Setiap tahun tarikh hari kelahiran akan tiba. Ditunggu atau tidak. Sejak kecil tiada kebiasaan menyambut ulang tahun hari lahir dalam keluarga aku. Cuma ada sekali, pada hari lahir adik aku yang keberapa lah, ayah belikan air kotak Dutch Lady Strawberry untuk kami empat beradik. Itu sahaja, tiada kek pastinya.
Malah kami juga kekok mahu ucapkan selamat hari lahir pada masing-masing. Tapi aku tak pernah lupa tarikh-tarikh itu, termasuk tarikh ulang tahun perkahwinan ma dan ayah. Setiap tahun, aku akan jadi tukang canang dalam rumah, meski secara tidak agresif, sesuai watakku yang agak tidak mesra waktu itu.
Dan kebiasaannya apabila ma ucapkan selamat hari lahir, ia pasti bersambung dengan kata-kata peringatan bahawa umur sudah bertambah, rajin-rajin solat, jangan culas kerap terlanjur ke hujung waktu, dan perlu matang seiring pertambahan angka.
Bukan suatu ucapan yang diinginkan bukan?
Kali pertama aku tahu bahawa sambutan hari jadi itu suatu realiti dan bukan hanya lewat paparan di kaca tv, apabila pada darjah lima aku dijemput oleh salah seorang rakan sekelas ke majlis hari jadinya. Kawan ini bapanya seorang peniaga, dengar katanya punya sebuah stesen minyak. Justeru rumahnya juga rumah banglo yang berlantai marmar. Halaman rumahnya luas dan lapang.
Polos, aku hadir. Tetapi ditempelak oleh beberapa rakan lain kononnya aku hadir tanpa hadiah. Malah aku diheret bertemu empunya majlis dan dihebohkan kedatanganku yang bertangan kosong.
Teman yang menjemput hanya tersenyum, aku kagum seketika melihatnya dalam persalinan gaun cantik ibarat sang puteri lewat buku berita bergambar. Katanya, jemputan untuk meraikan majlisnya supaya lebih meriah, bukanlah untuk membawa sebarang hadiah. Lalu aku dilepaskan oleh rakan-rakan tadi.
Pun begitu aku tetap tidak tenang apabila yang lain hadir dengan bungkusan besar berbalut kertas cantik siap berikat reben terjuntai-juntai.
Setelah aku adik beradik tumbuh dewasa, kami mulai membuat sedikit majlis makan-makan menjelang harijadi. Selalunya penuh sebiji kek dengan pelbagai nama. Dan kemudiannya aku sedar, kami hanya menjadikan alasan sambutan harijadi untuk berkumpul beramai-ramai dan makan bersama-sama.
Adik bongsuku MAW bagaimanapun, tidak makan kek sama sekali. Lalu untuk harijadinya biasanya ma akan belikan pelbagai snek dan hiaskan persis sebiji kek. Gorengkan bihun, sosej, dan nugget ayam. Dan dari aku, biasanya aku akan hadiahkan beberapa buah bahan bacaan untuknya. Aku masih kagum seorang kanak-kanak lelaki punya minat membaca novel selain komik di usia sebegitu.
Ulangtahun aku sendiri?
Aku bersekolah di bandar Kota Bharu selepas tamat sekolah rendah. Bermula tingkatan dua aku mula naik bas henti-henti, bukan lagi bas sekolah. Jadi panjang sedikit langkahku.
Maka setiap kali menjelang ulangtahunku sendiri, aku akan singgah ke kedai cenderamata dan belikan hadiah untuk diri sendiri. Biasanya dengan hanya bermodalkan dua ringgit, aku akan dapat sebentuk pelita kecil dengan bermacam rekaan menarik. Comel.
Semuanya aku susun di dalam bilik yang aku kongsi bersama adik-adik perempuan yang lain. Rumah aku rumah kayu, justeru banyak para-para. Di para-para itu dipenuhi bermacam cenderamata aku beli sendiri, dan juga kaset-kaset original yang juga aku beli sendiri.
Aku kekok apabila menerima hadiah hari lahir. Tapi aku tak punya masalah untuk hadiahkan sesuatu pada yang lain.
Tahun ini, aku terima satu tambahan hadiah - lukisan dari Aisyah. Bangun dari tidur dia terus dapatkan sehelai kertas dan mulai melukis. Bagaimanapun dia enggan mewarnakan lukisan itu.
Masih belum boleh menulis dengan betul kerana masih dalam proses belajar, lalu dia hanya menulis perkataan ibu dan diapit dengan simbol love. Bolehlah nak, ibu terima je.
Sambut atau tidak, ingatan lebih penting kiranya. Meski hanya sekadar ucapan, ia tentu saja menggembirakan penerimanya.
P/S: Selamat Hari Lahir!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan