Pisang salai cukup sinonim dengan Indonesia. Bagi aku pula, pisang salai sentiasa akan mengingatkan aku kepada Kak Azie - salah seorang teman rumah sewa.
2013 jika tidak salah, kami berdua secara rambang telah bersepakat untuk ke Yokjakarta. Hanya kerana tiket penerbangan pergi-balik yang murah.
Kami ke sana tanpa perancangan teliti tetapi masih juga berjaya menikmati percutian tersebut.
Di atas pesanan seorang teman serumah yang lain, kami menyisihkan sejumlah seratus lima puluh ribu rupiah untuk pembayaran di balai berlepas apabila mahu pulang ke Malaysia nanti.
Hari terakhir kami menyewa sebuah bilik yang berkongsi bilik air. Harganya cukup murah, malah kedudukan benar-benar di luar lapangan terbang. Petangnya kami menaiki bas ke bandar Malioboro dengan bayaran hanya seribu rupiah. Matlamat kami sama - membeli-belah sehingga ke rupiah yang terakhir. Malah untuk kembali ke bilik sewa, kami dengan tegar menggunakan perkhidmatan teksi dengan bayaran lima puluh ribu rupiah.
Esoknya pagi-pagi lagi kami ke lapangan terbang. Dan apabila dimaklumkan kami bayaran yang diperlukan adalah seratus ribu rupiah sahaja, aku dan Kak Azie saling berpandangan. Beberapa minit kemudian kami mulai keluar masuk beberapa toko yang terdapat di situ untuk menghabiskan baki lima puluh ribu rupiah.
Di sebuah kiosk, sebaik membuat bayaran beberapa barang makanan yang aku capai secara rawak, tiba-tiba aku terpandangkan seplastik pisang salai. Malangnya aku baru sahaja menghabiskan kepingan rupiah yang terakhir. Dalam masa yang sama Kak Azie masih belum membuat bayaran.
Setelah berusaha merengek dan merayu akhirnya Kak Azie sudi membelikan pisang salai tersebut untuk aku, meski kerling tajamnya kepada aku di kaunter bayaran masih aku ingat sehingga hari ini.
Terasa berbayar penat lelah memujuk Kak Azie dengan keenakan pisang salai tersebut yang masih gagal ditandingi sehingga hari ini.
----
Sehingga hari ini, pisang salai selalu mengembalikan kenangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan