Tombiruo: Penunggu Rimba
____
Ini bukan sinopsis, hanya pandangan seorang pembaca dan penonton.
_____
Sedikit peringatan baik hati (baca sebagai soft reminder) kepada pembaca Tombiruo dan triloginya, naskhah ini adalah berbeza dari bacaan.
Justeru kepada yang bukan pembaca novel (dan tertanya-tanya, RAM siapa?) usah risau, anda akan dapat menikmati cerita ini.
Ketepikan logik akal, hukum fizik, duduk, sandarkan belakang anda, dongakkan kepala sedikit (jika anda beli tiket lambat dan terpaksa duduk di depan skrin), dan tontonlah dengan minda yang tidak meneka-neka.
________
Permulaan cerita yang memang menyebabkan akak kau ni tertegun hingga lupakan date kat sebelah.
Terpesona dengan kegigihan bapak kandung Tombiruo yang begitu nekad ingin membunuh Tobugi dan anaknya, demi menghapuskan bukti dosanya.
Dan tertahan nafas bila Monsiroi tega menusuk buluh panjang ke leher si bapak demi menyelamatkan bayi kecil yang baru dilahirkan. Tapi terasa kecewa bila bayi sekecil itu dihanyutkan ke sungai.
Apa bezanya kau selamatkan dia dari mata pedang dan kemudian nyawanya kau pertaruhkan kepada hutan?
Di sini lah bezanya.
Bayi itu bukan diselamatkan Pondolou, tapi diselamatkan semangat hutan (seiring tajuk cerita), sedang Pondolou hanya membelanya.
Dan semangat Tombiruo seperti menyatu dengan hutan. Amukannya membawa ribut dan amukan hutan.
Bermula dari sini, sila lupakan jalan cerita trilogi Tombiruo.
Jujurnya pertengahan jalan cerita agak perlahan tapi terubat juga dengan watak antagonis Wong (siapa ini? Sakit hatiku melihat liciknya dia.) dan bagaimana Wan Suraya secara tidak langsung mempunyai hubungan emosi dengan kedua Amiruddin dan Tombiruo (dua-dua kau nak bolot ya).
Dalam tertanya-tanya bagaimana konfliks hubungan Tombiruo dan Amiruddin terlerai, rupanya terjawab oleh babak penuh mistik oleh Mansiroi.
Berdiri bulu roma bila isi kandungan kotak kayu Mansiroi terdedah.
Babak menarik bila hanya Tombiruo dan Amiruddin saling berpandangan penuh erti manakala Wan Suraya terpinga-pinga di antara mereka.
Sekali lagi, sila lupakan trilogi Tombiruo.
Beberapa kejutan dalam filem ini, antaranya bila watak Ondu mati. Dan Monsiroi rebah seolah kehilangan nyawa. Walaupun rupanya Monsiroi masih bangun berkerudung dan tersenyum kemudiannya.
Dan menyangka watak Tombiruo juga ditamatkan, kemain emosi melihat sehelai daun gugur mendarat di tapak tangannya, layu dan mereput.
Sejurus Tombiruo tersentak terbangun.
"Kau percaya kita bersaudara?"
"Aku sanggup menjadi saudara kau kalau kau sanggup menjadi saudaraku."
Tombiruo yang seakan terkesima bila Amiruddin memeluknya.
Apapun, filem ini wajar tonton. Dan andai kata ada sambungan pun cantik juga memandangkan masih banyak lompang-lompang yang boleh diisi.
Rating? Akak kau bagi 3.5 dari 5 dari sisi seorang pembaca, dan 4/5 dari sisi seorang penonton.
Nota akhir, siapa Wong tu? Menjadi betul wataknya, sudahnya nyawa liat macamkan getah sekerap.
P/S: Tertunggu-tunggu preview berkenaan Sunan, ingatkan RAM muncul kat skrin. Sekali surat Sunan yang melayang-layang. Terpaksa lah akak kau tergelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan