Selasa, 24 Oktober 2017

#tukangjahitjalanjalan : Port Tidur

Assalamualaikum,

Notakaki :
Tak semua kereta boleh ditanggalkan penyandar seat belakang dan seat depan boleh direbahkan samarata dengan seat belakang.
Untuk kepastian boleh rujuk manual yang disertakan masa pembelian kereta.

Entry kali ni nak kongsi pasal pemilihan lokasi yang sesuai.

Aspek yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan lokasi antaranya ialah keselesaan dalam konteks berasa selamat untuk pejamkan mata, rehatkan badan, dan memenuhi tuntutan semulajadi, serta tempat yang menjadi laluan/tumpuan.

Elakkan lokasi terlalu sunyi demi keselamatan masing-masing.

1. LOKASI

1.1 R&R
Ini adalah antara lokasi paling sesuai, selain dari tandasnya tidak berkunci pada waktu tertentu, R&R juga biasanya ada bilik mandi, jadi bolehlah terus mandi sebelum teruskan perjalanan esok paginya.

Oh ya, jangan lupa bawak sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi sendiri ya. Tuala mandi sekali. Serta selipar tandas. Karang habis kasut lawa korang.

1.2 Stesen Minyak
Andai kata korang ke lokasi yang takde R&R, stesen minyak pun boleh. Tapi pastikan kereta korang tak menghalang laluan lori minyak yang biasanya datang pukul 3-4pagi untuk hantar minyak.

1.3 Masjid-Masjid Utama
Kat sini pun boleh, terutamanya di musim sibuk contohnya musim menghantar anak ke IPTA/IPTS, musim konvo, musim cuti sekolah, musim cuti raya, dan seangkatan dengannya.

Surau-surau kecil atau masjid-masjid biasa tak begitu digalakkan, sebab biasanya selain tandas dah berkunci, persekitaran selalunya agak sunyi.

1.4 Berdekatan Kedai Makan 24jam
Ini lokasi terdesak andai kata tak jumpa lokasi lain yang lebih sesuai. Berdekatan kedai makan yang beroperasi 24jam adalah lebih baik dari lokasi yang sunyi atas aspek keselamatan.

2. KIPAS & POWERBANK

Dah dapat port cantik? Cun.

2.1 Matikan enjin kereta.

2.2 Turunkan sedikit tingkap untuk bagi udara masuk. Pastikan kereta dah berkunci.

2.3 Sekarang korang boleh gunakan kipas kecik yang boleh cucuk kat USB. Cucuk kat powerbank.

Boleh letakkan kipas ni atas kotak/beg bagi kedudukan kipas tinggi sikit untuk tiupan angin yang lebih sekata.

AXIA kecik je jadi satu kipas dah ok. Tapi kalau nak letak 2 kipas pon boleh. Pilihan di tangan korang!

Oh ya kipas ni boleh beli di mana-mana pasaraya, macam kitorang hari tu beli kat MR.DIY, tak sampai RM15 rasanya.

Tapi kipas murah bunyinya agak bising sikit, kalau yang mahal sikit mungkin lebih senyap.

_____
Sampai sini dulu entry ni. Gambar aku cuba kongsi dalam sedikit masa lagi.

Sekali lagi, ini adalah pilihan kitorang sendiri, bagi yang punya modal lebih, teruskan booking hotel. Lebih selesa!



P/S: Nak gosok baju/tudung kat mana? Haaa ini takde tips lain melainkan, bawa je yang ironless. 😁


Isnin, 23 Oktober 2017

#tukangjahitjalanjalan : AXIA ke HomeCar

Assalamualaikum dan hai,

Seperti tajuk di atas, dari AXIA ke HomeCar, aku sekadar mahu berkongsi bagaimana kami sekeluarga (2 dewasa dan kanak-kanak 2 tahun setengah) berjalan-jalan sekurang-kurangnya sekali sebulan (biasanya 2 kali sebulan) dan menjadikan AXIA bukan setakat sebuah kenderaan.

Tema: Kereta kami, tempat tidur kami.

1. Minimumkan barangan yang mahu dibawa. Elakkan luggage dan utamakan beg sandang.

2. Kosongkan bonet.

3. Tanggalkan penyandar seat belakang, hanya ada 2 skru, selepas dah tanggalkan, bila nak pasang semula, taknak letak balik skru tu pun takpe.

Tinggalkan kat rumah penyandar itu.

Sekarang, di bahagian belakang dah lapang hingga ke bonet.

4. Bentangkan tilam/toto, bahagian bonet letak tebal sikit untuk samaratakan ketinggian.

Beg-beg, boleh letak di tempat letak kaki seat belakang.

5. Tanggalkan tempat sandar kepala kedua-dua seat depan. Rebahkan keduanya hingga mencecah seat belakang.

Sekarang dah boleh baring dan lunjurkan kaki.

Dah siap? Belummm.

6. Sediakan bantal-bantal, serta selimut.

7. Tutup tingkap dengan apa saja yang korang nak, shawl/tirai etc etc. Kami punya, kami letak sendiri-jahit-shawl-hitam sebagai langsir/tirai.

Dah siap!

Mak-mak yang mana yang masih susukan anak ke apa, sila helakan nafas tenang sebab anda dah terlindung dari mata-mata luar yang memandang.

Nak buka tudung dan baring pun dah boleh!

______
Entry berikutnya aku akan kongsi pulak kat mana nak cari lokasi strategik untuk parking, dan tidur.

Ini adalah semata-mata perkongsian. Kalau korang ada modal lebih adalah lebih baik parking je kereta, check in hotel. Bahagia pun bahagia. Hehe.

Sekian dulu, jumpa lagi nanti.

Yang Suka Jalan-jalan Selalu,
#tukangjahitinneranda

Sabtu, 21 Oktober 2017

Tombiruo: Penunggu Rimba :- Movie Review

Tombiruo: Penunggu Rimba
____

Ini bukan sinopsis, hanya pandangan seorang pembaca dan penonton.

_____

Sedikit peringatan baik hati (baca sebagai soft reminder) kepada pembaca Tombiruo dan triloginya, naskhah ini adalah berbeza dari bacaan.

Justeru kepada yang bukan pembaca novel (dan tertanya-tanya, RAM siapa?) usah risau, anda akan dapat menikmati cerita ini.

Ketepikan logik akal, hukum fizik, duduk, sandarkan belakang anda, dongakkan kepala sedikit (jika anda beli tiket lambat dan terpaksa duduk di depan skrin), dan tontonlah dengan minda yang tidak meneka-neka.

________

Permulaan cerita yang memang menyebabkan akak kau ni tertegun hingga lupakan date kat sebelah.

Terpesona dengan kegigihan bapak kandung Tombiruo yang begitu nekad ingin membunuh Tobugi dan anaknya, demi menghapuskan bukti dosanya.

Dan tertahan nafas bila Monsiroi tega menusuk buluh panjang ke leher si bapak demi menyelamatkan bayi kecil yang baru dilahirkan. Tapi terasa kecewa bila bayi sekecil itu dihanyutkan ke sungai.

Apa bezanya kau selamatkan dia dari mata pedang dan kemudian nyawanya kau pertaruhkan kepada hutan?

Di sini lah bezanya.

Bayi itu bukan diselamatkan Pondolou, tapi diselamatkan semangat hutan (seiring tajuk cerita), sedang Pondolou hanya membelanya.

Dan semangat Tombiruo seperti menyatu dengan hutan. Amukannya membawa ribut dan amukan hutan.

Bermula dari sini, sila lupakan jalan cerita trilogi Tombiruo.

Jujurnya pertengahan jalan cerita agak perlahan tapi terubat juga dengan watak antagonis Wong (siapa ini? Sakit hatiku melihat liciknya dia.) dan bagaimana Wan Suraya secara tidak langsung mempunyai hubungan emosi dengan kedua Amiruddin dan Tombiruo (dua-dua kau nak bolot ya).

Dalam tertanya-tanya bagaimana konfliks hubungan Tombiruo dan Amiruddin terlerai, rupanya terjawab oleh babak penuh mistik oleh Mansiroi.

Berdiri bulu roma bila isi kandungan kotak kayu Mansiroi terdedah.

Babak menarik bila hanya Tombiruo dan Amiruddin saling berpandangan penuh erti manakala Wan Suraya terpinga-pinga di antara mereka.

Sekali lagi, sila lupakan trilogi Tombiruo.

Beberapa kejutan dalam filem ini, antaranya bila watak Ondu mati. Dan Monsiroi rebah seolah kehilangan nyawa. Walaupun rupanya Monsiroi masih bangun berkerudung dan tersenyum kemudiannya.

Dan menyangka watak Tombiruo juga ditamatkan, kemain emosi melihat sehelai daun gugur mendarat di tapak tangannya, layu dan mereput.

Sejurus Tombiruo tersentak terbangun.

"Kau percaya kita bersaudara?"

"Aku sanggup menjadi saudara kau kalau kau sanggup menjadi saudaraku."

Tombiruo yang seakan terkesima bila Amiruddin memeluknya.

Apapun, filem ini wajar tonton. Dan andai kata ada sambungan pun cantik juga memandangkan masih banyak lompang-lompang yang boleh diisi.

Rating? Akak kau bagi 3.5 dari 5 dari sisi seorang pembaca, dan 4/5 dari sisi seorang penonton.

Nota akhir, siapa Wong tu? Menjadi betul wataknya, sudahnya nyawa liat macamkan getah sekerap.

P/S: Tertunggu-tunggu preview berkenaan Sunan, ingatkan RAM muncul kat skrin. Sekali surat Sunan yang melayang-layang. Terpaksa lah akak kau tergelak.

Sabtu, 14 Oktober 2017

Detik Demi Detik

Untuk mencapai bintang, kau sanggup mendaki bukit yang tinggi, menuruni lurah yang jurang, menghadapi ombak yang menggila, dan mengharungi hujan yang membadai.

Lalu atas usahamu yang tak putus, bagai tak kenal erti putus asa, seperti tak tahu apa itu penat, akhirnya Allah kurniakan kejayaan.

Bintang itu kau petik. Cahayanya kau simpan. Hangatnya kau nikmati.

Justeru kau kini di puncak.

Masa berlalu. Hari berganti hari. Bulan bertukar bulan. Tahun demi tahun.

Bintang di pelukan makin sirna. Umpama piala tak digilap, tompok karat yang dulunya kecil semakin melebar. Membesar memenuhi permukaan.

Puncak yang dulunya terlihat serba indah, semakin pincang di pandangan.

Pemandangan serba magis pertama kali kau lihat dulu mulai pudar kemagisannya.

Pedang yang suatu ketika kau hunus penuh rasa percaya, terzahir buruk tak berguna. Tak ubah besi buruk tak berharga.

Lantas, tanpa rela baju besi kau tanggalkan.

Terlorot lemah tak bernyawa.

Di depanmu juram.
Di belakangmu belantara.

Kirimu sepi.
Kananmu sunyi.

Pahlawan yang terleka, engkau lah.


Isnin, 9 Oktober 2017

Tombiruo : Adaptasi

Tahniah RAM, Tombiruo akhirnya ke layar perak.

Sebagai pembaca, aku gembira mendengarnya.

Tapi secara peribadi, aku kurang suka dengan berita ini.

Sebab imaginasi aku bakal terbelah, pecah berkecai. Itu saja. Maklumlah aku membacanya pada usia 16 tahun.

Apapun, aku akan menontonnya. Bila dan bagaimana, biar masa jadi penentunya.

Oh, kepada kawan-kawan, siapa sindir lagi tentang ni, aku denda belikan tiket ke panggung wayang. Serta popcorn sekali.

Sarkastik adalah sesuatu yang tak perlu. Minat aku adalah thriller, dan membaca. Bukan thriller, dan menonton.

Itu saja.