Khamis, 26 Disember 2019

Supper

Supper.

Dah agak lama aku tinggalkan tabiat kurang sihat ni.

Dulu-dulu memang aku cukup gemar makan di tengah-tengah malam. Selalunya pilihan aku adalah paratha yang berintikan telur hancur, mayonis, sos cili, serta salad, digulung ibarat sejenis makanan Timur Tengah. Atau jarang-jarang aku goreng sekeping dua daging burger. Fries sesekali. Dan bertemankan semug nescafe, kopi, atau milo. Sama ada sejuk berais atau panas.

Itu di zaman bujang dan bekerja.

Sebelumnya lagi, iaitu di zaman sekolah menengah, aku betah melantak nasi siap berlauk dan sepiring budu. Saban malam juga lah.

Kadang-kadang dalam berhati-hati membuka tudung periuk, terdengar juga bunyi tudung periuk berlaga dengan periuk, atau keletak dapur gas dibuka untuk aku panaskan lauk, atau pinggan berlaga sesama mereka tatkala aku menarik hanya satu. Lalu akan terdengarlah suara ma bertanya, kucingkah itu?

Otomatik aku kaku dalam posisi sedang memegang pinggan dan sudip nasi. Hanya bebola mata yang bergerak kiri kanan, layaknya seorang pencuri yang tertangkap melakukan jenayah.

Apabila tiada bunyi ngiauan kucing menyahut akan terdengar pula ma memaksa diri bangun, dan dalam keterpaksaan aku bersuara juga.

Itu adalah pada awal-awal berada di sekolah menengah. Akibat aktiviti ini berat aku bertambah mendadak kira-kira 20kg dalam masa dua tahun.

Usai SPM dek kelapangan masa, aku putuskan untuk belajar memasak nasi goreng. Lalu setiap menjelang tengah malam aku akan mencuba pelbagai resepi nasi goreng mengikut sebuah buku resepi bertajuk Masakan Gerai. Dari situ aku putuskan semangkuk nasi goreng kampung yang enak mesti menggunakan sedikit sos ikan.

Sejak berkahwin agak lama juga aku tidak lagi makan di tengah-tengah malam. Sehinggalah sesekali keinginan itu datang.

Dan walaupun makan tengah malam selalu dipasangkan dengan megi, tapi aku tidaklah punya ikatan yang begitu kuat dengan megi, aku lebih gemarkan nasi. Lebih sanggup tanak nasi dan jadikan ia nasi goreng.

Setahun dua ni aku dapati perasaan mahu makan di tengah malam akan muncul apabila adanya tekanan. Jujurnya, berperang dengan perasaan adalah memenatkan.

Ia menghakis ketahanan emosi dan menyedut tenaga fizikal juga.

Sesekali aku memilih untuk berkongsi rasa dengan mereka yang akrab. Tapi adakala berdiam juga satu pilihan.

Buat-buat gembira mengetik aksara di laptop, atau buat-buat selesa menggunakan hanya ibu jari menaip di skrin enam inci telefon pintar, bertemankan segelas nescafe panas.

Acapkali neacafenya hanya aku cicip apabila sudah suam-suam suku. Ada waktu malangnya ia hanya aku teguk apabila sudah sejuk benar. Tetapi tetap aku habiskan. Walau kadang-kadang sedikit tawar, atau seringkali terlebih pahit.

.

Begitulah.

Tiada ulasan: