Isnin, 11 Mei 2020

Siah

Aku pernah duduk menyewa bersama kawan-kawan. Yang kemudiannya kerana sedikit salah faham, menyebabkan aku mengambil keputusan untuk keluar dan cari rumah sewa lain.

Ada sedikit senggang masa antara aku tempoh aku keluar dari rumah sewa lama ke rumah sewa baru, kira-kira seminggu mungkin. Dalam tempoh tu aku sebetulnya menumpang seketika di rumah pakcik aku di Datuk Keramat.

Waktu tu pula di hujung-hujung semester dua tahun pertama dan hanya tinggal beberapa kelas di minggu terakhir dan kemudiannya diikuti minggu belajar seterusnya peperiksaan akhir semester.

Jarak masa sebegitu rupanya menyempatkan timbulnya beberapa khabar angin tentang aku. Apatah lagi aku hanya muncul sebaik kelas hampir bermula dan segera menghilang sebaik kelas tamat. Pelbagai spekulasi dibuat, dan aku sendiri berlelucon menjawab aku bermalam di masjid cuma memandangkan aku sudah tidak punya rumah sewa. Untuk menumpang di mana-mana kolej juga tidak mungkin.

Pertama, kerana syarat ketat kolej kediaman. Dan kedua, aku tak punya kawan-kawan rapat lain selain kawan-kawan di rumah sewa.

Ada suatu peristiwa yang sentiasa segar dalam ingatan.

Waktu tu para pelajar semester dua tahun pertama beratur untuk ambik satu kursus pendek mungkin, pra-syarat untuk kami yang memilih untuk membuat latihan industri usai semester dua tahun dua nanti.

Betul-betul di hadapan aku ialah seorang kawan dari negeri yang sama, Siah namanya. Siah sangat mudah mesra dengan ramai orang, agak becok, dan ramai teman tentunya.

Aku menegurnya mesra, seperti kebiasaan pertemuan kami yang lepas-lepas. Kami tidaklah akrab mana, tapi seperti aku katakan, beliau seorang yang peramah justeru aku jadi selesa mahu ukirkan senyum di waktu-waktu mental sedang koyak begitu.

Malangnya, tindakbalas dari Siah bukan sahaja dingin bak ais batu, malah bak kertas nipis - tajamnya menghiris dan melukakan. Serta menyakitkan.

Tubuhnya dipaling kasar membelakangkan aku, sempat mendengus dan hadiahkan kerling setajam sembilu.

Sungguh, rasa terhina itu masih aku rasa hingga sekarang.

Pandangan penuh rasa menyampah dan benci itu, selalu ada dalam minda.

Untuk seketika aku rasakan seluruh beberapa ratus pelajar yang turut sama beratur panjang turut memandang aku dengan pandangan yang sama.

Keseorangan. Tiada yang mahu mendekat. Tiada yang mahu merapat. Tiada yang sudi bertanya khabar. Tiada yang sudi walau hanya untuk duduk di sebelah.

Di dalam kelas juga sama, salah satu tulisan aku diulas oleh penceramah, dan ditempelak. Ia tidak membantu langsung. Hari yang sudah kelam semakin gelap.

Kemuncaknya apabila tamat kursus kira-kira jam lima petang, aku bergegas pulang. Meski waktu itu hujan renyai dan ada yang meminta aku untuk berteduh dulu, aku hanya lemparkan senyum tawar seraya sarungkan helmet ke kepala.

Perjalanan yang hanya sepuluh minit mungkin, atau kurang, berakhir dengan aku ditabrak sebuah kereta.

Memandangkan aku dari kanan dan mahu ke kiri manakala kereta itu mahu ke kanan, jadi aku tidaklah terlalu laju. Tetapi kerana aku dilanggar dari sisi maka aku jatuh terjelepok juga di atas tar. Koyak kain di bahagian lutut, cuma mujurnya koyakan itu di bahagian susun kain lalu ia masih tertutup apabila aku berdiri. Lutut aku juga koyak sebesar tapak tangan menampakkan isi yang putih-putih merah bercampur lendir dan darah, hasil terseret di atas jalan.

Pen sebatang di dalam fail kotak plastik yang aku letak dalam bakul motor terpelanting di sisi. Enjin motor masih menderam perlahan. Aku ketindihan motosikal sendiri.

Jujurnya kala itu rasa sakit di lutut yang terluka, dan buku lali yang kopak sedikit kulitnya, tidaklah begitu terasa.

Tapi hati yang cukup rawan. Wajah-wajah yang merenung aku penuh rasa tak suka bermain-main di ruang fikiran. Lalu aku enggan bangun dari baringan. Aku pejamkan mata dan hanya biarkan air mata basahi wajah selencun-lencunnya.

Aku hanya biarkan sahaja tubuhku dipaksa bangun dan diheret ke tepi jalan. Apabila ada yang sudi bawa pulang motorku ke rumah sewa yang betul-betul di hadapan mata waktu itu, juga aku iyakan sahaja. Kunci motor aku serahkan tanpa rasa curiga. Apabila pemandu kereta yang melanggarku mahu menghantar anaknya ke UITM Shah Alam terlebih dahulu sebelum membawa aku ke klinik, juga hanya aku jawab dengan anggukan.

Perjalanan sekurang-kurangnya dua puluh minit itu aku hanya menangis tanpa suara. Luka di lutut aku jadikan alasan untuk luahkan air mata tanpa henti.

Ia masih menyakitkan bila dikenang.

Tapi tanpa kejadian-kejadian ini, aku bukanlah aku hari ini.

Aku mungkin masih terikat untuk sentiasa menjaga hati orang lain. Yang jelasnya tidak pernah sudi mahu melakukan perkara yang sama untuk aku.

Aku mungkin masih akan kekal tidak mengejar kemahuan dan kehendak aku hanya kerana yang lain tidak mahu aku melakukannya.

Aku mungkin masih akan kekal bergantung pada teman dan tak pantas berdiri sendiri.

Mungkin, inilah no pain no gain, literally.



---


Aku tak sesal dengan apa yang terjadi. Cuma aku tak pernah melupakan hakikat dunia tak semanis sebuah buku cerita.

Siah?

Aku tak lagi melihat dia sebagai seorang kawan, sebaliknya hanya seorang kenalan yang harus aku hati-hati. Terlalu ramai seperti Siah, dan aku perlu bijak kenalpasti golongan sebegitu, di mana-mana, dan bila-bila masa.

Aku sudah lupa bila kali terakhir aku benar-benar tertawa ikhlas berhadapan dengan Siah.

Tapi aku takkan lupa apa yang telah Siah ajarkan pada aku.

Tiada ulasan: