Umpama menguji sang jerung, sang kera, dan sang badak, dengan ujian berenang. Terang lagi bersuluh siapa pemenang dan siapa yang bakal kecundang tak punya harapan.
Tapi kerana Allah itu Maha Adil, matlamat setiap makhluk adalah serupa semuanya; mencari keredhaan-Nya.
Cuma, bagaimana ia diaplikasi dalam perlumbaan di dunia fana, semua terserah pada si makhluk itu sendiri.
Mahu bertatih, menapak bebas, atau berlari selajunya.
_______
Setelah enam tahun membina kerjaya (hingga bolehlah dikatakan aku berada di puncak), aku seperti menggadai nyawa terjun ke juram.
Meletak jawatan dan berada di rumah, bertukar arah secara drastik, selaku seorang ibu, surirumah, dan #situkangjahitjalanan yang lebih kepada menjahit tudung dan seumpama dengannya.
Namun kerana aku tidak fokus kepada perniagaan dan keuntungan, adakalanya aku menjahit, dan banyak masanya aku hanya menajamkan ilmu menjahit dengan menjahit baju, skirt pelbagai gaya, gaun bermacam fesyen, serta tudung dan anak tudung pastinya, untuk aku dan si kecik (yang membesar dengan gayanya).
Dari detik itu, aku melihat satu demi satu perubahan berlaku.
Teman-teman yang memang sudahlah tak seramai mana, semakin berkurang.
Dan meski tidak ketara, ada juga seorang dua saudara mara yang mengubah cara memandang hanya kerana aku tak lagi berkerjaya.
Mungkin aku dikira sebagai kurang bijak, melepaskan kerjaya tanpa sebarang perancangan teliti. Tanpa sebarang sokongan kewangan, atau sokongan perkerjaan kedua.
Benar-benar seperti terjun ke sungai tanpa kemahiran berenang dan tanpa baju keselamatan.
Cuma begitulah. Rumput di padang seberang sana selalu ternampak lebih segar.
Bersama kesusahan, ada kesenangan. Aku kira ayat ini diulang dua kali dalam satu surah yang sama, dan aku melihat bagaimana ia berfungsi.
Meski keputusan melepaskan kerjaya hanya direstui sang suami, tapi apabila aku benar-benar melakukannya, keluarga tak pernah meninggalkan aku.
Kekal bertatih bersama walau aku tak lagi punya nilai di mata sesetengah yang lain.
Dan sahabat, yang benar-benar sahabat, tetap ada bersama, secara dalam talian mahupun di sisi dalam erti kata yang sebenar.
Aku mungkin tak lagi senang dalam bentuk material, tapi aku beroleh keuntungan dalam sudut yang lain.
Kemahiran menjahit yang 100% berbeza dari dulu. Dulu aku tak mungkin menyentuh mesin jahit, tapi hari ini alhamdulillah, pengetahuan asas semakin meningkat.
KPI. Dulu aku kejarkan KPI dalam pekerjaan, sekarang KPI yang sedang aku cuba capai ialah bagaimana lalui seharian dan bertahan dengan kerenah si kecik yang semakin bermacam-macam tanpa hilang sabar. Kadang-kadang berjaya, tapi kerapnya tidak. Susah rupanya mengepung sabar.
Dan, matlamat yang utama selaku seorang makhluk, menjadi hamba yang lebih baik hari demi hari. Ada masa mampu, tapi selalunya kecundang di tengah jalan.
Dan begitulah.
Ini adalah skala hidup aku. Tak sama dengan sesiapa di luar sana.
Justeru tak perlu cemburu, atau terasa tidak seronok dengan apa yang sedang dilalui. Selagi mana matlamat utama berada di tempatnya, aku yakin Allah takkan biarkan hamba-Nya terkapai sendirian.
Ada masa bantuan Allah tiba dalam bentuk tenangnya hati, lapangnya dada melalui detik sehari-hari.
Ada waktu ia datang dalam bentuk gilanya teman-teman, sehingga terlupa seketika dengan sesak masalah di dada.
Ada ketika ia datang bersama pasangan yang tidak cerewet, mungkin gagal menzahirkan kata-kata cinta dan sayang lewat drama pukul 7 malam, tapi diam-diam kumpulkan baju-baju kotor lalu masukkan ke dalam mesin basuh dan memulakan basuhan, atau senyap-senyap kumpulkan pinggan mangkuk kotor ke singki. Mungkin juga sesekali sapukan minyak angin ke kepala, atau memicit lembut otot bahu yang kekejangan.
Dan Brad Si Paku Leper yang tak tahu lah berada di mana sekarang, kata-katanya masih relevan meski ia dinukil pada 15 tahun dahulu ; apalah indahnya bunga kalau semuanya ungu.
Masih Suka Menulis,
#situkangjahitjalanan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan