Khamis, 24 Mac 2022

Sekolah Yang Hilang

Isnin lepas hari pertama Aisyah di sekolah rendah.

Walaupun dia banyak bertanya tentang sekolah rendah, dan aku pun banyak bercerita tentang perbezaan sekolah rendah dan tabika - nampaknya ia masih sukar untuk Aisyah bayangkan.

Meski beberapa kali juga dia menyuarakan bahawa dia takut untuk memulakan sekolah baru, namun nampaknya ia tidak terlihat dalam lagaknya. Sebaik tiba di pagar, guru yang menyambut hanya meminta dia berjalan mengikut laluan yang telah ditetapkan.

Menggalas beg baru, langkahnya tampak yakin. Sekali pun dia tidak menoleh ke arah aku. Lalu, aku juga buat-buat yakin melangkah meninggalkan sekolah.

Petangnya, aku bertanya adakah dia ke surau untuk solat Zohor. Kata Aisyah, usai makan dia meminta izin untuk ke surau. Sang guru memberi kebenaran dan memaklumkan lokasi surau di aras bawah.

Malang buat Aisyah yang masih bingung, bukan sahaja tidak ketemu surau, malah terlajak pula ke tingkat dua apabila cuba kembali ke kelas. Melihatkan persekitaran yang asing, dia jadi panik dan hanya pegun berdiri.

Dengan air mata yang hampir gugur, dia menggumam keseorangan, "...Mana sekolah. Sekolah Aisyah hilang..."

Mujurlah ada seorang guru menghampiri dan bertanya mengapa dia di situ. Apabila perasankan tag nama di tudungnya, guru itu maklum Aisyah sudah tersilap aras.

"Kamu darjah satu kat tingkat satu. Ni tingkat dua untuk darjah dua."

Tanpa banyak bicara guru itu menuntun Aisyah ke kelasnya semula.



---


Hari kedua Aisyah tergesa-gesa masuk rumah, lantas meluru ke tandas. Rupanya dia masih tidak tahu di mana letaknya tandas.

Hari ketiga, dia nampak santai sambil menanggalkan tudung. Bila aku tanyakan tidak perlukah dia ke tandas, dengan bangga dia memaklumkan dia sudah ke tandas semasa di sekolah.

Aku jungkit kening, kagum dia menemui tandas hanya dalam tiga hari, tidak seperti aku di usianya. Namun kagum itu bertukar lucu apabila dia mulai tertawa.

"Tapi Aisyah silap masuk tandas lelaki."

......

Tiada ulasan: