Officer atau Pegawai.
Sedap bunyinya. Gemalai menyapa telinga. Senyum pun melebar menyebutnya.
Tailor atau Tukang Jahit.
Kelas yang berbeza. Terus ternampak-nampak kegigihan bergelumang benang, kain, dan gunting. Terasa berbahang wajah mendengar namanya. Dan bibir jadi canggung lepaskan tawa terpaksa.
Begitulah. Dari seseorang yang ada pangkat kononnya di mata masyarakat aku seakan menempah bala dengan memilih meneruskan hidup sebagai seorang tukang jahit. Dari berpakaian kemas lengkap bertudung dua muka siap beralun terbuai di sisi wajah kepada berpakaian serba bebas santai dalam malas.
Dua tahun dulu apabila tona suara berubah tatkala mengetahui pekerjaan aku sekarang, ia pasti menghantui malam dan siang. Hingga mengganggu aturan tidur lalu aku pasrah berjaga sepanjang malam dan hanya mampu lelapkan mata apabila matahari malu-malu munculkan diri. Terjaga apabila zohor berkumandang dengan tenaga yang kekeringan.
Aneh, tetapi begitulah. Hanya kerana berubahnya nada suara mereka. Dan ia terus bergema dalam fikiran.
"Oh, menjahitlah sekarang ya."
"OH, menjahitlah sekarang ya."
"OH, MENJAHITLAH sekarang ya."
"OH, MENJAHITLAH SEKARANG ya."
"OH, MENJAHITLAH SEKARANG YA."
Intonasi jelik itu melantun-lantun bagai bola pingpong. Ke kanan dan ke kiri. Ke dinding sana dan ke dinding sini. Malah ke lantai lalu melambung-lambung lagi sebelum berhenti, tergolek, dan melanggar dinding. Bergolek lagi sebelum benar-benar berhenti.
Sehingga suara itu benar-benar diam, aku hanya mampu termangu-mangu.
Cumanya setelah dua tahun berlalu aku kira nada-nada sebegitu tidak lagi memberi kesan yang sama. Jujurnya ia terdengar-dengar juga, tapi tidaklah terlalu lama.
Jika ia kekal terngiang-ngiang, aku lebih suka mendiamkannya dengan secangkir kopi, atau dengan sehelai tudung, atau mungkin juga sehelai blaus.
Suara-suara seperti itu tidak layak sebenarnya kekal terlalu lama dalam memori sesiapa. Sekadar memenuhkan ruang kenangan, sedang masih terlalu banyak hal lain yang lebih wajar diingat.
Lalu, minggir ke tepi. Aku si tukang jahit ini mahu maju ke depan.
Selamat tinggal dan semoga tidak ketemu lagi lain kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan