Ahad, 25 Disember 2016

FREESIA

Freesia itu spesies bunga, yang habitatnya di Afrika Selatan.

Ia bunga berbatang panjang yang punya bukan saja warna yang berbagai malah menghasilkan bau yang menyenangkan.

Freesia selalunya diekstrak dan diaplikasikan kelebihan bau harumnya dalam pembuatan krim tangan, shampu, sabun dan bermacam lagi.

Ia juga cantik sebagai jambangan bunga pengantin dan juga salah satu jenis bubga yang popular dalam perubatan tradisional.

Ia dikatakan bunga yang mewakili feminism dan mampu menghancurkan sihir tertentu - menurut perubatan tradisi orang Afrika Selatan.

Cantik, harum, dan misteri.

Bersesuaian sekali dengan FREESIA Instant Shawl keluaran terbaru CHATIK Collection.

Instant dua muka yang ringkas dan pantas, tetapi pemakaiannya tetap boleh dipelbagaikan.


P/S: 😍😍😍😍😍

Rabu, 14 Disember 2016

A Friend

Isnin lepas. Jumpa kawan nan sorang ni kat AEON MALL Kota Bharu.

Dah lepak-lepak, sembang-sembang, makan-makan, dah salam semua segala baru teringat nak berswafoto sama-sama.

Kelakarnya pula, swafoto dua keping je, tiba-tiba gambar takde dalam galeri. Dah tutup buka semula telefon baru keluar. Itu pun sekeping je.

Jadi itu saja lah bukti kami jumpa.

Sedih.

Tapi takpelah, lain kali pula ya.

Kami sembang pasal tudung, tutorial menyarung AISYA Rama-Rama, sembang pasal tudung lagi, dan macam-macam.

Tiba-tiba dah segan nak cakap Bahasa Melayu, dah banyak bunyi Kelantan dah. Hahahaha. Maaflah ya kawan, kawanmu ni dah lupa selanga Bahasa Melayu Kuala Lumpur.

Kawan, atau saudara, yang sentiasa di hati, walaupun hakikatnya jauh, tapi tak pernah rasa jauh. Dan tak ralat untuk berpisah. Meski tak tahu lah bila boleh jumpa lagi.

Begitu lah, ini salah seorang kawan yang entah macam mana kami boleh jadi akrab, tapi begini lah kami.

Jadi kawan, lain kali balik Kelantan, jangan lupa kimchi 2kg ya. Botol paling besar.

Sedikit tentang kami.

Kami asalnya sama-sama suka KPOP. Dan kemudian sama-sama suka Korea. Drama, muzik, reality show. Kami jadi teman sebilik. Suka kopi. Latte. Sans Francisco. Buskin Robbin. Groupon. Kupon. Voucher.

Cikgu Bahasa Inggeris.

Pendengar kisah panggilan hangit hari ini.

Kemudian kawan ni kahwin. Hadir majlis di sebelah lelaki. Swafoto lagi.

Dan kami terus berkawan.

Masih jumpa minum kopi sama-sama.

Dan aku pula kahwin. Kawan ni hadir bersama suaminya.

Kemudian sama-sama dapat anak.

Kisah anak pula jadi topik cerita kami.

Jalan kami berbeza, tapi masing-masing sentiasa ada bersama. Mungkin zahirnya jauh entah di mana, tapi secara spiritualnya, kami ada.

Begini lah kawan, mungkin akan tiba masanya, kolaborasi antara kita untuk realisasikan Isteriku Si Barista.

Oh, tak perlu gelak lebih-lebih kawan. Masa depan itu tiada yang mustahil.

Mana tahu suatu hari manuskrip itu tiba-tiba sampai di pangkumu?😘😘

P/S: Kerana persahabatan, jarak, dan masa bertitik.

Khamis, 8 Disember 2016

Persahabatan

Aku kira
Aku tidak lagi mampu
Menyulam benang-benang rasa
Perlahan dan penuh sabar

Aku kira
Aku tidak lagi mampu
Menyiram benih-benih harapan
Bajai dengan tenang

Aku kira
Aku hanya mampu pertahankan
Apa yang telah aku miliki

Jagai tunggul-tunggul rasa
Yang adakala terbongkah juga oleh masa

Aku kira
Aku hanya mampu menoleh ke belakang
Renungi kenangan yang takkan berulang

Aku kira
Dan aku terlupa
Perkiraanku
Adalah percaturan seorang kerdil
Yang biasa saja tersanggah oleh aturan takdir

Begitulah
Mungkin ketakutan begitu membelenggu
Hingga aku terlupa

Aku ini hamba
Dan Dia sentiasa ada
Mendengar dan Melihat

P/S: Seperti ungkapan kegemaran teman nan seorang ini... ya, ia aneh.

Isnin, 5 Disember 2016

Tekad

Hasrat umpama angan-angan
Manis dicicip
Indah dibayang

Sedang impian sepertinya cita-cita
Keinginan yang sukar dicapai
Meski tak mustahil digapai

Dan kemahuan seakannya tekad
Kehendak yang bulat
Jitu, kukuh, dan kuat

Lalu samar bulan hadapan
Atau tahun hadapan
Bak apa?

Hasrat yang tinggal angan-angan
Atau impian yang punya kemungkinan jadi nyata
Atau kemahuan yang penyudahnya adalah kemenangan?

Lantas...

Tersadung dek larian yang sumbang
Atau
Menapak perlahan dek gentarkan hakikat?



Jumaat, 2 Disember 2016

Kopitiam

Memang hampir hari-hari aku makan tengahari kat Kopitiam.

Walaupun sepinggan nasi goreng adalah RM6.50.
Walaupun secawan kopi panas RM2.50.
Walaupun segelas teh tarik RM3.50.

Walaupun sebelah ofis tersergam elok kedai makan.

Bukan terasa bagus-bagus sampai perlu ke Kopitiam dan taknak ke kedai sebelah.

Tapi kerana kebersihan.

Beberapa kali selepas makan di kedai sebelah aku muntah-muntah, hampir demam dan lemah-longlai.

Beberapa kali juga bila beli makanan yang sama harganya berubah-ubah.

Lalu aku putuskan mahal beberapa ringgit lebih baik dari seharian penat lembik sedangkan kerja masih berbaki beberapa jam.

Dan begitulah.

P/S: Punyalah pesan makanan yang hampir sama sampaikan kadang tak perlukan menu.