Ahad, 29 November 2020

Carlos - Case Closed VS Mandatori : A Spoiler

Ringkasnya, Carlos dalam Carlos - Case Closed dan Carlos dalam Mandatori adalah orang yang berbeza meski dikelirukan dengan kemunculan Bilal Piut.


Jujurnya aku sedikit kecewa kerana rasa tertipu dengan penggunaan nama yang sama, malah terperdaya pula dengan sinopsis yang tidak membantu di belakang novel. 😆😆


Perasaannya seperti membeli KFC atau MCD yang gah beriklan namun yang diterima tidaklah sepertinya. 


(Persamaan adalah dari segi emosi, bukanlah pada kualiti.)


Watak utama dalam naskhah ini ialah Izani, yang menyangka dia adalah seoramg doktor sakit jiwa yang juga turut menghidap amnesia. Izani menyangka dia sedang berdiam di sebuah banglo besar di Petaling Jaya bersama isterinya yang jelita, Jasmeen - seorang peguam handal.


Sebaliknya, Izani adalah penghidap DID. Seorang yang sangat pintar namun mempunyai sebuah keluarga yang berantakan. Si ayah yang baran dan kaki judi serta kaki pukul. Selalu menjadi mangsa amukan si ayah dan saksi mata penderitaan ibunya menyebabkan trauma.


Anehnya dalam keadaan sebegitu turut menjadikan Izani seorang narcissist.


Jasmeen yang disangka isterinya, merupakan tahanannya (walaupun macam ada rahsia tentang watak ni). Manakala watak Carlos dijelmakan melalui bayangan minda setelah obses dengan novel Mandatori. Justeru menjelaskan mengapa watak Carlos - Case Closed lebih kejam.


Sekaligus memberi penjelasan mengapa Carlos (aka Amran) memburu mereka yang tiada perkaitan dengan kematian ayah. Jawapannya mudah - kerana mereka bukanlah orang yang sama, secara tidak langsung menempelak sebahagian pembaca yang percaya adanya Carlos/Bilal Piut di luar sana (termasuklah aku).


Watak Bilal Piut dikekalkan dengan ulah tiga sukunya yang gemar bercerita (watak Mayang di sini juga kurang jelas).


Nama Izani ada muncul dalam Fiksyen 302 sebagai pembantu penyelidik, sebaliknya dalam Carlos - Case Closed dia adalah subjek. Terkurung di dalam sebuah bilik dan hanya terperuk merenung biasan wajahnya sendiri di cermin - menikmati pelbagai imaginasi yang bebas tiada had.





----




Secara peribadinya, aku masih sukakan MANDATORI.


Sekian.


Khamis, 26 November 2020

CARLOS - Case Closed : A Review

Carlos - Tulisan terbaru oleh Ramlee Awang Murshid.

Karya ini tiada di mana-mana kedai buku dan hanya boleh didapati melalui pra-tempahan. Berharga RM35 tidak termasuk kos pos RM10 ke Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun ia disertakan dengan sekeping magnet peti sejuk, penanda buku, dan kad ucapan buat pembaca/pembeli.

Oh, sebelum aku teruskan, jika anda masih belum membaca Carlos, maaflah. Ini adalah spoiler.


----


Bagi aku target tulisan RAM kali ini khusus untuk para pembaca novelnya terdahulu, kerana tanpa bacaan awal Rahsia Perindu, Fiksyen 302, dan paling utama Mandatori, agak sukar untuk menghadam kisah ini.


Kekal dengan trademarknya yang gemar bermain dengan timeline, kali ini aku tak memerlukan bacaan kali kedua untuk menebak permainan RAM.


Dan walaupun masih mengangkat DID sebagai tema utama, namun penghujung kisah RAM rupanya menekankan satu lagi masalah jiwa yang jarang diperkatakan - narcissist. Pelengkapnya, imaginasi yang tiada sempadan.


Bab-bab awal Carlos memperkenalkan watak Izani, seorang doktor sakit jiwa yang membuka klinik persendirian setelah beberapa tahun berkhidmat dengan kerajaan. Seorang lelaki yang terlihat bahagia bersama isterinya di sebuah banglo besar, ironinya turut menderita menghidap amnesia.


Isterinya Jasmeen, seorang peguam hebat yang terikat kontrak dengan sebuah syarikat bernama Layabit.


Menariknya, Izani berada di 2021, 'setahun selepas Hari Ini', manakala isterinya berada di beberapa time zone yang lain - awal 2017 dan 2020.


Manakala watak Carlos pula muncul untuk menghukum mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Kassim dan Haslin lima tahun lepas - Kassim dibunuh manakala isterinya Haslin pula dirogol bergilir-gilir sebelum kedua-duanya rentung setelah rumah mereka dibakar untuk menghapuskan bukti. Di bawah seliaan seorang polis yang kurang berpengalaman dan kurang peka, kes itu ditutup berikutan ketiadaan/kekurangan bukti.


Sepertimana watak asal Carlos dalam Mandatori, Carlos juga menjejak semua yang terlibat dalam kes tersebut. 


Berbeza dengan tulisan sebelum ini, gaya Carlos lebih kejam dan sadis. Hilang dalam kegilaan sehingga tergamak menyeksa dengan memecahkan tempurung lutut dan memotong kelopak mata.


En.RAM, mohon jangan kejam sangat. Saya terpaksa membaca dengan mata tertutup.


Girl's power menerusi watak Ezalina, bekas wartawan yang terpaksa diberhentikan kerja kerana syarikat penerbitan yang gulung tikar, seterusnya bekerja sendiri melalui portal berita secara online.


Carlos menawarkan RM65,000 kepada Ezalina untuk membantunya dalam pembongkaran kes Kassim Haslin. 


Jika Carlos dalam Mandatori mempunyai duit tunai yang berkepuk hasil rompakan oleh bapa angkatnya si lanun, lain ceritanya dengan Carlos ini. Sumber kewangan Carlos adalah dari hasil ugutan bunuhnya terhadap Kamil, seorang scammer.


Jenayah bunuh oleh Carlos disiasat oleh seorang pegawai polis, Nora. 


Seiring perkembangan plot, satu demi satu mereka yang terlibat dalam pembunuhan Kassim Haslin, digantung oleh Carlos. 


Konflik semakin berkembang apabila identiti Carlos ini hampir tiada perkaitan dengan Carlos dalam Mandatori, meski watak Bilal Piut muncul sesekali.


Persoalan mulai terlerai apabila Carlos mendedahkan identitinya sebagai mangsa tragedi lima tahun lepas, meski dia bukanlah Kassim.


Bagaimanapun, ini bukanlah penamatnya. Masih ada rahsia lain yang lebih besar. Tentang Izani, misalnya.



------



Mungkin agak terbiasa dengan penulisan RAM maka thrill tu agak kurang terasa. Dan walaupun buku ini agak kurang memenuhi jangkaan tetapi RAM masih berjaya memberi kejutan di penghujung Carlos - Case Closed, sekaligus memerlukan bacaan kali kedua.


Jika anda memang follower RAM, anda perlu dapatkan naskhah ni. Tapi jika anda pembaca baru, mungkin sedikit sukar. Apapun Carlos masih bahan bacaan berbaloi jika anda peminat novel Melayu genre sebegini.




P/S: Next entry adalah ulasan yang leeeeeeeebih panjang dan terperinci.

Selasa, 24 November 2020

Dia Si Mekanik

Suatu ketika di pinggir bandar, ada seorang remaja lelaki yang sangat meminati motosikal.

Cita-citanya seorang mekanik barangkali.

Tamat darjah enam dia meminta dibelikan sebuah motosikal terpakai, dan berterus-terang dia mahu menggunakannya untuk belajar lebih lanjut tentang motosikal.

Selaku anak lelaki seorang, malah anak sulung pula, maka permintaan itu dipenuhi. Sebuah motosikal EX5 dibawa pulang untuknya.

Sejak itu dia kerap berteleku menilik kenderaan beroda dua itu. Sepertimana kata-katanya, satu demi satu bahagian dibuka. Karburator dibelek-belek, malah dibawa ke bilik tidur.

Kerap juga dia membuat pelbagai modifikasi, dari motor menderam perlahan, kepada mengaum hingga dipekik ibu, atau langsung terdiam tiada sebarang bunyi.

Teman-temannya acapkali ke rumahnya mengheret motosikal masing-masing, dan entah magis apa diseru, kebiasaannya mereka akan pulang menunggang motosikal dengan leret senyum ke telinga. Ironinya motosikalnya sendiri hanya berfungsi 7 hari dalam setahun. Baki 358 hari lagi ia hanya tersadai tak ubah besi buruk.

Adik-adik yang perempuan semua, selalu terpaksa menahan telinga mendengar bicara terujanya tentang motosikal, hingga salah seorang adiknya akhirnya miliki sebahagian pengetahuan dan skil tersebut.

Hobi itu adakala membawa bermacam masalah juga. Pernah dia terbeli 'karburator panas' hingga diburu pihak berkuasa.

Mahu tak panas, barangan curi!

Tentu saja ia mudah dikenalpasti kerana nombor casis elok tertera di situ. Lalu dalam panik, si ibu lekas mencapai ketulan besi bersaiz tapak tangan itu dan mencampakkannya ke dalam perigi di dapur.

Berhari-hari si ibu dalam keresahan dek motosikal polis yang tidak putus-putus meronda. Berdoa semoga anaknya si mekanik tak bertauliah itu tidak tersenarai selaku pesalah.

Beberapa ketika kemudian keadaan tenang ke asal.

Si ibu menghela nafas lega.

Anaknya?

Kekal meneruskan kecintaannya terhadap ilmu baiki-membaiki itu. Cuma kali ini, sudah lebih matang mengendalikan diri.






------



20 tahun kemudian...



Di bengkel motor kelihatan seorang wanita sedang menyorong motosikalnya.

"Kenapa motor kak?" Sapa pemilik bengkel.

"Entahlah. Hidup mati hidup mati. Hari tu berhujan, lepas tu ada bawa basuh. Agaknya tersembur air ke karburator ke macamana," jelasnya panjang.

"Mungkin, mungkin. Eh akak tahu ya pasal motor??" Sahut si pemilik bengkel, wajahnya tampak teruja.

Wanita itu hanya tersenyum di sebalik pelitup muka, seraya merapatkan jari telunjuk dan ibu jari.

Tentulah. Tanyalah siapa abangnya.

Isnin, 16 November 2020

Kawan Pertama - Sebuah Kisah 'Cringe'

Cerita-cerita tentang kawan ni adakalanya cringe sikit. Apatah lagi bila kisahnya berkisar tentang kanak-kanak yang baru mencecah remaja.


----
Dia ketua kelas jika tak salah. Berkulit sawa matang, tinggi lampai, dan memiliki senyuman yang manis bergula.

Selalu aku melihat dia menyantuni kawan-kawan sekelas yang lain. 

Dan kebetulan pula kami sebetulnya menaiki bas sekolah yang sama malah jarak rumah kami juga cuma kira-kira empat kilometer.

Selaku seorang yang agak pendiam dan tidak berkeyakinan, aku hanya berani meninggalkan sepucuk surat bertulis tangan yang menyatakan hasrat untuk menjadi sahabat. Surat itu pula tidak aku akhiri dengan sebarang tanda pengenalan diri.

Sejak itu, aku hanya memerhati gelagatnya mencari-cari. Namun aku meramalkan tidak sukar untuknya menemukan jawapan.

Kedudukan di belakang kelas memberi aku kelebihan. Nun di hadapan aku melihat dia membanding-bandingkan tulisan kawan-kawan sekelas dengan surat tersebut. Selaku ketua kelas dia punya akses kepada buku-buku latihan justeru ia tugasan yang tidak sukar, hanya memerlukan sedikit usaha dan masa.

Setelah beberapa ketika dia tiba-tiba menyapaku - ramah dan tampak bersahaja. Aku menyambut sapaan itu dengan senyum tipis - ya, aku sudah ditemui.

Untuk beberapa tempoh kami jadi teman sekelas yang agak baik. Malah sempat meluangkan masa sama-sama duduk bersila di padang dengan nasi bungkus dan nota-nota hafalan.

Di suatu masa aku sudah mula melupakan surat yang aku tulis. Dan dia juga sepertinya mengambil keputusan yang sama. Apa gunanya lagi - kami sudah menjadi kawan, bukan?

Cuma, gerimis kadang-kadang muncul meski langit cerah tanpa awan mendung. Titisnya halus hampir tidak jelas di mata tetapi kekal bersifat air - membasahkan permukaan.

Hari itu kami bersila di padang - yang duduknya di tengah-tengah sekolah - sambil menikmati nasi bungkus. Berteduh dari sinar mentari di bawah bayang pohon rendang dengan angin yang manja-manja menghembus. Tenang.

Namun, sambil gumpalan nasi dan gulai ayam disuap ke mulut, matanya enggan kalih dari wajahku. Pandangannya tidak tajam tetapi cukup untuk menghambat segala rasa gembira yang ada.

Apabila dia mula membuka mulut, aku cepat-cepat memangkas ayatnya. Aku minta supaya rezeki dihabiskan terlebih dahulu, dan sebagai seorang yang berbudi bahasa dan berakhlak, dia akur.

Usai makan masing-masing membisu - tidak seperti kebiasaan. Tatkala dia menyebut tentang surat tersebut, aku hanya mengiyakan. Jujurnya aku memang tidak punya niat untuk mengelak atau melarikan diri.

Aku segan bersuara maka aku biarkan aksara yang berkata-kata, jawapanku apabila dia mahukan penjelasan tindakan itu.

Tamat sekolah hari itu kami berpapasan lagi di pagar sekolah. Sementara menunggu bas sekolah yang belum kunjung tiba, aku memulakan perbualan seperti hari-hari sebelumnya.

Dia mendengar dan sesekali mengangguk kecil. Cuma, di tengah-tengah percakapanku dia tiba-tiba berlalu.

Begitu sahaja. 

Ayat yang tergantung, aku telan semuanya. 


---


Kami kekal sebagai kenalan satu kelas.





-



Cringe. Ya, aku tahu.

Dan begitulah permulaan kehidupan enam tahun sekolah menengah yang tak pernah aku rindukan.