Isnin, 30 Januari 2023

Novel Review - Selamat Malam Tan Sri by Sri Diah (Cetakan 2017)

Kali pertama novel ini diterbitkan adalah pada 1999 - seterusnya cetakan ke-7 pada 2017 diberi sedikit pengubahsuaian selaras perkembangan semasa (aku kira dari penggunaan teknologi kerana ada disebut tentang aplikasi WhatsApp dan seumpamanya), namun dikatakan mengekalkan jalan ceritanya.

Dari sudut seorang pembaca, aku jujurnya agak kecewa kerana terdapat banyak kesalahan ejaan meski pada cetakan ke-7. Seolah perubahan yang dibuat dilakukan secara semborono sahaja tanpa membuat semakan sepenuhnya secara wajar. Malah, ada juga terdapat kesalahan ayat, serta paling mengecewakan adalah kesilapan nama watak yang bukan satu dua kejumpaan. Juga tidak konsisten dalam penggunaan nama watak - sekejap Hanim sekejap pula Hanim Hanani. Buatlah keputusan yang tepat wahai Puan Penulis yang bijaksana, mahu di-Hanim-kan atau di-Hanim Hanani-kan.

Selamat Malam Tan Sri pada aku mengangkat tema yang menarik dan taboo - poligami. Manakala watak-wataknya juga amat dekat dengan realiti. 

Watak Tan Sri Rahman Shah adalah seorang lelaki yang layak serba-serbi untuk beristeri lebih dari satu. Meski watak ini nampak sempurna dengan isteri keduanya seorang bekas ratu cantik, namun selayaknya lelaki dia tetap terpikat kepada Hanim Hanani si wartawan yang entah tiba-tiba muncul.

Hanim juga tidaklah digambarkan wanita Melayu terakhir yang enggan terlibat dengan suami orang, sebaliknya watak ini sejak awal sudah menimbang tara apakah dia punyai peluang berada di sisi Tan Sri - meski yang mendorongnya adalah semata-mata perasaan suka, tetapi tetap juga mengakui kedudukan dan kredibiliti Tan Sri turut memainkan peranan.

Dihidangkan dengan nasihat berupa halangan agar jangan bermain api, sehingga akhirnya kedua-dua isteri Tan Sri yang berupa benteng itu roboh dengan sendiri, gaya bahasa yang tersusun tanpa terlalu baku (dengan mengabaikan segala kesalahan-kesalahan yang tersebut di atas), secara tidak sedar aku menjadi pendokong tindakan Hanim, namun dalam masa yang sama mahu kedua-dua Hanim dan Tan Sri terhantuk di mana-mana.

Cuma, setelah lebih 400 muksurat bersuka-duka dengan Hanim, akhirnya Hanim yang enggan terikat memutuskan untuk melepaskan diri. Hanya pada POV terakhir Tan Sri, terasa sedikit ralat - bagaimana watak ini cuba disucikan dengan mengatakan sayangnya pada Hanim ibarat sayang seorang bapa? Dan harapannya adalah agar Hanim dapat disatukan dengan anaknya Saiful Azam, sedang pada peringkat konflik terbina secara jelasnya Tan Sri mengakui bahawa dia sanggup apa sahaja demi Hanim meski perlu berebut dengan anaknya sendiri.

Meski pengakhiran nashkah ini tampak tergesa-gesa, namun aku kira ini sebahagian dari teknik penulisan mungkin? Penamat sebegini sebetulnya menimbulkan rasa tidak puas hati - kerana kau sedang benar-benar menjiwai pengkisahan tiba-tiba sahaja tirai diturunkan. 

Walau kurang berpuas hati ia tamat begitu sahaja, tapi ya, aku kira ia cara yang terbaik mungkin.

Ulang baca - ya, tentu.

Khamis, 12 Januari 2023

Susu

Setiap pagi aku akan membancuh susu - biasa atau susu berperisa coklat. Kemudian aku akan agihkan ke lapan atau sembilan cawan kecil. 

Meski awalnya (sebelum mengorak langkah dalam bidang ini) aku berfikir-fikir entah sempat ataupun tidak segalanya aku siapkan sebelum jam tujuh setengah pagi, tapi semakin hari aku semakin betah.

Walau ada waktunya aku tiba agak lambat kerana hujan dan sebagainya namun aku masih meneruskan rutin tersebut tanpa rasa terbeban.

Ironinya, aku tidak pernah sukakan bau susu panas, apatah lagi menyukai rasanya.

Malah semasa mengandungkan Aisyah, aku hanya sesekali mencicip susu berperisa. Selebihnya aku menampung keperluan kalsium dari sumber lain.

Ternyata tugas harian ini masih gagal menerbitkan rasa suka kepada susu. Dan jujurnya aku sering tertanya, apakah kanak-kanak yang bersarapan dengan segelas susu suam dan beberapa keping biskut (atau roti keping dan bun), sesekali dipadankan dengan bijirin, tidak punyai rasa sepertimana aku?

Dan bagaimana rasanya meneguk cairan itu? Adakah kenikmatan yang sama seperti aku rasai di setiap cawan kopi?

Mencuba sendiri? Maaf, belum masanya.

Ahad, 8 Januari 2023

Teruja

Tahun baru, tugasan pun diberi nafas baru.

Jika selalunya pembelian hanya memerlukan jumlah keseluruhan pada resit tapi tahun ini semua pecahan pembelian perlu diperincikan, termasuk beg plastik serta penggenapan.

Tentu sahaja pembaharuan ini disambut suram - kelam dan tidak menggembirakan. Ah, siapa yang gemarkan bebanan yang semakin memberat?

Meski aku turut terasa dengan arahan terkini ini, namun entah bagaimana ada secebis rasa teruja yang turut sama singgah.

Ada rasa tidak sabar untuk melihat hasil laporan yang lengkap hujung bulan nanti. Dan berasa tidak sabar juga melihat hasil semakan - apa kefahaman aku benar atau tidak.

Perasaan teruja sebegini kerap aku rasakan semasa bekerja sebagai customer service suatu ketika dulu. Rasa tidak sabar menunggu hari-hari esok. 

Justeru, perasaan ini tidak menyebabkan aku adalah seorang aneh, bukan?

Jumaat, 6 Januari 2023

Goodbye 2022

Berakhir sudah tahun 2022 - tahun yang membawa pelbagai rasa, bermacam cerita.

Hari pertama 2022 bermula dengan pengalaman baru membantu menguruskan permohonan mereka yang terkesan banjir di Sri Muda, Shah Alam. Namun bukan terima kasih yang aku terima, sebaliknya menjadi tempat mereka meluahkan kekecewaan dan melempiaskan amarah. Lebih malang apabila menerima pula kemarahan orang atasan - meski jujurnya aku tidak melakukan kesilapan fatal.

Ia titik tolak kepada sebuah kisah yang perit. Dan di sebalik keperitan itu, aku akhirnya berjaya mendapat jawatan sekarang, alhamdulillah.

Dalam manis aku cicip, ada juga selingan rasa pahit dan pedih.  Dicurigai, malah ada pula cubaan mengambil kesempatan. Tapi selut dan lumpur yang pernah hampir meragut nyawa rupanya sudah berpaling dan memihak kepada aku.

Lalu aku putuskan untuk kekal hingga ke titisan darah yang terakhir.

Sukar itu pasti sekali. 

Duri di mana-mana. Jika tidak besar sifatnya, yang kecil dan hampir tak terlihat di mata juga merata-rata duduknya.

Maka tentu sahaja aku terpijak serta terguris dek tajamnya ia. Kulit terkoyak lantas darah pun menitis. 

Mujurnya kali ini aku tidak lekas melatah. Goresan luka itu akan sembuh. Parutnya aku biarkan supaya menjadi kenangan. 

Dalam setahun ini aku tersalah langkah berkali-kali. Dan setiap kali, aku masih mampu mencari jalan lain demi ke destinasi.

Sehingga sekarang, aku sudah mulai nampak cahaya di hujung terowong. Namun masih terlalu awal untuk aku putuskan apakah ia cahaya kebenaran atau hanya silauan yang bakal membawa kebinasaan.

Walau apa sahaja, aku betah begini - bertatih langkah demi langkah. Enggan menunggu, kau boleh berlari ke hadapan. Aku hanya ingin bertenang-tenang menikmati alam. Bila detiknya tiba, usah risau, aku pasti menapak dengan lebih perkasa.