Khamis, 19 Ogos 2021

Tebulah 3

Kata orang, ignorant is a bless.

Mungkin tidak.


Semasa minggu orientasi di UM, program biasanya berlangsung hingga ke tengah malam. Usai aktiviti yang selalunya bertempat di Dewan Tunku Cancelor (DTC), kami bermaia-ramai terpaksa pula menapak mengheret tubuh yang kepenatan pulang ke kolej kediaman.


Jarak dari DTC ke Kolej Kuaz memakan masa kira-kira dua puluh minit juga. 


Tubuh yang hamis berkeringat serta kelelahan ditambah pula dengan mata yang rabak, hanya kaki yang melangkah. Sedang fikiran sedang membayangkan keenakan merebahkan badan ke tilam.


Baru beberapa minit berjalan, aku dihalang oleh seorang senior yang bertindak selaku pemudahacara atau dikenali sebagai pembantu mahasiswa (PM).


Selamba sahaja dia berdiri benar-benar di perjalanan aku sehingga aku terpaksa berhenti menapak. Kepala kudongak sedikit sambil menatap wajahnya mencari penjelasan.


Kau dah kenapa nak kena berdiri kat sini waktu-waktu macam ni?


Tapi kata-kata itu hanya melantun-lantun dalam kepala. Kudrat yang tersisa tidak memungkinkan aku bersuara. 


"Tahulah penat dan mengantuk dik. Tapi janganlah sampai tiang pun kau nak langgar," katanya. Ada sebuah senyum sinis tersungging di bibirnya.


Aku mengambil masa beberapa saat untuk menghadam kata-katanya. Kemudian perlahan-lahan pandangan aku tundukkan.


Senior yang aku kira sedang berdiri itu rupanya sedang melabuhkan punggung di atas sebatang tiang. Dan bukanlah beliau yang menghadang laluanku, sebaliknya aku yang tersasar menghala ke jalan yang salah.


Kantuk yang menggayuti mata segera hilang. Berganti dengan rasa segan. Aku cepat-cepat membetulkan hala tuju tetapi sayup-sayup sempat mendengar tawa pecah di belakang di kalangan para senior. 


Dalam malu, syukur juga senior itu ada di situ. Jika tidak pasti kejadian tercium tiang berulang lagi.

Tiada ulasan: