Hari pertama 2022 bermula dengan pengalaman baru membantu menguruskan permohonan mereka yang terkesan banjir di Sri Muda, Shah Alam. Namun bukan terima kasih yang aku terima, sebaliknya menjadi tempat mereka meluahkan kekecewaan dan melempiaskan amarah. Lebih malang apabila menerima pula kemarahan orang atasan - meski jujurnya aku tidak melakukan kesilapan fatal.
Ia titik tolak kepada sebuah kisah yang perit. Dan di sebalik keperitan itu, aku akhirnya berjaya mendapat jawatan sekarang, alhamdulillah.
Dalam manis aku cicip, ada juga selingan rasa pahit dan pedih. Dicurigai, malah ada pula cubaan mengambil kesempatan. Tapi selut dan lumpur yang pernah hampir meragut nyawa rupanya sudah berpaling dan memihak kepada aku.
Lalu aku putuskan untuk kekal hingga ke titisan darah yang terakhir.
Sukar itu pasti sekali.
Duri di mana-mana. Jika tidak besar sifatnya, yang kecil dan hampir tak terlihat di mata juga merata-rata duduknya.
Maka tentu sahaja aku terpijak serta terguris dek tajamnya ia. Kulit terkoyak lantas darah pun menitis.
Mujurnya kali ini aku tidak lekas melatah. Goresan luka itu akan sembuh. Parutnya aku biarkan supaya menjadi kenangan.
Dalam setahun ini aku tersalah langkah berkali-kali. Dan setiap kali, aku masih mampu mencari jalan lain demi ke destinasi.
Sehingga sekarang, aku sudah mulai nampak cahaya di hujung terowong. Namun masih terlalu awal untuk aku putuskan apakah ia cahaya kebenaran atau hanya silauan yang bakal membawa kebinasaan.
Walau apa sahaja, aku betah begini - bertatih langkah demi langkah. Enggan menunggu, kau boleh berlari ke hadapan. Aku hanya ingin bertenang-tenang menikmati alam. Bila detiknya tiba, usah risau, aku pasti menapak dengan lebih perkasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan