Isnin, 4 Oktober 2021

Buat Baik Berpada-pada

Buat baik berpada-pada, jangan sampai melepas anjing yang tersepit. 

Buat baik biar sesuai ketika, jangan sampai sendiri terseksa terhimpit. 


----


Suatu ketika aku ada seorang kawan. Berbeza dengan penampilan yang sering kurang kemas serta raut yang agak bengis, beliau jujurnya salah seorang manusia yang cukup gemar membantu kawan-kawannya.

Terlalu gemar. Hingga aku kira dia tidak pernah mengatakan tidak. Aku namakan sahaja dia sebagai Pak Rambo.

Pernah sekali motosikalku dibuat onar oleh entahlah siapa, hanya aku sedari di suatu pagi tatkala mahu ke kelas. Entah wayar apa yang direntap keluar dari motosikal, aku yang jahil tentang kenderaan beroda dua itu hanya terfikir untuk menghantar pesanan ringkas kepada Pak Rambo. Bertanyakan andai dia tidak punya kelas pagi aku mahu memohon sedikit bantuan.

Soalan pertamaku tidak dijawab, sebaliknya dia segera sampai tidak lama kemudian. Dari kerut di dahinya aku menebak dia sepatutnya ke kelas. Sesuai karakterku, aku berhasil membuat dia berterus-terang. Katanya dia tidak boleh membiarkan kawan-kawannya dalam kesusahan. Seperti jangkaan aku, dia memang tidak pernah menolak sebarang permintaan.

Selaku seorang musuh bertukar kawan maka aku membebel betapa penting untuk dia berpada-pada membantu. Manakala selaku seorang yang keras hati, Pak Rambo hanya mendengar tanpa bicara. Bahasa badannya memperlihatkan betapa ceramah panjang lebar dari aku hanya masuk ke telinga kanan dan terus keluar dari telinga kiri.




----




Aku tidak pasti jika Pak Rambo pernah berhadapan situasi terhimpit dek ringan tulangnya membantu. Aku doakan tidak.

Namun aku sendiri pernah mengalami situasi itu. Meski tidaklah sempat digigit si anjing kerana aku cepat-cepat buka langkah seribu sebaik salaknya bersahut-sahut.




-----



Dan, berbuat baik bukanlah baik-baik juga balasannya. Kerana satu-satunya yang layak memberi balasan hanyalah Allah Yang Maha Agung.

Apabila suatu masa aku menyangka aku layak dilayan baik-baik hanya kerana aku melayan mereka sebaik yang aku mampu, namun sebetulnya tidak. Aku tetap sahaja dilayan umpama bayang yang tidak memberi manfaat. Aku masih tetap hanya dicari apabila aku punya sesuatu yang mereka mahu. Dan seperti hampas tebu yang tawar selepas manisnya diperah, aku dilupakan begitu sahaja.

Tidak. 

Ini bukan bicara sebuah kekecewaan. 

Ini hanya sebuah luahan kepahitan sebuah kenyataan.

Hal-hal sebegini sering mengingatkan aku betapa aku benar-benar membawa maksud namaku. Walau pernah seorang teman meyakinkan aku bahawa pandangan ini tidak bernas sama sekali.

Tapi ia berlaku lagi, lagi, dan lagi.

Sungguhpun aku cukup tidak gemar dengan watak-watak wanita tabah yang sentiasa bertahan dengan apa sahaja jadam dari si suami, ironinya begitulah aku. Masih kekal naif berhadapan dengan mereka yang berkali-kali mengambil kesempatan.

Sungguh kurang bijak.

Tiada ulasan: