Ahad, 24 November 2019

Bahasa Melayu Bahasa Sukar? Bah 2

Sambungan...


Suatu ketika dulu di kampus, ada seorang pelajar dari luar negara (Timur Tengah kalau tak silap) cukup terkenal dengan kemampuannya menguasai loghat Kelantan.

Ya, beliau bertutur dalam dialek Kelantan pekat dan bukanlah Bahasa Melayu baku. Ini kerana pergaulannya dengan pelajar dari Kelantan lalu setelah beberapa ketika beliau cukup mahir dalam loghat tersebut (adakala lebih pekat dari mereka yang berasal dari Kelantan sendiri).

Pernah sekali aku terserempak beliau sewaktu sedang membeli nasi kukus dan aku memaksa diri memakukan pandangan pada ayam-ayam goreng berempah yang panas berasap dalam bakul supaya tak ketara rasa terkejut itu. Tapi telinga aku tadah juga luas-luas.

Suatu ketika dulu aku juga boleh menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan (meski ia sudah jadi sejarah yang paling manis) malah kebiasaannya aku dan kawan-kawan akan menggunakan bahasa tersebut apabila kami ingin bercerita tentang sesuatu yang kononnya sulit - contohnya mengumpat. (Maafkanlah penyalahgunaan itu, kami hanya remaja yang perasan dewasa waktu itu.)

Lalu aku kira, bahasa seperti sebilah pisau. Setajam mana ia andai hanya tersimpan rapi ia akan berkarat juga. Ia perlu sentiasa digunakan untuk terus berfungsi sebagai sebilah alat pemotong atau ia hanya akan kekal sebagai sekeping besi nipis yang tiada guna.

Jadi soalan adakah benar Bahasa Melayu itu bahasa yang sukar?

Tidaklah.

Tiada yang mustahil sehingga ia benar-benar dibuktikan mustahil. Dan ia hanya akan boleh dibuktikan setelah adanya percubaan. Bukankah suatu masa mengayuh basikal itu sukar hingga kita jatuh berkali-kali, luka di lutut dan lenguh di mana-mana, hingga gigi kita ketap dan semangat kita kutip lalu mengayuh basikal umpama menghela nafas - mudah dan senang.

Oh, mengayuh basikal tidak sesukar mana untuk aku. Tapi menunggang motosikal, ya. Terlanggar pokok rambutan, terseret deretan teh hiasan ayah hingga cacat barisannya, dan terpanjat anak tangga dapur.

Ironinya aku masih seorang penunggang motosikal hingga detik entry ini ditulis. Betah bertayar dua meski ada huruf D di sekeping lesen.

Begitulah.







Isnin, 18 November 2019

Bahasa Melayu Bahasa Sukar?

Allughatul 'Arabiyyah Lughatun Sahlatun.
Bahasa Arab Bahasa Mudah.

Kata guru Bahasa Arab aku hampir 20 tahun dulu, Bahasa Arab sesungguhnya adalah bahasa yang senang difahami dan mudah dikuasai. Ia bahasa yang indah sepertimana gelarannya bahasa syurga.

Sikit pun aku tak nafikan kenyataan ini. Cuma selaku anak jati Melayu pastinya tak aku akui bahasa ibunda aku sendiri bahasa yang sukar. Justeru kata-kata guru yang seorang ini selalu aku dan kawa-kawan lain sanggah sambil ketawa-ketawa dengan ayat:

Allughatul 'arabiyyah lughatun so'bah, allughatul malizi sahlah!' (Bahasa Arab susah, Bahasa Melayu mudah!)

Dan kami (para pelajar dan guru tadi) akan berbalas ayat yang berbeza tetapi masih membawa maksud yang sama. Kebiasaannya para pelajar tetap akan menang kerana guru itu akan akhirnya menjungkit bahu sambil menggeleng kepala dengan ulah kami. Dan kami akan berpandangan sesama sendiri sambil terus tertawa.

Bagaimanapun, hampir sepuluh tahun kemudian aku ditemukan dengan seorang pelajar luar negara yang menuntut di kampus yang sama. Sambil sama-sama menunggu untuk menemui supervisor, perbualan kami menjurus ke arah bahasa.

Kata pelajar itu, sepanjang tiga tahun di Malaysia dia fasih berbahasa kantonis dengan beberapa accent namun lain ceritanya apabila melibatkan Bahasa Melayu. Beliau bukan sahaja tidak mampu berbahasa melayu malah lebih malang gagal untuk memahami bahasa kebangsaan ini.

Sejurus aku terfikir, benarkah Bahasa Melayu terlalu payah dipelajari?



.



Bersambung.

Ahad, 3 November 2019

Comeback

Dah hampir penghujung 2019.

Menyamakan jalan hidup dengan segaris graf, aku kira titik graf hidup aku mulai ke bawah sejak 2016. Ada banyak turun naik yang tidak begitu berbeza sepanjang 2017. Kemudian ia perlahan-lahan jatuh semula dengan agak jelas pada 2018. Penghujung 2018 menyaksikan ada beberapa percubaan yang menaik, dan agak menaik sepanjang suku awal 2019. Menjelang pertengahan 2019 ia turun semula dengan agak mendadak. Bagaimanapun di hujung-hujung 2019 titik itu ada kenaikan sedikit.

Dalam tempoh empat tahun akhir-akhir ini, aku banyak kehilangan diri. Semangat jitu yang suatu waktu sentiasa menjadi pencetus, sirna oleh pelbagai perkara yang terjadi.

Sepanjang jangka masa tersebut aku kekal ditemani keluarga dan sebahagian sahabat yang selayaknya memikul gelaran itu. Bagaimanapun, ada satu pelajaran penting yang aku kutip.

Walau seluruh dunia berdiri di sisi, yang paling utama adalah kemahuan sendiri. Antara intipati yang mustahak adalah menerima kenyataan.

Menerima bahawa mengalah tak bermaksud kalah. Menerima bahawa keadilan di dunia adalah tidak mungkin, tetapi menjadi yang teraniaya bukanlah pengakhiran segala-galanya. Menerima bahawa takdir dan susun atur hidup setiap manusia adalah berbeza. Masakan indah sebuah taman tatkala semua bunganya berwarna ungu, bukan?

Yang jelas, Tuhan tak pernah jauh. Sentiasa ada. Selalu ada. Dan akan kekal ada. Sampai bila-bila.

Jadi kali ini aku mahu terima hakikat bahawa aku yang dulu, adalah masa lalu. Detik yang manis untuk sentiasa aku kenang, waktu-waktu indah yang boleh selalu aku ingat.

Tapi tidaklah bermaksud aku yang sekarang adalah sepenuhnya baru, sebaliknya anggaplah aku yang sekarang bak tembaga yang hilang sinarnya, dan dicat baru untuk wajah yang lebih baru walau masih banyak yang sama.




----



Percubaan menulis seperti dulu agak sukar, tapi ini bukanlah percubaan terakhir. Segalanya hanya akan tamat apabila nyawa sudah terpisah dari badan.

Sehingga itu berlaku, ketemu lagi.