Sabtu, 29 Oktober 2022

Resigning

Resign.


Aku lapor diri pada pertengahan April lalu, dengan jawatan kontrak. Dengan gaji minimum (tidak termasuk beberapa jenis elaun), pekerjaan ini bukanlah impian semua orang.

Namun untuk aku yang bergelut mendapatkan pekerjaan sejak Julai 2019, aku kira ini paling sesuai untuk aku - sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

jujurnya tuntutan kerja ini tidaklah sukar, sesuai sahaja dengan imbuhan yang diperoleh di penghujung bulan. Cuma, tatkala perlu bergelumang dengan pelbagai suasana toksik dan bebanan tambahan oleh para atasan - di sinilah cabarannya.

Salah seorang yang turut sama melapor diri bersama, menyerahkan surat perletakan jawatan hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan. Meski alasannya kukuh kerana mendapat tawaran pekerjaan lain, namun tidak payah untuk melihat tekanan di pundak antara alasan lainnya.

Dan hanya dua bulan selepas itu, seorang lagi membuat keputusan yang sama. Bezanya ia satu keputusan nekad tanpa back up. Walau aku cuba juga membujuk malangnya keputusan itu sudah bulat. 

Cuma, apabila beliau sambil tergelak kecil bergurau mengatakan akan menunggu giliran aku melakukan hal yang sama, aku hanya tersenyum tipis.

Keadaan kita tidak sama, dik. Struggle yang pernah aku hadapi masih agak complicated untuk dibandingkan dengan belitan isu pelbagai dalam pekerjaan ini - sekurang-kurangnya buat masa sekarang. Jawatan ini mungkin datang melayang untuk kamu, tapi aku bergelut sedaya-upaya mengejarnya. Justeru nilainya tidak akan sama. Melepaskan jawatan ini adalah antara perkara terakhir yang mahu aku lakukan, dik.

Meski kami tidaklah akrab, tetapi sedikit sebanyak ketiadaan mereka menyuntik sedikit rasa aneh. Baru sahaja aku cuba-cuba membiasakan diri, baru semalam aku mendapat berita seorang lagi bakal meninggalkan daerah ini. Bezanya kali ini beliau memohon pertukaran.

Kau rasa, apa perlu aku rasa?

Tiada ulasan: