Jumaat, 23 September 2022

Siri Aisyah : My Favourite Toys

Teacher Mahesh - ini guru Bahasa Inggeris serta guru kelas Aisyah merangkap guru kegemarannya.

Setiap minggu sekurang-kurangnya Aisyah akan membuat satu kad untuk guru ini, dan aku bersyukur beliau tidak berasa menyampah dengan hal ini.

Semalam, Aisyah balik dari sekolah dengan agak gembira. Katanya dia belajar tentang 'my favourite toys' dan seterusnya mereka diminta melukis permainan tersebut.

"Aisyah lukis remote control," ceritanya.

Aku jungkit kening. Apa kaitannya dengan topik permainan kegemaran saya?

"Dengan kereta." Sambungnya.

"Favourite toys Aisyah remote control car ke?" Aku menyoal, agak kurang percaya.

"Ya! Aisyah kan ada kereta remote control yang ayah beli tu," katanya bersungguh-sungguh.

Aku mengangguk. Jika ayahnya yang belikan, adalah biasa andai ia tidak tersimpan dalam ingatan ibu.

"Aisyah tak sempat warna lagi lukisan tu Teacher Mahesh dah ambil dan tunjuk kat kelas," Aisyah tergelak-gelak sambil bercerita. 

Kali ini aku ikut tersenyum. "Teacher Mahesh cakap apa?"

"Teacher Mahesh cakap, Aisyah memang smart." Aisyah terkekek-kekek. Terlalu seronok hasilnya dipuji guru kegemaran.

Namun tawanya segera mati.

"Smart tu apa ibu?"

Giliran ibu pula terkekek-kekek.




Khamis, 22 September 2022

Menulis

Kalau ikutkan hati, tentu sahaja aku sudah menulis tentang ketidakpuasan hati berkenaan pihak pengurusan. Namun, ikut hati boleh membawa mati. Ikut rasa, binasa. Jangan nanti aku hanya menjadi si kera yang terloncat-loncat termakan cili yang merah menyala.

Meski pun aku merasakan aku di pihak yang benar, namun aku perlu juga sedar kedudukan siapa yang cuba aku gugah. Sekadar melukut di tepi gantang, takkan tengkolok si bangsawan cuba aku jatuhkan. Kelak yang dikejar tak dapat yang dikendong pulak keciciran.

Maka mahu atau tidak aku akhirnya tak ubah seekor anjing yang menyalak bukit. Bukit tak runtuh tekakku pulak kehausan menjerit-jerit.



------



Dan begitulah.

Isnin, 5 September 2022

Novel Review: Writer's Cut Ramlee Awang Murshid

Tulisan terbaru dari Ramlee Awang Murshid, terbitan syarikatnya sendiri dan hanya boleh didapati menerusi pembelian online.

Writer's Cut Time (WCT) ada sedikit vibe Aku Bercerita namun dengan jauh lebih baik. Jika aku dapat merasakan keangkuhan si penulis dalam Aku Bercerita, namun sebaliknya dalam WCT yang seakan lebih humble. Malahan RAM seperti melangkah keluar dari zon selesanya dan menulis menggunakan konsep baru.

Mengikuti penulisan RAM sejak 2003 atau 2004, aku sudah hampir dapat 'membaca' gayanya. Malah Haura gagal menyuntik adrenalin untuk meneruskan pembacaan sehingga aku mengambil masa 12 bulan untuk menyambung bacaan.

Aku kira kali ini RAM memilih untuk berada di tengah-tengah antara kepuasannya sebagai penulis serta memenuhi jangkaan pembaca dalam masa yang sama - ibarat menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan pula berselerak.

WTC bermain dengan time travel (konsep yang tidak aku gemari), namun konflik yang melingkari Pak Ngah dan Ain Nur berjaya membuat aku mengenepikan seketika rasa tidak suka itu untuk menelusuri apa sebenarnya yang cuba diceritakan.

Plot twist tentang Jamilah ternyata di luar jangkaan. 

Meski awalnya aku menyangka tanpa bacaan Ranggau aku akan agak terpinga-pinga, nampaknya ia tidak terjadi. Ranggau dalam WTC seolah berbeza dengan Ranggau dalam Ranggau. Mirip Carlos dalam Magis yang agak berbeza dari Carlos dalam Mandatori.

Setelah plot perlahan-lahan menurun selepas klimaks, nampaknya RAM masih berjaya menyelitkan unsur kejutan. 

Open ending pula di penghujungnya, namun sebagai pembaca kali ini aku tidak berasa annoyed - terpukul mungkin dengan kata-kata dan pandangan Rusdi Salleh.

Jika Ain Nur merasakan awalan bab itu membosankan, tapi tidak pada aku. Begitu juga cerita dalam cerita (Mahar Rangbulan dan Liverpool Ghost) yang meski kelihatan tidak ada perkaitan namun ia sesuai dengan konsep Writer's Cut.

Kudos RAM, saya menikmati karya ini.