Selasa, 24 November 2020

Dia Si Mekanik

Suatu ketika di pinggir bandar, ada seorang remaja lelaki yang sangat meminati motosikal.

Cita-citanya seorang mekanik barangkali.

Tamat darjah enam dia meminta dibelikan sebuah motosikal terpakai, dan berterus-terang dia mahu menggunakannya untuk belajar lebih lanjut tentang motosikal.

Selaku anak lelaki seorang, malah anak sulung pula, maka permintaan itu dipenuhi. Sebuah motosikal EX5 dibawa pulang untuknya.

Sejak itu dia kerap berteleku menilik kenderaan beroda dua itu. Sepertimana kata-katanya, satu demi satu bahagian dibuka. Karburator dibelek-belek, malah dibawa ke bilik tidur.

Kerap juga dia membuat pelbagai modifikasi, dari motor menderam perlahan, kepada mengaum hingga dipekik ibu, atau langsung terdiam tiada sebarang bunyi.

Teman-temannya acapkali ke rumahnya mengheret motosikal masing-masing, dan entah magis apa diseru, kebiasaannya mereka akan pulang menunggang motosikal dengan leret senyum ke telinga. Ironinya motosikalnya sendiri hanya berfungsi 7 hari dalam setahun. Baki 358 hari lagi ia hanya tersadai tak ubah besi buruk.

Adik-adik yang perempuan semua, selalu terpaksa menahan telinga mendengar bicara terujanya tentang motosikal, hingga salah seorang adiknya akhirnya miliki sebahagian pengetahuan dan skil tersebut.

Hobi itu adakala membawa bermacam masalah juga. Pernah dia terbeli 'karburator panas' hingga diburu pihak berkuasa.

Mahu tak panas, barangan curi!

Tentu saja ia mudah dikenalpasti kerana nombor casis elok tertera di situ. Lalu dalam panik, si ibu lekas mencapai ketulan besi bersaiz tapak tangan itu dan mencampakkannya ke dalam perigi di dapur.

Berhari-hari si ibu dalam keresahan dek motosikal polis yang tidak putus-putus meronda. Berdoa semoga anaknya si mekanik tak bertauliah itu tidak tersenarai selaku pesalah.

Beberapa ketika kemudian keadaan tenang ke asal.

Si ibu menghela nafas lega.

Anaknya?

Kekal meneruskan kecintaannya terhadap ilmu baiki-membaiki itu. Cuma kali ini, sudah lebih matang mengendalikan diri.






------



20 tahun kemudian...



Di bengkel motor kelihatan seorang wanita sedang menyorong motosikalnya.

"Kenapa motor kak?" Sapa pemilik bengkel.

"Entahlah. Hidup mati hidup mati. Hari tu berhujan, lepas tu ada bawa basuh. Agaknya tersembur air ke karburator ke macamana," jelasnya panjang.

"Mungkin, mungkin. Eh akak tahu ya pasal motor??" Sahut si pemilik bengkel, wajahnya tampak teruja.

Wanita itu hanya tersenyum di sebalik pelitup muka, seraya merapatkan jari telunjuk dan ibu jari.

Tentulah. Tanyalah siapa abangnya.

Tiada ulasan: