Ahad, 16 Julai 2023

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit (Bahagian 2)

Hari kedua, hujan lebat sejak 6:30 pagi.

Sambil menjinjit satu set persalinan lebih termasuk kasut, aku sarung sahaja baju hujan. 

Baru 10km perjalanan, berhenti seketika di bawah jambatan bersama penunggang-penunggang lain. Nun di depan, hujan memutih. Lima minit kemudian aku nekad sahaja meredah hujan apalagi melihatkan air sudah mula bertakung.

Kali ini telefon terpaksa disimpan terus, maka menungganglah aku hanya dengan ingatan dan panduan signboard. Alhamdulillah selamat tiba kira-kira satu jam dua puluh minit kemudian. Kaki seluar basah sedikit namun kasut, lencun pastinya. Di leher juga sedikit basah akibat span helmet yang meresap air. Namun kelebihan pula mengenakan selendang kerana nanti ia boleh dililit semula.

Menyangkakan semuanya sudah selesai, aku menapak masuk. Terlupa sebahagian tapak kasut sudah haus - bertemu dengan lantai yang licin pula. Berdebuk aku jatuh betul-betul di pintu masuk. Aduh...

Bengkel hari kedua tamat dengan aman, aku pula terlebih yakin balik tanpa membuka maps. Selamat sampai alhamdulillah.

Hari ketiga sudah yang terakhir, maka sedikit teruja. Bakal tamat perjalanan 100km sehari nampaknya.

Tapi tidak. Pagi ketiga juga hujan turun mencurah-curah. Lalu sekali lagi terpaksalah mengenakan baju hujan.

Yang paling sukar untuk aku apabila hujan bukanlah berkenaan baju hujan, atau helmet, tetapi visor. Memandangkan aku bercermin mata dengan rabun yang lebih 600, maka terpaksa aku korbankan penggunaan visor. Jika gerimis tak mengapa, tapi apabila hujan yang titisnya tirus dan tajam, aduh pedihnya muka.

Hari ketiga ini boleh pula aku tersilap masuk ke Presint 11. Beberapa kilometer juga terlajak jauhnya barulah tiba di Kompleks E2, Presint 1, Putrajaya. 

Hari terakhir ini adanya pembentangan kumpulan. Selesai semuanya kami dibenarkan pulang. Awal dari hari-hari sebelumnya. 

Dugaan lagi, kali ini perjalanan pulang juga hujan. Namun keterujaan bengkel sudah tamat, sengaja aku menempuh jalan berbeza. Nah lajaknya entah berapa jauh. Perjalanan yang selalunya tujuh puluh minit, kali ini mencecah sejam setengah. 

Berakhirlah perjalanan tiga ratus enam puluh kilometer dengan merempit. Andai tertanya mengapa tidak aku memandu, sesungguhnya agak sukar untuk soalan itu aku jawab.

Aku punya lesen D, namun kali terakhir aku memandu adalah pada 2016 mungkin. Mungkin lebih mudah jika aku katakan aku tidak mahir memandu. Enggan keluar dari zon selesa menunggang.

Jawapan lain - kami hanya punya satu kereta dan satu motosikal. Maka ayah Aisyah memandu manakala aku menunggang. Jika aku takut dan tidak yakin memandu, maka hal yang sama buat ayah Aisyah - tidak yakin menunggang.

Basah? Ia adalah pakej kepada menunggang, sepertimana kesesakan itu pakej apabila memandu.

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit

Ada kursus yang perlu dihadiri selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lepas bertempat di Putrajaya dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang.

Mulanya aku fikir mahu tumpang sahaja kawan-kawan yang lain memandangkan agak sukar untuk aku menunggang dari Pelabuhan Klang ke Putrajaya. Dari aplikasi map, Pelabuhan Klang ke Putrajaya jaraknya kira-kira 50km. Bermaksud perjalanan pergi dan balik pastinya lebih 100km. Sudah terlalu lama aku tidak menunggang sejauh itu. Malah kali terakhir menunggang ke Kepong sejauh 54km pun didorong oleh adrenalin. Itu pun empat tahun yang lepas.

Namun hasrat itu terkubur apabila mendapati hanya aku dan seorang lagi pegawai yang perlu menghadiri kursus tersebut.

Dari pegawai tersebut aku dapati nama aku adalah calon ketiga, apabila calon pertama bakal menghadapi audit manakala calon kedua pula menolak sambil mencadangkan nama aku. Alasannya sudah masanya pegawai memilih nama baru untuk kursus sebegitu - sampai bila segala-galanya mahu diserahkan kepada orang lama, katanya.

Maka begitulah nama aku tiba-tiba tersenarai mewakili Selangor untuk Bengkel Penyediaan Modul Makanan Berkhasiat (khusus kanak-kanak empat hingga enam tahun). Jujurnya aku bukan yang terbaik sebagai wakil kerana dada masih kosong, hanya semangat yang berkobar-kobar. Terpaksalah buat-buat menganggap aku sedang memecahkan ruyung demi mendapatkan sagunya.

Bersama susah ada senang, bukan. Begitulah buat-buat reda.


---

Hari pertama kursus, aku hantar Aisyah seperti biasa ke sekolah agama, sedikit awal dari biasa. Kemudian berpandukan map di telefon yang aku letakkan dalam bakul motosikal, aku nekad sahaja menghala ke Putrajaya. Alhamdulillah tiba dengan selamat. Oh ya, tersilap masuk simpang sebanyak dua kali. Mujurlah tak jauh untuk u-turn semula. Amat hebat pula kalau sekali pergi dah tiba dengan sempurna, bukan.

Aisyah aku transitkan di kelas, dengan bantuan guru kelas yang sangat memahami, serta transport Aisyah yang sangat baik juga. Aisyah selamat ke sekolah petang seperti biasa.

Di kala menyangka semuanya aman hingga ke petang, gerimis menyapa tiba-tiba. Kurang sejam bengkel tamat, terima panggilan dari guru kelas Aisyah. Aisyah sakit perut, dua kali datang mengadu. Kali kedua datang mengadu sambil menangis.

Selaku ibu beranak satu, rasa panik yang datang agak berlebihan. Apatah lagi Aisyah bukan sejenis yang mudah menangis dek rasa sakit. 

Mulanya merancang mohon transport ambil Aisyah dan minta Aisyah ke rumah jiran, tapi kata jiran, lif rosak. Membayangkan kanak-kanak lapan tahun yang sedang sakit memanjat anak tangga ke tingkat lapan terasa ngeri. Ayah Aisyah pula sedang dalam perjalanan dari Melaka. 

Pilihan terakhir aku mohon balik awal dari bengkel. Alhamdulillah dibenarkan.

Muncul pula masalah kedua - aku tak tahu jalan balik ke Pelabuhan Klang. Berpandukan aplikasi map, aku berpusing agak jauh. Dalam masa lima belas minit, jarak di aplikasi map langsung tidak berkurang. Langit di atas pula amat gelap; kelabu yang hampir hitam warnanya. Membayangkan apabila kandungannya tumpah aku pasti lencun dalam masa sepuluh saat - dibasahi titik-titik besar sebesar ibu jari. Ah hiperbola!

Pasrah, aku simpan telefon ke dalam poket beg. Berpandukan rasa hati sahaja menunggang pulang. Alhamdulillah tidka pula asyik tersilap seperti sebelumnya. Barangkali sepenuh harapan sudah bergantung kepada Tuhan. Sempat juga basah sedikit namun tiba di Shah Alam langit semakin cerah. Masuk lebuhraya KESAS aku sudah boleh menghela nafas lega. 

Tiba di sekolah Aisyah mencecah 5:40 petang - hanya setengah jam sebelum sesi persekolahan tamat. Setelah ke klinik malamnya, Aisyah diberikan cuti sakit selama dua hari. Terpaksa mohon bantuan jiran untuk jagakan Aisyah dalam tempoh itu.

Jujurnya sejak ketiadaan jiran yang menjaga Aisyah lebih setahun yang lepas, Aisyah tak pernah aku tinggalkan kepada sesiapa. Lantas memohon pertolongan sebegini amat kekok sebenarnya. Tapi mujurlah jiran tersebut sudi jagakan Aisyah.

Hari kedua kursus, hujan mencurah lebat sejak 6:30 pagi tanpa ada tanda-tanda bakal berhenti....