Jumaat, 5 Jun 2026

Novel Review: Selamat Pulang, Bayang

Selamat Pulang, Bayang oleh Husna Rosli.
Terbitan Bookiut, cetakan kali pertama Mei 2024.
Di bawah Bookiut, boleh dibayangkan bagaimana cantik cover depan novel ni. Selamat Pulang, Bayang, yang dicetak timbul nampak ekslusif. Malah dicetak sebanyak lima kali dalam masa 8 bulan. Hebat.

Mungkin sedikit aneh, tapi terbitan Bookiut yang comel lengkap dengan sprayed edges ni buat aku rasa insecure sedikit untuk memilikinya; rasa kurang layak. Tapi, PBAKL 2026, buku ini dijual dengan RM15.00 berbanding RM39.00, maka aku rasa sekarang masanya untuk aku baca.


Ulasan ringkas.

Tentang Dalili yang digambarkan gadis kolej yang innocent, berusaha tampil baik, tapi dibuli oleh duo kawan baik - Camilla dan Eryna, hanya kerana Dalili bertubuh sedikit montel. Sebuah kemalangan menyebabkan Dalili koma, dan begitulah dia bertemu Bayang. Bayang kemudiannya membawa Dalili menelusuri sejarah hidup Camilla dan Eryna. Sehingga akhirnya duo itu menerima balasan setimpal, selepas seorang misteri muncul mendedahkan rahsia mereka kepada umum. Dan di situlah plot twist - manusia berkelubung hitam itu adalah Dalili sendiri. Tapi kisah ini tidak tamat begini. Penulis memilih berpijak di bumi yang nyata sebagai penghujung Selamat Pulang, Bayang. 

Pertama, aku suka dengan pilihan nama watak. Ringkas dan tak aneh. Unik, tapi taklah tahap kau susah nak sebut. Kedua, amaran pada awal buku berkenaan isu buli, isu pemakanan, dan suicidal thought. Ketiga, aku suka nama Antara. Pendek tapi tepat.

Cuma, secara peribadinya aku sedikit terganggu dengan awalan pada beberapa bab. Seakan tiada kesinambungan. Difahami ia mungkin POV watak, tapi terasa seperti penulis 'berebut' menyampaikan idea/pandangan secara terus kepada pembaca, tanpa melalui watak. Pandangan tersebut nampak terlalu zoom out. 
Begitu juga pada sejarah Camilla dan Eryna yang sepatutnya berfungsi menampakkan grey area pada kedua watak hitam itu, mencarikkan pertimbangan pembaca - untuk mengecam, atau berempati. Malangnya kurang sampai. Penceritaan memaklumkan, bukan mengajak mendalami. 

Mungkin juga aku bukan target audien untuk naskhah ini, tapi ia tetap sebuah tulisan yang masih boleh dipuji, terutama pada penamat - penulis memilih untuk membawa pembaca kembali kepada kenyataan; tidak semua angan-angan boleh direalisasikan.

Jika penulis bersedia menerima sedikit cadangan, aku lebih suka jika watak Dalili menerima Bayang lebih diperhalusi. Sesuai dengan tajuknya. Aku nampak potensi Bayang yang lebih kuat, bukan sekadar pembawa Dalili kembali ke masa lalu, dan melihat imbasan masa hadapan. Selaku syaitan kecil, tentu Bayang lebih dari itu.


P/S: Masih belum ketemu corak yang lama, kerana hari ni aku yang baharu.


Ahad, 12 April 2026

The Journey of A People Pleaser - 3

Entry terakhir adalah Disember 2024, kira-kira setahun empat bulan yang lepas.

Hari ni aku sudah jauh berbeza. 

Sudah mampu membiarkan telefon berdering hingga mati sendiri.
Sudah boleh membiarkan ketidaksempurnaan, yang sebelum ini aku pasti akan berusaha sempurnakan, sehingga akhirnya memikul tugasan yang bukan kepunyaan.
Sudah boleh mengabaikan rasa ingin tahu apa terjadi selepas ada yang meminta bantuan.
Sudah boleh memberi bantuan sekadarnya, tidak lagi mengejar extra mile.

Dalam tempoh ini, yang terbesar yang telah aku lakukan adalah dengan cuba membenarkan diri sendiri bahagia - yang mana, tidak lagi mengharap bahagia dengan membahagiakan yang lain.

Tidak mudah, tidak semudah ia aku senaraikan.

Sampai bila siri ini akan berterusan? 
Hingga suatu ketika keinginan untuk 'terpaksa membahagiakan' yang lain itu semakin sirna.


Jumaat, 23 Januari 2026

Rafiq - 1

 "Cikgu Mun..."

Munah hela nafas panjang tiga saat sebelum menoleh.

"Ya, Rafiq. Kenapa?" Tona suara tetap cuba dia lembutkan.

"Nak beghak."

Dua patah jawapan itu membuat Munah melompat. Rafiq segera diheret ke tandas.

"Cepat, buka stokin!"

Tetapi tindakan refleks kanak-kanak empat tahun setengah itu tidak begitu. Bukan stokin, sebaliknya seluar panjang yang dilorotnya.

Munah terjerit. Namun sempat menolak kanak-kanak itu masuk ke tandas.

Rafiq yang berbadan agak gempal, bersusah-payah memanjat naik tandas dan mencari posisi duduk yang selesa. Spontan juga ibu jarinya dimasukkan ke mulut. Memerut sambil menghisap jari.

Sungguh, Munah terasa loya melihat adegan sebabak itu. Rasa nak terkeluar semula sarapannya pagi tadi.

Hampir sepuluh minit Munah menunggu di luar tandas tetapi tiada tanda-tanda Rafiq sudah selesai.

"Rafiq, sudah ke belum?"

"Belum."

Lima minit kemudian, Munah menolak daun pintu. Sabarnya sudah senipis kulit bawang.

"Dah, dah. Nak berak lama-lama balik rumah. Cuci sekarang!"

Rafiq - masih berwajah polos, dengan jari masih di dalam mulut. Munah ketap bibir sambil menarik getah paip.

"Cepat cuci, cikgu siramkan."

Rafiq melihat kedua belah tangan, cuba memastikan tangan yang mana patut digunakan.

Munah menjulingkan bebola matanya ke atas. Boleh darah tinggi hari-hari macam ni, desisnya dalam hati. Namun tetap juga dia membantu Rafiq membersihkan diri.

Sabtu, 7 Jun 2025

Novel Review : Serunai Maut 1 dan 2

Serunai Maut 1 dan 2
Tulisan Leena Syiha
Terbitan Mangosteen 
Cetakan Pertama Mei 2025 

Ini adalah pandangan peribadi dari sudut seorang pembaca, sekian. Dan, ia panjang. 


Sedikit ringkasan, mungkin ada sedikit spoiler.


Serunai Maut (SM) adalah tentang kepercayaan kepada dewa Serunai Maut - yang mana lampu tidak boleh dipasang pada waktu malam, hanya sebatang lilin dibenarkan. Jika diingkari, Serunai Maut akan mengalunkan bunyinya dan semua yang mendengar akan mati. Mayat mereka pula seolah mati terbakar, dan mereput dengan lebih pantas - selepas dua hari mayat itu langsung menjadi debu, jika tidak dipedulikan, ditiup angin dan hilang tanpa jejak.

Ini kisah 40 tahun lalu - peristiwa yang berlaku di Pulau Jerjak. Namun kerana kedegilan dua lelaki yang mahu membuktikan ia hanya mitos, peristiwa itu berulang - semua penumpang kapal, kali ini lebih 1200 meninggal dunia, manakala seorang lagi tidak ditemui - Linda. Dunia menjadi kecoh, kerana hampir kesemua 1200 tersebut adalah orang-orang kaya yang menaiki kapal persiaran mewah.

Team Henry yang membuat siasatan bagaimanapun menemui jalan buntu apabila semua penduduk mengaitkan hal tersebut dengan kepercayaan kepada Serunai Maut. Henry terpaksa menjejak Falah - salah seorang anak buahnya, merangkap adik iparnya, yang lebih cekap, namun sudah tiga tahun menghilangkan diri setelah dihalau mamanya yang terlepas cakap semasa mabuk.

Falah yang sedang memantapkan ilmu agama di Indonesia, berjaya ditemui dan bersetuju menolong Henry. 

Namun kehadiran Falah juga tidak banyak membantu sehingga menyebabkan pihak atasan membubarkan team Henry dan kes tersebut diambil alih oleh team lain. Henry, Iman (isteri Henry, kakak kepada Falah, salah seorang anggota penyiasat di bawah Henry), serta Falah memilih kekal di Pulau Jerjak buat seketika.

Falah lebih berminat menyampaikan dakwah kepada penduduk Pulau Jerjak yang nyata menyembah Dewa Serunai Maut, manakala Henry lebih kepada penyiasatannya.

Kedatangan Falah ke kampung tersebut tidak disukai penduduk, malah ketiga-tiga mereka juga diganggu entiti lain yang tidak suka dengan niat Falah. Dalam masa yang sama, Iman tetap dengan egonya enggan berdamai dengan Falah, manakala Falah pula hanya melayan kakaknya seperti biasa.

Apabila muncul gangguan demi gangguan, Henry dan Iman mulai solat. Iman sudah mulai lembut hati melihatkan adiknya tidak lagi rigid seperti tiga tahun dulu, di peringkat awal perubahan Falah di mana Falah sering menyuruhnya solat.

Kemuncaknya apabila anak kecil bernama Nuna, cucu penghulu, yang rapat dengan ketiga mereka, ditemui mati terbakar - mirip mayat di kapal mewah. Ketiga mereka terpaksa meninggalkan kampung tersebut, namun kali ini dengan bantuan Tok Penghulu, yang rupanya adalah Doktor Razak - satu-satunya terselamat dalam kematian 40 tahun lalu.

Dr Razak dipaksa menjadi hamba kepada Nona - peniup Serunai Maut, seterusnya menyampaikan mitos tersebut. Sebagai balasan, kampung tersebut aman damai dan mewah dengan pelbagai hasil.

SM 2 bermula dengan perjalanan ketiga mereka mencari Nona, berpandukan lakaran peta dari Dr Razak - yang sudah pun kembali kepada Islam.

Perjalanan yang dijangka memakan masa empat hari itu dimulai dengan pertemuan mereka dengan seorang gadis yang mirip Linda, tetapi mengakui bahawa dia adalah Nona - tinggal bersama neneknya di dalam hutan.

Dari awal perjalanan ini berhadapan dengan pelbagai gangguan yang pelbagai - kematian tiba-tiba nenek Nona, seterusnya perubahan Falah. Plot berkembang pantas dari sini.

SM 2 lebih padat dengan aksi dan pertempuran, meski kematian Jibt - agak mudah.


Pandangan peribadi.

Kedua-dua SM 1 dan 2 menggunakan teknik plot yang hampir sama - iaitu agak perlahan pada peringkat awal. Tidaklah sehingga menimbulkan kebosanan, masih mampu mengekalkan bacaan.

Untuk soalan - wajarkah sehingga dua jilid? 

Jawapan pendek - ya, wajar. SM boleh dikatakan tidak lewah, hanya sedikit pada bab-bab terakhir. Mungkin penulis ingin memberi penutup yang wajar buat kesemua watak - terutamanya Falah dan Linda. Namun andai kata tidak diberi perincian yang sedemikian rupa, secara peribadinya ia lebih memberi impak kepada pembaca.

Cuma, dalam tulisan sepanjang hampir 900 ms ini, rasanya masih ada beberapa yang tidak dijelaskan.

1. Dalam SM 1, Falah menyebut beberapa kali bahawa dia gemar berpoya-poya sebelum dia berubah menjadi Falah yang sekarang. Tapi tidak dijelaskan berpoya-poya itu di tahap yang mana. Malah dia sendiri terkejut apabila melihat mamanya mabuk. Justeru, berpoya-poya di sini sehingga peringkat apa sebenarnya?

2. Bagaimana tiba-tiba Falah berubah? Dalam SM 2, semasa letusan emosi Falah ada menyebut sejak kematian abang dan ayahnya. Tapi hanya sebaris itu - tiada sebarang penjelasan lain.

3. Falah - masihkah seorang tentera? Memandangkan tidak semua pembaca arif tentang tentera dan ketenteraan, mengharapkan agar ada sedikit ulasan realistik tentang bagaimana Falah boleh menghilang selama tiga tahun, muncul semula membantu siasatan, dan hilang kembali bertahun-tahun. 

4. Timeline pada beberapa bab terakhir dan perubahan/perkembangan Linda.

Naratif mengatakan sudah dua tahun Falah tak hubungi mereka, manakala Iman mengatakan dua tahun lebih. Tapi Linda, dari 22 tahun ke 25 tahun. Hal kecil, tapi hal-hal kecil sebegini adakala menganggu pace bacaan sedikit.

Perubahan Linda. Dalam 2-3 tahun, punya syarikat sendiri, malah dijemput ke majlis-majlis ilmu untuk menyampaikan nasihat.
Atas kapasiti apa? Jika atas dasar satu-satunya mangsa terselamat dalam kematian lebih 1200 penumpang kapal - agak tidak logik kerana kesemua Henry, Iman, dan Falah bersepakat akan merahsiakan hal sebenar dari umum.
Jika Linda sambung pengajian sekalipun, 3 tahun hanya cukup untuk tamatkan pelajaran peringkat diploma/ijazah. 
Ini, jujurnya mengganggu bacaan.

Secara peribadi, tak ada salahnya kalau Linda sekadar mulai hidup semula. Tetapi Linda seperti dipaksa menjadi lebih hebat supaya tidak janggal jika dipasangkan dengan Falah.

Sebaliknya, aku lebih mengharapkan beberapa bab terakhir digunakan untuk ceritakan lebih terperinci tentang perubahan Falah tiga tahun sebelum dia menghilang. 

Tidak semua pembeli SM datang dari sejuta pembaca Wattpad. Justeru tidak semua mengenali Falah, Iman, atau Henry. Dan, SM ni RM45 sebuah. Jadi dengan RM90 yang pembeli laburkan, aku kira win-win jika pembaca tak perlu merujuk Wattpad hanya untuk memahami apa berlaku antara Falah dan keluarganya sebelum berlakunya perubahan Falah.

Kesimpulan - Serunai Maut sekali imbas seperti gabungan Sunan dan Anding Ayangan. Tidak berniat menyamakan, tetapi itu yang dirasakan. Kata Gen Z, their vibe is similar. Semoga tak salah grammar.



P/S: Mangosteen kecik di penjuru kanan atas muka depan, cantik betul!


#serunaimaut #serunaimaut2 #reviewserunaimaut 

Isnin, 23 Disember 2024

The Journey of A People Pleaser - 2

Langkah yang paling sukar adalah langkah pertama. Walaupun aku dah pandai menolak, pandai mengatakan tidak, tapi kesannya masih sangat besar.

Terpikir-fikir, adakah aku sudah menyusahkan orang lain? Telah meletakkan orang lain dalam situasi yang sukar dan susah? Dan pemikiran ini tidak hilang dalam masa beberapa minit, ia berlarutan berhari-hari. Dalam masa beberapa hari ini aku akan tenggelam dalam gelodak emosi yang tidak sedikit, ada waktu membawa kepada tangisan yang memeritkan.

Ternyata, yang aku kira aku sudah mula meninggalkan tabiat people pleaser, rupanya baru selangkah cuma. Dan dengan segera aku tertarik semula ke kancah yang sama. Lebih pedih, tanpa aku sedar sehinggalah aku sudah terjerumus semula. 

Jadilah aku terperangkap dalam loop yang sama - selangkah keluar, jatuh semula ke juram. Bangkit lagi, jatuh lagi. Dan lagi, lagi dan lagi.


---


Penat. 

Tapi bak kata seseorang, ini perjuangan yang pasti memakan masa yang panjang. 

Maka, aku enggan berhenti. Mungkin akan adanya jeda, tapi selaku manusia, ia biasa. 

Mungkin akan terguris dek onak dan duri, maka berehat sebentar juga biasa.

Mungkin akan kecewa dan terluka, berhenti seketika melempias duka, juga biasa.


Yang penting aku takkan berhenti di sini. Meski perjuangan ini hanya sendiri.



Khamis, 12 September 2024

The Journey of A People Pleaser - 1

People pleaser (PP) - yang mencicip bahagia setelah mendapat pengesahan dari yang lain. Yang lain itu merangkumi pelbagai aspek, individu kebiasaannya - sama ada individu terdekat ataupun sekadar seseorang yang baru dikenali.

Asas hidup seorang people pleaser ialah memastikan orang lain dapat mencapai impian dan cita-cita mereka. Kemahuan sendiri sentiasa berada di kedudukan terakhir, kerana keutamaan mereka adalah memenuhi kehendak yang lain.

People pleaser tidak akan menolak sebarang permintaan bantuan oleh yang lain. Perkataan 'tidak boleh' atau 'tidak' tidak ada dalam kamus hidup seorang people pleaser.

Aku adalah salah seorang people pleaser itu, yang sedang bergelut keluar - People Pleaser Fighter.


--------------------------------------------------------------------------------------------


Mungkin aku memang dilahirkan sebagai seorang people pleaser. 

Sejak kecil aku sentiasa mahu membantu yang lain. Dan gembira apabila bantuan aku akhirnya membantu merealisasikan cita-cita dan impian yang lain. Aku dapati aku juga tersenyum melihat senyuman mereka. Justeru aku kira, mungkin ini maksudnya berbahagia atas kebahagiaan orang lain.

Meski selepas itu selalunya aku akan dicampak ke tepi, atau acapkali akan dianggap tidak wujud. Sehingga suatu ketika aku kategorikan diri sebagai kawan sedih, bukan kawan gembira. Kebetulan pula nama aku sendiri bermaksud Cahaya Penambahan - yang selalu aku definisikan sebagai 'tanpa aku dunia bergerak seperti biasa tapi adanya aku dunia akan lebih berwarna-warni'.

Perasan, ya begitulah.

Maka jadilah aku 'si kawan sedih' - dicari saat mahu meluahkan, atau saat memerlukan bantuan dan pertolongan, dan sebaik sahaja segalanya dilepaskan, atau matlamat sudah tercapai, aku akan dilepaskan dan terbanglah aku tanpa ibarat layang terputus talinya.

Sedihnya, aku pernah berada di fasa di mana aku menganggap gelaran itu sebagai sesuatu yang normal. 

Didekati hanya kerana punyai sesuatu yang mereka mahukan, dan mereka melangkah pergi tanpa pamit setelah segalanya diperolehi. Menjadi hampas kelapa yang dibuang selepas santannya diperah habis. Adakalanya dikutip semula hanya untuk diperah sedapat yang boleh sebelum dicampak sekali lagi.

Kitaran ini berulang, lagi dan lagi. Sehingga akhirnya umur pun sudah hampir mencecah empat dekad.




Selasa, 18 Jun 2024

Penat

Penat, sungguh terasa tenaga dan semangat disedut dek sebuah lohong hitam. 

Namun beginilah hakikat. Menongkah arus tidak pernah mudah. Ia menuntut tenaga yang bukan sedikit, malah memerlukan pula pengorbanan yang cukup besar.

Walaupun di akhirnya nanti tetaplah sang lembu yang sirna namanya dek sang sapi yang dijulang sebagai perwira. 

Menyakitkan, tetapi perlu juga berdamai dengan rasa itu. Kerana di penghujungnya bukan nama yang dicari, sebaliknya sebatang sungai yang airnya sejuk dan tidak memabukkan. 

Khamis, 28 Mac 2024

Penghujung Mac 2024

Selepas berkobar-kobar membuat entry di hari pertama tahun baru, kesibukan (dan ketakutan) terus membelenggu hingga sekali lagi amat sukar singgah di sini. 

Singgah itu sentiasa, tapi untuk meninggalkan jejak, ketakutan dan kerisauan yang sama kembali membungkus diri.

Januari aku dipenuhi program Konvo Daerah yang melibatkan 30 kelas semuanya. Sebuah program berskala besar yang kali pertama aku depani. Diikuti pula dengan Team Building yang melibatkan semua guru dan penolong guru. 

Tamat Team Building, sambung persekolahan seminggu lagi - yang juga amat sibuk. Terus disambung dengan cuti sekolah yang mana aku kembali ke kampung.

Meskipun kedengaran melegakan tapi jujurnya tidak. Kembali ke sini, aku terus ke kelas membuat pelbagai persiapan - dari keadaan kelas hinggalah kemaskini dokumen tujuh tahun ke belakang. Kelas aku akan kenaziran tahun ini, justeru persiapan yang amat ampuh perlu dibuat.

Baki cuti tiga minggu semuanya hanya di kelas - hinggalah aku tersedar aku bukan lagi si gadis 20-an dengan tenaga tanpa had.

Tekanan akhirnya menyebabkan eczema di kaki, kembali. Berdengkot-dengkot berjalan hingga akhirnya ia membengkak. Puasa sudahpun bermula waktu itu, tapi akhirnya terpaksa juga ke klinik dan mengambil antibiotik. Mujurlah hanya dua kali sehari, maka berjaya aku pertahankan puasa.

Kaki mulai elok, tiba-tiba batuk pula datang. Sehingga entry ini ditulis pada 17 Ramadan, aku masih sedang batuk. Ada malam-malam yang mana hanya mampu tidur menjelang empat pagi kerana batuk yang henti. Ubat sudah masuk botol ketiga, cuma itulah, kesihatan itu masih belum kembali.

Maka begitulah sepanjang tiga bulan ini.

Jika tiada perubahan kelas aku akan dinazir pertengahan Jun nanti, seminggu sebelum Raya Haji. Sehingga detik itu, maka berkejarlah aku dengan waktu.


Isnin, 1 Januari 2024

Lembaran 2024

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2024. 

Agak jarang aku terus membuat entry seawal hari pertama tahun baru.


Cuti tahun baru memandangkan masih di Selangor. Akan datang, belum pasti sama ada masih berusia panjang dan masih di bumi yang menyambut tahun baru sebagai cuti umum.

Lebih enam tahun dulu, kami sekeluarga ke Selangor dengan satu matlamat - menyelesaikan hutang dan komitmen. Meski sudah pun berada di bumi Kelantan waktu itu, tapi bahagia yang kami cari tidak kunjung tiba. Mungkin juga kerana cara kami mencari bahagia tidak kena dengan caranya.

Tiba di Selangor, tak sangka pula bertimpa-timpa juga dugaan yang datang. Berpindah-randah dalam masa hanya dua tahun, terperdaya oleh pemilik-pemilik rumah, deposit yang tidak dipulangkan, dikenakan caj yang bermacam, sehingga akhirnya tiba di Pelabuhan Klang. Baru beberapa bulan di sini, PKP pula muncul. 

Tapi di sini akhirnya aku mendapat pekerjaan - yang sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran. Malah, impian sekian lama terlaksana di sini. Dan, dalam PKP, rupanya Allah lorongkan rezeki untuk berjaya selesaikan hutang beberapa tahun lebih awal. Serta, diberi peluang pula untuk mencicip pelbagai rezeki lain.

Jujurnya ia adalah proses mendewasakan seorang aku.


Kami masih kekal di sini meski hutang piutang sudah selesai. Rancangan untuk pulang ke kampung di sisi orang tua masih ada. Masih segar walaupun ada waktu impian yang  satu itu nampak samar dan kabur. Pekerjaan aku selaku seorang penolong guru tabika nampaknya antara yang membejat keinginan itu. 

Sama ada aku melepaskan peluang yang cukup sukar aku capai ini, atau aku mohon sahaja pertukaran. Cuma, seperti yang umum maklum, menembus masuk ke Kelantan adalah cukup sukar. Tapi aku selalu yakin andai Allah berkehendak, urusan itu terlalu mudah bagi-Nya. 

Perjalanan hidup aku sehingga hari ini - adalah bukti paling kukuh. Allah sentiasa memberikan yang terbaik, tepat pada masanya. 


Maka beginilah aku membuka lembaran tahun baru, dengan azam menjadi yang lebih baik. Insya-Allah.


Sabtu, 2 Disember 2023

Tolak

Aku perasan, masalah utama aku bukanlah sepenuhnya sukar mengatakan tidak, atau menolak sebarang permintaan. Sebaliknya, ia jadi sukar untuk menolak apabila permintaan tu menarik minat aku.

Contohnya, kakak yang pernah minta aku semakkan akaun dia, walaupun aku dah tolak, tapi dia tanya lagi beberapa hari ni.

Aku sedar yang aku tertarik nak selesaikan masalah akaun dia yang tak tally tu. Aku teringin nak cari kat mana silapnya. 

Lalu, aku cuma terdiam mendengar dia bercerita. 

Nyaris menjawab ya, tapi sejak akhir-akhir ni aku pandai sikit mengunci mulut dan menangguhkan percakapan. Dapatlah elakkan badan binasa dek mulut.

Sebelum tu pula, lepas hantar penilaian yang terakhir beberapa hari lepas (yang aku dah mohon masa tambahan sebanyak dua hari), aku dah berniat akan mulakan balik penilaian selepas tamat majlis Selasa nanti.

Tapi tiba-tiba editor bertanya adakah aku boleh buat penilaian segera. 'Segera' selalunya tiga ke empat hari. 

Aku agak terkejut masih ada sebahagian pertimbangan yang mahu menjawab ya. Tentu manuskrip yang menarik, kan. Tak sabar berkenalan dengan watak. 

Mujurlah kewarasan masih mendominasi, lalu aku maklumkan aku agak sibuk untuk menerima tugasan tersebut. Dan editor terbuka sahaja menerima jawapan itu. 


----

Nampaknya aku boleh berjaya mengatakan tidak, cuma masih perlu melatih kewarasan supaya lebih menguasai keadaan.

Begitulah.

Oh ya, selepas lima bekas tahun, beberapa hari lepas aku kemalangan. Alhamdulillah aku ok. Motor pun ok. Aku pun tak jatuh, masih tegak berdiri. Cuma ya menggigil sedikit. 


Rabu, 8 November 2023

Takut Apa

Sebenarnya apa yang aku takutkan?

Lebih sepuluh kali aku menaip di laman ini, pelbagai tajuk, pelbagai gaya, pelbagai cara. Tapi semuanya berkesudahan dengan control + A diikuti butang delete/ clear.

Ini laman aku.

Selagi aku tidak menyalahi agama dan undang-undang, apalah yang aku risaukan?

Jadi untuk kali ini, sementara keyakinan ini bersisa...

Hai dunia.

Aku penolong tabika sepenuh masa, dan penilai manuskrip separuh masa.

Kedua-duanya aku suka.

Yang pertama, aku masih sedang terokai. 

Yang kedua, adalah sebuah impian yang menjadi nyata. Ah tak kiralah ia hanya sebuah pekerjaan yang tidak membanggakan atau apa, ia adalah bukti aku tidak pernah berseloroh dengan cinta terhadap bacaan dan penulisan.

Insya-Allah suatu ketika nanti aku akan mencari kesempatan meningkatkan diri untuk yang kedua ini.

Yang ketiga, oh aku suka kopi. Dan jika teringin menasihatkan aku bahawa kopi dan migrain tidak seiringan, mohon berkenalan lebih lanjut tentang mereka. Mungkin kau pula yang jatuh hati nanti? 

Kuncinya kan, bersederhana.



Adios!

Jumaat, 22 September 2023

Langkah

Sepuluh tahun lepas, aku menikmati masa aman bekerja. Seorang customer service yang menjawab sehingga 150 panggilan setiap hari.

Namun persekitaran kerja yang tidak menekan membuat aku berasakan apalah itu semua. Sela lima enam detik antara panggilan pun sudah cukup untuk aku membelek sehelai dua novel. 

Enam ke tujuh tahun lepas pula adalah tempoh paling bawah yang pernah aku lalui. Tiada siapa mahu mengerti malah rata-rata meletakkan aku terlalu emosi dalam menghadapi cabaran sebuah kehidupan. Lalu hiduplah aku bak jasad tanpa jiwa. Meracun rasa hari demi hari. 

Mendaki itu payah meski menuruni lembah juga tidak mudah. Yang pasti mengorak semula langkah setelah jatuh terperosok itu jelasnya susah.

Namun kematangan yang sedikit itu buat aku lebih tenang menapak. Walau tidak setinggi puncak yang pernah aku tawani suatu masa dulu namun kali ini matlamat aku juga sudah berbeza.

Yang pasti segala pahit ubat dan tusukan duri yang dulunya aku kira amat menyakitkan itu rupanya buat aku jadi mangli.

Cuma rendah diri yang terpasak dalam itu masih sedikit ngilu bila cuba aku tarik keluar. Sesekali bercucuran juga air mata apabila perit pedih dan jerihnya mencuba terasa amat sukar.

Ah, itu bukti aku seorang manusia bukan.

Hari ini, bila aku nekad mendahulukan diri sendiri sebelum yang lain, bila aku cekal mahu meninggalkan kebiasaan mengutamakan kebahagiaan yang lain, hati jadi berbaur. 

Merasakan diri tiada timbang rasa dan kejam. 

Merasakan diri berlagak dengan ilmu sezarah di dada.

Namun, sampai bila pula aku mahu mengorbankan diri demi sebuah ucapan terima kasih dan senyum mesra?

Diperlukan waktu hari kelam, dan diabaikan apabila mentari menyilau pandangan?

Diperah susu hingga ke titisan terakhir, sedang sapi yang dijulang namanya?


---


Mungkin aku memang sedang berada di jalan yang benar.

Aku kira, aku di jalan yang benar, dengan izin Tuhan Semesta Alam.

Sabtu, 19 Ogos 2023

Tamat

Entry sebelum ni melankolik betul.

Tak lama lepas publish entry tersebut, tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.

Selama ni aku sangka aku ditinggalkan kesayangan, enggan lagi bersembang tentang tulisan, buku, dan novel.

Sedang aku sendiri sentiasa berteriak biar aku jalani hidup singkat ini dengan cara tersendiri, ironinya aku yang enggan melepaskan kesayangan aku untuk turut menikmati hidupnya seperti yang dia mahukan.

Mungkin titik pertemuan kami sudah temui jalan penamat. Matlamatnya sudah berubah. Maka melenconglah dia ke arah berbeza. 

Jadi aku juga wajarnya begitu. Wajar gembira kerana akhirnya dia sudah mulai boleh hidup semahunya dia, meski panjang sungguh perjalanannya menempuh onak.



----


Aku juga tidak akan mengalah. Ayuhlah melangkah. Biar lambat asal tetap bermula.

Jumaat, 4 Ogos 2023

Alone

Menulis dan membaca adalah dua hal yang boleh buat aku tenggelam - jauh dari realiti.

Terlibat dalam urusan keduanya, meski sebesar hama cuma, masih tetap membawa nilai besar untuk aku.

Kenyataan yang sedang aku depani hari ini jujurnya amat di luar jangkaan, tidak pernah terfikir aku di sini. 

Namun, kala aku mencicip manisnya angan-angan yang menjadi nyata, rupanya terpaksa aku telan dengan pahitnya menikmatinya sendiri.

Masih ada yang berbahagia bersama, cuma bila sokongan yang paling diharapkan tidak lagi menjadi tulang belakang, ada sedikit rasa sedih yang berputik.

Tidaklah aku terkilan kerana pengalaman sedikit sebanyak mengajar tiada yang kekal. Lalu aku memilih untuk terus ke depan sahaja. 

Setiap hari masa yang tinggal semakin sedikit, biarlah yang sedikit ini aku syukuri seadanya ia.

Ahad, 16 Julai 2023

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit (Bahagian 2)

Hari kedua, hujan lebat sejak 6:30 pagi.

Sambil menjinjit satu set persalinan lebih termasuk kasut, aku sarung sahaja baju hujan. 

Baru 10km perjalanan, berhenti seketika di bawah jambatan bersama penunggang-penunggang lain. Nun di depan, hujan memutih. Lima minit kemudian aku nekad sahaja meredah hujan apalagi melihatkan air sudah mula bertakung.

Kali ini telefon terpaksa disimpan terus, maka menungganglah aku hanya dengan ingatan dan panduan signboard. Alhamdulillah selamat tiba kira-kira satu jam dua puluh minit kemudian. Kaki seluar basah sedikit namun kasut, lencun pastinya. Di leher juga sedikit basah akibat span helmet yang meresap air. Namun kelebihan pula mengenakan selendang kerana nanti ia boleh dililit semula.

Menyangkakan semuanya sudah selesai, aku menapak masuk. Terlupa sebahagian tapak kasut sudah haus - bertemu dengan lantai yang licin pula. Berdebuk aku jatuh betul-betul di pintu masuk. Aduh...

Bengkel hari kedua tamat dengan aman, aku pula terlebih yakin balik tanpa membuka maps. Selamat sampai alhamdulillah.

Hari ketiga sudah yang terakhir, maka sedikit teruja. Bakal tamat perjalanan 100km sehari nampaknya.

Tapi tidak. Pagi ketiga juga hujan turun mencurah-curah. Lalu sekali lagi terpaksalah mengenakan baju hujan.

Yang paling sukar untuk aku apabila hujan bukanlah berkenaan baju hujan, atau helmet, tetapi visor. Memandangkan aku bercermin mata dengan rabun yang lebih 600, maka terpaksa aku korbankan penggunaan visor. Jika gerimis tak mengapa, tapi apabila hujan yang titisnya tirus dan tajam, aduh pedihnya muka.

Hari ketiga ini boleh pula aku tersilap masuk ke Presint 11. Beberapa kilometer juga terlajak jauhnya barulah tiba di Kompleks E2, Presint 1, Putrajaya. 

Hari terakhir ini adanya pembentangan kumpulan. Selesai semuanya kami dibenarkan pulang. Awal dari hari-hari sebelumnya. 

Dugaan lagi, kali ini perjalanan pulang juga hujan. Namun keterujaan bengkel sudah tamat, sengaja aku menempuh jalan berbeza. Nah lajaknya entah berapa jauh. Perjalanan yang selalunya tujuh puluh minit, kali ini mencecah sejam setengah. 

Berakhirlah perjalanan tiga ratus enam puluh kilometer dengan merempit. Andai tertanya mengapa tidak aku memandu, sesungguhnya agak sukar untuk soalan itu aku jawab.

Aku punya lesen D, namun kali terakhir aku memandu adalah pada 2016 mungkin. Mungkin lebih mudah jika aku katakan aku tidak mahir memandu. Enggan keluar dari zon selesa menunggang.

Jawapan lain - kami hanya punya satu kereta dan satu motosikal. Maka ayah Aisyah memandu manakala aku menunggang. Jika aku takut dan tidak yakin memandu, maka hal yang sama buat ayah Aisyah - tidak yakin menunggang.

Basah? Ia adalah pakej kepada menunggang, sepertimana kesesakan itu pakej apabila memandu.

Tiga Ratus Enam Puluh Kilometer - Versi Rempit

Ada kursus yang perlu dihadiri selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat lepas bertempat di Putrajaya dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang.

Mulanya aku fikir mahu tumpang sahaja kawan-kawan yang lain memandangkan agak sukar untuk aku menunggang dari Pelabuhan Klang ke Putrajaya. Dari aplikasi map, Pelabuhan Klang ke Putrajaya jaraknya kira-kira 50km. Bermaksud perjalanan pergi dan balik pastinya lebih 100km. Sudah terlalu lama aku tidak menunggang sejauh itu. Malah kali terakhir menunggang ke Kepong sejauh 54km pun didorong oleh adrenalin. Itu pun empat tahun yang lepas.

Namun hasrat itu terkubur apabila mendapati hanya aku dan seorang lagi pegawai yang perlu menghadiri kursus tersebut.

Dari pegawai tersebut aku dapati nama aku adalah calon ketiga, apabila calon pertama bakal menghadapi audit manakala calon kedua pula menolak sambil mencadangkan nama aku. Alasannya sudah masanya pegawai memilih nama baru untuk kursus sebegitu - sampai bila segala-galanya mahu diserahkan kepada orang lama, katanya.

Maka begitulah nama aku tiba-tiba tersenarai mewakili Selangor untuk Bengkel Penyediaan Modul Makanan Berkhasiat (khusus kanak-kanak empat hingga enam tahun). Jujurnya aku bukan yang terbaik sebagai wakil kerana dada masih kosong, hanya semangat yang berkobar-kobar. Terpaksalah buat-buat menganggap aku sedang memecahkan ruyung demi mendapatkan sagunya.

Bersama susah ada senang, bukan. Begitulah buat-buat reda.


---

Hari pertama kursus, aku hantar Aisyah seperti biasa ke sekolah agama, sedikit awal dari biasa. Kemudian berpandukan map di telefon yang aku letakkan dalam bakul motosikal, aku nekad sahaja menghala ke Putrajaya. Alhamdulillah tiba dengan selamat. Oh ya, tersilap masuk simpang sebanyak dua kali. Mujurlah tak jauh untuk u-turn semula. Amat hebat pula kalau sekali pergi dah tiba dengan sempurna, bukan.

Aisyah aku transitkan di kelas, dengan bantuan guru kelas yang sangat memahami, serta transport Aisyah yang sangat baik juga. Aisyah selamat ke sekolah petang seperti biasa.

Di kala menyangka semuanya aman hingga ke petang, gerimis menyapa tiba-tiba. Kurang sejam bengkel tamat, terima panggilan dari guru kelas Aisyah. Aisyah sakit perut, dua kali datang mengadu. Kali kedua datang mengadu sambil menangis.

Selaku ibu beranak satu, rasa panik yang datang agak berlebihan. Apatah lagi Aisyah bukan sejenis yang mudah menangis dek rasa sakit. 

Mulanya merancang mohon transport ambil Aisyah dan minta Aisyah ke rumah jiran, tapi kata jiran, lif rosak. Membayangkan kanak-kanak lapan tahun yang sedang sakit memanjat anak tangga ke tingkat lapan terasa ngeri. Ayah Aisyah pula sedang dalam perjalanan dari Melaka. 

Pilihan terakhir aku mohon balik awal dari bengkel. Alhamdulillah dibenarkan.

Muncul pula masalah kedua - aku tak tahu jalan balik ke Pelabuhan Klang. Berpandukan aplikasi map, aku berpusing agak jauh. Dalam masa lima belas minit, jarak di aplikasi map langsung tidak berkurang. Langit di atas pula amat gelap; kelabu yang hampir hitam warnanya. Membayangkan apabila kandungannya tumpah aku pasti lencun dalam masa sepuluh saat - dibasahi titik-titik besar sebesar ibu jari. Ah hiperbola!

Pasrah, aku simpan telefon ke dalam poket beg. Berpandukan rasa hati sahaja menunggang pulang. Alhamdulillah tidka pula asyik tersilap seperti sebelumnya. Barangkali sepenuh harapan sudah bergantung kepada Tuhan. Sempat juga basah sedikit namun tiba di Shah Alam langit semakin cerah. Masuk lebuhraya KESAS aku sudah boleh menghela nafas lega. 

Tiba di sekolah Aisyah mencecah 5:40 petang - hanya setengah jam sebelum sesi persekolahan tamat. Setelah ke klinik malamnya, Aisyah diberikan cuti sakit selama dua hari. Terpaksa mohon bantuan jiran untuk jagakan Aisyah dalam tempoh itu.

Jujurnya sejak ketiadaan jiran yang menjaga Aisyah lebih setahun yang lepas, Aisyah tak pernah aku tinggalkan kepada sesiapa. Lantas memohon pertolongan sebegini amat kekok sebenarnya. Tapi mujurlah jiran tersebut sudi jagakan Aisyah.

Hari kedua kursus, hujan mencurah lebat sejak 6:30 pagi tanpa ada tanda-tanda bakal berhenti....

Selasa, 2 Mei 2023

Disposable

Sekelip mata sahaja boleh jadi insignificant.
Maka itulah yang sedang berlaku.

Meski sudah sedikit bersedia namun masih juga disapa pawana kecewa. Sepoi-sepoi bahasa - sekadar menunjukkan ia ada.

Maka sekali lagi marilah menapak keluar dari zon ini.

Kerana diriku, begitu berharga. Gittewwww



Jumaat, 10 Mac 2023

Extra Mile - No

I don't have to go extra mile and do things I'm not supposed to. Contohnya redo kesemua dari Julai 2022 hingga Feb 2023.

People make mistakes. And the best way to avoid the mistake in future is by learning from it - say, fix it by yourself. 

I can help, but too much help sometimes can be mistaken as a nuisance. And I hate being called one. So I'll just sit back and just let the person know about the mistakes since I was asked to check.


-----


Ia bermula dengan aku membantu kerana cermin pandang sisiku lebih jelas berbanding yang lain. Tapi tidak lama kemudian tiba-tiba ia menjadi tugasku untuk selalu membantu, hingga adakala hak kepada diri sendiri jadi nombor dua.

Suatu ketika, ini adalah hal yang pasti menggembirakan aku. Tapi mungkin aku sudah semakin matang barangkali, aku lebih tahu bila perlu perlahankan larian. Tujuan utama kini bukanlah garis penamat, tapi lebih kepada menikmati perjalanan. 

Justeru sebelum benar-benar menjadi bola, aku lebih dulu menarik diri. Matlamat jangkamasa pendek sudah aku capai. Malah beberapa pandangan sinis sudah aku tempelak.

Pekerjaan baru ini, aku hanya mahu bekerja semampunya. Tidak mengharapkan terciptanya persahabatan - andai ada, aku alu-alukan. Selebihnya, aku hanya mahu bekerja. 

Isnin, 30 Januari 2023

Novel Review - Selamat Malam Tan Sri by Sri Diah (Cetakan 2017)

Kali pertama novel ini diterbitkan adalah pada 1999 - seterusnya cetakan ke-7 pada 2017 diberi sedikit pengubahsuaian selaras perkembangan semasa (aku kira dari penggunaan teknologi kerana ada disebut tentang aplikasi WhatsApp dan seumpamanya), namun dikatakan mengekalkan jalan ceritanya.

Dari sudut seorang pembaca, aku jujurnya agak kecewa kerana terdapat banyak kesalahan ejaan meski pada cetakan ke-7. Seolah perubahan yang dibuat dilakukan secara semborono sahaja tanpa membuat semakan sepenuhnya secara wajar. Malah, ada juga terdapat kesalahan ayat, serta paling mengecewakan adalah kesilapan nama watak yang bukan satu dua kejumpaan. Juga tidak konsisten dalam penggunaan nama watak - sekejap Hanim sekejap pula Hanim Hanani. Buatlah keputusan yang tepat wahai Puan Penulis yang bijaksana, mahu di-Hanim-kan atau di-Hanim Hanani-kan.

Selamat Malam Tan Sri pada aku mengangkat tema yang menarik dan taboo - poligami. Manakala watak-wataknya juga amat dekat dengan realiti. 

Watak Tan Sri Rahman Shah adalah seorang lelaki yang layak serba-serbi untuk beristeri lebih dari satu. Meski watak ini nampak sempurna dengan isteri keduanya seorang bekas ratu cantik, namun selayaknya lelaki dia tetap terpikat kepada Hanim Hanani si wartawan yang entah tiba-tiba muncul.

Hanim juga tidaklah digambarkan wanita Melayu terakhir yang enggan terlibat dengan suami orang, sebaliknya watak ini sejak awal sudah menimbang tara apakah dia punyai peluang berada di sisi Tan Sri - meski yang mendorongnya adalah semata-mata perasaan suka, tetapi tetap juga mengakui kedudukan dan kredibiliti Tan Sri turut memainkan peranan.

Dihidangkan dengan nasihat berupa halangan agar jangan bermain api, sehingga akhirnya kedua-dua isteri Tan Sri yang berupa benteng itu roboh dengan sendiri, gaya bahasa yang tersusun tanpa terlalu baku (dengan mengabaikan segala kesalahan-kesalahan yang tersebut di atas), secara tidak sedar aku menjadi pendokong tindakan Hanim, namun dalam masa yang sama mahu kedua-dua Hanim dan Tan Sri terhantuk di mana-mana.

Cuma, setelah lebih 400 muksurat bersuka-duka dengan Hanim, akhirnya Hanim yang enggan terikat memutuskan untuk melepaskan diri. Hanya pada POV terakhir Tan Sri, terasa sedikit ralat - bagaimana watak ini cuba disucikan dengan mengatakan sayangnya pada Hanim ibarat sayang seorang bapa? Dan harapannya adalah agar Hanim dapat disatukan dengan anaknya Saiful Azam, sedang pada peringkat konflik terbina secara jelasnya Tan Sri mengakui bahawa dia sanggup apa sahaja demi Hanim meski perlu berebut dengan anaknya sendiri.

Meski pengakhiran nashkah ini tampak tergesa-gesa, namun aku kira ini sebahagian dari teknik penulisan mungkin? Penamat sebegini sebetulnya menimbulkan rasa tidak puas hati - kerana kau sedang benar-benar menjiwai pengkisahan tiba-tiba sahaja tirai diturunkan. 

Walau kurang berpuas hati ia tamat begitu sahaja, tapi ya, aku kira ia cara yang terbaik mungkin.

Ulang baca - ya, tentu.

Khamis, 12 Januari 2023

Susu

Setiap pagi aku akan membancuh susu - biasa atau susu berperisa coklat. Kemudian aku akan agihkan ke lapan atau sembilan cawan kecil. 

Meski awalnya (sebelum mengorak langkah dalam bidang ini) aku berfikir-fikir entah sempat ataupun tidak segalanya aku siapkan sebelum jam tujuh setengah pagi, tapi semakin hari aku semakin betah.

Walau ada waktunya aku tiba agak lambat kerana hujan dan sebagainya namun aku masih meneruskan rutin tersebut tanpa rasa terbeban.

Ironinya, aku tidak pernah sukakan bau susu panas, apatah lagi menyukai rasanya.

Malah semasa mengandungkan Aisyah, aku hanya sesekali mencicip susu berperisa. Selebihnya aku menampung keperluan kalsium dari sumber lain.

Ternyata tugas harian ini masih gagal menerbitkan rasa suka kepada susu. Dan jujurnya aku sering tertanya, apakah kanak-kanak yang bersarapan dengan segelas susu suam dan beberapa keping biskut (atau roti keping dan bun), sesekali dipadankan dengan bijirin, tidak punyai rasa sepertimana aku?

Dan bagaimana rasanya meneguk cairan itu? Adakah kenikmatan yang sama seperti aku rasai di setiap cawan kopi?

Mencuba sendiri? Maaf, belum masanya.