Jumaat, 25 Ogos 2017

Kerana Kau Mentimun

Manusia itu pelupa sifatnya.

Maka dipanggil manusia; dia yang lupa.

Manakala adil itu sifat Allah adanya.

Justeru manusia dan adil susahnya seiring berjalan.

Manusia seringkali menjunjung kesamarataan. Dan ia disangka keadilan sedang adil itu bilamana sesuatu diletakkan sesuai tempatnya.

Kelihatan sama tapi bukan saja tak serupa, malah berbeza keadaannya.

Dan manusia, sering terpedaya oleh ujian kesenangan, mudah menang bila diuji kesukaran, tapi kerap rebah tersembam apabila diduga dengan kebahagiaan dan kekayaan.

Lalu, kuasa jadi sanjungan.

Siapa kudrat, dialah iradat.

Sang Raja umpama durian hebat. Pejal dan berduri tajam di luarnya. Gagah perkasa.

Manakala rakyat biasa ibarat mentimun layaknya. Murah, mudah, dan lemah.

Digolek luka, tergolek pun luka.

Berdiri rebah, duduk pun lelah.

----------

Andai dendam itu tak membakar, maka aku kepingin berdendam.

Memohon yang tidak-tidak atas tiket teraniaya.

Tapi demi tak terus kalah kepada tipudaya amarah, maka lidah kugigit, menahan dari terus berkata yang bukan-bukan, meski terlepas juga ayat-ayat mengikut rasa yang luka.

P/S: Begitulah.

Ahad, 20 Ogos 2017

Review: De Botani Hotel, Ipoh

De Botani Hotel
Ipoh
10-15minit ke Pusat Bandaraya

Salah satu hotel yang harga walk in lebih murah dari Agoda.

Harga asal RM88, waktu promosi RM78 (termasuk GST RM82.++).

Setakat pengalaman singgah di hotel-hotel bajet, hotel ni antara yang terbaik.

Bilik saiz biasa, tapi sangat kreatif.

Tiada almari, tapi di belakang cermin solek diwujudkan tempat sangkut baju.

Meja kiri kanan katil pula ada ruang, jadi boleh letak bag/handbag/barang/baju kotor. Taklah berlonggok je barang, jadi memang kemas dan otomatik rasa selesa.

Tong sampah yang comel seolah-olah kayu/meja kecik.

Bilik air yang luas, bersih, dan selesa. Paling suka tempat sidai tuala dan panciran air berjauhan antara satu sama lain, jadi takde lah masalah terpercik air.

Dua soket di kiri kanan katil, jadi lakibini tak gaduh sorang nak cas laptop soranf nak cas telepon.

Dan, lantai yang menggunakan mozek jenis bercorak/permukaan kasar.

Jadi bila keluar bilik air dengan kaki lembap, taklah terasa licin.

Staff pula memang sangat peramah dan baik.

Oh ya, boleh minta hair dryer kalau mahu.


P/S: Akan singgah lagi andai datang semula ke sana. 😉

Jumaat, 4 Ogos 2017

SA : Telefon

Entry lepas, aku letakkan kekangan masa setiapkali telefon SA ambil.

Tapi hanya berkesan sehari dua.

Kemudian SA dapati masa boleh diubah.

Lalu terus memberontak mahukan telefon.

"Seminit je," katanya, comel.

Comel tak comel, selagi tak puas memang dia tak bagi balik.

Justeru sebelum lebih parah tindakan lebih tegas perlu diambil.

Telefon memang tak boleh sama sekali.

Memang meraung-raung bila SA tak dapat telefon.

Mujur lah ayahnya sama menyokong pengharaman telefon.

Lalu aku download beberapa video yang gemar ditontonnya dan pasangkan di TV.

Mahu atau tidak, hanya tonton TV.

Manakala penggunaan telefon oleh aku sendiri, semuanya secara sembunyi-sembunyi.

Kalau dulu, setiapkali aku keluar seketika ke pasaraya (SA dan ayahnya menunggu di dalam kereta), telefon aku tinggalkan, tapi sekarang tak lagi.

Menangislah anak, asal takde sesalan di masa akan datang.

Walaupun implikasi dari menonton TV menyebabkan dia asyik nak tonton TV. Sampaikan ayahnya kena merajuk dulu baru dapat tonton rancangan lain.

Tapi sekurangnya sudah kurang mengamuk. Dan pandai bermain dengan teddy bear.

Kadang kami biarkan saja SA sepah-sepahkan rumah, bermain dengan imaginasinya.

Memasak, hancurkan biskut, masukkan dalam mangkuk, sudukan ke dalam mangkuk lebih kecil, suapkan teddy bear, baby bear, dan happy bear.

Amuknya sudah makin kurang, walau sesekali dia masih meminta telefon.

Dan....

"Nanti ibu beli basikal deh." 😑😑😑😑

Dah sejak bila ibu kau janji nak beli basikal pulak....



P/S: Kerana kau anak.