Selasa, 22 Januari 2019

STJM: Tak Hidup Dipuja Tak Mati Dikeji

Kau muda, berkerjaya di bandar atau di ibu kota, berkereta buatan luar negara, punya rumah meski masih milik bank, punya suami yang juga makan gaji, punya juga anak sepasang yang keduanya dihantar ke rumah pengasuh yang dibayar bulanan; lalu sempurnalah engkau di mata masyarakat.

Maka selalulah nama kau meniti di bibir makcik dan pakcik sama ada saudara mara atau langsung tiada hubungan darah, sebagai satu contoh yang mesti diikuti. Suatu kejayaan yang indah dan manis.

Manakala seorang engkau yang lain pula, bekerja sendiri, apa saja pekerjaan yang dilakukan - menjahit, berniaga di dalam talian, membuat khidmat percetakan, katering, atau apa saja - yang membawa erti tiada usaha maka tiadalah rezeki, justeru masyarakat akan pakat-pakat menggeleng kepala beramai-ramai sambil meluahkan keluhan mencari-cari di mana kesilapan engkau yang ini hingga terpaksa bersusah-payah mengerah keringat demi mencari sesuap rezeki yang halal.

Apatah lagi bila engkau hanya punya anak seorang, atau punya anak dua tapi keduanya sama jantina, atau punya anak tetapi menghadapi masalah kesihatan, engkau semakin jauh dari skala sebuah kejayaan yang sempurna, indah, lagi manis.

Seolah kehidupan engkau-engkau yang taklah panjang mana ini semata-mata mahu memuaskan hati dan nafsu para masyarakat sebegini.

Engkau-engkau di luar sana, masih mahu tunduk patuh pada masyarakat bak sekam ni? Ternampak menarik dari jauh tapi panas membahang apabila mendekat.

Atau, mahu pejamkan mata dan pekakkan telinga, lalu sambut tangan seorang aku, dan mulai hidup untuk diri sendiri?

Yuk, ganding bahu bersama.

Hidup tak lama. Sudah tujuh tahun aku lewati suku abad dan aku sudah penat memaksa diri tersenyum saat hati rasa rawan, sudah lelah pura-pura tertawa waktu jiwa rasa ngilu, dan tak larat lagi buat-buat mesra bila hakikatnya tidak.

Siapa sahaja masyarakat itu, aku mohon diri.

Ini hidup yang dipinjamkan buat aku, justeru coraknya biar aku yang tentukan. Selagimana nadanya tak menyimpang dari Pemiliknya, aku pinta kau, kau, dan kau, minggir dari jalan aku.

Kerana pahitnya ubat sering aku telan sendiri, dan duri yang terpijak di kaki hingga membusuk jadi nanah pun aku hadap sendiri-sendiri, lalu engkau muncul begitu sahaja bila saja jalan penuh semak sudah terlihat lorongnya.

Justeru aku mohon maaf, langkah yang meski masih beberapa tapak ini akan aku teruskan. Walau masih bertatih tapi kau tak pernah tahu bagaimana aku hampir putus nafas bergelumang dalam lumpur hingga tangan tercapai tali kontot lalu berdiri semula dalam susah payah.

Maaf aku tak mahu menoleh.



Tiada ulasan: