Khamis, 28 Mac 2024

Penghujung Mac 2024

Selepas berkobar-kobar membuat entry di hari pertama tahun baru, kesibukan (dan ketakutan) terus membelenggu hingga sekali lagi amat sukar singgah di sini. 

Singgah itu sentiasa, tapi untuk meninggalkan jejak, ketakutan dan kerisauan yang sama kembali membungkus diri.

Januari aku dipenuhi program Konvo Daerah yang melibatkan 30 kelas semuanya. Sebuah program berskala besar yang kali pertama aku depani. Diikuti pula dengan Team Building yang melibatkan semua guru dan penolong guru. 

Tamat Team Building, sambung persekolahan seminggu lagi - yang juga amat sibuk. Terus disambung dengan cuti sekolah yang mana aku kembali ke kampung.

Meskipun kedengaran melegakan tapi jujurnya tidak. Kembali ke sini, aku terus ke kelas membuat pelbagai persiapan - dari keadaan kelas hinggalah kemaskini dokumen tujuh tahun ke belakang. Kelas aku akan kenaziran tahun ini, justeru persiapan yang amat ampuh perlu dibuat.

Baki cuti tiga minggu semuanya hanya di kelas - hinggalah aku tersedar aku bukan lagi si gadis 20-an dengan tenaga tanpa had.

Tekanan akhirnya menyebabkan eczema di kaki, kembali. Berdengkot-dengkot berjalan hingga akhirnya ia membengkak. Puasa sudahpun bermula waktu itu, tapi akhirnya terpaksa juga ke klinik dan mengambil antibiotik. Mujurlah hanya dua kali sehari, maka berjaya aku pertahankan puasa.

Kaki mulai elok, tiba-tiba batuk pula datang. Sehingga entry ini ditulis pada 17 Ramadan, aku masih sedang batuk. Ada malam-malam yang mana hanya mampu tidur menjelang empat pagi kerana batuk yang henti. Ubat sudah masuk botol ketiga, cuma itulah, kesihatan itu masih belum kembali.

Maka begitulah sepanjang tiga bulan ini.

Jika tiada perubahan kelas aku akan dinazir pertengahan Jun nanti, seminggu sebelum Raya Haji. Sehingga detik itu, maka berkejarlah aku dengan waktu.


Isnin, 1 Januari 2024

Lembaran 2024

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2024. 

Agak jarang aku terus membuat entry seawal hari pertama tahun baru.


Cuti tahun baru memandangkan masih di Selangor. Akan datang, belum pasti sama ada masih berusia panjang dan masih di bumi yang menyambut tahun baru sebagai cuti umum.

Lebih enam tahun dulu, kami sekeluarga ke Selangor dengan satu matlamat - menyelesaikan hutang dan komitmen. Meski sudah pun berada di bumi Kelantan waktu itu, tapi bahagia yang kami cari tidak kunjung tiba. Mungkin juga kerana cara kami mencari bahagia tidak kena dengan caranya.

Tiba di Selangor, tak sangka pula bertimpa-timpa juga dugaan yang datang. Berpindah-randah dalam masa hanya dua tahun, terperdaya oleh pemilik-pemilik rumah, deposit yang tidak dipulangkan, dikenakan caj yang bermacam, sehingga akhirnya tiba di Pelabuhan Klang. Baru beberapa bulan di sini, PKP pula muncul. 

Tapi di sini akhirnya aku mendapat pekerjaan - yang sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran. Malah, impian sekian lama terlaksana di sini. Dan, dalam PKP, rupanya Allah lorongkan rezeki untuk berjaya selesaikan hutang beberapa tahun lebih awal. Serta, diberi peluang pula untuk mencicip pelbagai rezeki lain.

Jujurnya ia adalah proses mendewasakan seorang aku.


Kami masih kekal di sini meski hutang piutang sudah selesai. Rancangan untuk pulang ke kampung di sisi orang tua masih ada. Masih segar walaupun ada waktu impian yang  satu itu nampak samar dan kabur. Pekerjaan aku selaku seorang penolong guru tabika nampaknya antara yang membejat keinginan itu. 

Sama ada aku melepaskan peluang yang cukup sukar aku capai ini, atau aku mohon sahaja pertukaran. Cuma, seperti yang umum maklum, menembus masuk ke Kelantan adalah cukup sukar. Tapi aku selalu yakin andai Allah berkehendak, urusan itu terlalu mudah bagi-Nya. 

Perjalanan hidup aku sehingga hari ini - adalah bukti paling kukuh. Allah sentiasa memberikan yang terbaik, tepat pada masanya. 


Maka beginilah aku membuka lembaran tahun baru, dengan azam menjadi yang lebih baik. Insya-Allah.