Selasa, 27 Disember 2022

Setahun

Kau tahu, dalam masa kurang setahun aku dah mula mencapai beberapa matlamat kecil yang diam-diam aku pasak.

Meski hal ini ternampak seperti sesuatu yang boleh dibanggakan, tapi jujurnya sesuatu yang berlaku tanpa sebarang onak dan duri selalunya bak api dalam sekam - bersifat memperdaya.

Maka mimpi yang seakan menjadi nyata ini tidak semanis yang disangka. Ia tetap muncul mengheret bersama rasa curiga yang menempel di mana-mana, ibarat tompokan tahi lembu yang bukan sahaja mencacat pemandangan malah mengganggu bersihnya udara.



----



Buat masa sekarang aku masih dalam mod berjaga-jaga. Kerana dinding pun punya telinga, malah periuk belanga juga punyai cara berbicara menyampaikan cerita. Lantas adakala ayam pun tiba-tiba disangka bertelurkan sang itik.

Cuma selayaknya manusia biasa, terlupa itu sesuatu yang biasa. Dan bila ia berlaku maka tersungkurlah lalu terjatuh. Tidak bernasib baik, mungkin sahaja terjelepuk di atas tompokan tahi lembu.

Sudah jatuh ditimpa tangga, bukan?


--


Buat masa sekarang, aku masih mampu bangun. Masih bertatih, dan aku tak mengimpikan berlari - sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan: