Khamis, 30 April 2020

Rumput Di Padang Seberang Sana

Rumput di padang seberang sana selalu nampak lebih hijau dan segar. Dan selalu terlupa rumput di depan mata yang tak kurang bagusnya.

----

<<Dia, pekerja di sebuah syarikat swasta>>

Kerusi ditolak sedikit ke belakang sekadar memberi ruang untuk tubuh genitnya berdiri. Dia bangun dan membuat pergerakan ringkas untuk memberi kelegaan kepada badan yang sudah penat duduk berteleku di hadapan skrin komputer.

Duduk semula dan capai telefon pintar lalu membuka aplikasi Instagram. Insta story salah seorang temannya dipenuhi masakan pelbagai, hasil jahitan tangan, karya si anak lima tahun, dan sesekali ternampak gambar-gambar novel. Jarang-jarang ada juga temannya itu kemaskini gambar terkininya yang bersantai bersama si anak, atau sekadar sebelah tangannya memegang segelas besar latte bancuhan sendiri.

Sepintas pandang tiada yang istimewa.

Lauk-pauk dalam hidangan si teman semata-mata ayam masak kari, goreng kunyit atau kicap, atau ikan masak gulai. Ulam-ulaman, atau terung masak lemak. Hasil jahitan seperti baju kurung moden, dan blaus ringkas, atau sehelai singlet biasa. Latte buatan sendiri juga tidak lebih dari serbuk nescafe yang dibancuh dengan air panas dan sedikit gula yang digoncang pantas menggunakan botol air minuman 800ml untuk menghasilkan buih-buih halus sebelum dicampur ke dalam segelas susu berais. Manakala novel yang kelihatan bertimbun pula adalah novel lama beberapa tahun lepas yang dijual pada suku harga asal oleh pihak penerbitan demi menghabiskan stok.

Tetapi bagi dia yang sudah capek dengan beban tugas yang tidak habis-habis di bahunya melihat semua itu sebagai suatu nikmat yang besar.

Terkenang suatu waktu mereka sebelah menyebelah membanting tenaga mencari rezeki bersama-sama. Tapi kini si temannya terlihat lebih bahagia menjalani hidup. Seolah tiada kesal dalam perjalanan kisahnya.





----


Apa yang tidak dia tahu, ada si dia lain, dan yang lain, yang memandang dia sepertimana dia memandang si temannya.

Umpama sebuah karikatur pemandu Proton merenung cemburu kepada pemandu Honda di sebelahnya tanpa sedar dia juga ditatap penuh iri dan sedih oleh penunggang motosikal 100cc.




----

Hakikatnya, benarkah padang nun di sebelah sana lebih luas dan indah?

Jumaat, 24 April 2020

Puasa 2020 - PKP Day-38

Selamat berpuasa!

Hari pertama Ramadan yang luar dari kebiasaan.

Tiada bazar.
Tiada terawih di masjid atau surau.
Tiada yang bekerja kecuali yang di dalam kategori essential.

Dan hari ini sudah hari ketigapuluhlapan hampir semua rakyat Malaysia berada di rumah. Kalau orang dalam pantang dah hampir beraya pun.

Tapi Aidilfitri tahun ni sudah ada bayangan bahawa ia adalah Aidilfitri yang bakal diraikan tanpa berhimpun saudara-mara. Tanpa kesesakan di jalan raya dari bandar menuju ke kampung halaman. 

Justeru sejak masuk fasa Perintah Kawalan Kedua (PKP) kedua, aku dah mula cuba menerima kenyataan ni. Dan apabila PKP Fasa Ketiga yang sepatutnya berakhir empat hari lagi disambung kepada 12 Mei 2020, tiada rasa ralat keterlaluan yang singgah.

Cuma biskut raya mungkin tetap akan aku buat juga sikit sebanyak, dan baju raya tu nanti bedallah mana-mana lebihan kain dalam simpanan. 

Terawih di rumah bukanlah satu isu besar untuk aku meski boleh tahan hangat juga perdebatan berkenaan hal ni. Mohon supaya kerajaan mempertimbangkan cara paling sesuai dan selamat supaya terawih di masjid-masjid dan surau-surau dapat dilaksanakan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sejak kira-kira sepuluh tahun lepas aku dan kawan-kawan serumah waktu itu sudah biasa menunaikan solat terawih berjemaah sesama kami sahaja di rumah. Maklum sajalah kalau dah berbuka tak sedar diri, azan Isyak berkumandang masih bak lembu kekenyangan. Lalu aku putuskan tunaikan terawih mengikut waktu selesa sendiri, dan apabila kawan-kawan yang lain menurut jejak langkah itu, kami kemudiannya solat saja sama-sama.

Semoga Ramadan kali ini aku berjaya khatamkan alquran, atau sekurang-kurangnya hampir berjaya.

Dan semoga Allah angkat semula wabaknya Covid-19 dari mukabuminya. Sungguh, aku rindu ke MrDIY. 

Jumaat, 17 April 2020

PKP: Day 28

14 April 2020
PKP Day 28

Esok akan bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa ketiga. Khabar angin mengatakan PKP ada enam fasa kesemuanya. Namun seperti awalan ayat - ia adalah khabar angin.

Dalam kecelaruan dunia berhadapan dengan wabak Covid-19, nama Malaysia disebut-sebut sebagai salah sebuah negara yang mengambil langkah pencegahan yang boleh dipuji. Pantas, tangkas, dan cekap.

Berikutan tindakan pelaksanaan PKP (yang tidak pernah terlintas di fikiran sesiapa bahawa suatu masa seluruh negara tidak dibenarkan bekerja kecuali sebahagian) yang kini hanya dua hari sebelum genap sebulan, serta kerjasama yang baik oleh hampir kesemua rakyat Malaysia, jangkaan akan adanya letusan gelombang ketiga di pertengahan April, tidak berlaku.

Dengan jumlah keseluruhan di bawah 5,000 kes (tepatnya 4,987 sehingga dua belas tengahari 14 April 2020) dengan jumlah kes sembuh yang hampir mencecah 50%, telah membenamkan anggaran bahawa akan ada lebih enam ribu kes menjelang pertengahan April. Malah, sudah beberapa hari jumlah kes sembuh harian mencatatkan angka yang lebih tinggi berbanding kes positif harian.

Nyata, kerjasama akan membolehkan berlakunya perubahan. (Meski ada segelintir yang kepala batu memilih untuk ingkar.)

Memerangi Covid-19 ini aneh jujurnya. Ia seni, halus, dan hampir tidak kelihatan bahayanya sehinggalah saat segala-galanya sudah terlambat.



----



Isnin 16 Mac 2020, beberapa jam sebelum pengumuman PKP oleh Perdana Menteri ke-8, jujurnya aku antara yang agak panik apabila membaca pelbagai berita di WhatsApp kononnya adanya kemungkinan lockdown. Lalu sedikit wang kecemasan aku keluarkan untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan, sekurang-kurangnya beras dan sedikit makanan kering seperti bihun dan spageti.

Pun begitu, apabila melihatkan bilangan pengunjung di Pasaraya 99 Speedmart yang tidaklah seramai mana (meski rak agak kosong) malah terlihat sebahagiannya hanya memikul satu beg beras lima atau sepuluh kilogram, aku jadi malu sendiri.

Rata-rata mereka di sini bekerja dengan gaji hari. Usah kata mahu berbelanja untuk menyimpan stok berminggu, silap-silap makanan harian pun bercatu. Kais pagi makan pagi.

Tatkala melihat para cashier yang masih gagah mengukir senyum dan mengimbas barangan satu persatu sambil memasukkan kesemuanya ke dalam beg plastik (tanpa mengenakan caj dua puluh sen), makin menjadi-jadi rasa malu. Justeru apabila disapa salah seorang jiran, tergagap-gagap aku berdalih mengatakan itu adalah pembelian mingguan yang biasa kami lakukan.

Bila PKP dah bermula, minggu pertama adalah sangat sukar. Terasa masa berlalu cukup perlahan.

Juga mula terasa kesukaran bernafas apabila membaca bermacam berita lewat WhatsApp.

Minda sudah gagal kenalpasti yang mana yang boleh dipercayai. Mujurlah, kemudiannya ada group telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setelah menyertai group itu, jujurnya beban risau di bahu terangkat sedikit. Rupanya perkongsian demi perkongsian di media sosial hanya 40% benar. Rata-rata adalah berita palsu atau khabar angin yang banyaknya adalah tidak benar sama sekali.

Minggu kedua semuanya sudah mula dapat diterima, keluar seminggu sekali untuk restock barang dapur. Perbelanjaan dapur juga hanya bertambah sedikit memandangkan minum petang juga perlu disediakan sendiri.

Pun begitu agak sukar mulanya untuk memahamkan Aisyah tentang apa yang berlaku apabila dia agak memberontak untuk keluar seperti selalu. Dan seperti selalu juga, aku selalu percaya berterus-terang adalah antara cara yang paling berkesan - meski agak jenuh juga bercerita tentang wabak sebegini pada kanak-kanak lima tahun tapi syukurlah Aisyah boleh menerima penjelasan ibunya.

Fasa kedua bagaimanapun agak memberi kesan pada aku apabila pergerakan hanya dihadkan kepada kira-kira 10km dan satu orang untuk satu kereta dilaksanakan.

Kebiasaan ke NSK Sungai Jati yang kira-kira 15km terpaksa aku ubah. Lalu bermulalah semula era membawa beg galas untuk aku sumbat barangan kering memandangkan bakul Cik Tenuk yang agak kecil.

Begitulah.