Sejak beberapa bulan yang lepas aku tertunggu-tunggu minggu lepas datang.
Untuk menghargai diri sendiri dan encik beliau, kami merancang nak bercuti-cuti Malaysia ke Terengganu.
Memulakan perjalanan seawal 530 pagi, singgah solat subuh, dan meneruskan perjalanan ke mana-mana pantai terdekat di Terengganu.
Daftar masuk ke mana-mana rumah tumpangan (dengan bayaran sehingga RM80 semalaman) yang betul-betul di tepi pantai.
Kemudian teruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, melawat Masjid Kristal, serta Taman Tamadun Islam, ke Pasar Malam Chendering, seterusnya bermalam di Kuala Terengganu.
Esoknya masih meneruskan melawat Kuala Terengganu sebelum ke Kemaman, rumah adik encik beliau, yang tak kurang banyak lokasi menarik.
Bermalam di sana sebelum terus lagi ke Kuantan, melawat juga adik encik beliau.
Dan perlahan-lahan menyusur balik ke Gua Musang.
Begitu lah.
Rancangan awalnya.
Berhari-hari otak diperah untuk sebuah rancangan yang jitu. Dan beberapa rancangan sokongan andainya rancangan asal rebah.
Di mana sarapan di hari pertama.
Pakaian yang mana paling selesa dipakai.
Tudung yang mana cepat dililit dan padan dengan baju.
Dan begitulah.
Kata orang, kita merancang Allah juga merancang. Dan rancangan Dia jugalah yang terbaik.
Rancangan asal kami akan bertolak pada pagi Sabtu, kononnya Jumaat adalah hari berkemas dan lalalalala seketika.
Tetapi hati yang gundah dan gusar menyebabkan aku mahu segalanya dipercepatkan. Dan encik beliau bersetuju saja dengan ulah aku ni. Hahaha.
Tetapi, pada petang Rabu, sedang menunggu-nunggu untuk pulang, aku terima satu panggilan.
Nenek sebelah ayah, satu-satunya nenek yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah beberapa ketika sebelumnya.
Kaku seketika mendengar berita itu.
Arwah memang sudah lama sakit, tetapi berita pemergiannya rupanya masih mengejutkan.
................ ................ .....................
Tiada ulasan:
Catat Ulasan