Khamis, 30 September 2021

Cikgu Aisyah?

"Ibu, nama ibu mula dengan M ke?" Soal Aisyah.

Aku angguk, meski secara rasminya nama aku bermula dengan N. Namun jujurnya jarang yang mengetahui kewujudan sepatah lagi nama itu. Aku sendiri agak janggal menyebut nama penuh sendiri.

Aisyah tiba-tiba muram.

"Kenapa nama Aisyah tak mula dengan M?"

Aku terdiam. Memikirkan jawapan mudah faham untuk kanak-kanak enam tahun itu.

"Kenapa nama Aisyah bukan Mazeedah?" Dia bertanya lagi.

"Kenapa nama anak nak sama dengan nama mak pulak?" Sengaja mengajak dia berfikir.

"Tapi Aisyah nak jadi cikgu. Kalau nama Aisyah, Mazeedah, bolehlah Aisyah jadi Cikgu Mazeedah."

Kali ini aku terpaksa mengulum tawa.

Kenapa tak jadi Cikgu Aisyah je?



----



Cinta tanpa syarat anak-anak sehingga mereka menyanjung hampir semua tentang orang tua mereka. Agak menyakitkan memikirkan suatu ketika cinta ini akan sirna. Cuma aku berdoa semoga cinta itu subur begitu, meski suatu ketika kami mungkin berbeza pendapat.

Sementara itu aku tetap mahukan Aisyah bukan sahaja sebagai anak, tetapi seorang teman. 

Esok 1 Oktober, International Coffee Day. Jom rempit ke SF!

Rabu, 15 September 2021

Ma

Sambil menukar alas meja, aku sembang-sembang dengan remaja enam belas tahun yang turut sama membantu.

Bercerita dari satu topik ke topik yang lain, dari tentang tugasan di kampus sehinggalah berjalan-jalan menggunakan pelbagai jenis kenderaan awam.

Katanya dia tidak pernah menggunakan kenderaan awam. Aku membalas, tentulah tidak memandangkan lokasinya di Selangor yang hanya punya bas henti-henti. Tak sangka dia menyambung dengan mengatakan dia tidak pernah dibenarkan ke mana-mana sendiri.

Di hujung ayatnya aku tergelak sambil mengatakan sudah tentu tidak. Dia masih seorang anak berusia enam belas tahun. Ibubapa mana yang membenarkan anak gadis enam belas tahun ke mana-mana sendirian. 

Kali ini dia tersenyum kecil sambil mengiyakan.

Meneruskan tugas-tugas keceriaan aku betah menyambung cerita. Sehingga apabila sampai di suatu kisah sewaktu aku sebayanya. Dia bertanya jika aku dibebel ma andai berbuat salah.

"Mak akak bukan kaki bebel." Kata aku pendek.

Aku tidak pasti bagaimana adik-beradik yang lain melabelkan ma, tapi sekurang-kurangnya di mata aku, ma bukan sejenis yang membebel tidak tentu hala. Atau mungkin sahaja subjek bebelan itu bukan aku maka aku tidak meletakkan ma dalam kategori suka bebel.

"Oh bestnya." Spontan kata-kata itu terluncur dari si gadis enam belas tahun.

Aku hanya tersungging mendengar luahan tersebut. Untuk mengimbangi keadaan, aku tayang sengih dan menyambung. Ma mungkin bukan kaki bebel, tapi kata-katanya selalu berbisa - menusuk hingga ke tulang hitam. Malah satu teguran yang pernah disuarakan sewaktu aku enam belas tahun apabila aku terkinja-kinja teruja membaca tentang In-Team dalam Panca Indera, masih terngiang hingga kini.




-----




Jujurnya aku dan ma jarang sependapat. Malah kami tidak rapat. Aku kekok berkongsi cerita dengan ma sewaktu awal remaja. Cuma selepas tamat SPM dan aku berkemungkinan perlu jauh dari rumah, dari keluarga, dan dari ma, tiba-tiba aku memutuskan aku perlu ada satu ikatan yang bakal mengekang aku dari melakukan yang tidak-tidak andai detik itu tiba.

Dan begitulah aku mula mendekati ma. Memandangnya bukan hanya sebagai seorang ibu tetapi seorang teman yang lebih dewasa.

Meski tidak seiringan selalu tetapi kami berkongsi minat yang sama - membaca. Seperti aku, ma juga mempunyai minat yang mendalam terhadap Bahasa Melayu. Ma selalu berbangga apabila berbicara tentang Bahasa Melayu. Mungkin ini salah satunya yang sering mendorong aku untuk membaca. Ini mungkin agak kelakar tetapi kami boleh bersembang berjam-jam tentang sesebuah tulisan. 

Hingga sekarang, adakala aku hubungi ma hanya untuk bercerita tentang sesebuah naskhah yang aku baca.

Selasa, 14 September 2021

Temuduga Secara Maya : Sebuah Kisah

Pengalaman pertama menghadiri temuduga secara maya.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah dengan memastikan nama yang terpapar adalah nama penuh. Ini boleh dikemaskini di bahagian setting akaun Google. Tetapan ini biasanya berada di bahagian atas di sebelah kanan.

Alang-alang dah tukar nama, pastikan juga gambar yang digunakan adalah gambar yang sopan dan jelas. Andai kata ada gangguan talian, maka gambar tersebut yang akan muncul sebagai ganti.

Seterusnya adalah latar belakang. Aku tidak pasti jika dibenarkan menggunakan pelbagai jenis background, tetapi andai kata tidak dibenarkan, maka pastikan sahaja laptop atau telefon menghadap dinding. Sekiranya dinding mempunyai pelbagai corak, alternatifnya boleh sahaja gantungkan sehelai kain tanpa corak sebagai latar belakang.

Manakala kedudukan juga perlu diambil kira. Kebiasaannya akan dicadangkan supaya calon terlihat sehingga ke bahagian pinggang.

Dan langkah tambahan yang aku ambil ialah dengan memastikan pencahayaan adalah cukup. Selain dari memastikan lampu terpasang dan tingkap dibuka, pilihan lain adalah dengan menggunakan ring lamp. Atau jika dalam keadaan terdesak seperti aku tempohari dek notis pendek, maka aku hanya menggunakan fungsi flashlight dari telefon dan halakan ke wajah. 

Itu sahaja.




----



Sesi temuduga tempohari berjalan dengan agak lancar pada lima minit yang pertama. Namun aku perasan ada sedikit gangguan kerana penemuduga memberi respon sedikit lambat. Kemudian aku sempat mendengar mereka berbicara sesama mereka bahawa aku kelihatan freeze. 

Kebetulan cuaca di tempat aku mendung dan hujan mulai turun. Justeru aku maklumkan sahaja kemungkinan cuaca yang menyebabkan gangguan tersebut. Lalu sesi tersebut dipercepatkan.

Maka tamatlah sesi temuduga dalam talian. Satu pengalaman yang menarik. Tapi apa yang pasti, berdepan atau secara maya, debarnya tetap sama. Cuma, ya aku terselamat dari memakai kasut.



------






Jumaat, 10 September 2021

Tidak!

Mengatakan TIDAK sebagai jawapan adalah cukup sukar.

Meski apabila sesuatu pertolongan diminta dan terserah kita untuk memberi kata putus, namun seringkali jawapan 'tidak' akan mengundang sengketa.

Dilabel sombong, bongkak, dan angkuh. Berlagak dengan kesenangan yang ada. Malah didoakan yang tidak-tidak. Semoga suatu hari akan terjunam ke juram, terbenam ke dalam lumpur hitam likat. 



-----

Dengan karakter yang lebih cenderung kepada ekstrovert, mengatakan 'ya' bukanlah hal yang terpaksa untuk aku. Ia selalu mendatangkan suatu jenis kepuasan dalam diri.

Cuma aku sedar ada waktunya ada yang mengambil kesempatan. Aku kira ciri-ciri ini antara yang sering melibatkan aku dalam masalah - besar atau kecil.

Dalam masa yang sama aku juga yakin aku pemilik penuh diri sendiri. Aku tidak terikat dengan sesiapa untuk sentiasa mengatakan 'ya'. Ironinya aku mudah kalah dengan bujukan.

Justeru apabila aku mula berkata 'tidak', perkara di atas berlaku. Yang bukan-bukan diperkatakan tentang aku. Tentu sahaja aku tidak peduli. Lantas kisah-kisah tidak benar itu menjadi sekam. Nyalaannya kecil namun mudah merebak, apalagi di kiri kanan nun timbunan jerami kering. Sekelip mata sahaja api jadi marak. 

Susah-payah aku melepaskan diri dari nyalaan itu. Apa yang tidak membunuhmu akan menguatkanmu - terjemahan langsung dari kata-kata dalam Bahasa Inggeris.

Cuma, aku yang sepatutnya sudah matang menebak berbagai hal masih juga tewas. 

Terbiasa menayang senyum dan acapkali mengiyakan, berat rupanya mahu tersenyum dan menggelengkan kepala dalam masa yang sama. 

Tapi aku masih perkasa. Meskipun tangan menggigil menuturkan kata-kata yang membawa erti 'tidak'.




-----




Baru beberapa ketika yang lepas aku dengan yakinnya menasihati seorang teman untuk yakin diri dan tolak sahaja permintaan yang di luar kemampuannya.

Apabila hal yang sama perlu aku lakukan, aku hanya mampu tertawa pedih. 






P/S: Ini untuk diri sendir - shopee, terima kasih.



Ahad, 5 September 2021

Ada Apa Pada Nama

Nama aku Mazeedah. 

Tapi aku lebih sering dipanggil Mazeed oleh kawan-kawan. Apabila mula bekerja, aku menggunakan nama Mazeedah atau Zi, bergantung kepada lokasi.

Namun ada sesetengah yang aku temui lebih gemar memanggil aku dengan nama panggilan mereka sendiri, antaranya Maz dan Zidah.

Dulu, aku pasti melenting jika nama tersebut digunakan. Tapi akhir-akhir ini, aku sudah reda. 

Perasaan tidak suka yang kerap datang setiap kali dipanggil dengan nama yang tidak aku gemari, sudah hilang. Aku sudah tidak ambil peduli dengan nama apa sekali pun aku dipanggil, sama seperti aku sudah mengabaikan banyak hal-hal lain.

Justeru apabila Aisyah acapkali menyuarakan mahu menukar namanya apabila dewasa, aku hanya tayang sengih.

Tiba masanya dia juga akan mengerti apa yang lebih penting dari sebuah nama. Dan sehingga detik itu tiba, terpaksalah aku tebalkan telinga dengan ocehan sebegitu.

Rabu, 1 September 2021

Novel Review: Dalam Rintis Hujan

Dalam Rintis Hujan karya Liza Nur.


Tentang Mirza, seorang anak kecil yang sentiasa merindui ibu susunya Raudhah. Ibu susunya sepatutnya datang mengambilnya di rumah anak-anak yatim selepas beberapa tahun meninggalkannya demi mencari rezeki. Namun sebuah kejadian yang menimpa Raudhah bukan sahaja menyebabkan wanita itu kehilangan upaya untuk bersuara, malah impian manisnya untuk menyara anak-anak kandung serta anak susuannya di bawah satu bumbung, berkecai.


Mirza bagaimanapun mengecap kehidupan yang lebih terjamin apabila dijadikan anak angkat oleh sepasang suami isteri yang kaya. Namun dia hanya kaya harta, hatinya tetap tandus oleh kasih sayang. 


Pertemuan semula dengan ibu susunya bagaimanapun menimbulkan kemarahan ibu angkatnya. Mirza akur apabila disuruh memilih satu antara dua, Raudhah atau ibu angkatnya yang telah membesarkannya sejak usia lima tahun.


Ayah angkatnya yang enggan lagi bertolak ansur dengan sikap mementingkan diri si isteri, akhirnya bersuara. Si isteri bagai tersimbah air dingin. Sedar dan reda untuk berubah. Meski begitu, setelah puluhan tahun terbiasa dengan karakter yang angkuh dan sombong, menimbulkan masalah dan konflik lain.


Mujurlah seluruh keluarga Raudhah mempunyai hati yang cukup besar untuk menerima dan memaafkan.


Kemuncak kebahagian Mirza apabila kedua-dua ibunya bersetuju dengan pilihan hatinya, Ana Sofia. Namun panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Wali Ana Sofia iaitu bapa saudaranya rupa-rupanya adalah punca di sebalik kecelakaan yang menimpa Raudhah.


----



16 bab pertama aku baca secara percuma di Facebook. Tidak keterlaluan aku katakan aku jatuh suka dengan gaya bahasa yang digunakan sejak ayat yang pertama.

Dalam enam belas bab itu sahaja beberapa kali emosi tergoncang. Babak-babak semasa suami Raudhah yang kehilangan nyawa hanya kerana cinta buta seorang gadis. Hikmah yang asalnya enggan memahami keputusan ibunya menjadikan Mirza sebagai anak susuan tetapi jatuh kasih apabila melihatkan Mirza yang ikhlas menyayangi mereka sebagai keluarga. Raudhah yang meraung melihat anak susuannya dibawa keluarga lain, manakala Mirza yang menoleh ke belakang saat ibu dan kakaknya sudah hilang dari pandangan.

Aku kira watak-watak Dalam Rintis Hujan sangat dekat dengan realiti. 

Mirza yang seolah sempurna, juga tidak sempurna. Hatinya tetap sentiasa menaruh syak terhadap Melissa.

Hikmah yang selalu memberontak waktu kecilnya, benar-benar mengotakan janjinya sebagai tanda menebus kesilapan waktu jahilnya sebagai anak.

Malah ibu angkat Mirza, si datin yang mahu berubah, tetap juga berkali-kali tersasul dengan sikapnya yang lama. 

Meski agak kecewa apabila Ana Sofia muncul di majlis pernikahan Mirza, tetapi endingnya masih menggembirakan.

Padan muka Melissa. 

Padan juga muka Mirza.



---



Misi mencari tulisan Liza Nur mungkin.