Ahad, 26 Jun 2022

What Doesn't Kill You Makes You Stronger

What Doesn't Kill You Makes You Stronger


Secara asasnya kata-kata ini bermaksud masa dan pengalaman akan mematangkan. Mungkin. Ini adalah pandangan aku secara peribadi.

Sungguhnya aku cukup tidak gemarkan kata-kata ini, terutama jika ia dituturkan sebagai kata-kata semangat - kononnya - semasa aku sedang bergelut dengan apa sahaja.

Ia seolah mengatakan - urusan kau, bukan urusanku. Tapi untuk terlihat seorang yang bersifat suci, maka aku tuturkan ia sebagai kata-kata azimat.

Sekali lagi, ini pandangan peribadi. Mungkin aku dibesarkan dalam suasana yang tidak memberi sebarang acknowledgement atas apa sahaja pencapaian, serta suasana di mana masyarakat sentiasa bersikap sinis. Pujian bukanlah sebuah pujian kerana pujian itu sendiri tidak pernah wujud.

Lalu aku jadi kekok sendiri apabila ada yang berkata yang muluk-muluk kepada aku. Aku jadi tertanya apa benar aku sebegitu atau ia hanya ungkapan yang membawa erti sebaliknya? Justeru aku selalu terpaksa berfikir beberapa ketika setiapkali ada yang berkata yang baik-baik tentang aku.


---


Lari topik bukan?

Meski sebanyak mana aku tidak sukakan kata-kata ini, sesukar itu juga untuk aku menolak kebenarannya.

Jika empat belas tahun dulu tidak terjadi, aku pasti masih bergantung kepada orang itu dan ini.

Jika aku masih bersama company lama, tentu aku takkan menguasai (kononnya) skil menjahit.

Jika aku tidak berpindah semula ke Selangor selepas berjaya pulang ke Kelantan, tentu aku masih seorang yang kekok ke dapur.

Dan yang penting, tentu aku takkan mencapai dua impian-hampir-mustahil aku.

Pertama, belajar mengurut dan membuat service mobile spa.

Kedua, melibatkan diri dalam dunia penulisan - meski aku masih gagal menyiapkan walau suku manuskrip, namun aku berpeluang menjadi seorang freelance yang mampu 'menyentuh' manuskrip-manuskrip penulis-penulis berpengalaman (serta penulis baru) secara langsung.

Bayaran adalah bonus. Yang lebih penting aku sedang mencicip manisnya sebuah kenyataan.

Dan takdir ini takkan sampai andai kerjaya yang aku bina selama tujuh tahun tidak roboh.

Walau aku seperti bertatih semula selepas tersungkur dan tersembam, namun apa salahnya? 

Aku tidak pernah melihat bertatih itu sebagai satu kesalahan atau sebuah kekurangan. Aku yang bertatih - menapak selangkah demi selangkah, terjelepuk sesekali - jadi apa yang kau susahkan? Bukan kau yang menuntun tanganku, bukan?


---


Pun begitu, aku masih tetap tidak gemar dengan kata-kata ini. Walau sejauh mana benarnya ia. 

Tiada ulasan: