Sabtu, 24 September 2016

"...Maaf mengganggu.."

Kerana mereka juga manusia yang punya keluarga.

***      ***      ***      ***

Bertahun-tahun di talian menerima pelbagai rungutan dan mendengar bermacam masalah, suara jerkah dan caci-maki semacam sesuatu yang biasa.

Justeru bilamana meninggalkan dunia panggilan tersebut, tak dapat tidak aku pun memerlukan mereka untuk selesaikan sesetengah perkara.

Kerana mereka adalah punya capaian yang hampir menyeluruh ke mana-mana jabatan, sedang aku hanya berada di dalam satu cawangan kecil.

Lalu, bila memerlukan mereka, ayat yang mampu membuat mereka selesa untuk membantu, adalah, maaf mengganggu. Bolehkah membantu?

Percayalah, mereka akan lebih gembira. Kerana mereka bakal membantu kita, maka apa salahnya pohon bantuan dengan memuliakan mereka?

Kerana aku juga satu masa dulu, terus terangnya amat sukar menerima ucap terima kasih, walhal sergah sumpah seranah amat mudah menjadi halwa telinga.

Lalu, biarkan aku jadi satu dalam seribu.



P/S: Aku janji, meski rasa marah melonjak-lonjak mahu dilempiaskan dengan lontaran suara, aku janji akan cuba sedaya menahannya. Kerana aku juga seorang yang punya keluarga.

Khamis, 22 September 2016

Dari Simpang ke Jalan Lurus

Dahlah dah lama tak menulis kat sini. Lepas tu bila tengok dalam setahun terakhir ni, post semua jenis-jenis patah semangat. Putus asa. Aura negatif di mana-mana.

Bila pikir-pikir semula, aku salah percaturan dalam banyak hal. Setiap inci perkara aku pandang dari sudut yang salah. Semuanya nampak tak kena, tak lengkap, dan tak sempurna.

Lalu hasilnya, tekanan melambak-lambak.

Dan rasa kecewa. Tak suka. Tak gembira.

Walhal, aku sebenarnya dikelilingi sumber-sumber kebahagian yang banyak. Cukup untuk buat aku tersenyum dan ketawa.

Begitulah. Tak ada kerja, dah ada kerja. Kesorangan, dah berkeluarga. Jauh dulunya, sekarang dan bersama.

Tapi sentiasa meminta-minta yang tak perlu.

Justeru, akhir-akhir ni aku mula berfikir-fikir semula.

Bersederhana itu bukan tuntutan kosong, ia penuh makna hakikatnya.

Perlahan-lahan, aku sedang cuba membetulkan langkah yang selama ini menyimpang.

Baiklah, tak lah menyimpang, cuma mengambil laluan-laluan jauh yang penuh halangan, sedang lebuhraya terbentang selesa.

Lalu, semoga aku istiqomah. Dan percayalah, istiqomah itu terlalu mudah aku tuturkan, untuk laksanakan terlalu payah, namun tak mustahil.


P/S: Umpamanya sehelai selendang, materialnya penting, tapi lebih penting bagaimana ia disarungkan.

Isnin, 19 September 2016

Ilham

Taip.
Padam.
Renung.
Taip.
Padam.

Renung.

Renung.

Langsung tutup apps.

Main game.

Susah jugak nak nukilkan apa yang terbuku bila ilham tu tak kunjung tiba.

Rabu, 7 September 2016

Home Made Snack

Macam biasalah, tajuk sentiasa tak Melayu kan.

Dulu-dulu, rasa jugak betapa rajin lah sesetengah orang buat makanan ringan di rumah. Betullah, memang lebih baik sama ada dari segi bahan-bahan dan kesihatan, tapi dari mana lah kerajinan dan kekuatan itu depa dapat tak tahu lah.

Mungkin sebab masa tu Aisyah takde. Atau jugak keluarga aku jenis yang tak makan bebenda sebegitu.

Atau... kemungkinan besar sebab aku tak pandai masak, dan tak berani masak.

Pada waktu itu lah. Hahahaha.

Sejak punya dapur sendiri sekarang, dan Aisyah dah mula boleh makan macam-macam, dan melihat macamana Aisyah makan biskut lah, apa lah, yang aku buat, baru faham apa tu kepuasan memasak dan ia dihabiskan.

Dari situ lah kekuatan dan kerajinan itu datang.

Dan kadang-kadang berjaya jugak buat sesuatu yang MAW pun makan. Oh ini kejayaan besar.

Sesuatu yang akan dibanggakan di kalangan keluarga bila masak sesuatu dan MAW makan dengan jayanya tanpa membuat memek-memek muka yang menjengkelkan.

Susah makan satu, amat memilih satu, kegemaran pulak pizza dan KFC, dan sekarang mungkin burger kadang-kadang.

Sekian.



P/S: Rindu jugak menulis ni kadang-kadang.