Isnin, 16 Julai 2018

Bawang Nan Seulas

<<Lokasi: Ibukota>>

Si Tijah pantas mengorak langkah ke arah ruangan 'Pasar Segar' dalam pasaraya tersebut.

Plastik hijau jernih yang bergulung-gulung ditarik dan dengan satu sentakan ia terasing dari gulungannya. Si Tijah gesel-geselkan jemarinya dua saat sebelum mulut plastik berjaya dibuka luas.

Sambil mata mengerling ke arah kertas keras warna coklat yang bertulis 'Bawang Siam RM9.90/kg' tangannya lincah memilih-milih bawang merah kecil lalu dimasukkan ke dalam plastik jernih hijau. Sesekali mencuri pandang kepada pasangan suami isteri yang khusyuk mengupas kulit bawang putih sebelum juga, memasukkan ke dalam plastik jernih di tangan mereka, meski larangan mengupas kulit bawang dan amaran harga akan dikenakan dua kali ganda sekiranya aktiviti tersebut dilakukan, terpampang jelas di hadapan.

---

<<Lokasi: Pinggir Bandar>>

"Bawang merah dua ringgit ya Yah."

Yah capai plastik nipis bertangkai warna merah, sauk segenggam kecil bawang merah, masukkan dalam plastik lalu letakkan di atas penimbang. Seulas dua bawang merah dikeluarkan apabila jarum timbangan menunjukkan lebihan berat untuk nilai RM2.

Yah hulurkan plastik merah nipis bertangkai yang sudah diikat dan dua keping not RM1 bertukar tangan.

___

Hatta seulas bawang pun andai diberi pilihan, akan dipilih hanya yang terbaik. Walau adakala yang terbaik taklah semestinya pilihan sendiri.

Ada waktunya, yang telah dipilihkan, atau yang telah ditetapkan, kadang-kadang lebih baik.

Kerana manusia berkembar dengan nafsunya, sering merasakan pilihannya, keputusannya, dan rancangannya, adalah yang paling baik. Hingga ada masa jadi alpa dan tidak sengaja memandang rendah kepada perancangan, atau pilihan, manusia yang lain.



P/S: Manusia yang selalu terlupa.

Jumaat, 13 Julai 2018

"Mana tahu lelaki..."

Anak kedua.

Ini adalah kisah yang selalu berlaku, di mana-mana, dan bila-bila masa, dalam masyarakat hari ni.

Aku jarang melayan sangat ulah-ulah si pulan atau si pulanah yang gemar bertanyakan tentang bilangan anak-anak sesorang.

Selalunya yang bertanya adalah saudara mara dan kerana mereka saudara yang kenali aku maka aku selalu respon dengan jenaka atau sengeh sememeh sahaja.

Kalau teman-teman biasa selalunya aku hanya menjawab dengan "Alhamdulillah" sambil mengaplikasikan senyum Pak Pandir dan mengambil jurus kuak lentang petala kelapan menukar topik.

Kalau teman-teman yang tak berapa nak rapat tapi suka mencari silap maka aku akan canangkan bahawa anakku yang sorang tu jujurnya sudah punya sepasang adik, dan seorang abang. Kebiasaannya terus mereka terdiam dan mengambil jurus kuak kupu-kupu lalu menukar topik.

Teman-teman rapat tak perlu risau, meski sesekali bertemu dek kekangan masa dan pelbagai halangan lain, kami tetap punya topik yang meliputi alam untuk dibicarakan, maka soalan tentang bilangan ahli keluarga amatlah jarang dibincangkan. Dan kalau ada pun, aku betah dipersoalkan.

Cuma bila sesekali ketemu mereka yang tidaklah terlalu rapat, dan bukan juga golongan yang suka menjatuhkan, sukar juga rupanya memberi jawapan selamat.

"Boleh dah ni ada adik, mana tahu lelaki pula kali ni."

Haa sudah.

Kalaulah mengandung dan punya anak adalah seperti permainan dalam talian, kiranya sudah sedozen anakku.

Bila sudah penat dan malas, serta minat sudah sirna, uninstall sahaja permainan tersebut, dan segalanya kembali ke asal.

Tapi seorang anak adalah komitmen seumur hidup.

Dari dalam kandungan. Langsung tiada rehat. Diheret ke mana saja, bila-bila masa. Malah apabila sesekali emosi terusik, si bayi yang di dalam turut terasa.
Tekak yang kadang-kadang mahukan yang jarang-jarang kedapatan, juga mempengaruhi selera si kecil di dalam.

Dilahirkan.
Proses penyembuhan semula yang bukan hanya 40hari, tetapi bertahun. Apalagi jika prosesnya paksaan dari belahan di perut. Si kecil sudah tumbuh dewasa si ibu masih terasa-rasa sakitnya.

---

Dan begitulah.

Meski seorang anak itu sendiri sudah dewasa, malah punya keluarga dan anaknya sendiri, dia masih seorang anak kepada seorang ibu, yang masih akan tetap memikirkan dia, walau betapa berjayanya dia.

Komitmen sebesar ini, dengan tempoh yang tiada tarikh tamat ini, sering diperkecilkan dengan soalan-soalan;

"Sorang aje?"
"Bila nak tambah yang kedua?"
"Perempuan je?"
"Semua hero ni, kena ada heroin juga."

--

Tidaklah aku kecewa ditujah dengan persoalan sebegini, kerana aku lebih kenal keadaan aku sendiri.

Susun atur hidup seorang aku tentulah aku sendiri yang kuasai, dan soalan-soalan, atau pandangan-pandangan yang tidak secocok, tidaklah aku pedulikan sangat.

Tapi, tidak melayan tidak bermaksud ia tidak menusuk.

--

<<Iklan 3 saat di Youtube>>

A: Sorang ni ke?
B: Aah sorang.
A: Alhamdulillah.

*tamat*


P/S: Masih mencari rentak.

Ahad, 1 Julai 2018

STJM: Takdir Tak Serupa

Takdir hidup setiap orang tak sama walau seringkali manusia dihakimi hanya dengan satu skala.

Umpama menguji sang jerung, sang kera, dan sang badak, dengan ujian berenang. Terang lagi bersuluh siapa pemenang dan siapa yang bakal kecundang tak punya harapan.

Tapi kerana Allah itu Maha Adil, matlamat setiap makhluk adalah serupa semuanya; mencari keredhaan-Nya.

Cuma, bagaimana ia diaplikasi dalam perlumbaan di dunia fana, semua terserah pada si makhluk itu sendiri.

Mahu bertatih, menapak bebas, atau berlari selajunya.




_______




Setelah enam tahun membina kerjaya (hingga bolehlah dikatakan aku berada di puncak), aku seperti menggadai nyawa terjun ke juram.

Meletak jawatan dan berada di rumah, bertukar arah secara drastik, selaku seorang ibu, surirumah, dan #situkangjahitjalanan yang lebih kepada menjahit tudung dan seumpama dengannya.

Namun kerana aku tidak fokus kepada perniagaan dan keuntungan, adakalanya aku menjahit, dan banyak masanya aku hanya menajamkan ilmu menjahit dengan menjahit baju, skirt pelbagai gaya, gaun bermacam fesyen, serta tudung dan anak tudung pastinya, untuk aku dan si kecik (yang membesar dengan gayanya).

Dari detik itu, aku melihat satu demi satu perubahan berlaku.

Teman-teman yang memang sudahlah tak seramai mana, semakin berkurang.

Dan meski tidak ketara, ada juga seorang dua saudara mara yang mengubah cara memandang hanya kerana aku tak lagi berkerjaya.

Mungkin aku dikira sebagai kurang bijak, melepaskan kerjaya tanpa sebarang perancangan teliti. Tanpa sebarang sokongan kewangan, atau sokongan perkerjaan kedua.

Benar-benar seperti terjun ke sungai tanpa kemahiran berenang dan tanpa baju keselamatan.

Cuma begitulah. Rumput di padang seberang sana selalu ternampak lebih segar.


Bersama kesusahan, ada kesenangan. Aku kira ayat ini diulang dua kali dalam satu surah yang sama, dan aku melihat bagaimana ia berfungsi.

Meski keputusan melepaskan kerjaya hanya direstui sang suami, tapi apabila aku benar-benar melakukannya, keluarga tak pernah meninggalkan aku.

Kekal bertatih bersama walau aku tak lagi punya nilai di mata sesetengah yang lain.

Dan sahabat, yang benar-benar sahabat, tetap ada bersama, secara dalam talian mahupun di sisi dalam erti kata yang sebenar. 

Aku mungkin tak lagi senang dalam bentuk material, tapi aku beroleh keuntungan dalam sudut yang lain.

Kemahiran menjahit yang 100% berbeza dari dulu. Dulu aku tak mungkin menyentuh mesin jahit, tapi hari ini alhamdulillah, pengetahuan asas semakin meningkat.

KPI. Dulu aku kejarkan KPI dalam pekerjaan, sekarang KPI yang sedang aku cuba capai ialah bagaimana lalui seharian dan bertahan dengan kerenah si kecik yang semakin bermacam-macam tanpa hilang sabar. Kadang-kadang berjaya, tapi kerapnya tidak. Susah rupanya mengepung sabar.

Dan, matlamat yang utama selaku seorang makhluk, menjadi hamba yang lebih baik hari demi hari. Ada masa mampu, tapi selalunya kecundang di tengah jalan. 


Dan begitulah.

Ini adalah skala hidup aku. Tak sama dengan sesiapa di luar sana.

Justeru tak perlu cemburu, atau terasa tidak seronok dengan apa yang sedang dilalui. Selagi mana matlamat utama berada di tempatnya, aku yakin Allah takkan biarkan hamba-Nya terkapai sendirian.

Ada masa bantuan Allah tiba dalam bentuk tenangnya hati, lapangnya dada melalui detik sehari-hari.
Ada waktu ia datang dalam bentuk gilanya teman-teman, sehingga terlupa seketika dengan sesak masalah di dada.
Ada ketika ia datang bersama pasangan yang tidak cerewet, mungkin gagal menzahirkan kata-kata cinta dan sayang lewat drama pukul 7 malam, tapi diam-diam kumpulkan baju-baju kotor lalu masukkan ke dalam mesin basuh dan memulakan basuhan, atau senyap-senyap kumpulkan pinggan mangkuk kotor ke singki. Mungkin juga sesekali sapukan minyak angin ke kepala, atau memicit lembut otot bahu yang kekejangan.


Dan Brad Si Paku Leper yang tak tahu lah berada di mana sekarang, kata-katanya masih relevan meski ia dinukil pada 15 tahun dahulu ; apalah indahnya bunga kalau semuanya ungu.








Masih Suka Menulis,
#situkangjahitjalanan