Selasa, 5 September 2017

Shawl 30"

Seorang pelanggan lalu di depan, melenggang memegang tiket di tangan sambil menapak anak tangga berhati-hati mengimbangi tubuhnya.

Pelanggan ni memang biasa dengan staf di sini. Berbadan gempal sedikit tapi sesuai dengan ketinggiannya. Pun begitu beliau memang berjalan agak perlahan.

Yang mencuri tumpuan ialah lilitan shawl di kepalanya.

Aku memang obses shawl jadi maaflah, itu lah yang selalu aku perhatikan.

Seni lilitannya.
Jahitannya.
Kreativiti tampal, sulam, atau taburan maniknya.
Dan yang penting, saiznya.

Pelanggan tu mengenakan shawl bidang 30", santai dibiar bebas begitu.

Biasanya saiz sebegitu adalah saiz lebar yang selalunya dikaitkan dengan kealiman/kewarakan serta ke-ustazah-an seseorang (ya, aneh dan pelik, tapi sila terima hah), tapi tidak bagi beliau.

Saiz sebegitu sedang elok sahaja.

Tidak kelihatan keterlaluan, malah tampak anggun dan bersahaja.

Sejurus terfikir.

Adil itu cantik.
Sedang zalim selalu terlihat tidak keruan.


Yang Suka Memerhati
#bloggersedangcubamenulis

Jumaat, 25 Ogos 2017

Kerana Kau Mentimun

Manusia itu pelupa sifatnya.

Maka dipanggil manusia; dia yang lupa.

Manakala adil itu sifat Allah adanya.

Justeru manusia dan adil susahnya seiring berjalan.

Manusia seringkali menjunjung kesamarataan. Dan ia disangka keadilan sedang adil itu bilamana sesuatu diletakkan sesuai tempatnya.

Kelihatan sama tapi bukan saja tak serupa, malah berbeza keadaannya.

Dan manusia, sering terpedaya oleh ujian kesenangan, mudah menang bila diuji kesukaran, tapi kerap rebah tersembam apabila diduga dengan kebahagiaan dan kekayaan.

Lalu, kuasa jadi sanjungan.

Siapa kudrat, dialah iradat.

Sang Raja umpama durian hebat. Pejal dan berduri tajam di luarnya. Gagah perkasa.

Manakala rakyat biasa ibarat mentimun layaknya. Murah, mudah, dan lemah.

Digolek luka, tergolek pun luka.

Berdiri rebah, duduk pun lelah.

----------

Andai dendam itu tak membakar, maka aku kepingin berdendam.

Memohon yang tidak-tidak atas tiket teraniaya.

Tapi demi tak terus kalah kepada tipudaya amarah, maka lidah kugigit, menahan dari terus berkata yang bukan-bukan, meski terlepas juga ayat-ayat mengikut rasa yang luka.

P/S: Begitulah.

Ahad, 20 Ogos 2017

Review: De Botani Hotel, Ipoh

De Botani Hotel
Ipoh
10-15minit ke Pusat Bandaraya

Salah satu hotel yang harga walk in lebih murah dari Agoda.

Harga asal RM88, waktu promosi RM78 (termasuk GST RM82.++).

Setakat pengalaman singgah di hotel-hotel bajet, hotel ni antara yang terbaik.

Bilik saiz biasa, tapi sangat kreatif.

Tiada almari, tapi di belakang cermin solek diwujudkan tempat sangkut baju.

Meja kiri kanan katil pula ada ruang, jadi boleh letak bag/handbag/barang/baju kotor. Taklah berlonggok je barang, jadi memang kemas dan otomatik rasa selesa.

Tong sampah yang comel seolah-olah kayu/meja kecik.

Bilik air yang luas, bersih, dan selesa. Paling suka tempat sidai tuala dan panciran air berjauhan antara satu sama lain, jadi takde lah masalah terpercik air.

Dua soket di kiri kanan katil, jadi lakibini tak gaduh sorang nak cas laptop soranf nak cas telepon.

Dan, lantai yang menggunakan mozek jenis bercorak/permukaan kasar.

Jadi bila keluar bilik air dengan kaki lembap, taklah terasa licin.

Staff pula memang sangat peramah dan baik.

Oh ya, boleh minta hair dryer kalau mahu.


P/S: Akan singgah lagi andai datang semula ke sana. 😉

Jumaat, 4 Ogos 2017

SA : Telefon

Entry lepas, aku letakkan kekangan masa setiapkali telefon SA ambil.

Tapi hanya berkesan sehari dua.

Kemudian SA dapati masa boleh diubah.

Lalu terus memberontak mahukan telefon.

"Seminit je," katanya, comel.

Comel tak comel, selagi tak puas memang dia tak bagi balik.

Justeru sebelum lebih parah tindakan lebih tegas perlu diambil.

Telefon memang tak boleh sama sekali.

Memang meraung-raung bila SA tak dapat telefon.

Mujur lah ayahnya sama menyokong pengharaman telefon.

Lalu aku download beberapa video yang gemar ditontonnya dan pasangkan di TV.

Mahu atau tidak, hanya tonton TV.

Manakala penggunaan telefon oleh aku sendiri, semuanya secara sembunyi-sembunyi.

Kalau dulu, setiapkali aku keluar seketika ke pasaraya (SA dan ayahnya menunggu di dalam kereta), telefon aku tinggalkan, tapi sekarang tak lagi.

Menangislah anak, asal takde sesalan di masa akan datang.

Walaupun implikasi dari menonton TV menyebabkan dia asyik nak tonton TV. Sampaikan ayahnya kena merajuk dulu baru dapat tonton rancangan lain.

Tapi sekurangnya sudah kurang mengamuk. Dan pandai bermain dengan teddy bear.

Kadang kami biarkan saja SA sepah-sepahkan rumah, bermain dengan imaginasinya.

Memasak, hancurkan biskut, masukkan dalam mangkuk, sudukan ke dalam mangkuk lebih kecil, suapkan teddy bear, baby bear, dan happy bear.

Amuknya sudah makin kurang, walau sesekali dia masih meminta telefon.

Dan....

"Nanti ibu beli basikal deh." 😑😑😑😑

Dah sejak bila ibu kau janji nak beli basikal pulak....



P/S: Kerana kau anak.

Rabu, 26 Julai 2017

Sweet Escape VS Unexpected Event : 2

............ ................ .................

Malam tu juga aku balik kampung. Walau jarak hanya 185km, tapi jenazah dikebumikan terus malam tu maka tak sempat jugaklah dengan aku.

Tapi takpe, jangan ditangguh lama-lama, kesian jenazah.

Khamis aku di kampung sendiri, malamnya ada tahlil.

(Aku bertanya juga, kenapa perlukan tahlil. Adik beradik atau saudara mara pakat-pakat baca alQuran beberapa juzuk sorang, tak memadai ke? Tapi kata ma, ia adalah wasiat arwah. Seminggu sebelumnya arwah membeli pinggan mangkuk baru, sambil berpesan agar digunakan sewaktu kenduri tahlil. Dan dan jelas meminta agar kenduri itu dijalankan selama tujuh malam.)

Esoknya, pulang sekejap ke Tanah Merah. Ya lah, dah alang-alang balik apa salahnya singgah juga jumpa mentua. Encik beliau pun nak juga ketemu ibubapanya. Itu lah kelebihan kampung tak jauh kan. Haha~

Dan entah bagaimana, tiba-tiba rancangan asal lari lagi.

Tiba-tiba keluarga mentua mahu melawat Kuantan juga.

Nasib baiklah kami memang tak buat sebarang tempahan hotel atau rumah tumpangan, maka takde sebarang masalah timbul.

Cuma perubahan rancangan di mana ke Kuantan terlebih dahulu sebelum ke lokasi lain.

Dan begitu lah.

Bagaimana satu demi satu selingan demi selingan datang.

Matlamat ke Terengganu tetap tercapai, walau apa yang berlaku.




P/S: Seterusnya?

Sweet Escape VS Unexpected Event

Sejak beberapa bulan yang lepas aku tertunggu-tunggu minggu lepas datang.

Untuk menghargai diri sendiri dan encik beliau, kami merancang nak bercuti-cuti Malaysia ke Terengganu.

Memulakan perjalanan seawal 530 pagi, singgah solat subuh, dan meneruskan perjalanan ke mana-mana pantai terdekat di Terengganu.

Daftar masuk ke mana-mana rumah tumpangan (dengan bayaran sehingga RM80 semalaman) yang betul-betul di tepi pantai.

Kemudian teruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, melawat Masjid Kristal, serta Taman Tamadun Islam, ke Pasar Malam Chendering, seterusnya bermalam di Kuala Terengganu.

Esoknya masih meneruskan melawat Kuala Terengganu sebelum ke Kemaman, rumah adik encik beliau, yang tak kurang banyak lokasi menarik.

Bermalam di sana sebelum terus lagi ke Kuantan, melawat juga adik encik beliau.

Dan perlahan-lahan menyusur balik ke Gua Musang.

Begitu lah.

Rancangan awalnya.

Berhari-hari otak diperah untuk sebuah rancangan yang jitu. Dan beberapa rancangan sokongan andainya rancangan asal rebah.

Di mana sarapan di hari pertama.
Pakaian yang mana paling selesa dipakai.
Tudung yang mana cepat dililit dan padan dengan baju.

Dan begitulah.

Kata orang, kita merancang Allah juga merancang. Dan rancangan Dia jugalah yang terbaik.

Rancangan asal kami akan bertolak pada pagi Sabtu, kononnya Jumaat adalah hari berkemas dan lalalalala seketika.

Tetapi hati yang gundah dan gusar menyebabkan aku mahu segalanya dipercepatkan. Dan encik beliau bersetuju saja dengan ulah aku ni. Hahaha.

Tetapi, pada petang Rabu, sedang menunggu-nunggu untuk pulang, aku terima satu panggilan.

Nenek sebelah ayah, satu-satunya nenek yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah beberapa ketika sebelumnya.

Kaku seketika mendengar berita itu.

Arwah memang sudah lama sakit, tetapi berita pemergiannya rupanya masih mengejutkan.



................ ................ .....................

Selasa, 11 Julai 2017

SA : Skrin Kecik

SA dah 2 tahun 4 bulan.

Satu usia di mana perkembangan otak sejajar dengan ulah yang makin berkembang biak juga.

Aku spesies yang sukar berpisah dengan telefon pintar.

Urusan Chatik Collection, dan beberapa urusan lain selalu menjadi punca aku kerap kali memegang telefon sambil melayan SA.

Justeru, meskipun SA selalu hanya menatap telefon sambil aku di sisi, suatu hari terlepas juga.

Hari minggu dalam cuaca yang membahang serta kami yang kepenatan, kedua-dua kami terlelap, lalu SA menghadap telefon tanpa pengawasan.

Hanya sehari itu, tapi dia lekas pandai.

Lalu berdepanlah kami dengan kesan sampingan yang selalu aku baca di mana-mana.

Mudah memberontak.
Cengeng.
Cepat marah.

Dan kesan-kesan lain yang sungguh tak comel.

Malah pandai meminta aku tukarkan skrin penuh kepada skrin kecil, untuk memudahkan dia memilih sendiri video mana mahu ditonton.

Maka aku praktiskan kekangan hampir serta merta. Biarlah dikata kejam, kelak menanggung kesan itu kami sekeluarga.

Plan pertama mengalih perhatian adakala tak berkesan, lalu aku gunakan plan kedua.

Pertama aku muat turun Youtube for Kids. Sebagai persediaan.

Pilihan Carian aku tutup. Meminimakan video boleh ditonton.

Kemudian apabila SA merengek-rengek mahukan Didi and Friends di telefon (pilihan menonton di laptop atau tv tak dilayan, sebab tv dan laptop tak boleh dipilih-pilih sendiri), aku pilih Didi and Friends, setkan masa 15 minit, lalu aku serahkan dengan syarat.

"Tengok 15 minit aje tau."

SA buat muka comel. Oh tidak, ku tak layan.

"15 minit tau." Ulang lagi sekali.

SA buat muka sedih. Selalunya dia akan jawab juga 'ermm' bila dia setuju. Jadi nampak sangat dia tak setuju dengan syarat 15 minit.

"15 minit, tau." Muktamad. Erti kata lain, ambik atau tak payah langsung.

Telefon pintar bertukar tangan.

Mak aihhhhh. Tangan SA sikit punya laju pilih-pilih video. Menyandar kat bantal dengan kaki siap bersilang.

Anda 2 tahun je. Tak payah macam tu sangat. 😂😂

Muka jam aku kerling sesekali.

Tepat 15 minit, secara otomatik Youtube for Kids termati sendiri dan SA terus dibawa ke muka depan telefon.

Terus dia ke dapur mencari aku sambil tunjukkan telefon dengan muka cuaknya.

"Dah cukup dah. Esok pulak. Didi dah tidur."

Ok ayat terakhir tu biasalah ayat penutup. Hehe.

Dan, SA cuma terdiam.

Kemudian kami lupakan telefon.

Lepak-lepak tengok TV. SA naik lah kereta zaman kecik dia, keluar masuk walker zaman-zaman dia meniarap dulu, sampailah akhirnya dia ajak tidur.

Esoknya, SA langsung tak sebut telefon. Dan kebetulan juga aku tak banyak urusan dengan telefon.

-----------------
-----------------

Kesimpulannya, aku selaku mak-mak sendiri kena lupakan telefon.

Baru lah anak-anak tak teringin dengan telefon.

Dan, kadang-kadang kena hati kering juga jadi mak. Alahai susah bab ni. Terasa nak banjir juga lah masa mula-mula berkeras.

Tapi alhamdulillah, membuahkan hasil juga.

P/S: Ibu nak lupakan telefon tu yang susah. Macamana ni.

Khamis, 6 Julai 2017

RMT : Rancangan Makanan Tambahan

RMT.

Lebih dua dekad dulu ia difahami sebagai 'makan free'.

Sepatutnya ia bantuan kepada anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan, tapi selalunya ia sampai juga kepada anak-anak keluarga berada yang ibubapanya adalah seseorang dalam masyarakat.

RMT sekadar sarapan nasi lemak sambal ikan bilis dan suku telur rebus, atau bihun goreng, mee goreng, atau nasi goreng.

Tapi waktu itu ia sungguh menyelerakan.

Bagi yang mendapat bantuan ni, mereka hadir awal ke sekolah. Mungkin seawal 7 pagi.

Justeru, menjelang 720pagi sekiranya masih ada baki sarapan RMT, cikgu akan kumpulkan pelajar-pelajar yang memang dari keluarga kurang berkemampuan untuk menghabiskan makanan tersebut.

Hanya jauhari mengenal manikam.

Justeru, pelajar-pelajar ni selalunya hadir awal ke sekolah, manalah tahu dapat rezeki untuk dipilih makan RMT.

Kesimpulannya mudah je.

Ketidakadilan berlaku di mana-mana, merentas masa dan lokasi.

Ia berlaku dua dekad dulu.

Ia berlaku juga sekarang.

Dan andai dua dekad lagi masih ada, ia akan terus berlaku juga.

Sabtu, 24 Jun 2017

Raya 2017

Alhamdulillah, berjaya sudahkan sebulan Ramadhan. Semoga ketemu lagi tahun depan.

Puasa tahun ni rasanya yang paling terisi berbanding puasa-puasa setahun dua yang lepas.

Zaman bujang biasalah heret kawan serumah semua pegi teraweh, tak pun kalau cuaca tak mengizinkan atau rasa kurang rajin kami teraweh je di ruang tamu.

Tapi sejak kahwin teraweh langsung tertinggal oleh kesihatan dan keadaan yang tak mengizinkan.

Tahun ni, SA dah dua tahun. Sajelah cuba-cuba bawak dia ke masjid.

Alhamdulillah, walaupun lompang-lompang teraweh ibu (sekejap dua rakaat, sekejap empat, sekejap sempat isya' aje), tapi jadilah dari tak dapat langsung.

Walau banyak aje selingannya, kejap nak main dengan kawan, kejap nak main gelongsor (dengan ibu sekali lah nak kena gelongsor), kejap nak jongkat jongkit (tekalah sape partner SA), kejap berbuai tapi ibu relakan aje.

Yang tak tahannya, moreh mesti nak singgah kedai mamak makan roti canai.

Alahai anak.... berat ibu naiklah macam ni nak oi....

Tapi begitulah.

Aku nikmati saja momen-momen sebegini. SA dua tahun hanya sekali. Mungkin lepas ni bila dah meningkat usia dia taknak lagi aku temani dia.

Manalah tahu kan.

Dan, raya tahun ni, kami hanya sedondon pada warna. Oh, dan custom made shawl. Itu saja.

Selamat Hari Raya pada semua.

Aku mohon maaf andai ada mengguris hati dengan ulah atau lidahku.

Isnin, 12 Jun 2017

SA : Telekung Yang Dipijak

Kali pertama teraweh dengan budak kecik ni macam-macam jadi.

Bila solat jemaah dan hujung telekung terpijak oleh orang sebelah, sampaikan kepala terteleng di kala duduk antara dua sujud, tak selesa kan. 😂

Tapi bila situasi yang sama terjadi, tapi dipegang atau diheret budak kecik yang sorang ni, hati rasa lega.

Sebab ia menunjukkan si kecik masih di sisi.

Kelakar bagaimana status merubah keadaan.

Jumaat, 9 Jun 2017

Nothing Last Forever

Nothing last forever.
Sebab hidup hanya perjalanan, bukan tempat tujuan.

*************

Hari lepak.

Sembang-sembang dengan kawan lama, teman susah payah suka-suka satu waktu dulu, sekarang masing-masing dah punya halatuju sendiri-sendiri.

Hubungan masih terjaga meski keakraban hanya di jiwa.

Jasad dah terpisah jauh, oleh jarak dan masa.

Pertemuan semula, meski seketika, umpama mimpi jadi nyata. Tak mustahil, tapi sukar direalisasi.

Kembali ke belakang merenung masa dulu, banyak juga yang tinggal nama.

Tinggal kenangan. Yang tarikhnya takkan lagi terkedepan.

Bagai si mati yang takkan kembali ke sisi.

Tiada yang kekal.
Walau sekuat mana usaha dicurahkan.
Walau sebanyak mana sayang ditabur.
Walau sekukuh mana ikatan.

Perpisahan itu pasti. Meski tanpa rela.

Rindu walau menggamit. Berlalu juga dibawa arus masa.

Begitulah.


Yang Merindu Masa Dulu,
#bloggerseparapencen

Review : Mine Hotel

Lokasi : Seri Kembangan
Kategori : Hotel Bajet

Kami ambik bilik paling murah, untuk 2 orang.

Saiz bilik : ~10kaki x 8kaki
Bilik air : ~4kaki x 4kaki
Harga : RM65 (tiada tingkap)
Cara tempahan : Walk In
Kemudahan : Penyaman udara, meja solek, kerusi, air minuman 2 botol 500ml, tv + Astro, tuala, sabun mandi
Wifi : Ada tapi tak pasti kelajuan sebab tak guna haha

Tiga tingkat tingginya, tapi jangan risau sebab ada lif.

Kekurangan : Bilik agak berbau rokok, tapi kata encik beliau, itu memang bau bilik.

Selain dari tu, bilik ni ok. Cadangannya spraylah wangian sikit, insyaAllah hilanglah baunya.

Oh ya kami tinggal di hari bekerja, jadi kurang pasti adakah harganya sama atau tidak di hujung minggu.

Parking agak mudah, banyak yang kosong waktu kami tiba kira-kira 11.30pm. Tapi sekali lagi, ia adalah hari bekerja.

Nota lain, berdasarkan sebut harga di kaunter pendaftaran, bilik paling mahal di sini antara RM85-RM90.

Kemudahan sekitar : Tak jauh dari IOI Mall

Komen tambahan : Bilik agak sempit, ruang solat hampir tak ada (sejadah tak disediakan), sesuai untuk penginapan 1 malam.

---------------------

Kali pertama aku menulis tentang hotel. Mungkin akan teruskan lagi, untuk rujukan aku di masa akan datang.

Tak pon boleh lah bagitau anak cucu nanti nenek pernah je menginap dekat, tak kesahlah hotel bajet pun cu..... 😂

P/S: Blogger mencari identiti.

Ahad, 28 Mei 2017

SA : Cool Blog

Singgah isi minyak di Petronas sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang.

Macam biasa aku selalunya akan beli apa-apa kat Kedai Mesra - jajan, air nescafe/kopi sejuk, dan roti.

Dan malam tu aku malas bawa SA yang berat. Selalunya aku suka bawanya keluar, ke kedai, atau ke mana-mana. Seronok pimpin tangannya yang kecik tu.

Tapi malam tu aku nak cepat, lalu aku tinggalkan dia di kereta bersama ayahnya.

Keluar je pintu kereta cepat-cepat aku tutup sebelum SA berjaya menangis dan pujuk aku dengan air matanya tuh.

Aku hanya capai air minuman jenama Petronas dan air milo kotak yang tak sejuk dan segera ke kaunter bayaran.

Terus capai pintu kereta kemudiannya hanya untuk disaji sebuah pemandangan penuh kejutan.

SA sedang duduk memegang gelas Cool Blog berisi coklat ais, menyisipnya dengan penuh nikmat sekali.

"Emm sedap.. sedap..."

Terkesima seketika. Seketika jelah. Suku saat kemudian gelas Cool Blog aku capai semula darinya.

Batuk belum kebah ada hati minum ais.

"Tepi, ibu nok masuk." Kata aku, tubuh keciknya aku tolak tapi dia enggan berganjak.

"Ibu..... ibu duk situ......" Balasnya, aku disuruh duduk di sebelah sana. Motifnya jelas; senang dia nak paw Cool Blog aku.

"Ah takdok. Tepi!"

Air milo kotak aku suakan. Beberapa minit kemudian dia serahkan semula kotak yang kosong.

Dan tak putus asa memujuk untuk Cool Blog.




P/S : Akhir-akhir ni makin bijak pulak SA ni.