Ahad, 24 Mei 2020

Falling Down

Falling Down - Seventeen The8

https://www.youtube.com/watch?v=Y5qSeHH97Tc



---


Ini lagunya, tentang masa lalunya yang suatu masa begitu bergelut untuk cekal dengan pilihan kerjaya yang bak untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Meski kini segala usaha kerasnya berbaloi dan menampakkan hasil, tapi lagu ini untuk sentiasa mengenang masa silamnya yang menyakitkan.




---



Jujurnya menulis tentang masa-masa dulu yang menjadi titik tolak perkembangan seorang aku, yang melorongkan aku kepada takdir yang telah aku lalui, aku berfikir puluhan kali.

Wajarkah masa-masa itu aku abadikan di ruangan ini? Ruang umum yang bisa dicapai sesiapa saja?

Mahu meraih simpatikah? Atau mahu semuanya diadilikah? Untuk siapa tulisan itu?

Dan kemudiannya ada satu suara menyahut.

Aku menulis kerana ia sesuatu yang aku suka. Hobi mungkin. Dan ia mendatangkan ketenteraman. Melakukan sesuatu untuk orang lain, untuk senyuman orang lain, untuk penerimaan orang lain, sudah agak lama aku tinggalkan.

Sudah beberapa ketika juga aku membuat keputusan untuk diri sendiri. Kerana hidup ini dipinjamkan buat aku. Meski dalam kehidupan ni ada ramai yang lain, tetapi yang bertanggungjawab di atas kebanyakan hal, adalah aku sendiri.

Justeru, menonton Falling Down, dan membaca penjelasan tentangnya, aku kira tidak salah untuk aku mematrikan sesuatu untuk mengenang suatu masa yang jujurnya enggan aku kenang, dan ia pernah sengaja aku hilangkan dalam ingatan. Ibarat lompong kosong dalam fikiran, yang pernah gagal aku bayangkan.

Syawal 1441H, May 2020

Raya dalam pandemik Covid 19.

Solat sunat aidilfitri hanya dilaksanakan di masjid dan surau terpilih dan di dalam bilangan yang dibenarkan, iaitu maksimum seramai 30 orang. Lalu solat sunat muakkad dua rakaat ini dikerjakan di rumah masing-masing berimamkan ketua keluarga.

Usai solat raya dan menjamah juadah raya, masing-masing hubungi keluarga lewat panggilan video.



----


Apabila Covid 19 mula melanda Malaysia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 - 30 Mac 2020, masyarakat rata-rata menggesa supaya pakat-pakat memberi kerjasama supaya Ramadan dapat dilalui seperti selalu-selalu.

Tapi begitulah. Angka kes positif semakin meningkat lalu untuk kali pertama solat Jumaat tidak dapat dikerjakan dan diganti dengan solat zohor, manakala solat sunat terawih yang menjadi nadi malam-malam Ramadan dan selalu memenuhkan saf-saf masjid dan surau, dikerjakan hanya di rumah masing-masing.

Secara peribadi, solat terawih sendiri di rumah tidak sukar untuk aku. Ia suatu aktiviti yang sering menjadi pilihan sejak zaman bujang. Bekerja syif dan acapkali menyambut azan maghrib di jalanan, lalu pilihan untuk berkejar berbuka puasa seterusnya solat maghrib dan bersiap pula untuk ke surau untuk solat isyak dan terawih bukanlah suatu yang menyenangkan. Lalu aku selalunya memilih untuk bertenang-tenang dan menikmati terawih sendiri-sendiri. Terawih itu sendiri maksudnya rehat, bukan?

Walaupun hakikatnya ia tidak difahami begitu sehingga pilihan itu selalu dipandang enteng.

Banyak perdebatan timbul tentang solat terawih di rumah. Dan beberapa penjelasan mudah oleh ustaz-ustaz serta tokoh agamawan lain di media sosial kemudiannyaberjaya menenangkan masyarakat yang kelihatan keliru mahu menghadam norma baru ini.

Bagaimanapun apabila PKP disambung fasa demi fasa, masyarakat sebahagiannya agak sukar menerima hakikat bahawa tradisi rentas negeri untuk balik beraya di kampung tidak dibenarkan demi kemaslahatan bersama.

Aku sendiri sudah mula bersedia apabila PKP disambung hingga ke 14 April 2020. Sudah mulai patrikan dalam minda bahawa raya yang bahagia adalah raya di mana semua ahli keluarga sihat sejahtera dan jauh dari risiko berbahaya, walauoun ia bermaksud tidak bersama.

Pun begitu ternyata kata-kata jauh lebih mudah dituturkan berbanding dilaksanakan. Meski senyum jutaan watt aku tayang kala berhubung menerusi panggilan video, rupanya ada sebak menjentik. Hujung mata terasa panas dan mujurlah ia tidak kelihatan di skrin kecil enam inci dalam tapak tangan.

Berbaju baru, bertudung baru, tapi jauh dari ibu bapa beratus batu, rupanya mengundang pilu. Meski di sisi ada suami dan anak, tetapi begitulah.

---



Semoga pandemik ini segera berlalu, bukan sahaja dari bumi Malaysia, tapi dari seluruh dunia. Semoga vaksin untuk mengekang penularannya akan berjaya ditemui sesegera mungkin. Insya-Allah

Jumaat, 15 Mei 2020

Ibu Musa A.S dan Saudara Perempuannya

Dalam Quran cukup banyak dikisahkan perihal Nabi Musa. Dan tentunya kita sangat maklum tentang ibunya yang cekal hati hanyutkan Musa A.S yang masih bayi ke sungai dan kemudiannya ditemui oleh Asiah isteri Firaun.

Aku selalu tertanya bagaimana ibu Musa boleh senekad itu dan bagaimana pula dia bertemu semula dengan anaknya. Rupanya dalam surah Al-Qasas di awal-awal juzuk 20 ada memperincikan hal ni.

Ibu Nabi Musa diberi ilham untuk menghanyutkan bayinya dan waktu itu hatinya dibiuskan dengan rasa tabah luar biasa hingga tiada risau atau sedih yang singgah kala itu. Dan bukti dia juga ibu biasa, ada ketikanya dia sangat-sangat hampir mengakui apa yang dilakukan.

Di sinilah watak kakak/adik perempuannya muncul. Ibu Musa A.S kemudiannya menemui saudara perempuannya dan meluahkan rahsianya, seterusnya meminta supaya mencari khabar berita bayinya yang telah berada di istana Firaun. Ibu saudara Musa A.S akur dan berjaya mendapatkan maklumat tentang Nabi Musa secara berhati-hati tanpa diketahui orang lain.

Nabi Musa yang masih bayi dicarikan ibu susuan dan secara fitrahnya ia menolak semua calon-calon ibu susuan tersebut. Lalu ibu saudaranya mengambil kesempatan itu untuk mencadangkan nama ibu kandung Musa A.S sendiri sebagai calon ibu susuan seterusnya.

Dan begitulah ibu Nabi Musa A.S disatukan semula dengan bayinya, membuktikan janji Allah dalam ilhamnya adalah benar sama sekali walau awalnya ia kedengaran mustahil.

---


Selama ni aku fikir bahawa ibu Nabi Musa sendiri yang ke istana Firaun dan menawarkan diri secara terus untuk menyusukan anaknya, rupanya ada watak lain dalam kisah ni.

Moral of story?

Janji Allah adalah benar, dulu, kini, dan selamanya. Jujurnya untuk berpegang pada kata-kata ini tak semudah ia dinukilkan. Hakikatnya, janji Allah adalah satu-satunya yang boleh dipegang seyakin-yakinnya. Siapa saja yang sentiasa akan menunaikan janjinya walau apa saja berlaku?

Pemegang kunci syurga di dunia, ibu dan suami, tetap ada masanya mereka gagal jadi pemegang kunci terbaik, lalu masih mahu bergantung pada ciptaan Allah yang mana lagi?

Pun begitu bak kata orang-orang tua, bulan takkan jatuh bergolek di kaki. Ruyung kalau tak dipecahkan manakan dapat sagunya.

Usaha sentiasa ada dalam mana-mana kisah kejayaan. Dan dalam usaha itu, ada pahit maungnya. Ada jerih penatnya. Ada air mata yang gugur dan darah yang mengalir. Andai penghujung usaha itu hasilnya tak seperti diidamkan, maka ia kerana Allah punya perancangan yang jauh lebih baik dari perancangan kita selaku hamba. Titik.






P/S: Begitulah.

Isnin, 11 Mei 2020

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Setiap tahun tarikh hari kelahiran akan tiba. Ditunggu atau tidak. Sejak kecil tiada kebiasaan menyambut ulang tahun hari lahir dalam keluarga aku. Cuma ada sekali, pada hari lahir adik aku yang keberapa lah, ayah belikan air kotak Dutch Lady Strawberry untuk kami empat beradik. Itu sahaja, tiada kek pastinya.

Malah kami juga kekok mahu ucapkan selamat hari lahir pada masing-masing. Tapi aku tak pernah lupa tarikh-tarikh itu, termasuk tarikh ulang tahun perkahwinan ma dan ayah. Setiap tahun, aku akan jadi tukang canang dalam rumah, meski secara tidak agresif, sesuai watakku yang agak tidak mesra waktu itu.

Dan kebiasaannya apabila ma ucapkan selamat hari lahir, ia pasti bersambung dengan kata-kata peringatan bahawa umur sudah bertambah, rajin-rajin solat, jangan culas kerap terlanjur ke hujung waktu, dan perlu matang seiring pertambahan angka.

Bukan suatu ucapan yang diinginkan bukan?

Kali pertama aku tahu bahawa sambutan hari jadi itu suatu realiti dan bukan hanya lewat paparan di kaca tv, apabila pada darjah lima aku dijemput oleh salah seorang rakan sekelas ke majlis hari jadinya. Kawan ini bapanya seorang peniaga, dengar katanya punya sebuah stesen minyak. Justeru rumahnya juga rumah banglo yang berlantai marmar. Halaman rumahnya luas dan lapang.

Polos, aku hadir. Tetapi ditempelak oleh beberapa rakan lain kononnya aku hadir tanpa hadiah. Malah aku diheret bertemu empunya majlis dan dihebohkan kedatanganku yang bertangan kosong.

Teman yang menjemput hanya tersenyum, aku kagum seketika melihatnya dalam persalinan gaun cantik ibarat sang puteri lewat buku berita bergambar. Katanya, jemputan untuk meraikan majlisnya supaya lebih meriah, bukanlah untuk membawa sebarang hadiah. Lalu aku dilepaskan oleh rakan-rakan tadi.

Pun begitu aku tetap tidak tenang apabila yang lain hadir dengan bungkusan besar berbalut kertas cantik siap berikat reben terjuntai-juntai.

Setelah aku adik beradik tumbuh dewasa, kami mulai membuat sedikit majlis makan-makan menjelang harijadi. Selalunya penuh sebiji kek dengan pelbagai nama. Dan kemudiannya aku sedar, kami hanya menjadikan alasan sambutan harijadi untuk berkumpul beramai-ramai dan makan bersama-sama.

Adik bongsuku MAW bagaimanapun, tidak makan kek sama sekali. Lalu untuk harijadinya biasanya ma akan belikan pelbagai snek dan hiaskan persis sebiji kek. Gorengkan bihun, sosej, dan nugget ayam. Dan dari aku, biasanya aku akan hadiahkan beberapa buah bahan bacaan untuknya. Aku masih kagum seorang kanak-kanak lelaki punya minat membaca novel selain komik di usia sebegitu.

Ulangtahun aku sendiri?

Aku bersekolah di bandar Kota Bharu selepas tamat sekolah rendah. Bermula tingkatan dua aku mula naik bas henti-henti, bukan lagi bas sekolah. Jadi panjang sedikit langkahku.

Maka setiap kali menjelang ulangtahunku sendiri, aku akan singgah ke kedai cenderamata dan belikan hadiah untuk diri sendiri. Biasanya dengan hanya bermodalkan dua ringgit, aku akan dapat sebentuk pelita kecil dengan bermacam rekaan menarik. Comel.

Semuanya aku susun di dalam bilik yang aku kongsi bersama adik-adik perempuan yang lain. Rumah aku rumah kayu, justeru banyak para-para. Di para-para itu dipenuhi bermacam cenderamata aku beli sendiri, dan juga kaset-kaset original yang juga aku beli sendiri.

Aku kekok apabila menerima hadiah hari lahir. Tapi aku tak punya masalah untuk hadiahkan sesuatu pada yang lain.

Tahun ini, aku terima satu tambahan hadiah - lukisan dari Aisyah. Bangun dari tidur dia terus dapatkan sehelai kertas dan mulai melukis. Bagaimanapun dia enggan mewarnakan lukisan itu.


Masih belum boleh menulis dengan betul kerana masih dalam proses belajar, lalu dia hanya menulis perkataan ibu dan diapit dengan simbol love. Bolehlah nak, ibu terima je.

Sambut atau tidak, ingatan lebih penting kiranya. Meski hanya sekadar ucapan, ia tentu saja menggembirakan penerimanya.






P/S: Selamat Hari Lahir!

Siah

Aku pernah duduk menyewa bersama kawan-kawan. Yang kemudiannya kerana sedikit salah faham, menyebabkan aku mengambil keputusan untuk keluar dan cari rumah sewa lain.

Ada sedikit senggang masa antara aku tempoh aku keluar dari rumah sewa lama ke rumah sewa baru, kira-kira seminggu mungkin. Dalam tempoh tu aku sebetulnya menumpang seketika di rumah pakcik aku di Datuk Keramat.

Waktu tu pula di hujung-hujung semester dua tahun pertama dan hanya tinggal beberapa kelas di minggu terakhir dan kemudiannya diikuti minggu belajar seterusnya peperiksaan akhir semester.

Jarak masa sebegitu rupanya menyempatkan timbulnya beberapa khabar angin tentang aku. Apatah lagi aku hanya muncul sebaik kelas hampir bermula dan segera menghilang sebaik kelas tamat. Pelbagai spekulasi dibuat, dan aku sendiri berlelucon menjawab aku bermalam di masjid cuma memandangkan aku sudah tidak punya rumah sewa. Untuk menumpang di mana-mana kolej juga tidak mungkin.

Pertama, kerana syarat ketat kolej kediaman. Dan kedua, aku tak punya kawan-kawan rapat lain selain kawan-kawan di rumah sewa.

Ada suatu peristiwa yang sentiasa segar dalam ingatan.

Waktu tu para pelajar semester dua tahun pertama beratur untuk ambik satu kursus pendek mungkin, pra-syarat untuk kami yang memilih untuk membuat latihan industri usai semester dua tahun dua nanti.

Betul-betul di hadapan aku ialah seorang kawan dari negeri yang sama, Siah namanya. Siah sangat mudah mesra dengan ramai orang, agak becok, dan ramai teman tentunya.

Aku menegurnya mesra, seperti kebiasaan pertemuan kami yang lepas-lepas. Kami tidaklah akrab mana, tapi seperti aku katakan, beliau seorang yang peramah justeru aku jadi selesa mahu ukirkan senyum di waktu-waktu mental sedang koyak begitu.

Malangnya, tindakbalas dari Siah bukan sahaja dingin bak ais batu, malah bak kertas nipis - tajamnya menghiris dan melukakan. Serta menyakitkan.

Tubuhnya dipaling kasar membelakangkan aku, sempat mendengus dan hadiahkan kerling setajam sembilu.

Sungguh, rasa terhina itu masih aku rasa hingga sekarang.

Pandangan penuh rasa menyampah dan benci itu, selalu ada dalam minda.

Untuk seketika aku rasakan seluruh beberapa ratus pelajar yang turut sama beratur panjang turut memandang aku dengan pandangan yang sama.

Keseorangan. Tiada yang mahu mendekat. Tiada yang mahu merapat. Tiada yang sudi bertanya khabar. Tiada yang sudi walau hanya untuk duduk di sebelah.

Di dalam kelas juga sama, salah satu tulisan aku diulas oleh penceramah, dan ditempelak. Ia tidak membantu langsung. Hari yang sudah kelam semakin gelap.

Kemuncaknya apabila tamat kursus kira-kira jam lima petang, aku bergegas pulang. Meski waktu itu hujan renyai dan ada yang meminta aku untuk berteduh dulu, aku hanya lemparkan senyum tawar seraya sarungkan helmet ke kepala.

Perjalanan yang hanya sepuluh minit mungkin, atau kurang, berakhir dengan aku ditabrak sebuah kereta.

Memandangkan aku dari kanan dan mahu ke kiri manakala kereta itu mahu ke kanan, jadi aku tidaklah terlalu laju. Tetapi kerana aku dilanggar dari sisi maka aku jatuh terjelepok juga di atas tar. Koyak kain di bahagian lutut, cuma mujurnya koyakan itu di bahagian susun kain lalu ia masih tertutup apabila aku berdiri. Lutut aku juga koyak sebesar tapak tangan menampakkan isi yang putih-putih merah bercampur lendir dan darah, hasil terseret di atas jalan.

Pen sebatang di dalam fail kotak plastik yang aku letak dalam bakul motor terpelanting di sisi. Enjin motor masih menderam perlahan. Aku ketindihan motosikal sendiri.

Jujurnya kala itu rasa sakit di lutut yang terluka, dan buku lali yang kopak sedikit kulitnya, tidaklah begitu terasa.

Tapi hati yang cukup rawan. Wajah-wajah yang merenung aku penuh rasa tak suka bermain-main di ruang fikiran. Lalu aku enggan bangun dari baringan. Aku pejamkan mata dan hanya biarkan air mata basahi wajah selencun-lencunnya.

Aku hanya biarkan sahaja tubuhku dipaksa bangun dan diheret ke tepi jalan. Apabila ada yang sudi bawa pulang motorku ke rumah sewa yang betul-betul di hadapan mata waktu itu, juga aku iyakan sahaja. Kunci motor aku serahkan tanpa rasa curiga. Apabila pemandu kereta yang melanggarku mahu menghantar anaknya ke UITM Shah Alam terlebih dahulu sebelum membawa aku ke klinik, juga hanya aku jawab dengan anggukan.

Perjalanan sekurang-kurangnya dua puluh minit itu aku hanya menangis tanpa suara. Luka di lutut aku jadikan alasan untuk luahkan air mata tanpa henti.

Ia masih menyakitkan bila dikenang.

Tapi tanpa kejadian-kejadian ini, aku bukanlah aku hari ini.

Aku mungkin masih terikat untuk sentiasa menjaga hati orang lain. Yang jelasnya tidak pernah sudi mahu melakukan perkara yang sama untuk aku.

Aku mungkin masih akan kekal tidak mengejar kemahuan dan kehendak aku hanya kerana yang lain tidak mahu aku melakukannya.

Aku mungkin masih akan kekal bergantung pada teman dan tak pantas berdiri sendiri.

Mungkin, inilah no pain no gain, literally.



---


Aku tak sesal dengan apa yang terjadi. Cuma aku tak pernah melupakan hakikat dunia tak semanis sebuah buku cerita.

Siah?

Aku tak lagi melihat dia sebagai seorang kawan, sebaliknya hanya seorang kenalan yang harus aku hati-hati. Terlalu ramai seperti Siah, dan aku perlu bijak kenalpasti golongan sebegitu, di mana-mana, dan bila-bila masa.

Aku sudah lupa bila kali terakhir aku benar-benar tertawa ikhlas berhadapan dengan Siah.

Tapi aku takkan lupa apa yang telah Siah ajarkan pada aku.

Khamis, 7 Mei 2020

Raya di Rumah Berpelikat


Berikutan ayat berjenaka oleh Menteri Kanan Bahagian Keselamatan ini ramai pula yang terasa dan melontarkan komen yang boleh tahan juga.

"Arahan radius 10km dan tiada had masa pergerakan dah dibatalkan, lepas tu cakap ziarah hari raya tak boleh. Dah tu macam mana nak pastikan benda tu tak berlaku kalau larangan dah dibatalkan? Gila pak pandir caca marba weh. Huru hara betul garis panduan yang diorang buat. Last orang langgar je malas nak layan."

Komen  seorang yang lain yang memandang dari sudut yang berbeza bunyinya:

"Sampai bila kerajaan nak jaga kita? Kita lah kena jaga diri sendiri. Sentiasa berdisiplin, jaga kebersihan. Memang ziarah raya tak boleh tapi kenapa nak pergi juga ziarah? Fikir-fikir lah sendiri."

Cerita seorang lagi pembaca pula:

"Sewaktu pulang dari kedai pagi tadi terserempak dengan Jalil Gila. Dia bertanya tak balik kampung ke raya nanti? Saya jawab lah, mungkin tidak sebab masih dalam tempoh PKP nanti kena denda RM1,000. Dia terus respon dengan kata-kata, eleh RM1,000 pun berkira, mak ayah besarkan awak lagi banyak habis berpuluh ribu. Kadang-kadang idea orang gila memang boleh buat kita gila." Kisah pendeknya diakhiri dengan emoji menangis sedih.


---


Secara peribadinya, hal ziarah menziarah pada hari raya nanti di musim virus corona masih berleluasa begini, perlu difikirkan semula.

Benar, hari raya tanpa ziarah menziarahi ibarat makan megi kari tanpa telur mata. Sedap, tapi kurang nikmatnya.

Tapi jika difikirkan semula, tiada siapa tahu siapa pembawa senyap virus tu. Mungkin kau, kau, kau, atau aku sendiri.

Mengapa ambil risiko?

Aku lebih sanggup korbankan tahun ini dan semua perayaan yang ada untuk tahun-tahun depan yang lebih terjamin, cemerlang, dan gemilang. Cuma itulah, untuk berkorban itu tak mudah.

Anda, anda, dan anda, bagaimana?

Sahur dan Dikir Barat

DUMMM. KEBOMM. KEBUUMMM.

5 pagi di suatu Ramadan.

Bunyi mercun bersahutan. Dari bunyinya ia adalah mercun buluh rekaan kreatif anak-anak kampung. Adakala sengaja ditambah lagi serbuk peledak (yang diekstrak dari mercun yang dibeli) untuk hasil yang lebih hebat, lebih kuat, dan lebih dahsyat.

Kadang-kadang mereka berlawan bunyi meriam buluh siapa lebih lantang. Berbalas tembakan meski masing-masing di kampung berlainan. Entah siapa lawan, entah bagaimana rupa, entah berapa ramai, itu semua bukan alasan. Tentang habis-habisan!

Entah pukul berapa mereka tidur. Mungkin terus berjaga sejak habis moreh malam tadi. Dan hanya akan tidur semula usai azan subuh. Solatnya? Wallahua'lam.

Jika dilarang, jawapan mereka mudah. Mereka hanya membantu kejutkan seluruh kampung untuk bangun bersahur. Bukankah pada sahur itu ada keberkatan?


----


Sesudah salam solat subuh diberi dan muka diraup, kantuk yang sejak tadi menggayuti selalunya akan membawa kepada sesi tidur kali kedua. Bangunnya pula? Mungkin menjelang sembilan pagi, mungkin juga apabila matahari sudah tinggi.

Tidak seperti anak dara lain yang pastinya dibebel sang ibu jika ketiduran sebegitu, ma lebih fleksibel. Jarang beliau bising-bising menyuruh kami adik beradik bangkit segera.

Sesekali jika bosan dengan telatah kami yang tak reti-reti bangun walau sudah jam sepuluh pagi, ma hanya akan pasangkan kaset ke radionya. Volumenya akan dikuatkan sedikit.

Dan satu-satunya kaset yang akan menyebabkan aku terpaksa bangun untuk sekurang-kurangnya perlahankan suara radio - adalah dikir barat.

Meski aku anak jati Kelantan tapi maaflah, dikir barat tak kena dengan jiwaku. Boleh saja aku menikmati seni siaran langsungnya, tapi bukan apabila ia dirakam dan berdendang pagi-pagi begitu.

Dan apabila kelibat aku terpisat-pisat bangun menonong ke arah radio untuk menukar kaset, atau perlahan suara radio, ma hanya akan tersenyum manis tetapi lidahnya mengucap kata-kata sinis.

"Sengaja buka lagu ni, kalau tak, tak bangun."

Kau fikir aku masih mahu matikan radio?

Terus capai tuala mandi dan menonong ke bilik air.

PKPB - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

PKPB atau nama glemernya CMCO (Conditional Movement Restriction Order) dah pun berkuatkuasa dua hari lepas.

Diumumkan pada 1 Mei 2020 dan pelaksanaannya bermula 4 Mei 2020. Sejurus perutusan oleh PM ke-8, pelbagai reaksi oleh para rakyat jelata. Sebahagian menyambutnya penuh keliru manakala sebahagian lagi menerimanya dengan rasa kesyukuran.

Di kalangan barisan hadapan sendiri ramai yang menganggap keputusan PKPB sebagai suatu langkah yang terburu-buru, tambahan pula apabila beberapa hari selepas pengumuman itu angka kes terbaru meningkat semula kepada tiga digit. Pun begitu kemudiannya mulai ada pendapat-pendapat yang melihat langkah ini dari sudut yang lebih positif.

Peribadinya aku melihat mereka yang kurang yakin dengan keputusan kerajaan ini adalah kerana pertambahan tanggungjawab terhadap diri individu sendiri.

Jika sebelum ini kerajaan menggalas beban menjaga keselamatan negara dan rakyat dengan menghadkan pergerakan, malah giat dengan sekatan keselamatan, serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar, tetapi sebermulanya PKPB, setiap rakyat memikul tanggungjawab itu di atas batu jemala masing-masing.

Apatah lagi dengan adanya norma-norma baru yang perlu mula dijadikan darah daging seperti pemakaian penutup hidung dan mulut, penjarakan sosial, dan penjagaan kebersihan yang kerap.

Jujurnya, kali pertama mengenakan topeng muka adalah sungguh menyesakkan. Tempoh sebulan setengah yang hanya memerlukan aku keluar lebih kurang sekali seminggu dalam tempoh kurang sejam, ia amat tidak menyelesakan.

Tapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Hari ini apabila perlu keluar untuk mendapatkan sedikit bekalan barangan dapur, terasa sedikit betah bernafas.

Malah sudah mula terasa kekok apabila belum mengenakan facemask sebaik mahu menapak keluar rumah.

Di kedai runcit yang jaraknya kurang lima minit juga para pengunjung sudah kelihatan terbiasa berdiri dalam jarak selamat antara satu sama lain. Sudah bijak mengaplikasikan hukum kutub utara bertemu kutub utara - apabila sama-sama hampir tersua muka, spontan masing-masing palingkan tubuh dan berundur ke belakang saling menjauh.

Semoga semua ujian ini akan berakhir dengan segera, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.