Rabu, 26 Julai 2017

Sweet Escape VS Unexpected Event : 2

............ ................ .................

Malam tu juga aku balik kampung. Walau jarak hanya 185km, tapi jenazah dikebumikan terus malam tu maka tak sempat jugaklah dengan aku.

Tapi takpe, jangan ditangguh lama-lama, kesian jenazah.

Khamis aku di kampung sendiri, malamnya ada tahlil.

(Aku bertanya juga, kenapa perlukan tahlil. Adik beradik atau saudara mara pakat-pakat baca alQuran beberapa juzuk sorang, tak memadai ke? Tapi kata ma, ia adalah wasiat arwah. Seminggu sebelumnya arwah membeli pinggan mangkuk baru, sambil berpesan agar digunakan sewaktu kenduri tahlil. Dan dan jelas meminta agar kenduri itu dijalankan selama tujuh malam.)

Esoknya, pulang sekejap ke Tanah Merah. Ya lah, dah alang-alang balik apa salahnya singgah juga jumpa mentua. Encik beliau pun nak juga ketemu ibubapanya. Itu lah kelebihan kampung tak jauh kan. Haha~

Dan entah bagaimana, tiba-tiba rancangan asal lari lagi.

Tiba-tiba keluarga mentua mahu melawat Kuantan juga.

Nasib baiklah kami memang tak buat sebarang tempahan hotel atau rumah tumpangan, maka takde sebarang masalah timbul.

Cuma perubahan rancangan di mana ke Kuantan terlebih dahulu sebelum ke lokasi lain.

Dan begitu lah.

Bagaimana satu demi satu selingan demi selingan datang.

Matlamat ke Terengganu tetap tercapai, walau apa yang berlaku.




P/S: Seterusnya?

Sweet Escape VS Unexpected Event

Sejak beberapa bulan yang lepas aku tertunggu-tunggu minggu lepas datang.

Untuk menghargai diri sendiri dan encik beliau, kami merancang nak bercuti-cuti Malaysia ke Terengganu.

Memulakan perjalanan seawal 530 pagi, singgah solat subuh, dan meneruskan perjalanan ke mana-mana pantai terdekat di Terengganu.

Daftar masuk ke mana-mana rumah tumpangan (dengan bayaran sehingga RM80 semalaman) yang betul-betul di tepi pantai.

Kemudian teruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, melawat Masjid Kristal, serta Taman Tamadun Islam, ke Pasar Malam Chendering, seterusnya bermalam di Kuala Terengganu.

Esoknya masih meneruskan melawat Kuala Terengganu sebelum ke Kemaman, rumah adik encik beliau, yang tak kurang banyak lokasi menarik.

Bermalam di sana sebelum terus lagi ke Kuantan, melawat juga adik encik beliau.

Dan perlahan-lahan menyusur balik ke Gua Musang.

Begitu lah.

Rancangan awalnya.

Berhari-hari otak diperah untuk sebuah rancangan yang jitu. Dan beberapa rancangan sokongan andainya rancangan asal rebah.

Di mana sarapan di hari pertama.
Pakaian yang mana paling selesa dipakai.
Tudung yang mana cepat dililit dan padan dengan baju.

Dan begitulah.

Kata orang, kita merancang Allah juga merancang. Dan rancangan Dia jugalah yang terbaik.

Rancangan asal kami akan bertolak pada pagi Sabtu, kononnya Jumaat adalah hari berkemas dan lalalalala seketika.

Tetapi hati yang gundah dan gusar menyebabkan aku mahu segalanya dipercepatkan. Dan encik beliau bersetuju saja dengan ulah aku ni. Hahaha.

Tetapi, pada petang Rabu, sedang menunggu-nunggu untuk pulang, aku terima satu panggilan.

Nenek sebelah ayah, satu-satunya nenek yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah beberapa ketika sebelumnya.

Kaku seketika mendengar berita itu.

Arwah memang sudah lama sakit, tetapi berita pemergiannya rupanya masih mengejutkan.



................ ................ .....................

Selasa, 11 Julai 2017

SA : Skrin Kecik

SA dah 2 tahun 4 bulan.

Satu usia di mana perkembangan otak sejajar dengan ulah yang makin berkembang biak juga.

Aku spesies yang sukar berpisah dengan telefon pintar.

Urusan Chatik Collection, dan beberapa urusan lain selalu menjadi punca aku kerap kali memegang telefon sambil melayan SA.

Justeru, meskipun SA selalu hanya menatap telefon sambil aku di sisi, suatu hari terlepas juga.

Hari minggu dalam cuaca yang membahang serta kami yang kepenatan, kedua-dua kami terlelap, lalu SA menghadap telefon tanpa pengawasan.

Hanya sehari itu, tapi dia lekas pandai.

Lalu berdepanlah kami dengan kesan sampingan yang selalu aku baca di mana-mana.

Mudah memberontak.
Cengeng.
Cepat marah.

Dan kesan-kesan lain yang sungguh tak comel.

Malah pandai meminta aku tukarkan skrin penuh kepada skrin kecil, untuk memudahkan dia memilih sendiri video mana mahu ditonton.

Maka aku praktiskan kekangan hampir serta merta. Biarlah dikata kejam, kelak menanggung kesan itu kami sekeluarga.

Plan pertama mengalih perhatian adakala tak berkesan, lalu aku gunakan plan kedua.

Pertama aku muat turun Youtube for Kids. Sebagai persediaan.

Pilihan Carian aku tutup. Meminimakan video boleh ditonton.

Kemudian apabila SA merengek-rengek mahukan Didi and Friends di telefon (pilihan menonton di laptop atau tv tak dilayan, sebab tv dan laptop tak boleh dipilih-pilih sendiri), aku pilih Didi and Friends, setkan masa 15 minit, lalu aku serahkan dengan syarat.

"Tengok 15 minit aje tau."

SA buat muka comel. Oh tidak, ku tak layan.

"15 minit tau." Ulang lagi sekali.

SA buat muka sedih. Selalunya dia akan jawab juga 'ermm' bila dia setuju. Jadi nampak sangat dia tak setuju dengan syarat 15 minit.

"15 minit, tau." Muktamad. Erti kata lain, ambik atau tak payah langsung.

Telefon pintar bertukar tangan.

Mak aihhhhh. Tangan SA sikit punya laju pilih-pilih video. Menyandar kat bantal dengan kaki siap bersilang.

Anda 2 tahun je. Tak payah macam tu sangat. 😂😂

Muka jam aku kerling sesekali.

Tepat 15 minit, secara otomatik Youtube for Kids termati sendiri dan SA terus dibawa ke muka depan telefon.

Terus dia ke dapur mencari aku sambil tunjukkan telefon dengan muka cuaknya.

"Dah cukup dah. Esok pulak. Didi dah tidur."

Ok ayat terakhir tu biasalah ayat penutup. Hehe.

Dan, SA cuma terdiam.

Kemudian kami lupakan telefon.

Lepak-lepak tengok TV. SA naik lah kereta zaman kecik dia, keluar masuk walker zaman-zaman dia meniarap dulu, sampailah akhirnya dia ajak tidur.

Esoknya, SA langsung tak sebut telefon. Dan kebetulan juga aku tak banyak urusan dengan telefon.

-----------------
-----------------

Kesimpulannya, aku selaku mak-mak sendiri kena lupakan telefon.

Baru lah anak-anak tak teringin dengan telefon.

Dan, kadang-kadang kena hati kering juga jadi mak. Alahai susah bab ni. Terasa nak banjir juga lah masa mula-mula berkeras.

Tapi alhamdulillah, membuahkan hasil juga.

P/S: Ibu nak lupakan telefon tu yang susah. Macamana ni.

Khamis, 6 Julai 2017

RMT : Rancangan Makanan Tambahan

RMT.

Lebih dua dekad dulu ia difahami sebagai 'makan free'.

Sepatutnya ia bantuan kepada anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan, tapi selalunya ia sampai juga kepada anak-anak keluarga berada yang ibubapanya adalah seseorang dalam masyarakat.

RMT sekadar sarapan nasi lemak sambal ikan bilis dan suku telur rebus, atau bihun goreng, mee goreng, atau nasi goreng.

Tapi waktu itu ia sungguh menyelerakan.

Bagi yang mendapat bantuan ni, mereka hadir awal ke sekolah. Mungkin seawal 7 pagi.

Justeru, menjelang 720pagi sekiranya masih ada baki sarapan RMT, cikgu akan kumpulkan pelajar-pelajar yang memang dari keluarga kurang berkemampuan untuk menghabiskan makanan tersebut.

Hanya jauhari mengenal manikam.

Justeru, pelajar-pelajar ni selalunya hadir awal ke sekolah, manalah tahu dapat rezeki untuk dipilih makan RMT.

Kesimpulannya mudah je.

Ketidakadilan berlaku di mana-mana, merentas masa dan lokasi.

Ia berlaku dua dekad dulu.

Ia berlaku juga sekarang.

Dan andai dua dekad lagi masih ada, ia akan terus berlaku juga.