Khamis, 26 Ogos 2021

Burnt Out?

Sejak dua menjak ni aku sangat bosan dengan rutin harian.


Siapkan breakfast seadanya, kemudian masak untuk tengahari dan malam. Mengadap laptop dan PC bergilir-gilir. Bosan mengetik keyboard keras PC, aku buka semula laptop. Bosan dengan laptop, aku tenung pula skrin telefon.


Bila sudah terlalu tepu, aku masuk bilik jahit dan mengirai kain yang ada. 


Dalam kepala, seribu satu macam mahu aku lakukan. Tapi di dunia nyata, aku hanya berteleku merenung mesin jahit. Hatta mahu menukar benang pun aku rasa tidak punya keinginan.


Sudahnya aku hanya duduk bersila di meja jepun kecil, dengan bermacam jenis pensel warna, krayon, magic pen, glitter pen, dan seangkatan dengannya. Mewarna gambar corak-corak yang rawak sahaja aku print lewat dari Pinterest. Sambil menjawab seribu satu soalan dari Aisyah, pastinya.


Sepuluh buah novel yang aku beli bulan lepas, hanya tiga sahaja habis aku baca. Entah kenapa aku tak lagi merasakan keseronokan menelaah plot dan jalan ceritanya. Minda lebih cenderung berkata alangkah baiknya jika ia diolah sedikit berbeza.


Tiga buah novel terbaru yang baru tiba minggu lepas, baru malam tadi dan malam ini aku sudahkan bacaan. Tinggal satu lagi yang belum aku koyakkan plastik tipis yang membaluti.


---


Jika sebelum ini, dua hari sekali aku pasti akan turun untuk membuang sampah sekurang-kurangnya. Tapi sejak rasa ini melanda, aku sudah tak punya kemahuan untuk menjengah je luar rumah.


Langsir gelap yang baru dipasang di bilik tidur, menyukarkan lagi cahaya menembus masuk.


Perkara kecil-kecil mudah sahaja memacu marah. 



---


Aku kira, ini burnt out mungkin.


Jadi petang tadi aku suarakan hal ini.


"Esok saya taknak masak."

Tiada ulasan: