Psiko by Rosa Nur, terbitan 2018.
Suriati yang berdendam dengan empat kawan zaman remajanya yang gemar membulinya dek tubuhnya yang gempal. Kenakalan empat sekawan itu melampaui batas hingga tega bersekongkol melakukan perbuatan cabul.
Suriati yang disangka mati lemas, muncul semula selepas sepuluh tahun dengan raut dan penampilan berbeza. Kejelitaan hasil pembedahan plastik dan wang memberinya kelebihan memperdaya. Semua empat sekawan berjaya diculik dan disiksa, namun dia juga menerima akibat. Bukan sahaja kecantikan pujaannya direnggut, malah kebebasannya turut dirampas.
Kebahagiaan yang disangka bakal dicicip usai pembalasan dendam tidak kunjung tiba, malah dia terperangkap pula dalam obsesi dua lelaki.
---
Novel ini bergenre thriller, dendam, dan cinta. Pun begitu separuh pertama novel amat menumpukan kepada perkenalan watak - yang pada aku agak meleret. Justeru plot amat perlahan dan agak membosankan.
Hanya memasuki separuh kedua barulah plot mula berkembang. Lalu penceritaan tampak tergesa-gesa. Plot memecut hingga banyak lompong-lompong yang tertonjol, banyak persoalan yang tak punya jawapan.
Suriati kaya-raya. Namun peninggalan Chempaka kepadanya dalam bentuk apa selain banglo agam di Kampung Gasing?
Hafiz seorang wartawan, namun watak ini seakan disia-siakan. Mengapa Hafiz tak punya rasa ingin tahu dengan apa yang Razman cuba sembunyikan - selayaknya seorang wartawan?
Bongkok. Jika dua kutu kampung yang dibunuhnya itu adalah antara pembunuhan pertamanya, mengapa dia terlihat biasa tanpa kekok atau ketakutan? Watak ini wajar diberi perkembangan yang lebih - selain memfokuskan betapa dia mencintai Suriati.
Tauke Lim. Tidak punya kuncu-kuncukah dia untuk menjejaki Suriati?
Selain itu, meski ini adalah naskhah ke-23 oleh penulis, secara peribadinya aku agak kecewa dengan penggunaan perkataan yang sama berulang-ulang. Garapan ayat juga pada aku masih boleh diperbaiki. Rasa thrilled itu agak kurang sampai.
---
Bintang: 2.5/5
Ulangbaca: Mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan