Bagaimanapun konflik bermula sebaik sahaja kami bersembilan berkumpul dan ia berkesudahan dengan seorang dari kami menarik diri.
Lalu bermulalah kisah lapan gadis tinggal bersama.
Hakikatnya, teman sebilik atau serumah boleh menjadi kawan, sebaliknya kawan tidak semestinya boleh menjadi teman sebilik atau serumah. Silap langkah, persahabatan jadi taruhan.
Kira-kira setengah tahun kemudian, seorang lagi memilih untuk keluar dari rumah tersebut. Dan jujurnya keadaan mulai semakin merosot selepas itu. Sehinggalah aku bernekad, tidak akan ada lagi yang keluar dari rumah itu, dan sekiranya ada, orang itu adalah aku.
Beberapa konflik berlaku, salah satu yang terbesarnya apabila sikap concern yang aku sangka tidak apa-apa, rupanya disalah erti oleh salah seorang teman serumah. Bak setitis nila yang tumpah ke susu, birunya merebak dengan cepat.
Kemuncaknya, aku dipulaukan.
Enggan mengalah, aku masih terus mencuba. Dan usaha terakhir adalah aku meminta kami semua berkumpul untuk sesi berterus-terang sejujur hati, usai sahur pada suatu pagi Ramadhan.
Mendung seakan berlalu, kami berjanji untuk menerima masing-masing seadanya.
Pun begitu, persis lagu Slam, gerimis muncul di tengahari. Aku kuyup keseorangan di waktu yang lain berteduhan di bawah bayangan payung berwarna-warni, berdiri memerhatikan aku.
Aku putuskan cukuplah di situ.
Aku keluar dari rumah itu.
Jujurnya ia cukup memeritkan. Tak siapa tahu, dan tak pernah siapa sudi mahu ambil tahu.
Lebih malang, persahabatan dengan sebahagian mereka juga hancur terus.
Malang lagi? Ya, aku juga dipulaukan dan menerima jelingan serta pandangan aneh dari teman seuniversiti yang lain, yang seratus peratus hanya mendengar cerita dari versi di rumah sewa.
Terus terang, aku pernah berkira-kira untuk menangguhkan pelajaran, atau berhenti sahaja dari belajar supaya tak ketemuan lagi dengan mereka, dan ikhlasnya, tekanan yang aku rasakan bukanlah sedikit.
------
Walau aku percaya mereka melakukan kesilapan, tapi aku tidak pernah mendengar kata maaf dari mereka. Dan aku juga tak pernah secara sukarela mahu memaafkan mereka.
Melupakan, tapi tanpa kerelaan atau keredaan.
Meski aku yakin aku bukan aku yang hari ini tanpa berlakunya kejadian ini, tapi jauh di dalam hati, masih ada luka yang adakalanya masih berdenyut sakit.
Ego seorang aku.
------
Apa perasaan aku bila aku dapati teman serumah yang kedua keluar dari rumah sewa tersebut, langsung tidak pernah bercerita yang tidak-tidak kepada orang lain?
(Walau aku juga melakukan perkara yang sama - tidak ada dari kalangan teman seuniversiti yang benar-benar tahu apa yang berlaku memandangkan tidak ada yang benar-benar berani bertanyakan hal itu.)
Teman serumah yang keluar lebih awal itu, aku yakin aku ada melakukan kesilapan terhadapnya, dan aku yakin juga yang aku tak pernah ungkapkan kata maaf padanya.
Justeru, apa beza seorang aku yang ini dengan mereka itu?
-----
Ia pahit, tapi aku kira ini adalah pembalasan tunai untuk aku.
-----
Mengapa aku nukilkan semua ini di laman public yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja?
Kerana aku mahu katakan ini.
------
Kawan-kawan,
Pagi itu waktu kita bertujuh duduk bersila membentuk halaqah, bahang terasa di mana-mana. Dari tepi, kiri dan kanan, malah depan dan belakang.
Aku hanya seorang, dan kalian berenam.
Walau terasa peritnya berhadapan dengan kerling tajam dan pandangan penuh kebencian, dari wajah-wajah yang aku anggap sahabat, namun apa yang aku katakan pada pagi itu, itulah kebenaran.
Saat berkeputusan untuk tinggal bersama, aku menerima kalian adanya. Walau ada ulah yang sesekali menjentik rasa, aku tidak ambil hati lama-lama kerana aku mahu bersama kalian hingga tamat pengajian.
Khilaf seorang aku ialah dengan menyangka aku juga diterima adanya aku. Lalu aku betah menunjukkan diri yang sebenar. Dan aku kira di situlah bermula segalanya.
Kalian meragui kata-kata seorang aku, tapi begitulah. Kenyataan takkan berubah, walau berapa kali ombak datang menerjah pasiran pantai.
Aku memang seorang yang lantang dengan pandanganku, hingga jarang yang menyedari aku juga seorang yang sangat menghargai sahabat dan persahabatan.
Persahabatan selalu punyai kedudukan yang cukup istimewa dalam hidup aku, justeru kejadian itu amat memberi kesan.
-----
Hal ni ternampak kecil sekarang, setelah lebih sepuluh tahun berlalu. Kita semua sudah semakin matang, sudah ada keluarga dan kehidupan masing-masing.
Andai antara kalian terbaca tulisan ini, tak ada apa-apa yang perlu dilakukan. Aku sekadar bercerita.
P/S: Sahabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan