Rabu, 15 September 2021

Ma

Sambil menukar alas meja, aku sembang-sembang dengan remaja enam belas tahun yang turut sama membantu.

Bercerita dari satu topik ke topik yang lain, dari tentang tugasan di kampus sehinggalah berjalan-jalan menggunakan pelbagai jenis kenderaan awam.

Katanya dia tidak pernah menggunakan kenderaan awam. Aku membalas, tentulah tidak memandangkan lokasinya di Selangor yang hanya punya bas henti-henti. Tak sangka dia menyambung dengan mengatakan dia tidak pernah dibenarkan ke mana-mana sendiri.

Di hujung ayatnya aku tergelak sambil mengatakan sudah tentu tidak. Dia masih seorang anak berusia enam belas tahun. Ibubapa mana yang membenarkan anak gadis enam belas tahun ke mana-mana sendirian. 

Kali ini dia tersenyum kecil sambil mengiyakan.

Meneruskan tugas-tugas keceriaan aku betah menyambung cerita. Sehingga apabila sampai di suatu kisah sewaktu aku sebayanya. Dia bertanya jika aku dibebel ma andai berbuat salah.

"Mak akak bukan kaki bebel." Kata aku pendek.

Aku tidak pasti bagaimana adik-beradik yang lain melabelkan ma, tapi sekurang-kurangnya di mata aku, ma bukan sejenis yang membebel tidak tentu hala. Atau mungkin sahaja subjek bebelan itu bukan aku maka aku tidak meletakkan ma dalam kategori suka bebel.

"Oh bestnya." Spontan kata-kata itu terluncur dari si gadis enam belas tahun.

Aku hanya tersungging mendengar luahan tersebut. Untuk mengimbangi keadaan, aku tayang sengih dan menyambung. Ma mungkin bukan kaki bebel, tapi kata-katanya selalu berbisa - menusuk hingga ke tulang hitam. Malah satu teguran yang pernah disuarakan sewaktu aku enam belas tahun apabila aku terkinja-kinja teruja membaca tentang In-Team dalam Panca Indera, masih terngiang hingga kini.




-----




Jujurnya aku dan ma jarang sependapat. Malah kami tidak rapat. Aku kekok berkongsi cerita dengan ma sewaktu awal remaja. Cuma selepas tamat SPM dan aku berkemungkinan perlu jauh dari rumah, dari keluarga, dan dari ma, tiba-tiba aku memutuskan aku perlu ada satu ikatan yang bakal mengekang aku dari melakukan yang tidak-tidak andai detik itu tiba.

Dan begitulah aku mula mendekati ma. Memandangnya bukan hanya sebagai seorang ibu tetapi seorang teman yang lebih dewasa.

Meski tidak seiringan selalu tetapi kami berkongsi minat yang sama - membaca. Seperti aku, ma juga mempunyai minat yang mendalam terhadap Bahasa Melayu. Ma selalu berbangga apabila berbicara tentang Bahasa Melayu. Mungkin ini salah satunya yang sering mendorong aku untuk membaca. Ini mungkin agak kelakar tetapi kami boleh bersembang berjam-jam tentang sesebuah tulisan. 

Hingga sekarang, adakala aku hubungi ma hanya untuk bercerita tentang sesebuah naskhah yang aku baca.

Tiada ulasan: