Ahad, 14 November 2021

Roti Coklat

Hari itu menu roti sardin.

Sardin aku masak bersama bawang dan letakkan sedikit garam. Kemudian aku hancurkan sedikit dan sapukan ke roti putih. Yang sudah siap aku potong serong berbentuk segitiga.

Sementara tiba waktu makan, roti sardin aku susun di dalam pinggan bersama buah oren. 

Harum sardin yang ditumis semerbak hingga ke ruangan kelas. Anak-anak yang sedang khusyuk mewarna segera panggung kepala. Yang sedikit berani bangun dan rapat ke meja sambil memanjangkan kepala cuba mengintai inti dalam kepingan roti.

Bagaimanapun dia segera bertempiaran ke mejanya apabila aku memandang sambil menjungkit kening.

"Apa tu?" Soal satu suara.

"Roti!" Jerit seorang yang lain.

"Roti apa?" Masih yang sama bertanya.

"Roti sardin! Aku bau, itu roti sardin!" Umum satu suara lain.

Aku tersenyum sendiri.

Sambil mereka mengambil giliran mencuci tangan, masing-masing masih tetap cuba memanjangkan leher ke meja hidangan.

"Ananda mau roti coklat!" Jerit Ananda tiba-tiba, tak ubah memberi order di kedai mamak.

Tidak. Kali ini aku sudah bersedia. Malah beberapa hari yang lepas aku berkali-kali mengingatkan tentang undang-undang dan peraturan di sekolah. Makan ada waktunya, dan makan ada menunya.

"Hari ini menu roti sardin ya anak-anak. Di sekolah makan menu yang disediakan." Balas aku mendatar.

Raut Ananda segera berubah. Senyum manisnya berganti muncung sedepa. Spontan dia memeluk tubuh - tanda enggan berkompromi.

"Ananda taknak makanlah!" bentaknya.

"Kalau tak nak makan sekarang tak boleh nak buat apa, tapi kalau lapar nanti, balik rumah baru boleh makan ya." Kata aku, masih dengan nada yang sama.

Kali ini Ananda mengubah strategi. Muncung sudah berganti wajah monyok menagih simpati. Kepala direbahkan di atas meja. 

Maaflah Ananda, saya pun sudah berhari-hari bersedia untuk ini.

Seperti jangkaan, kira-kira sepuluh minit sebelum jam dua belas tengahari, perutnya berkeroncong. Namun si bijak Ananda tidak memaklumkan sendiri kepada aku, mungkin sedikit tergugat dengan perubahan aku. Lalu teman semejanya dihantar.

"Ananda lapar," lapor Jenna, teman semeja merangkap kawan baik Ananda.

Meski sebahagian hati mahu mengajak Ananda ke dapur, sebahagian lagi lebih kuat untuk membiarkan. Anak kecil itu perlu belajar. Dan jika di rumah mamanya sukar untuk tegas, biarlah aku sahaja yang bertegas di sini.

Aku tayang senyum kepada Jenna yang juga tersenyum manis. Kemudian perlahan aku gelengkan kepala. Jenna menggaru kepala yang tidak gatal, seterusnya kembali kepada kawannya.



---



Seri satu sama.


Rabu, 10 November 2021

Tiga Keping

 Ananda si kecil enam tahun ni seorang yang sangat yakin diri.

Pagi-pagi bila sampai dia akan menyapa dengan ucapan selamat pagi sambil memeluk botol airnya.

Seorang yang bijak dan lekas faham.

Cuma, Ananda seorang yang agak manja serta gemar mengikut kepalanya sendiri. 

Dibawanya mainan, kertas origami, atau buku-buku mewarna. Di kala teman sekelas yang lain tekun menyambung titik membentuk abjad, Ananda tenggelam dalam lukisannya.

Yang paling sukar bagi aku ialah anak itu agak memilih bab makanan. Malah Ananda tidak segan-segan menarik muka jika dihidangkan makanan yang tidak digemari.

Meski seorang dewasa dan berusia hampir enam kali ganda usia Ananda, adakala kerling si kecil itu tetap menghantar rasa seram. Justeru aku biasanya akan memilih untuk tidak bertatapan dengannya.

Ada waktunya aku curi-curi menarik Ananda ke dapur, memberinya beberapa keping biskut sebagai alas perut. Adalah sukar untuk tubuh enam tahun itu menahan lapar sehingga jam dua belas tengahari. 

Namun rupanya aku silap mencatur.

Ananda melihat itu sebagai satu pengecualian. Si bijak itu cepat mengadaptasi keadaan.

Suatu hari Ananda enggan makan apabila disua roti bersapu kaya serta milo suam. Malah anggur pun tidak disentuh. Kira-kira setengah jam sebelum kelas berakhir dia tiba-tiba bangun dan bersuara:

"Cikgu, Ananda lapar."

Aku yang sedang cuba memproses maklumat terkesima seketika apabila Ananda pantas menyusun langkah ke dapur. Spontan aku menurut dari belakang.

Kepala yang sedikit berdenyut buat aku penat untuk membuka mulut. Justeru kepingan roti aku capai dan segera melepa jem coklat - satu-satunya jem yang Ananda sukai.

Dua keping roti aku hulurkan kepadanya dan aku segera keluar dari dapur. Sudu yang aku gunakan sudah selamat aku masukkan ke sinki.

Beberapa minit kemudian aku menjenguk Ananda semula.

"Sudah?" 

"Ananda mahu lagi. Masih lapar."

Kali ini aku tercengang. Tolonglah katakan aku hanya berangan.

"Eh dah bagi dua keping kan tadi?" Suara aku tekankan sedikit.

"Tapi di rumah mama selalu bagi Ananda tiga keping roti coklat. Tadi Ananda makan dua keping, jadi Ananda mahu lagi sekeping."

Aku hela nafas. Sudu yang terdampar dalam sinki aku renung.


-----



 

Selasa, 9 November 2021

Kerana Plaster

Hari tu agak kalut. 

Cikgu kelas yang demam serta batuk berhari-hari meski ujian kendiri Covid-19 menunjukkan hasil negatif, namun beliau dinasihatkan untuk kekal di rumah buat beberapa hari.

Maka tinggallah aku sendiri menghadap dua puluh orang anak kecil yang aktif, di antaranya terdapat pula beberapa orang yang lebih aktif berbanding yang lain.

Ke sini aku pandang, belah sana sudah kacau bilau. Aku menapak ke sana, belah sini pula terkekek-kekek menyanyikan lagu bunga kembang lewat Squid Game. Belum lagi yang turun naik meja serta menyusur di bawah meja.

Tahu-tahu ada yang mendekat dengan wajah pohon simpati, hulurkan jari yang ada kesan calar. Sedikit darah kelihatan di garis halus tersebut.

Aku tarik nafas. Terasa kontang tenaga hari itu. Tapi sepasang mata bening yang tekun merenung buat aku hembus nafas semula. 

Peti kecemasan aku capai. Terintai-intai apalah boleh dilakukan. 

Oh, ada sebungkus plaster.

Kertas pembalutnya aku koyak. Dan pegun seketika melihat corak kartun yang comel. 

Tunduk sedetik kononnya merawat calar (yang sekiranya ia berlaku di rumah, mungkin hanya bebelan sebagai ubat), bila panggungkan kepala semula, hampir semua baki sembilan belas yang lain sedang berkerumun penuh takjub.

Sudahnya baru tiga jam berlalu aku sudah mula merasakan denyut halus di pelipis kanan.



----



Esoknya aku masih sendiri. Namun aku sudah mula mendapat rentak, justeru segalanya lebih terkawal berbanding hari sebelumnya.

Pun begitu, entah kenapa hari itu ramai pula yang ringan mulut mahu bercerita. 

Terjatuh semasa bermain di rumah.

Ditolak abang waktu di rumah.

Jari terluka semasa bercuti entah bila lah.

Tapi entah kenapa semuanya tentang kecederaan. Tiada yang lebih seronok untuk dikongsikankah?

Meski sudah terhidu apa mahunya mereka, aku tetap buat-buat tak mengerti. 

Sedang khusyuk menulis dan mewarna, datang pula si cilik yang berambut hampir menutup mata. Jarinya diangkat. Berdarah. Bahana kulit di tepi kuku yang ditarik sendiri.

Aku angkat bendera putih.

Peti kecemasan aku capai lalu plaster kartun aku keluarkan.







------------