Selasa, 29 Mac 2022

Aisyah: BFF

Aisyah biasanya ke sekolah saing dengan cucu pengasuh, Apan.

Semalam lepas balik sekolah, diorang singgah di kedai runcit. Terserempak pula dengan dua orang kawan satu tadika Aisyah.

Salah seorangnya menegur, "Weh, kitorang dah darjah satu tau."

Aisyah tak mengalah, "Eh, saya pun dah darjah satu!"

Dalam lif, Apan bertanya, "Aisyah, siapa tadi tu?"

"Kawan baik Aisyah," balas Aisyah bersahaja.

Khamis, 24 Mac 2022

Sekolah Yang Hilang

Isnin lepas hari pertama Aisyah di sekolah rendah.

Walaupun dia banyak bertanya tentang sekolah rendah, dan aku pun banyak bercerita tentang perbezaan sekolah rendah dan tabika - nampaknya ia masih sukar untuk Aisyah bayangkan.

Meski beberapa kali juga dia menyuarakan bahawa dia takut untuk memulakan sekolah baru, namun nampaknya ia tidak terlihat dalam lagaknya. Sebaik tiba di pagar, guru yang menyambut hanya meminta dia berjalan mengikut laluan yang telah ditetapkan.

Menggalas beg baru, langkahnya tampak yakin. Sekali pun dia tidak menoleh ke arah aku. Lalu, aku juga buat-buat yakin melangkah meninggalkan sekolah.

Petangnya, aku bertanya adakah dia ke surau untuk solat Zohor. Kata Aisyah, usai makan dia meminta izin untuk ke surau. Sang guru memberi kebenaran dan memaklumkan lokasi surau di aras bawah.

Malang buat Aisyah yang masih bingung, bukan sahaja tidak ketemu surau, malah terlajak pula ke tingkat dua apabila cuba kembali ke kelas. Melihatkan persekitaran yang asing, dia jadi panik dan hanya pegun berdiri.

Dengan air mata yang hampir gugur, dia menggumam keseorangan, "...Mana sekolah. Sekolah Aisyah hilang..."

Mujurlah ada seorang guru menghampiri dan bertanya mengapa dia di situ. Apabila perasankan tag nama di tudungnya, guru itu maklum Aisyah sudah tersilap aras.

"Kamu darjah satu kat tingkat satu. Ni tingkat dua untuk darjah dua."

Tanpa banyak bicara guru itu menuntun Aisyah ke kelasnya semula.



---


Hari kedua Aisyah tergesa-gesa masuk rumah, lantas meluru ke tandas. Rupanya dia masih tidak tahu di mana letaknya tandas.

Hari ketiga, dia nampak santai sambil menanggalkan tudung. Bila aku tanyakan tidak perlukah dia ke tandas, dengan bangga dia memaklumkan dia sudah ke tandas semasa di sekolah.

Aku jungkit kening, kagum dia menemui tandas hanya dalam tiga hari, tidak seperti aku di usianya. Namun kagum itu bertukar lucu apabila dia mulai tertawa.

"Tapi Aisyah silap masuk tandas lelaki."

......

Sabtu, 19 Mac 2022

Bukan Puteri atau Raja

Sepanjang cuti sekolah, sesekali aku bawa Aisyah bersama ke kelas. 

Sewaktu mengemaskini profil kanak-kanak, aku sengaja membiarkan Aisyah membaca nama-nama murid-murid yang bakal memulakan sesi pada Isnin nanti. Aisyah sering merasakan nama yang lain lebih istimewa dari namanya sendiri. Justeru aku yakin dia pasti ketemu satu dua nama yang akan membuatkan dia cemberut.

Dan benar jangkaan aku, tatkala membaca sepotong nama yang bermula dengan 'Putri', muncungnya segera ke depan. Aku kira hampir boleh diikat dengan gelang getah.

Begitu juga apabila aku bacakan nama-nama kawan sekelasnya tahun satu nanti. Aisyah menarik muka apabila terdengar satu nama yang bermula dari 'Raja'. Kali ini dia membebel mengapa ayahnya tidak punya 'Raja' di pangkal nama.




----



Di usianya, aku juga pernah mempersoalkan hal yang sama - mengapa namaku tidak semenarik nama-nama yang lain. Nama aku sukar untuk punya nama panggilan yang pendek dan ringkas, tidak seperti nama kawan-kawan yang lain.

Namun hari ini keadaan berubah total.

Selain nama pendek rasmi panggilan keluarga, aku juga dipanggil Mazeed, Zeed, Zee, dan terkini - Maz.

Ya, silakan tergelak untuk nama terakhir itu. =P

Isnin, 14 Mac 2022

Novel Melayu

Ini adalah pandangan peribadi sepenuhnya.


Aku penggemar novel Melayu. Justeru lokasi kegemaran aku - klisenya - adalah perpustakaan.

Jika ia hanya pinjaman, aku tidak kisah membaca pelbagai genre. Namun jika ia adalah pembelian, aku sedikit berkira dan tidak kekok berteleku berjam-jam menilik blurb, sinopsis, atau andai tidak salah, aku tega membaca sedikit isi kandungannya.

Dan tentu saja aku ada penulis yang aku gemari - Ramlee Awang Mursyid. Aku mula benar-benar jatuh suka dengan penulisannya sejak kali pertama membaca Tombiruo - pada 2003/2004. Cuma mungkin setelah hampir dua puluh tahun mengikuti karyanya, aku masih gagal menamatkan bacaan Haura, juga masih belum mampu memulakan bacaan Anding Ayangan 3.

Aku kira, pacuan adrenalin yang selalu aku rasai setiap kali memegang naskhahnya sudah mulai perlahan. 



----



Kira-kira sepuluh tahun lepas aku banyak membaca terbitan FIXI. Sebuah penerbitan yang bagi aku cukup berani menentang arus - menggunakan sepatah perkataan sebagai tajuk yang aku anggap sebagai tempelakan sinis kepada sesetengah penerbitan yang sinonim dengan tajuk-tajuk meleret.

Malah FIXI juga tidak gentar mengetengahkan bahasa pasar sebagai perantara - malah sedikit melampaui batas apabila menormalisasikan kata-kata kesat di dalam dialog.

Tidak dinafikan tema-tema yang diketengahkan oleh FIXI sangat segar dan berlainan sama sekali - seolah perkataan klise tidak wujud dalam kamus penerbitan ini.

Pun begitu, aku tetap bertindak mengosongkan almari buku dari koleksi-koleksi FIXI apabila MAW yang berusia kurang sepuluh tahun mulai menunjukkan kencenderungan ke arah bacaan novel. FIXI sama sekali tidak layak untuk anak-anak, maaf, untuk mereka di bawah dua puluh lima tahun. Mujurlah terbitan FIXI kini terdapat cetakan kecil berbunyi 'UNTUK BACAAN MATANG' di kulit bukunya.



---



PKP baru-baru ini aku menjinakkan diri membeli sepuluh buah novel dari sebuah penerbitan yang jarang aku dengar. Pembelian yang cukup menguntungkan dari Shopee - kurang RM70 untuk sepuluh buah novel. Dan semuanya bergenre thriller.

Cuma, aku sedikit kecewa apabila banyak terdapat typo serta ayat yang tanpa suntingan. 

Mungkin aku cerewet, tapi aku selalu merasakan ejaan adalah antara yang penting dalam sebuah naskhah yang telah diterbitkan. Meski sesuatu manuskrip itu pasti melalui tapisan dan pembaikan editor, namun aku selalu percaya bahawa ia adalah lambang kredibiliti seseorang penulis.



----


Dan begitulah.


Rabu, 2 Mac 2022

Bukan Orang Suci

Beginilah.

Aku bukan orang suci yang tidak pernah marah-marah. Aku juga bukan orang yang terlalu baik hingga aku terima segalanya, atau orang yang besar hatinya boleh memaafkan semua hal (tidak mungkin sama sekali).

Cuma aku juga enggan terikat dengan banyak orang dengan sentiasa memikirkan keburukan yang mereka lakukan, atau katakan.

Namun, jika wanita yang melahirkan aku dimaki dan dihamun, aku kira aku layak untuk berasa marah dan sakit hati bukan?



---



Pun begitu buat masa sekarang aku masih terkawal. Mungkin mengenangkan betapa cetek pengalaman hidup si dia yang mengeluarkan kata-kata kesat itu, mungkin juga memikirkan betapa masih terlalu tidak matang usia si penutur.

Tatkala aku benar-benar di luar kawal, kata-kata kasar terluncur juga. Namun sebolehnya cuba aku kawal supaya rasa sesal tidak kunjung tiba sejurus rasa marah itu memudar. 

Justeru, aku sedang bertahan.



---