Ahad, 26 Jun 2022

What Doesn't Kill You Makes You Stronger

What Doesn't Kill You Makes You Stronger


Secara asasnya kata-kata ini bermaksud masa dan pengalaman akan mematangkan. Mungkin. Ini adalah pandangan aku secara peribadi.

Sungguhnya aku cukup tidak gemarkan kata-kata ini, terutama jika ia dituturkan sebagai kata-kata semangat - kononnya - semasa aku sedang bergelut dengan apa sahaja.

Ia seolah mengatakan - urusan kau, bukan urusanku. Tapi untuk terlihat seorang yang bersifat suci, maka aku tuturkan ia sebagai kata-kata azimat.

Sekali lagi, ini pandangan peribadi. Mungkin aku dibesarkan dalam suasana yang tidak memberi sebarang acknowledgement atas apa sahaja pencapaian, serta suasana di mana masyarakat sentiasa bersikap sinis. Pujian bukanlah sebuah pujian kerana pujian itu sendiri tidak pernah wujud.

Lalu aku jadi kekok sendiri apabila ada yang berkata yang muluk-muluk kepada aku. Aku jadi tertanya apa benar aku sebegitu atau ia hanya ungkapan yang membawa erti sebaliknya? Justeru aku selalu terpaksa berfikir beberapa ketika setiapkali ada yang berkata yang baik-baik tentang aku.


---


Lari topik bukan?

Meski sebanyak mana aku tidak sukakan kata-kata ini, sesukar itu juga untuk aku menolak kebenarannya.

Jika empat belas tahun dulu tidak terjadi, aku pasti masih bergantung kepada orang itu dan ini.

Jika aku masih bersama company lama, tentu aku takkan menguasai (kononnya) skil menjahit.

Jika aku tidak berpindah semula ke Selangor selepas berjaya pulang ke Kelantan, tentu aku masih seorang yang kekok ke dapur.

Dan yang penting, tentu aku takkan mencapai dua impian-hampir-mustahil aku.

Pertama, belajar mengurut dan membuat service mobile spa.

Kedua, melibatkan diri dalam dunia penulisan - meski aku masih gagal menyiapkan walau suku manuskrip, namun aku berpeluang menjadi seorang freelance yang mampu 'menyentuh' manuskrip-manuskrip penulis-penulis berpengalaman (serta penulis baru) secara langsung.

Bayaran adalah bonus. Yang lebih penting aku sedang mencicip manisnya sebuah kenyataan.

Dan takdir ini takkan sampai andai kerjaya yang aku bina selama tujuh tahun tidak roboh.

Walau aku seperti bertatih semula selepas tersungkur dan tersembam, namun apa salahnya? 

Aku tidak pernah melihat bertatih itu sebagai satu kesalahan atau sebuah kekurangan. Aku yang bertatih - menapak selangkah demi selangkah, terjelepuk sesekali - jadi apa yang kau susahkan? Bukan kau yang menuntun tanganku, bukan?


---


Pun begitu, aku masih tetap tidak gemar dengan kata-kata ini. Walau sejauh mana benarnya ia. 

Sabtu, 18 Jun 2022

Cubaan Fokus - Dua Minggu

Kira-kira dua minggu aku cuba untuk fokus. 

Meski agak ke Laut Andaman juga fokus itu dek Aisyah yang positif Covid-19 minggu lepas, tapi keadaannya yang semakin baik sekurang-kurangnya tidaklah benar-benar menghambat cubaan fokus secara total.

Selepas dua minggu ini aku perlahan-lahan mulai melihat hasilnya - sama ada yang baik atau yang kurang baik. Cuma untuk sebuah pekerjaan, aku memilih untuk memberi lebih perhatian kepada kebaikannya terlebih dahulu. Yang kurang baik itu tentu saja boleh dijadikan sempadan.


----


Julai akan tiba kurang dua minggu lagi. Aku harap apabila Julai tiba nanti aku sudah mula boleh bertatih semula.

Berlari tidak ada dalam angan-angan buat masa sekarang. Aku lebih cenderung untuk menapak langkah demi langkah. Selepas bertahun-tahun mengejar KPI dalam dunia kerja, kali ini sudah tidak seperti dahulu.

Selain duit, aku sudah punya matlamat lain setiap hari. Meski prestasi masih dalam senarai, tetapi kali ini aku tidak akan mengorbankan kesihatan seperti yang pernah aku lakukan suatu ketika. 

Di usia yang bakal mencecah 40 dalam beberapa tahun lagi ini, aku mahu sederhana sahaja. Bukanlah bermaksud aku ketepikan passion dan bekerja asal boleh sahaja, tetapi tidak perlulah segila dahulu.



----



Cuma, aku tentu sahaja masih orang yang sama. Hanya kerana aku mahu cenderung ke arah introvert sedikit tidak bererti aku boleh dipandang enteng. 

Jumaat, 10 Jun 2022

Hai, Saya Introvert.

Kau tahu berapa kali aku taip dan padam?

Kerana setiap kali aksara sudah membentuk rangkap dan perenggan, aku jadi insecure untuk mendedahkan rasa yang tergalas.

Meski wajarnya untuk aku jadi si bakul jarang yang hanya membiarkan sahaja air lalu lepas, namun tetap ada sampah-sampah kasar yang tak mungkin lepas pergi. Lalu ia bukan sahaja menumpang tanpa izin malah membawa bersama bau busuk yang menyakitkan pandangan dan menyengat hidung.



----


Aku tak pasti jenis apanya aku, jika kau pohon pertolongan aku sedapatnya akan cuba membantu. Walau adakala ia akan melambatkan perjalanan aku, atau mengganggu susun atur jadual yang telah aku rancang berbulan lamanya.

Aku tega, kerana aku sering memikirkan bagaimana jika kasut kau yang aku sarung.

Selalunya aku dipertemukan dengan susuk yang kontra - yang santai sahaja menidakkan permintaan aku. Maka aku hampir kalis ditolak.

Namun bila aku sesekali bertemu seseorang yang santai menolak setelah beriya-iya mengatakan ya, aku jadi kekok. Harapan yang aku sandar secara tidak sengaja selalu terhempas pecah. 

Hingga aku tertanya, akukah yang mudah diperkotak-katik? Akukah yang jahil membaca pandangan matanya? Atau dia benar-benar naif menatang kaca yang rapuh? Hingga terlalu mudah melepaskan sebelum ia benar-benar mencecah lantai?


---


Sesungguhnya aku yang memilih jalan ini. Laluan yang penuh duri. 

Mungkin aku patut meminjam sarung si introvert untuk seketika. 


Isnin, 6 Jun 2022

Review Novel : PSIKO

Psiko by Rosa Nur, terbitan 2018.


Suriati yang berdendam dengan empat kawan zaman remajanya yang gemar membulinya dek tubuhnya yang gempal. Kenakalan empat sekawan itu melampaui batas hingga tega bersekongkol melakukan perbuatan cabul.

Suriati yang disangka mati lemas, muncul semula selepas sepuluh tahun dengan raut dan penampilan berbeza. Kejelitaan hasil pembedahan plastik dan wang memberinya kelebihan memperdaya. Semua empat sekawan berjaya diculik dan disiksa, namun dia juga menerima akibat. Bukan sahaja kecantikan pujaannya direnggut, malah kebebasannya turut dirampas.

Kebahagiaan yang disangka bakal dicicip usai pembalasan dendam tidak kunjung tiba, malah dia terperangkap pula dalam obsesi dua lelaki.



---



Novel ini bergenre thriller, dendam, dan cinta. Pun begitu separuh pertama novel amat menumpukan kepada perkenalan watak - yang pada aku agak meleret. Justeru plot amat perlahan dan agak membosankan.

Hanya memasuki separuh kedua barulah plot mula berkembang. Lalu penceritaan tampak tergesa-gesa. Plot memecut hingga banyak lompong-lompong yang tertonjol, banyak persoalan yang tak punya jawapan.

Suriati kaya-raya. Namun peninggalan Chempaka kepadanya dalam bentuk apa selain banglo agam di Kampung Gasing?

Hafiz seorang wartawan, namun watak ini seakan disia-siakan. Mengapa Hafiz tak punya rasa ingin tahu dengan apa yang Razman cuba sembunyikan - selayaknya seorang wartawan? 

Bongkok. Jika dua kutu kampung yang dibunuhnya itu adalah antara pembunuhan pertamanya, mengapa dia terlihat biasa tanpa kekok atau ketakutan? Watak ini wajar diberi perkembangan yang lebih - selain memfokuskan betapa dia mencintai Suriati.

Tauke Lim. Tidak punya kuncu-kuncukah dia untuk menjejaki Suriati?

Selain itu, meski ini adalah naskhah ke-23 oleh penulis, secara peribadinya aku agak kecewa dengan penggunaan perkataan yang sama berulang-ulang. Garapan ayat juga pada aku masih boleh diperbaiki. Rasa thrilled itu agak kurang sampai.


---


Bintang: 2.5/5

Ulangbaca: Mungkin.