Kopi secawan dia rapatkan ke bibir dan menghirupnya perlahan.
Rasa suam-suam panas air kopi dan pedas nasi goreng kampung yang baru dihabiskan tadi, bersatu dalam tekak, dan menghasilkan rasa lega serta puas hati.
Sambil tubuh pegun di sofa tipis restoren, mindanya menerawang jauh, bergentayangan ke belakang masa beberapa hari yang lepas.
Mengimbas semula bagaimana perasaan jadi penuh di hatinya, lalu melimpah keluar dari benteng yang tak tinggi mana, menzahirkan tekanan yang kerap dirasa sejak hampir setahun kebelakangan ini.
Mengenang bagaimana dia bukan sengaja menyusahkan hati-hati mereka yang ambil berat tentangnya, mereka yang dia juga ambil berat, mereka yang selalu di samping dia.
Keluhan terluah lagi.
Otaknya rasa bejat memikirkan solusi.
Apa wajar dia tinggalkan satu-satu sumber rezeki (dan sumber kepada semua tekanan yang sedang dihadapinya) untuk dia sekeluarga dan depani apa saja halangan di depan dengan tulang empat keratnya?
Fikirannya rasa beku memikirkan bagaimana jawapan kepada semua persoalan yang sedang bebani pundaknya hari demi hari.
Sebahagian hatinya mahu lari dari masa sekarang.
Tapi sebahagian lagi pengecut untuk keluar dari zon selesa (yang semakin hampiri gaung bahaya).
Dia mengeluh lagi. Merenung bayangnya yang terpantul dari secawan kopi yang main kurang suhu panasnya.
Melihat bayang wajahnya yang berkerut dengan segala apa yang dinamakan masalah.
Apa perlu dia tinggalkan semua yang telah dia usahakan bertahun-tahun? Pengalaman yang telah dia timba akan jadi kosong andai dia melangkah pergi, justeru beranikah dia menapak keluar dari zon itu?
Tangkai cawan berisi kopi suam dicapai lagi. Dia bawa ke bibir berhati-hati, menghirupnya hingga habis.
Dia renung keladak hitam di dasar cawan. Terasa sama dengan fikirannya sekarang.
Gelap.
P/S: Di mana rasa berani itu pergi?