Khamis, 7 Mei 2020

Sahur dan Dikir Barat

DUMMM. KEBOMM. KEBUUMMM.

5 pagi di suatu Ramadan.

Bunyi mercun bersahutan. Dari bunyinya ia adalah mercun buluh rekaan kreatif anak-anak kampung. Adakala sengaja ditambah lagi serbuk peledak (yang diekstrak dari mercun yang dibeli) untuk hasil yang lebih hebat, lebih kuat, dan lebih dahsyat.

Kadang-kadang mereka berlawan bunyi meriam buluh siapa lebih lantang. Berbalas tembakan meski masing-masing di kampung berlainan. Entah siapa lawan, entah bagaimana rupa, entah berapa ramai, itu semua bukan alasan. Tentang habis-habisan!

Entah pukul berapa mereka tidur. Mungkin terus berjaga sejak habis moreh malam tadi. Dan hanya akan tidur semula usai azan subuh. Solatnya? Wallahua'lam.

Jika dilarang, jawapan mereka mudah. Mereka hanya membantu kejutkan seluruh kampung untuk bangun bersahur. Bukankah pada sahur itu ada keberkatan?


----


Sesudah salam solat subuh diberi dan muka diraup, kantuk yang sejak tadi menggayuti selalunya akan membawa kepada sesi tidur kali kedua. Bangunnya pula? Mungkin menjelang sembilan pagi, mungkin juga apabila matahari sudah tinggi.

Tidak seperti anak dara lain yang pastinya dibebel sang ibu jika ketiduran sebegitu, ma lebih fleksibel. Jarang beliau bising-bising menyuruh kami adik beradik bangkit segera.

Sesekali jika bosan dengan telatah kami yang tak reti-reti bangun walau sudah jam sepuluh pagi, ma hanya akan pasangkan kaset ke radionya. Volumenya akan dikuatkan sedikit.

Dan satu-satunya kaset yang akan menyebabkan aku terpaksa bangun untuk sekurang-kurangnya perlahankan suara radio - adalah dikir barat.

Meski aku anak jati Kelantan tapi maaflah, dikir barat tak kena dengan jiwaku. Boleh saja aku menikmati seni siaran langsungnya, tapi bukan apabila ia dirakam dan berdendang pagi-pagi begitu.

Dan apabila kelibat aku terpisat-pisat bangun menonong ke arah radio untuk menukar kaset, atau perlahan suara radio, ma hanya akan tersenyum manis tetapi lidahnya mengucap kata-kata sinis.

"Sengaja buka lagu ni, kalau tak, tak bangun."

Kau fikir aku masih mahu matikan radio?

Terus capai tuala mandi dan menonong ke bilik air.

Tiada ulasan: