Selasa, 27 Oktober 2020

PKP 2.0 VS Ekonomi

27102020/2122


PKP 2.0 atau Kepentingan Ekonomi.


Dua pilihan yang sama susah sama payah. Ibaratnya ditelan mati mak diluah mati bapak.


PKP 2.0 jika dilaksanakan insya-Allah akan mendatangkan banyak kebaikan dari sudut pengawalan wabak Covid-19 sekarang. Secara teorinya semakin kurang pergerakan semakin rendahlah risiko penyebaran virus ni dan akhirnya kemungkinan jangkitan akan semakin dalam kawalan.

Buruknya ialah mereka yang bergaji hari, bergaji rendah, atau bergaji cukup-cukup makan. Nak menyediakan makanan di atas meja satu cerita, komitmen bulanan satu cerita lain pula. Malah lebih buruk lagi bagi yang menghadapi masalah yang lebih kompleks contohnya berada dalam kekangan penderaan fizikal, mental, atau seksual.

Dalam masa yang sama, wabak ini jika tidak dikawal dengan sebaiknya, tetap juga akan memberi kesan yang sama buruknya - ancaman pada nyawa.


Semacam mahu menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak.

Mungkin pelaksanaan SOP perlu diperketat semula sepertimana PKPP mula diperkenal. Penggunaan pelitup muka dan penjagaan jarak. 

Kita pernah menyambut beberapa perayaan dalam SOP dan berjaya mengharungi tempoh-tempoh tersebut tanpa sebarang kewujudan kluster raya atau seumpamanya.

Justeru meski Covid-19 yang sekarang adalah sepuluh kali ganda lebih kuat dari yang sebelumnya, dengan kerjasama semua (dan izin Tuhan tentunya) aku percaya kita mampu.


Satu kekurangan yang aku lihat ialah kekurangpekaan atau sikap ambil mudah di sesetengah mereka di kawasan hijau. Sebahagian masih merasakan wabak ini bukan satu ancaman. Masih bertenang dengan pelbagai majlis sambutan sana sini dan sebagainya, malah agak menjengkelkan apabila yang melawak tentang mereka yang terlibat dengan PKPB atau PKPD.

Antaranya, Squidward di tingkap rumahnya yang merenung Spongebob dan Patrick berlari-lari girang.

Sungguh, ia tidak kelakar. 

Setiap pagi bangun menghitung hari ini hari keberapa PKPP, setiap petang menunggu kemaskini bacaan kes, setiap hari berdoa semoga wabak ini segera berada dalam kawalan supaya dapat menikmati hari-hari yang sebelum ini.

Dan selaku seorang ambivert yang memerlukan dunia luar untuk kekal waras, terkurung begini sesungguhnya satu seksaan.





2147/27102020

PKPP Klang Day 19

PKPP Selangor, Kuala Lumpur, & Putrajaya Day 14

Khamis, 1 Oktober 2020

Negatif

Setelah tiga bulan berhempas pulas untuk kekal tenang, hari ini aku gagal. Rebah setelah penat bertahan. Akur dengan keadaan.

Selagi mana bergelar mentimun, usahlah berangan melawan sang durian.

Cuma, menyerahkan leher untuk disembelih bukanlah cara aku. Hanya kerana aku terlihat aman, tidaklah bermaksud aku tak mampu menyeringai. Bak sang bedal yang tenang di bawah sungai.

Semampu yang boleh, aku enggan berdolak-dalik. Lalu hari ini aku memilih untuk berterus-terang. Aku maklum akan ada rasa yang terusik, tapi aku selalu percaya bahawa mengungkapkan kebenaran yang pahit itu lebih baik dari menuturkan yang muluk-muluk tetapi dusta semua.

Jika mampu, aku mahu pinjam bahu. Banjir di tubir mata terasa sudah mahu melimpah keluar.

Benteng kelopak terlalu cetek untuk bertahan. Sebu yang tertahan ini juga semakin menyesakkan.

Begini rasa kecewa.

Aku kira aku sudah bijak menurunkan semua jangkaan. Aku kira aku cukup licik untuk hanya bertatih dan tidak berlari supaya langkah tak bertelingkah hingga aku jatuh tersadung. Rupanya hanya dengan menapak juga masih boleh salah percaturan.

Tersungkur juga terpijak lopak. Tertutup dek helaian daun yang nampak cantik bertebaran di bumi.

Jalan di depan seakan jalan mati. Buat masa sekarang aku hanya mahu duduk dan enggan berfikir.

Suatu masa aku akan bangun semula. Mungkin aku akan toleh ke kanan, atau ke kiri, atau mungkin toleh semula ke belakang. Jalan baru akan aku tarah.

Cuma buat masa sekarang, aku enggan. Pahit ini terasa perit.

Aku akan bangun. Tetapi bukan sekarang. Sekarang aku hanya mahu mendongak ke atas dan merenung langit malam. Mendung dan gelita. Tiada bintang mahupun bulan. Hanya sesekali kilat memancar.



---


Sekali lagi, aku membawa maksud namaku.