Sabtu, 7 Jun 2025

Novel Review : Serunai Maut 1 dan 2

Serunai Maut 1 dan 2
Tulisan Leena Syiha
Terbitan Mangosteen 
Cetakan Pertama Mei 2025 

Ini adalah pandangan peribadi dari sudut seorang pembaca, sekian. Dan, ia panjang. 


Sedikit ringkasan, mungkin ada sedikit spoiler.


Serunai Maut (SM) adalah tentang kepercayaan kepada dewa Serunai Maut - yang mana lampu tidak boleh dipasang pada waktu malam, hanya sebatang lilin dibenarkan. Jika diingkari, Serunai Maut akan mengalunkan bunyinya dan semua yang mendengar akan mati. Mayat mereka pula seolah mati terbakar, dan mereput dengan lebih pantas - selepas dua hari mayat itu langsung menjadi debu, jika tidak dipedulikan, ditiup angin dan hilang tanpa jejak.

Ini kisah 40 tahun lalu - peristiwa yang berlaku di Pulau Jerjak. Namun kerana kedegilan dua lelaki yang mahu membuktikan ia hanya mitos, peristiwa itu berulang - semua penumpang kapal, kali ini lebih 1200 meninggal dunia, manakala seorang lagi tidak ditemui - Linda. Dunia menjadi kecoh, kerana hampir kesemua 1200 tersebut adalah orang-orang kaya yang menaiki kapal persiaran mewah.

Team Henry yang membuat siasatan bagaimanapun menemui jalan buntu apabila semua penduduk mengaitkan hal tersebut dengan kepercayaan kepada Serunai Maut. Henry terpaksa menjejak Falah - salah seorang anak buahnya, merangkap adik iparnya, yang lebih cekap, namun sudah tiga tahun menghilangkan diri setelah dihalau mamanya yang terlepas cakap semasa mabuk.

Falah yang sedang memantapkan ilmu agama di Indonesia, berjaya ditemui dan bersetuju menolong Henry. 

Namun kehadiran Falah juga tidak banyak membantu sehingga menyebabkan pihak atasan membubarkan team Henry dan kes tersebut diambil alih oleh team lain. Henry, Iman (isteri Henry, kakak kepada Falah, salah seorang anggota penyiasat di bawah Henry), serta Falah memilih kekal di Pulau Jerjak buat seketika.

Falah lebih berminat menyampaikan dakwah kepada penduduk Pulau Jerjak yang nyata menyembah Dewa Serunai Maut, manakala Henry lebih kepada penyiasatannya.

Kedatangan Falah ke kampung tersebut tidak disukai penduduk, malah ketiga-tiga mereka juga diganggu entiti lain yang tidak suka dengan niat Falah. Dalam masa yang sama, Iman tetap dengan egonya enggan berdamai dengan Falah, manakala Falah pula hanya melayan kakaknya seperti biasa.

Apabila muncul gangguan demi gangguan, Henry dan Iman mulai solat. Iman sudah mulai lembut hati melihatkan adiknya tidak lagi rigid seperti tiga tahun dulu, di peringkat awal perubahan Falah di mana Falah sering menyuruhnya solat.

Kemuncaknya apabila anak kecil bernama Nuna, cucu penghulu, yang rapat dengan ketiga mereka, ditemui mati terbakar - mirip mayat di kapal mewah. Ketiga mereka terpaksa meninggalkan kampung tersebut, namun kali ini dengan bantuan Tok Penghulu, yang rupanya adalah Doktor Razak - satu-satunya terselamat dalam kematian 40 tahun lalu.

Dr Razak dipaksa menjadi hamba kepada Nona - peniup Serunai Maut, seterusnya menyampaikan mitos tersebut. Sebagai balasan, kampung tersebut aman damai dan mewah dengan pelbagai hasil.

SM 2 bermula dengan perjalanan ketiga mereka mencari Nona, berpandukan lakaran peta dari Dr Razak - yang sudah pun kembali kepada Islam.

Perjalanan yang dijangka memakan masa empat hari itu dimulai dengan pertemuan mereka dengan seorang gadis yang mirip Linda, tetapi mengakui bahawa dia adalah Nona - tinggal bersama neneknya di dalam hutan.

Dari awal perjalanan ini berhadapan dengan pelbagai gangguan yang pelbagai - kematian tiba-tiba nenek Nona, seterusnya perubahan Falah. Plot berkembang pantas dari sini.

SM 2 lebih padat dengan aksi dan pertempuran, meski kematian Jibt - agak mudah.


Pandangan peribadi.

Kedua-dua SM 1 dan 2 menggunakan teknik plot yang hampir sama - iaitu agak perlahan pada peringkat awal. Tidaklah sehingga menimbulkan kebosanan, masih mampu mengekalkan bacaan.

Untuk soalan - wajarkah sehingga dua jilid? 

Jawapan pendek - ya, wajar. SM boleh dikatakan tidak lewah, hanya sedikit pada bab-bab terakhir. Mungkin penulis ingin memberi penutup yang wajar buat kesemua watak - terutamanya Falah dan Linda. Namun andai kata tidak diberi perincian yang sedemikian rupa, secara peribadinya ia lebih memberi impak kepada pembaca.

Cuma, dalam tulisan sepanjang hampir 900 ms ini, rasanya masih ada beberapa yang tidak dijelaskan.

1. Dalam SM 1, Falah menyebut beberapa kali bahawa dia gemar berpoya-poya sebelum dia berubah menjadi Falah yang sekarang. Tapi tidak dijelaskan berpoya-poya itu di tahap yang mana. Malah dia sendiri terkejut apabila melihat mamanya mabuk. Justeru, berpoya-poya di sini sehingga peringkat apa sebenarnya?

2. Bagaimana tiba-tiba Falah berubah? Dalam SM 2, semasa letusan emosi Falah ada menyebut sejak kematian abang dan ayahnya. Tapi hanya sebaris itu - tiada sebarang penjelasan lain.

3. Falah - masihkah seorang tentera? Memandangkan tidak semua pembaca arif tentang tentera dan ketenteraan, mengharapkan agar ada sedikit ulasan realistik tentang bagaimana Falah boleh menghilang selama tiga tahun, muncul semula membantu siasatan, dan hilang kembali bertahun-tahun. 

4. Timeline pada beberapa bab terakhir dan perubahan/perkembangan Linda.

Naratif mengatakan sudah dua tahun Falah tak hubungi mereka, manakala Iman mengatakan dua tahun lebih. Tapi Linda, dari 22 tahun ke 25 tahun. Hal kecil, tapi hal-hal kecil sebegini adakala menganggu pace bacaan sedikit.

Perubahan Linda. Dalam 2-3 tahun, punya syarikat sendiri, malah dijemput ke majlis-majlis ilmu untuk menyampaikan nasihat.
Atas kapasiti apa? Jika atas dasar satu-satunya mangsa terselamat dalam kematian lebih 1200 penumpang kapal - agak tidak logik kerana kesemua Henry, Iman, dan Falah bersepakat akan merahsiakan hal sebenar dari umum.
Jika Linda sambung pengajian sekalipun, 3 tahun hanya cukup untuk tamatkan pelajaran peringkat diploma/ijazah. 
Ini, jujurnya mengganggu bacaan.

Secara peribadi, tak ada salahnya kalau Linda sekadar mulai hidup semula. Tetapi Linda seperti dipaksa menjadi lebih hebat supaya tidak janggal jika dipasangkan dengan Falah.

Sebaliknya, aku lebih mengharapkan beberapa bab terakhir digunakan untuk ceritakan lebih terperinci tentang perubahan Falah tiga tahun sebelum dia menghilang. 

Tidak semua pembeli SM datang dari sejuta pembaca Wattpad. Justeru tidak semua mengenali Falah, Iman, atau Henry. Dan, SM ni RM45 sebuah. Jadi dengan RM90 yang pembeli laburkan, aku kira win-win jika pembaca tak perlu merujuk Wattpad hanya untuk memahami apa berlaku antara Falah dan keluarganya sebelum berlakunya perubahan Falah.

Kesimpulan - Serunai Maut sekali imbas seperti gabungan Sunan dan Anding Ayangan. Tidak berniat menyamakan, tetapi itu yang dirasakan. Kata Gen Z, their vibe is similar. Semoga tak salah grammar.



P/S: Mangosteen kecik di penjuru kanan atas muka depan, cantik betul!


#serunaimaut #serunaimaut2 #reviewserunaimaut 

Jumaat, 30 Mei 2025

Review : Bidan

 Bidan by Nil, FIXI.


Bidan tentang Syifa', jururawat masyarakat (JM) muda yang ditempatkan di sebuah klinik desa yang berhantu. Datang dari keluarga yang mementingkan ajaran agama, serta pengalaman bertugas di hospital sebelum ini, watak ini kuat dari awal. Apatah lagi dengan pekerjaan sebagai seorang jururawat yang staminanya bukan calang-calang.

Klinik Desa yang menjadi tempat kerja baru Syifa' memang keras, beberapa jururawat sebelum ini semuanya meninggalkan tempat tersebut kerana tak tahan dengan gangguan. Syifa' difahamkan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan kerana tapak klinik tersebut merupakan gerbang antara dua dunia.

Suatu hari semasa dia mengejar ular putih yang menganggu kucingnya Etok, Syifa' terbabas ke dunia bunian, seterusnya diperdaya Nihil - puaka berwajah wanita bermata lapan dengan badan burung hantu - sehingga kali ini, Syifa' tercampak lebih jauh ke 1928.

Sungguhpun semuanya berlaku pantas, Syifa' juga cepat beradaptasi dengan keadaan. Dia mulai rapat dengan Cemani - gadis cekal yang tangkas berpencak silat, dan saudara Cemani, Khaidir - yang perlahan-lahan jatuh hati kepadanya. Syifa' membantu orang kampung menguruskan kelahiran bayi dengan kemahiran yang ada padanya meski dia langsung tidak tahu tentang ilmu mempertahankan diri.

1928, mereka bukan sahaja berhadapan dengan pengaruh British yang mulai meluas - menyukarkan pergerakan mereka, namun cabaran yang lebih besar adalah serangan puaka pelbagai - gerombolan penanggal yang mahukan bayi kecil baru lahir, Sang Kluang yang merupakan pemangsa kepada penanggal, dan parakang - si shape shifter. Serta Sukma, mastermind kepada segala kekecohan yang melanda kampung itu.

Syifa' berjuang di sisi Cemani dan Khaidir dengan keberanian yang luar biasa, hanya berbekalkan ilmu dan keyakinan, sehingga nyawanya sendiri menjadi taruhan.

Keadaan Syifa' yang kritikal memaksa Cemani dan Khaidir membuat keputusan sukar - kembalikan gadis itu ke zamannya.



----


Selepas sekian lama tak membaca FIXI, sinopsisnya menarik meski covernya tidak. Ya FIXI, mungkin dah masanya step up your game sikit berkenaan cover ni, terbitan-terbitan lain dah mula cantik-cantik betul covernya. Awak, bila lagi?

Novel ini antara terbitan FIXI yang jarang diperkata. Apapun, ini adalah terbitan kelima.

Bab pertama amat perlahan, mungkin kerana penulis benar-benar memperincikan babak di dalam sebuah klinik, dengan nama-nama yang agak mengelirukan ejaan - double y, double i.

Namun bab kedua, pacingnya sudah mula menaik. Meski tidak lari dari perincian tugas jururawat, tapi kali ni sudah mulai menarik - umpama gulai yang sudah mula pecah minyak. 

Menarik tentang Bidan adalah, meski berkonsep kembali ke masa silam, watak Syifa' kekal watak manusia biasa yang tidak tahu semuanya. Syifa' terpinga-pinga tentang sejarah Terengganu pada 1928, meski dia maklum penguasaan British yang semakin meluas - itu pun, secara umum sahaja.

Humor yang cuba diterapkan secara spontan juga, banyak yang menjadi. Perincian suasana kalut semasa serangan penanggal, cantik dan kemas. Terbayang-bayang Syifa' berlari pantas dengan mengendong Aishah.

Malah babak Syifa' kepiluan mengenangkan betapa mustahilnya dia untuk kembali ke zamannya, penulis lakarkan dengan baik, atau sangat baik, secara peribadinya. Tidak lewah, tapi terasa.

Penghujungnya berakhir dengan pantas, tetapi tidak tergesa-gesa. Pedih, tapi berpijak di bumi yang nyata. 

Cuma aku perasan ada sedikit yang boleh diberi penambahbaikan, bukan typo, sebaliknya pertindihan ayat yang bertentangan.

- Syifa' mengerut kening.
-Syifa' tergamam sebentar.

Pilih satu je boleh tak Puan Nil, awak nak tergamamkan dia ke, nak kerutkan kening dia?

Dahi saya yang berkedut baca ni tau.



#reviewnovel
#bidanfixi


30 Mei 2025 - entry pertama tahun ini, dan review pertama selepas entahlah berapa tahun.



Isnin, 23 Disember 2024

The Journey of A People Pleaser - 2

Langkah yang paling sukar adalah langkah pertama. Walaupun aku dah pandai menolak, pandai mengatakan tidak, tapi kesannya masih sangat besar.

Terpikir-fikir, adakah aku sudah menyusahkan orang lain? Telah meletakkan orang lain dalam situasi yang sukar dan susah? Dan pemikiran ini tidak hilang dalam masa beberapa minit, ia berlarutan berhari-hari. Dalam masa beberapa hari ini aku akan tenggelam dalam gelodak emosi yang tidak sedikit, ada waktu membawa kepada tangisan yang memeritkan.

Ternyata, yang aku kira aku sudah mula meninggalkan tabiat people pleaser, rupanya baru selangkah cuma. Dan dengan segera aku tertarik semula ke kancah yang sama. Lebih pedih, tanpa aku sedar sehinggalah aku sudah terjerumus semula. 

Jadilah aku terperangkap dalam loop yang sama - selangkah keluar, jatuh semula ke juram. Bangkit lagi, jatuh lagi. Dan lagi, lagi dan lagi.


---


Penat. 

Tapi bak kata seseorang, ini perjuangan yang pasti memakan masa yang panjang. 

Maka, aku enggan berhenti. Mungkin akan adanya jeda, tapi selaku manusia, ia biasa. 

Mungkin akan terguris dek onak dan duri, maka berehat sebentar juga biasa.

Mungkin akan kecewa dan terluka, berhenti seketika melempias duka, juga biasa.


Yang penting aku takkan berhenti di sini. Meski perjuangan ini hanya sendiri.



Khamis, 12 September 2024

The Journey of A People Pleaser - 1

People pleaser (PP) - yang mencicip bahagia setelah mendapat pengesahan dari yang lain. Yang lain itu merangkumi pelbagai aspek, individu kebiasaannya - sama ada individu terdekat ataupun sekadar seseorang yang baru dikenali.

Asas hidup seorang people pleaser ialah memastikan orang lain dapat mencapai impian dan cita-cita mereka. Kemahuan sendiri sentiasa berada di kedudukan terakhir, kerana keutamaan mereka adalah memenuhi kehendak yang lain.

People pleaser tidak akan menolak sebarang permintaan bantuan oleh yang lain. Perkataan 'tidak boleh' atau 'tidak' tidak ada dalam kamus hidup seorang people pleaser.

Aku adalah salah seorang people pleaser itu, yang sedang bergelut keluar - People Pleaser Fighter.


--------------------------------------------------------------------------------------------


Mungkin aku memang dilahirkan sebagai seorang people pleaser. 

Sejak kecil aku sentiasa mahu membantu yang lain. Dan gembira apabila bantuan aku akhirnya membantu merealisasikan cita-cita dan impian yang lain. Aku dapati aku juga tersenyum melihat senyuman mereka. Justeru aku kira, mungkin ini maksudnya berbahagia atas kebahagiaan orang lain.

Meski selepas itu selalunya aku akan dicampak ke tepi, atau acapkali akan dianggap tidak wujud. Sehingga suatu ketika aku kategorikan diri sebagai kawan sedih, bukan kawan gembira. Kebetulan pula nama aku sendiri bermaksud Cahaya Penambahan - yang selalu aku definisikan sebagai 'tanpa aku dunia bergerak seperti biasa tapi adanya aku dunia akan lebih berwarna-warni'.

Perasan, ya begitulah.

Maka jadilah aku 'si kawan sedih' - dicari saat mahu meluahkan, atau saat memerlukan bantuan dan pertolongan, dan sebaik sahaja segalanya dilepaskan, atau matlamat sudah tercapai, aku akan dilepaskan dan terbanglah aku tanpa ibarat layang terputus talinya.

Sedihnya, aku pernah berada di fasa di mana aku menganggap gelaran itu sebagai sesuatu yang normal. 

Didekati hanya kerana punyai sesuatu yang mereka mahukan, dan mereka melangkah pergi tanpa pamit setelah segalanya diperolehi. Menjadi hampas kelapa yang dibuang selepas santannya diperah habis. Adakalanya dikutip semula hanya untuk diperah sedapat yang boleh sebelum dicampak sekali lagi.

Kitaran ini berulang, lagi dan lagi. Sehingga akhirnya umur pun sudah hampir mencecah empat dekad.




Selasa, 18 Jun 2024

Penat

Penat, sungguh terasa tenaga dan semangat disedut dek sebuah lohong hitam. 

Namun beginilah hakikat. Menongkah arus tidak pernah mudah. Ia menuntut tenaga yang bukan sedikit, malah memerlukan pula pengorbanan yang cukup besar.

Walaupun di akhirnya nanti tetaplah sang lembu yang sirna namanya dek sang sapi yang dijulang sebagai perwira. 

Menyakitkan, tetapi perlu juga berdamai dengan rasa itu. Kerana di penghujungnya bukan nama yang dicari, sebaliknya sebatang sungai yang airnya sejuk dan tidak memabukkan. 

Khamis, 28 Mac 2024

Penghujung Mac 2024

Selepas berkobar-kobar membuat entry di hari pertama tahun baru, kesibukan (dan ketakutan) terus membelenggu hingga sekali lagi amat sukar singgah di sini. 

Singgah itu sentiasa, tapi untuk meninggalkan jejak, ketakutan dan kerisauan yang sama kembali membungkus diri.

Januari aku dipenuhi program Konvo Daerah yang melibatkan 30 kelas semuanya. Sebuah program berskala besar yang kali pertama aku depani. Diikuti pula dengan Team Building yang melibatkan semua guru dan penolong guru. 

Tamat Team Building, sambung persekolahan seminggu lagi - yang juga amat sibuk. Terus disambung dengan cuti sekolah yang mana aku kembali ke kampung.

Meskipun kedengaran melegakan tapi jujurnya tidak. Kembali ke sini, aku terus ke kelas membuat pelbagai persiapan - dari keadaan kelas hinggalah kemaskini dokumen tujuh tahun ke belakang. Kelas aku akan kenaziran tahun ini, justeru persiapan yang amat ampuh perlu dibuat.

Baki cuti tiga minggu semuanya hanya di kelas - hinggalah aku tersedar aku bukan lagi si gadis 20-an dengan tenaga tanpa had.

Tekanan akhirnya menyebabkan eczema di kaki, kembali. Berdengkot-dengkot berjalan hingga akhirnya ia membengkak. Puasa sudahpun bermula waktu itu, tapi akhirnya terpaksa juga ke klinik dan mengambil antibiotik. Mujurlah hanya dua kali sehari, maka berjaya aku pertahankan puasa.

Kaki mulai elok, tiba-tiba batuk pula datang. Sehingga entry ini ditulis pada 17 Ramadan, aku masih sedang batuk. Ada malam-malam yang mana hanya mampu tidur menjelang empat pagi kerana batuk yang henti. Ubat sudah masuk botol ketiga, cuma itulah, kesihatan itu masih belum kembali.

Maka begitulah sepanjang tiga bulan ini.

Jika tiada perubahan kelas aku akan dinazir pertengahan Jun nanti, seminggu sebelum Raya Haji. Sehingga detik itu, maka berkejarlah aku dengan waktu.


Isnin, 1 Januari 2024

Lembaran 2024

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2024. 

Agak jarang aku terus membuat entry seawal hari pertama tahun baru.


Cuti tahun baru memandangkan masih di Selangor. Akan datang, belum pasti sama ada masih berusia panjang dan masih di bumi yang menyambut tahun baru sebagai cuti umum.

Lebih enam tahun dulu, kami sekeluarga ke Selangor dengan satu matlamat - menyelesaikan hutang dan komitmen. Meski sudah pun berada di bumi Kelantan waktu itu, tapi bahagia yang kami cari tidak kunjung tiba. Mungkin juga kerana cara kami mencari bahagia tidak kena dengan caranya.

Tiba di Selangor, tak sangka pula bertimpa-timpa juga dugaan yang datang. Berpindah-randah dalam masa hanya dua tahun, terperdaya oleh pemilik-pemilik rumah, deposit yang tidak dipulangkan, dikenakan caj yang bermacam, sehingga akhirnya tiba di Pelabuhan Klang. Baru beberapa bulan di sini, PKP pula muncul. 

Tapi di sini akhirnya aku mendapat pekerjaan - yang sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran. Malah, impian sekian lama terlaksana di sini. Dan, dalam PKP, rupanya Allah lorongkan rezeki untuk berjaya selesaikan hutang beberapa tahun lebih awal. Serta, diberi peluang pula untuk mencicip pelbagai rezeki lain.

Jujurnya ia adalah proses mendewasakan seorang aku.


Kami masih kekal di sini meski hutang piutang sudah selesai. Rancangan untuk pulang ke kampung di sisi orang tua masih ada. Masih segar walaupun ada waktu impian yang  satu itu nampak samar dan kabur. Pekerjaan aku selaku seorang penolong guru tabika nampaknya antara yang membejat keinginan itu. 

Sama ada aku melepaskan peluang yang cukup sukar aku capai ini, atau aku mohon sahaja pertukaran. Cuma, seperti yang umum maklum, menembus masuk ke Kelantan adalah cukup sukar. Tapi aku selalu yakin andai Allah berkehendak, urusan itu terlalu mudah bagi-Nya. 

Perjalanan hidup aku sehingga hari ini - adalah bukti paling kukuh. Allah sentiasa memberikan yang terbaik, tepat pada masanya. 


Maka beginilah aku membuka lembaran tahun baru, dengan azam menjadi yang lebih baik. Insya-Allah.


Sabtu, 2 Disember 2023

Tolak

Aku perasan, masalah utama aku bukanlah sepenuhnya sukar mengatakan tidak, atau menolak sebarang permintaan. Sebaliknya, ia jadi sukar untuk menolak apabila permintaan tu menarik minat aku.

Contohnya, kakak yang pernah minta aku semakkan akaun dia, walaupun aku dah tolak, tapi dia tanya lagi beberapa hari ni.

Aku sedar yang aku tertarik nak selesaikan masalah akaun dia yang tak tally tu. Aku teringin nak cari kat mana silapnya. 

Lalu, aku cuma terdiam mendengar dia bercerita. 

Nyaris menjawab ya, tapi sejak akhir-akhir ni aku pandai sikit mengunci mulut dan menangguhkan percakapan. Dapatlah elakkan badan binasa dek mulut.

Sebelum tu pula, lepas hantar penilaian yang terakhir beberapa hari lepas (yang aku dah mohon masa tambahan sebanyak dua hari), aku dah berniat akan mulakan balik penilaian selepas tamat majlis Selasa nanti.

Tapi tiba-tiba editor bertanya adakah aku boleh buat penilaian segera. 'Segera' selalunya tiga ke empat hari. 

Aku agak terkejut masih ada sebahagian pertimbangan yang mahu menjawab ya. Tentu manuskrip yang menarik, kan. Tak sabar berkenalan dengan watak. 

Mujurlah kewarasan masih mendominasi, lalu aku maklumkan aku agak sibuk untuk menerima tugasan tersebut. Dan editor terbuka sahaja menerima jawapan itu. 


----

Nampaknya aku boleh berjaya mengatakan tidak, cuma masih perlu melatih kewarasan supaya lebih menguasai keadaan.

Begitulah.

Oh ya, selepas lima bekas tahun, beberapa hari lepas aku kemalangan. Alhamdulillah aku ok. Motor pun ok. Aku pun tak jatuh, masih tegak berdiri. Cuma ya menggigil sedikit. 


Rabu, 8 November 2023

Takut Apa

Sebenarnya apa yang aku takutkan?

Lebih sepuluh kali aku menaip di laman ini, pelbagai tajuk, pelbagai gaya, pelbagai cara. Tapi semuanya berkesudahan dengan control + A diikuti butang delete/ clear.

Ini laman aku.

Selagi aku tidak menyalahi agama dan undang-undang, apalah yang aku risaukan?

Jadi untuk kali ini, sementara keyakinan ini bersisa...

Hai dunia.

Aku penolong tabika sepenuh masa, dan penilai manuskrip separuh masa.

Kedua-duanya aku suka.

Yang pertama, aku masih sedang terokai. 

Yang kedua, adalah sebuah impian yang menjadi nyata. Ah tak kiralah ia hanya sebuah pekerjaan yang tidak membanggakan atau apa, ia adalah bukti aku tidak pernah berseloroh dengan cinta terhadap bacaan dan penulisan.

Insya-Allah suatu ketika nanti aku akan mencari kesempatan meningkatkan diri untuk yang kedua ini.

Yang ketiga, oh aku suka kopi. Dan jika teringin menasihatkan aku bahawa kopi dan migrain tidak seiringan, mohon berkenalan lebih lanjut tentang mereka. Mungkin kau pula yang jatuh hati nanti? 

Kuncinya kan, bersederhana.



Adios!

Jumaat, 22 September 2023

Langkah

Sepuluh tahun lepas, aku menikmati masa aman bekerja. Seorang customer service yang menjawab sehingga 150 panggilan setiap hari.

Namun persekitaran kerja yang tidak menekan membuat aku berasakan apalah itu semua. Sela lima enam detik antara panggilan pun sudah cukup untuk aku membelek sehelai dua novel. 

Enam ke tujuh tahun lepas pula adalah tempoh paling bawah yang pernah aku lalui. Tiada siapa mahu mengerti malah rata-rata meletakkan aku terlalu emosi dalam menghadapi cabaran sebuah kehidupan. Lalu hiduplah aku bak jasad tanpa jiwa. Meracun rasa hari demi hari. 

Mendaki itu payah meski menuruni lembah juga tidak mudah. Yang pasti mengorak semula langkah setelah jatuh terperosok itu jelasnya susah.

Namun kematangan yang sedikit itu buat aku lebih tenang menapak. Walau tidak setinggi puncak yang pernah aku tawani suatu masa dulu namun kali ini matlamat aku juga sudah berbeza.

Yang pasti segala pahit ubat dan tusukan duri yang dulunya aku kira amat menyakitkan itu rupanya buat aku jadi mangli.

Cuma rendah diri yang terpasak dalam itu masih sedikit ngilu bila cuba aku tarik keluar. Sesekali bercucuran juga air mata apabila perit pedih dan jerihnya mencuba terasa amat sukar.

Ah, itu bukti aku seorang manusia bukan.

Hari ini, bila aku nekad mendahulukan diri sendiri sebelum yang lain, bila aku cekal mahu meninggalkan kebiasaan mengutamakan kebahagiaan yang lain, hati jadi berbaur. 

Merasakan diri tiada timbang rasa dan kejam. 

Merasakan diri berlagak dengan ilmu sezarah di dada.

Namun, sampai bila pula aku mahu mengorbankan diri demi sebuah ucapan terima kasih dan senyum mesra?

Diperlukan waktu hari kelam, dan diabaikan apabila mentari menyilau pandangan?

Diperah susu hingga ke titisan terakhir, sedang sapi yang dijulang namanya?


---


Mungkin aku memang sedang berada di jalan yang benar.

Aku kira, aku di jalan yang benar, dengan izin Tuhan Semesta Alam.

Sabtu, 19 Ogos 2023

Tamat

Entry sebelum ni melankolik betul.

Tak lama lepas publish entry tersebut, tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.

Selama ni aku sangka aku ditinggalkan kesayangan, enggan lagi bersembang tentang tulisan, buku, dan novel.

Sedang aku sendiri sentiasa berteriak biar aku jalani hidup singkat ini dengan cara tersendiri, ironinya aku yang enggan melepaskan kesayangan aku untuk turut menikmati hidupnya seperti yang dia mahukan.

Mungkin titik pertemuan kami sudah temui jalan penamat. Matlamatnya sudah berubah. Maka melenconglah dia ke arah berbeza. 

Jadi aku juga wajarnya begitu. Wajar gembira kerana akhirnya dia sudah mulai boleh hidup semahunya dia, meski panjang sungguh perjalanannya menempuh onak.



----


Aku juga tidak akan mengalah. Ayuhlah melangkah. Biar lambat asal tetap bermula.

Jumaat, 4 Ogos 2023

Alone

Menulis dan membaca adalah dua hal yang boleh buat aku tenggelam - jauh dari realiti.

Terlibat dalam urusan keduanya, meski sebesar hama cuma, masih tetap membawa nilai besar untuk aku.

Kenyataan yang sedang aku depani hari ini jujurnya amat di luar jangkaan, tidak pernah terfikir aku di sini. 

Namun, kala aku mencicip manisnya angan-angan yang menjadi nyata, rupanya terpaksa aku telan dengan pahitnya menikmatinya sendiri.

Masih ada yang berbahagia bersama, cuma bila sokongan yang paling diharapkan tidak lagi menjadi tulang belakang, ada sedikit rasa sedih yang berputik.

Tidaklah aku terkilan kerana pengalaman sedikit sebanyak mengajar tiada yang kekal. Lalu aku memilih untuk terus ke depan sahaja. 

Setiap hari masa yang tinggal semakin sedikit, biarlah yang sedikit ini aku syukuri seadanya ia.

Ahad, 16 Julai 2023

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit (Bahagian 2)

Hari kedua, hujan lebat sejak 6:30 pagi.

Sambil menjinjit satu set persalinan lebih termasuk kasut, aku sarung sahaja baju hujan. 

Baru 10km perjalanan, berhenti seketika di bawah jambatan bersama penunggang-penunggang lain. Nun di depan, hujan memutih. Lima minit kemudian aku nekad sahaja meredah hujan apalagi melihatkan air sudah mula bertakung.

Kali ini telefon terpaksa disimpan terus, maka menungganglah aku hanya dengan ingatan dan panduan signboard. Alhamdulillah selamat tiba kira-kira satu jam dua puluh minit kemudian. Kaki seluar basah sedikit namun kasut, lencun pastinya. Di leher juga sedikit basah akibat span helmet yang meresap air. Namun kelebihan pula mengenakan selendang kerana nanti ia boleh dililit semula.

Menyangkakan semuanya sudah selesai, aku menapak masuk. Terlupa sebahagian tapak kasut sudah haus - bertemu dengan lantai yang licin pula. Berdebuk aku jatuh betul-betul di pintu masuk. Aduh...

Bengkel hari kedua tamat dengan aman, aku pula terlebih yakin balik tanpa membuka maps. Selamat sampai alhamdulillah.

Hari ketiga sudah yang terakhir, maka sedikit teruja. Bakal tamat perjalanan 100km sehari nampaknya.

Tapi tidak. Pagi ketiga juga hujan turun mencurah-curah. Lalu sekali lagi terpaksalah mengenakan baju hujan.

Yang paling sukar untuk aku apabila hujan bukanlah berkenaan baju hujan, atau helmet, tetapi visor. Memandangkan aku bercermin mata dengan rabun yang lebih 600, maka terpaksa aku korbankan penggunaan visor. Jika gerimis tak mengapa, tapi apabila hujan yang titisnya tirus dan tajam, aduh pedihnya muka.

Hari ketiga ini boleh pula aku tersilap masuk ke Presint 11. Beberapa kilometer juga terlajak jauhnya barulah tiba di Kompleks E2, Presint 1, Putrajaya. 

Hari terakhir ini adanya pembentangan kumpulan. Selesai semuanya kami dibenarkan pulang. Awal dari hari-hari sebelumnya. 

Dugaan lagi, kali ini perjalanan pulang juga hujan. Namun keterujaan bengkel sudah tamat, sengaja aku menempuh jalan berbeza. Nah lajaknya entah berapa jauh. Perjalanan yang selalunya tujuh puluh minit, kali ini mencecah sejam setengah. 

Berakhirlah perjalanan tiga ratus enam puluh kilometer dengan merempit. Andai tertanya mengapa tidak aku memandu, sesungguhnya agak sukar untuk soalan itu aku jawab.

Aku punya lesen D, namun kali terakhir aku memandu adalah pada 2016 mungkin. Mungkin lebih mudah jika aku katakan aku tidak mahir memandu. Enggan keluar dari zon selesa menunggang.

Jawapan lain - kami hanya punya satu kereta dan satu motosikal. Maka ayah Aisyah memandu manakala aku menunggang. Jika aku takut dan tidak yakin memandu, maka hal yang sama buat ayah Aisyah - tidak yakin menunggang.

Basah? Ia adalah pakej kepada menunggang, sepertimana kesesakan itu pakej apabila memandu.