Ahad, 1 Ogos 2021

Reader - Bahagian 1

Semester satu di UM, aku menerima satu emel yang mencari sukarelawan di perpustakaan. Teruja, aku yang masih belum benar-benar memahami kandungan emel segera membalas memberikan nama.

Selang beberapa hari aku menerima maklumat jadual bertugas sebagai reader kepada seorang pelajar Master.

Aku yang naif masih juga tidak mengerti apa yang telah aku lakukan, tetapi aku hadir juga ke lokasi yang dinyatakan sepertimana makluman emel.

Aku masih pagi Jumaat itu, aku menonong sahaja ke aras bawah perpustakaan UM. Di belakang kaunter pinjaman rupanya ada deretan kubikel berdinding telus pandang.

Aku mengetuk perlahan pintu kubikel yang paling dekat dengan kaunter tersebut. Ada seorang lelaki yang sedang duduk di satu-satunya meja di situ. Curiga, namun aku tetap juga menapak masuk. Lelaki itu hanya tersenyum menampakkan barisan giginya sambil menjemput aku duduk.

Aku menarik kerusi dan melabuhkan punggung namun mata kekal terpaku pada seraut wajah itu.

Antara kagum dan kaget kerana itu merupakan kali pertama aku bertemu dengan seorang buta. 

"First year ke?" Dia memulakan kata.

Aku mengiyakan.

"Hari ni kita santai-santai je. Saya pun belum mula kelas lagi." Sambungnya.

Aku hanya membisu. Masih keliru apa yang sedang berlaku.

"Kenapa nak jadi reader?" Dia bertanya lagi, cuba memecahkan ais antara kami.

"...Reader?"

Dia tergelak kecil. Aku perasan bahawa dia sangat pemurah dengan senyuman dan mudah ketawa. Tahukah dia ekspresinya waktu dia ketawa dengan mulut sedikit terbuka menampakkan deretan gigi serta mata terkelip-kelip ke atas itu menyebabkan aku berasa simpati?

"Jadi kenapa minta jadi reader kalau tak tahu reader tu apa?"

"Tak tahu. Dapat emel suruh jadi volunteer. Bagi jelah nama." Jawab aku, polos. 

Untuk kesekian kalinya ketawanya pecah.



---



Begitulah aku menjadi seorang reader secara tidak sengaja.









----------



"Jom pegi MidValley!"

Tiada ulasan: