya mencuba terasa amat sukar.

Ah, itu bukti aku seorang manusia bukan.

Hari ini, bila aku nekad mendahulukan diri sendiri sebelum yang lain, bila aku cekal mahu meninggalkan kebiasaan mengutamakan kebahagiaan yang lain, hati jadi berbaur. 

Merasakan diri tiada timbang rasa dan kejam. 

Merasakan diri berlagak dengan ilmu sezarah di dada.

Namun, sampai bila pula aku mahu mengorbankan diri demi sebuah ucapan terima kasih dan senyum mesra?

Diperlukan waktu hari kelam, dan diabaikan apabila mentari menyilau pandangan?

Diperah susu hingga ke titisan terakhir, sedang sapi yang dijulang namanya?


---


Mungkin aku memang sedang berada di jalan yang benar.

Aku kira, aku di jalan yang benar, dengan izin Tuhan Semesta Alam.

Sabtu, 19 Ogos 2023

Tamat

Entry sebelum ni melankolik betul.

Tak lama lepas publish entry tersebut, tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.

Selama ni aku sangka aku ditinggalkan kesayangan, enggan lagi bersembang tentang tulisan, buku, dan novel.

Sedang aku sendiri sentiasa berteriak biar aku jalani hidup singkat ini dengan cara tersendiri, ironinya aku yang enggan melepaskan kesayangan aku untuk turut menikmati hidupnya seperti yang dia mahukan.

Mungkin titik pertemuan kami sudah temui jalan penamat. Matlamatnya sudah berubah. Maka melenconglah dia ke arah berbeza. 

Jadi aku juga wajarnya begitu. Wajar gembira kerana akhirnya dia sudah mulai boleh hidup semahunya dia, meski panjang sungguh perjalanannya menempuh onak.



----


Aku juga tidak akan mengalah. Ayuhlah melangkah. Biar lambat asal tetap bermula.

Jumaat, 4 Ogos 2023

Alone

Menulis dan membaca adalah dua hal yang boleh buat aku tenggelam - jauh dari realiti.

Terlibat dalam urusan keduanya, meski sebesar hama cuma, masih tetap membawa nilai besar untuk aku.

Kenyataan yang sedang aku depani hari ini jujurnya amat di luar jangkaan, tidak pernah terfikir aku di sini. 

Namun, kala aku mencicip manisnya angan-angan yang menjadi nyata, rupanya terpaksa aku telan dengan pahitnya menikmatinya sendiri.

Masih ada yang berbahagia bersama, cuma bila sokongan yang paling diharapkan tidak lagi menjadi tulang belakang, ada sedikit rasa sedih yang berputik.

Tidaklah aku terkilan kerana pengalaman sedikit sebanyak mengajar tiada yang kekal. Lalu aku memilih untuk terus ke depan sahaja. 

Setiap hari masa yang tinggal semakin sedikit, biarlah yang sedikit ini aku syukuri seadanya ia.

Ahad, 16 Julai 2023

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit (Bahagian 2)

Hari kedua, hujan lebat sejak 6:30 pagi.

Sambil menjinjit satu set persalinan lebih termasuk kasut, aku sarung sahaja baju hujan. 

Baru 10km perjalanan, berhenti seketika di bawah jambatan bersama penunggang-penunggang lain. Nun di depan, hujan memutih. Lima minit kemudian aku nekad sahaja meredah hujan apalagi melihatkan air sudah mula bertakung.

Kali ini telefon terpaksa disimpan terus, maka menungganglah aku hanya dengan ingatan dan panduan signboard. Alhamdulillah selamat tiba kira-kira satu jam dua puluh minit kemudian. Kaki seluar basah sedikit namun kasut, lencun pastinya. Di leher juga sedikit basah akibat span helmet yang meresap air. Namun kelebihan pula mengenakan selendang kerana nanti ia boleh dililit semula.

Menyangkakan semuanya sudah selesai, aku menapak masuk. Terlupa sebahagian tapak kasut sudah haus - bertemu dengan lantai yang licin pula. Berdebuk aku jatuh betul-betul di pintu masuk. Aduh...

Bengkel hari kedua tamat dengan aman, aku pula terlebih yakin balik tanpa membuka maps. Selamat sampai alhamdulillah.

Hari ketiga sudah yang terakhir, maka sedikit teruja. Bakal tamat perjalanan 100km sehari nampaknya.

Tapi tidak. Pagi ketiga juga hujan turun mencurah-curah. Lalu sekali lagi terpaksalah mengenakan baju hujan.

Yang paling sukar untuk aku apabila hujan bukanlah berkenaan baju hujan, atau helmet, tetapi visor. Memandangkan aku bercermin mata dengan rabun yang lebih 600, maka terpaksa aku korbankan penggunaan visor. Jika gerimis tak mengapa, tapi apabila hujan yang titisnya tirus dan tajam, aduh pedihnya muka.

Hari ketiga ini boleh pula aku tersilap masuk ke Presint 11. Beberapa kilometer juga terlajak jauhnya barulah tiba di Kompleks E2, Presint 1, Putrajaya. 

Hari terakhir ini adanya pembentangan kumpulan. Selesai semuanya kami dibenarkan pulang. Awal dari hari-hari sebelumnya. 

Dugaan lagi, kali ini perjalanan pulang juga hujan. Namun keterujaan bengkel sudah tamat, sengaja aku menempuh jalan berbeza. Nah lajaknya entah berapa jauh. Perjalanan yang selalunya tujuh puluh minit, kali ini mencecah sejam setengah. 

Berakhirlah perjalanan tiga ratus enam puluh kilometer dengan merempit. Andai tertanya mengapa tidak aku memandu, sesungguhnya agak sukar untuk soalan itu aku jawab.

Aku punya lesen D, namun kali terakhir aku memandu adalah pada 2016 mungkin. Mungkin lebih mudah jika aku katakan aku tidak mahir memandu. Enggan keluar dari zon selesa menunggang.

Jawapan lain - kami hanya punya satu kereta dan satu motosikal. Maka ayah Aisyah memandu manakala aku menunggang. Jika aku takut dan tidak yakin memandu, maka hal yang sama buat ayah Aisyah - tidak yakin menunggang.

Basah? Ia adalah pakej kepada menunggang, sepertimana kesesakan itu pakej apabila memandu.

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit

Ada kursus yang perlu dihadiri selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lepas bertempat di Putrajaya dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang.

Mulanya aku fikir mahu tumpang sahaja kawan-kawan yang lain memandangkan agak sukar untuk aku menunggang dari Pelabuhan Klang ke Putrajaya. Dari aplikasi map, Pelabuhan Klang ke Putrajaya jaraknya kira-kira 50km. Bermaksud perjalanan pergi dan balik pastinya lebih 100km. Sudah terlalu lama aku tidak menunggang sejauh itu. Malah kali terakhir menunggang ke Kepong sejauh 54km pun didorong oleh adrenalin. Itu pun empat tahun yang lepas.

Namun hasrat itu terkubur apabila mendapati hanya aku dan seorang lagi pegawai yang perlu menghadiri kursus tersebut.

Dari pegawai tersebut aku dapati nama aku adalah calon ketiga, apabila calon pertama bakal menghadapi audit manakala calon kedua pula menolak sambil mencadangkan nama aku. Alasannya sudah masanya pegawai memilih nama baru untuk kursus sebegitu - sampai bila segala-galanya mahu diserahkan kepada orang lama, katanya.

Maka begitulah nama aku tiba-tiba tersenarai mewakili Selangor untuk Bengkel Penyediaan Modul Makanan Berkhasiat (khusus kanak-kanak empat hingga enam tahun). Jujurnya aku bukan yang terbaik sebagai wakil kerana dada masih kosong, hanya semangat yang berkobar-kobar. Terpaksalah buat-buat menganggap aku sedang memecahkan ruyung demi mendapatkan sagunya.

Bersama susah ada senang, bukan. Begitulah buat-buat reda.


---

Hari pertama kursus, aku hantar Aisyah seperti biasa ke sekolah agama, sedikit awal dari biasa. Kemudian berpandukan map di telefon yang aku letakkan dalam bakul motosikal, aku nekad sahaja menghala ke Putrajaya. Alhamdulillah tiba dengan selamat. Oh ya, tersilap masuk simpang sebanyak dua kali. Mujurlah tak jauh untuk u-turn semula. Amat hebat pula kalau sekali pergi dah tiba dengan sempurna, bukan.

Aisyah aku transitkan di kelas, dengan bantuan guru kelas yang sangat memahami, serta transport Aisyah yang sangat baik juga. Aisyah selamat ke sekolah petang seperti biasa.

Di kala menyangka semuanya aman hingga ke petang, gerimis menyapa tiba-tiba. Kurang sejam bengkel tamat, terima panggilan dari guru kelas Aisyah. Aisyah sakit perut, dua kali datang mengadu. Kali kedua datang mengadu sambil menangis.

Selaku ibu beranak satu, rasa panik yang datang agak berlebihan. Apatah lagi Aisyah bukan sejenis yang mudah menangis dek rasa sakit. 

Mulanya merancang mohon transport ambil Aisyah dan minta Aisyah ke rumah jiran, tapi kata jiran, lif rosak. Membayangkan kanak-kanak lapan tahun yang sedang sakit memanjat anak tangga ke tingkat lapan terasa ngeri. Ayah Aisyah pula sedang dalam perjalanan dari Melaka. 

Pilihan terakhir aku mohon balik awal dari bengkel. Alhamdulillah dibenarkan.

Muncul pula masalah kedua - aku tak tahu jalan balik ke Pelabuhan Klang. Berpandukan aplikasi map, aku berpusing agak jauh. Dalam masa lima belas minit, jarak di aplikasi map langsung tidak berkurang. Langit di atas pula amat gelap; kelabu yang hampir hitam warnanya. Membayangkan apabila kandungannya tumpah aku pasti lencun dalam masa sepuluh saat - dibasahi titik-titik besar sebesar ibu jari. Ah hiperbola!

Pasrah, aku simpan telefon ke dalam poket beg. Berpandukan rasa hati sahaja menunggang pulang. Alhamdulillah tidka pula asyik tersilap seperti sebelumnya. Barangkali sepenuh harapan sudah bergantung kepada Tuhan. Sempat juga basah sedikit namun tiba di Shah Alam langit semakin cerah. Masuk lebuhraya KESAS aku sudah boleh menghela nafas lega. 

Tiba di sekolah Aisyah mencecah 5:40 petang - hanya setengah jam sebelum sesi persekolahan tamat. Setelah ke klinik malamnya, Aisyah diberikan cuti sakit selama dua hari. Terpaksa mohon bantuan jiran untuk jagakan Aisyah dalam tempoh itu.

Jujurnya sejak ketiadaan jiran yang menjaga Aisyah lebih setahun yang lepas, Aisyah tak pernah aku tinggalkan kepada sesiapa. Lantas memohon pertolongan sebegini amat kekok sebenarnya. Tapi mujurlah jiran tersebut sudi jagakan Aisyah.

Hari kedua kursus, hujan mencurah lebat sejak 6:30 pagi tanpa ada tanda-tanda bakal berhenti....

Selasa, 2 Mei 2023

Disposable

Sekelip mata sahaja boleh jadi insignificant.
Maka itulah yang sedang berlaku.

Meski sudah sedikit bersedia namun masih juga disapa pawana kecewa. Sepoi-sepoi bahasa - sekadar menunjukkan ia ada.

Maka sekali lagi marilah menapak keluar dari zon ini.

Kerana diriku, begitu berharga. Gittewwww



Jumaat, 10 Mac 2023

Extra Mile - No

I don't have to go extra mile and do things I'm not supposed to. Contohnya redo kesemua dari Julai 2022 hingga Feb 2023.

People make mistakes. And the best way to avoid the mistake in future is by learning from it - say, fix it by yourself. 

I can help, but too much help sometimes can be mistaken as a nuisance. And I hate being called one. So I'll just sit back and just let the person know about the mistakes since I was asked to check.


-----


Ia bermula dengan aku membantu kerana cermin pandang sisiku lebih jelas berbanding yang lain. Tapi tidak lama kemudian tiba-tiba ia menjadi tugasku untuk selalu membantu, hingga adakala hak kepada diri sendiri jadi nombor dua.

Suatu ketika, ini adalah hal yang pasti menggembirakan aku. Tapi mungkin aku sudah semakin matang barangkali, aku lebih tahu bila perlu perlahankan larian. Tujuan utama kini bukanlah garis penamat, tapi lebih kepada menikmati perjalanan. 

Justeru sebelum benar-benar menjadi bola, aku lebih dulu menarik diri. Matlamat jangkamasa pendek sudah aku capai. Malah beberapa pandangan sinis sudah aku tempelak.

Pekerjaan baru ini, aku hanya mahu bekerja semampunya. Tidak mengharapkan terciptanya persahabatan - andai ada, aku alu-alukan. Selebihnya, aku hanya mahu bekerja.