Isnin, 31 Ogos 2020

Siri Ibu Aisyah : Bahagian Satu - Aku Harap Aku Kehilangannya

 Bismillah.


Ini mungkin kali pertama aku bercerita tentang ini di ruang yang mampu dicapai oleh sesiapa sahaja ini.

Suatu ketika, aku pernah berada di tahap kesunyian meski dikelilingi pasangan, anak, ahli keluarga, malah sahabat-sahabat.

Jika disorot, aku kira ia sebetulnya bermula sejak pernikahan aku, di mana cara hidup aku berubah begitu mendadak. 

Dari hidup bersama teman-teman yang ramai, aku hanya punya seorang teman serumah, malah jarang pula ketemu. Kebanyakan masanya aku tetap sendiri di rumah sederhana besar dengan tiga bilik itu.

Malah, dari tengah bandar yang punya pelbagai kemudahan pengangkutan awam, aku berpindah ke lokasi bukan tumpuan. Mujurlah juga ada motosikal berkuasa 100cc yang aku panggil Cik Tenuk itu.

Kehidupan berumahtangga yang tidak seperti yang aku bayangkan, proses memahami yang tentunya memakan sedikit masa serta menuntut beberapa siri pengorbanan, tekanan dari ibuku yang seringkali merasakan aku isteri yang cuai dan tidak mengambil berat akan suami, antara faktor-faktor lain yang turut menyumbang.

Aku bunting pelamin, dan sepanjang kehamilan aku kerap mengelamun. Ketiadaan suami di sisi memberi ruang untuk aku sentiasa memikirkan yang tidak-tidak. Aku bukan sahaja mulai tidak gemar dengan aktiviti membaca malah aku enggan menulis, sebaliknya masa yang terluang mulai terisi dengan fikiran-fikiran aneh tentang betapa ceteknya ilmuku untuk menjadi seorang ibu, tentang betapa sedihnya aku kerana tiada siapa mahu menemani, tentang betapa tidak bertuahnya aku kerana selalu sendiri, tentang apalah aku memiliki hanya sebuah motosikal yang harganya hanya beberapa ribu Ringgit Malaysia.

Lebih buruk lagi, aku jadi keliru kerana tiada rasa sayang yang terbit terhadap kandungan aku. Aku selalu hanya merasakan perutku semakin membesar, itu sahaja. Bahkan setiap kali perjalanan pulang dari kerja, aku selalu membayangkan aku gagal mengawal motosikal sehingga menyebabkan kemalangan sekaligus menyebabkan kehilangan kandungan itu.

Namun sebahagian fikiran masih waras, justeru setiap hari aku memaksa lidah berzikir sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari kerja. Semata-mata mahu segala bayangan sebegitu hilang. 

Ada waktunya kewarasan menang.

Ada waktunya kegilaan itu yang menang.

Maka sengsaralah aku keseorangan.

Sedang luarannya aku masih terlihat normal, tabah, dan gembira.

Normal mengharung sehari-hari menjawab panggilan demi panggilan. Bersembang dengan kawan-kawan sepejabat. 

Tabah ke klinik sekali sebulan untuk urusan check up kandungan, menunggang keseorangan.

Gembira tersenyum dan bergelak ketawa seperti tiada apa-apa yang mendukacitakan.

Hakikatnya apabila senja datang, aku jadi hilang. Malam-malam aku hanya terperuk di dalam bilik tanpa sesiapa sebagai teman, membiarkan air mata berjuraian ibarat butiran mutiara putus dari ikatan.

Dan ia berlarutan, sehinggalah sebulan sebelum kelahiran si manis puteriku. Bukanlah aku sudah gagah mengawal rasa, sebaliknya aku dihantar pulang ke kampung halaman untuk persediaan bersalin.

Alhamdulillah bayi dalam kandungan selamat dilahirkan. Kali pertama dia dihulur ke dalam dakapan, rupanya waktu itu rasa kasih itu merimbun.

Rambut hitam pekatnya, kulit putih melepaknya, serta mata sepetnya, terlihat begitu comel dan cantik di mata aku. Berseri-seri. Malah bercahaya.

Terlalu bercahaya...

Rupanya pandangan itu, bukanlah pandangan mata aku ibunya. Sebaliknya ia pandangan si mata jahat yang entah sejak bila bersamaku.





-----

Isnin, 24 Ogos 2020

Ayesh

Sabrina tenung lapan pasang anak mata yang sedang memandangnya. Debar di dada yang tadi pagi sudah surut tiba-tiba muncul kembali.

Tap. Tap. Tap.

Sabrina ketap bibir. Matanya secara tidak langsung terpejam kejap sama. Tapak tangan segera berlari melekat di dada.

Tok. Tok. Tok.

"Cikgu, Ayesh ketuk meja."

"Cikgu, Ayesh main pensel."

"Cikgu, Ayesh__"

"Cikgu__"

Sabrina mahu pitam!


---


Hari pertama, jam 7:15 pagi Sabrina sudah terpacak di tabika. Dia menyarung sepersalinan baju kurung moden berwarna hijau pucuk pisang dihiasi bunga-bunga kecil berwarna oren yang dipadankan dengan selendang lilit senada bunga-bungaan di bajunya.

Sehelai kertas menu bertampal di dinding bahagian dapur ditatap. Penolong guru sudah memaklumkan kepadanya untuk membantunya menyediakan sarapan untuk para murid jika Sabrina tiba lebih awal.

Milo Susu. Biskut.

Sabrina angguk sendiri. Lengan bajunya disinsing ke paras siku sebelum mencapai jag di rak. Wajahnya tampak nekad.



---


Segala-galanya kelihatan sempurna sehinggalah murid-murid mulai tiba, seorang demi seorang.