Sabtu, 7 Mei 2022

Titik Bawah

Ini bukanlah kali pertama aku menyambut hari raya dengan keanehan ini. Sudah beberapa ketika sebenarnya, cuma kali ini adalah pertama kali aku mengalami rasa rendah diri yang sebegini.

Mataku sakit.

Telingaku perit.

Dan hati, rasa pedih.


Terasa seluruh dunia sedang mentertawakan aku. Tersenyum sinis menyindir untung nasib seorang aku. Berkompang menari galak mempersendakan keadaan aku.

Tiada bahu boleh aku tumpangkan dagu.

Tiada lengan boleh aku berpaut.

Tiada telinga sudi mendengarkan aku.


Aku kira, aku di penghujung kesabaran yang semakin sirna. Lalu apabila matahari memancar garang, aku yang gagal menahan silau, hanya mampu pejamkan mata dan menjerit nyaring.

Hanya waktu itu sebahagian dunia mulai sedar wujudnya aku.




----



Hanya kerana kau seorang maharaja, tidak bermaksud kisahku enteng di mata dunia.

Hanya kerana kau seorang yang mulia, tidak bermaksud dugaanmu paling gah seanteronya.

Dan hanya kerana kau seorang yang paling suci, tidaklah aku yang paling keji.


 ---



Dan begitulah.

Teriakku hanya bergema di sini.

Di luar sana aku masih pegun bak keteguran Sang Kelembai.

Rabu, 13 April 2022

Godam

Menjelang imsak, ayah Aisyah tiba-tiba mengadu bahawa dia gagal log masuk ke akaun Google nya.

Aku jungkit kening tatkala melihat paparan yang skrin telefon bimbit - akaun bakal ditutup dalam masa 29 hari kerana akaun di bawah umur. Sekiranya ia adalah satu kesilapan, hal tersebut boleh dikemaskini melalui website.

Memikirkan hampir tidak mungkin untuk ayah Aisyah menyentuh apa-apa tetapan akaun Google (juga dinafikan oleh beliau), aku cuba log masuk. Namun tetap gagal dan masih tetap terlihat juga paparan yang sama. 

"Tak boleh lah. Kenapa eh?" Tentu saja persoalan ini hanya monolog luaran.

Tapi ayah Aisyah menyahut. "Tak boleh tak apalah. Biarkan jelah."

Tentu sekali tidak.

Setelah mencuba melalui beberapa cara dan masih menemui jalan buntu meski telah menukar kata laluan, aku segera beralih ke komputer. Kali ini aku berjaya log masuk dan ke tetapan. Namun kad pengenalan atau maklumat kad kredit diperlukan untuk pengesahan semula. 

Usai memuat naik gambar kad pengenalan, akhirnya aku berjaya log masuk. Kali ini aku segera menukar kata laluan yang lebih kompleks, serta segera ke bahagian keselamatan yang menunjukkan tetapan penggunaan 2-step verification.

Tergamam sesaat melihatkan ada dua lagi nombor telefon tertera selain nombor telefon ayah Aisyah. Apatah lagi kedua-dua nombor tersebut telah pun disahkan.

Aku segera memadamkan nombor tersebut. Namun belum sempat memadamkan nombor kedua, ia sudah pun hilang dari skrin.




-----


 

Mungkin email yang digodam bukanlah suatu hal yang besar. Namun dari email tersebut, penggodam sudah berjaya mendapatkan pelbagai maklumat peribadi pemilik.

Tentu kalian biasa terbaca tentang bagaimana scammer menggunakan nombor baru dan memohon agar dipindahkan sejumlah wang ke akaun yang pelbagai dengan alasan yang bermacam.

Pernahkah tertanya bagaimana mereka dapat mengenalpasti siapa teman-teman rapat si mangsa? 

Lupakah kalian, betapa kebanyakan orang begitu pantas menekan butang sync all pada telefon bimbit? Gmail, yahoo mail, facebook, instagram, contact... yada yada yada.



---


Aku mungkin over-react. Tapi aku memilih untuk over-react berbanding menangisi nasi yang sudah menjadi bubur.

Selasa, 5 April 2022

Ramadan dan Aisyah

Selamat datang Ramadan yang mulia.

Selepas dua tahun akhirnya kita dapat merasai semula kemeriahan Ramadan, terawih di masjid dan surau, serta bazar Ramadan.

Aku kira ini kali pertama Aisyah menyaksikan semula kebiasaan Ramadan. Malah dia juga sudah agak bersedia untuk berpuasa penuh sehari. 

Tahun lepas dia berpuasa sekerat hari, manakala tahun sebelumnya aku tidak membenarkan dia berpuasa kerana solatnya masih belum cukup waktu.

Kebetulan tahun ni hari pertama Ramadan jatuh pada Ahad. 

Aisyah tiada masalah bangun bersahur, cuma seperti kami, dia juga hanya mengunyah sekeping roti dan beberapa biji kurma. 

Hari pertama, dia begitu aktif. Bermain itu dan ini, boleh menahan lapar namun agak sukar meninggalkan tabiat makan. Seawal 830 pagi dia sudah mula merengek mahu makan.

Namun akhirnya berjaya juga dia berpuasa penuh - dengan umpan RM5 serta dibawa ke bazar. Dalam perjalanan pulang, dia terlelap. Letih benar nampaknya.

Hari kedua dia sudah memulakan persekolahan seperti biasa. Guru-guru sudah mengingatkan bahawa kantin ditutup sepanjang bulan puasa, manakala anak-anak disaran supaya makan sebelum ke sekolah demi menghormati rakan-rakan yang berpuasa. Pun begitu tetap dibenarkan untuk membawa bekalan ringkas seperti air dan roti.

Paginya di rumah pengasuh, Aisyah mencapai sekeping kerepek. Sedang mengunyah, cucu pengasuh menegur, "Haaa tak puasa!"

Aisyah panik, "Aisyah lupa!"

Memandangkan dia benar-benar terlupa, pengasuh memujuk dan memintanya meneruskan puasa. Dan alhamdulillah puasanya diteruskan hingga ke maghrib.



----




Selasa, 29 Mac 2022

Aisyah: BFF

Aisyah biasanya ke sekolah saing dengan cucu pengasuh, Apan.

Semalam lepas balik sekolah, diorang singgah di kedai runcit. Terserempak pula dengan dua orang kawan satu tadika Aisyah.

Salah seorangnya menegur, "Weh, kitorang dah darjah satu tau."

Aisyah tak mengalah, "Eh, saya pun dah darjah satu!"

Dalam lif, Apan bertanya, "Aisyah, siapa tadi tu?"

"Kawan baik Aisyah," balas Aisyah bersahaja.

Khamis, 24 Mac 2022

Sekolah Yang Hilang

Isnin lepas hari pertama Aisyah di sekolah rendah.

Walaupun dia banyak bertanya tentang sekolah rendah, dan aku pun banyak bercerita tentang perbezaan sekolah rendah dan tabika - nampaknya ia masih sukar untuk Aisyah bayangkan.

Meski beberapa kali juga dia menyuarakan bahawa dia takut untuk memulakan sekolah baru, namun nampaknya ia tidak terlihat dalam lagaknya. Sebaik tiba di pagar, guru yang menyambut hanya meminta dia berjalan mengikut laluan yang telah ditetapkan.

Menggalas beg baru, langkahnya tampak yakin. Sekali pun dia tidak menoleh ke arah aku. Lalu, aku juga buat-buat yakin melangkah meninggalkan sekolah.

Petangnya, aku bertanya adakah dia ke surau untuk solat Zohor. Kata Aisyah, usai makan dia meminta izin untuk ke surau. Sang guru memberi kebenaran dan memaklumkan lokasi surau di aras bawah.

Malang buat Aisyah yang masih bingung, bukan sahaja tidak ketemu surau, malah terlajak pula ke tingkat dua apabila cuba kembali ke kelas. Melihatkan persekitaran yang asing, dia jadi panik dan hanya pegun berdiri.

Dengan air mata yang hampir gugur, dia menggumam keseorangan, "...Mana sekolah. Sekolah Aisyah hilang..."

Mujurlah ada seorang guru menghampiri dan bertanya mengapa dia di situ. Apabila perasankan tag nama di tudungnya, guru itu maklum Aisyah sudah tersilap aras.

"Kamu darjah satu kat tingkat satu. Ni tingkat dua untuk darjah dua."

Tanpa banyak bicara guru itu menuntun Aisyah ke kelasnya semula.



---


Hari kedua Aisyah tergesa-gesa masuk rumah, lantas meluru ke tandas. Rupanya dia masih tidak tahu di mana letaknya tandas.

Hari ketiga, dia nampak santai sambil menanggalkan tudung. Bila aku tanyakan tidak perlukah dia ke tandas, dengan bangga dia memaklumkan dia sudah ke tandas semasa di sekolah.

Aku jungkit kening, kagum dia menemui tandas hanya dalam tiga hari, tidak seperti aku di usianya. Namun kagum itu bertukar lucu apabila dia mulai tertawa.

"Tapi Aisyah silap masuk tandas lelaki."

......

Sabtu, 19 Mac 2022

Bukan Puteri atau Raja

Sepanjang cuti sekolah, sesekali aku bawa Aisyah bersama ke kelas. 

Sewaktu mengemaskini profil kanak-kanak, aku sengaja membiarkan Aisyah membaca nama-nama murid-murid yang bakal memulakan sesi pada Isnin nanti. Aisyah sering merasakan nama yang lain lebih istimewa dari namanya sendiri. Justeru aku yakin dia pasti ketemu satu dua nama yang akan membuatkan dia cemberut.

Dan benar jangkaan aku, tatkala membaca sepotong nama yang bermula dengan 'Putri', muncungnya segera ke depan. Aku kira hampir boleh diikat dengan gelang getah.

Begitu juga apabila aku bacakan nama-nama kawan sekelasnya tahun satu nanti. Aisyah menarik muka apabila terdengar satu nama yang bermula dari 'Raja'. Kali ini dia membebel mengapa ayahnya tidak punya 'Raja' di pangkal nama.




----



Di usianya, aku juga pernah mempersoalkan hal yang sama - mengapa namaku tidak semenarik nama-nama yang lain. Nama aku sukar untuk punya nama panggilan yang pendek dan ringkas, tidak seperti nama kawan-kawan yang lain.

Namun hari ini keadaan berubah total.

Selain nama pendek rasmi panggilan keluarga, aku juga dipanggil Mazeed, Zeed, Zee, dan terkini - Maz.

Ya, silakan tergelak untuk nama terakhir itu. =P

Isnin, 14 Mac 2022

Novel Melayu

Ini adalah pandangan peribadi sepenuhnya.


Aku penggemar novel Melayu. Justeru lokasi kegemaran aku - klisenya - adalah perpustakaan.

Jika ia hanya pinjaman, aku tidak kisah membaca pelbagai genre. Namun jika ia adalah pembelian, aku sedikit berkira dan tidak kekok berteleku berjam-jam menilik blurb, sinopsis, atau andai tidak salah, aku tega membaca sedikit isi kandungannya.

Dan tentu saja aku ada penulis yang aku gemari - Ramlee Awang Mursyid. Aku mula benar-benar jatuh suka dengan penulisannya sejak kali pertama membaca Tombiruo - pada 2003/2004. Cuma mungkin setelah hampir dua puluh tahun mengikuti karyanya, aku masih gagal menamatkan bacaan Haura, juga masih belum mampu memulakan bacaan Anding Ayangan 3.

Aku kira, pacuan adrenalin yang selalu aku rasai setiap kali memegang naskhahnya sudah mulai perlahan. 



----



Kira-kira sepuluh tahun lepas aku banyak membaca terbitan FIXI. Sebuah penerbitan yang bagi aku cukup berani menentang arus - menggunakan sepatah perkataan sebagai tajuk yang aku anggap sebagai tempelakan sinis kepada sesetengah penerbitan yang sinonim dengan tajuk-tajuk meleret.

Malah FIXI juga tidak gentar mengetengahkan bahasa pasar sebagai perantara - malah sedikit melampaui batas apabila menormalisasikan kata-kata kesat di dalam dialog.

Tidak dinafikan tema-tema yang diketengahkan oleh FIXI sangat segar dan berlainan sama sekali - seolah perkataan klise tidak wujud dalam kamus penerbitan ini.

Pun begitu, aku tetap bertindak mengosongkan almari buku dari koleksi-koleksi FIXI apabila MAW yang berusia kurang sepuluh tahun mulai menunjukkan kencenderungan ke arah bacaan novel. FIXI sama sekali tidak layak untuk anak-anak, maaf, untuk mereka di bawah dua puluh lima tahun. Mujurlah terbitan FIXI kini terdapat cetakan kecil berbunyi 'UNTUK BACAAN MATANG' di kulit bukunya.



---



PKP baru-baru ini aku menjinakkan diri membeli sepuluh buah novel dari sebuah penerbitan yang jarang aku dengar. Pembelian yang cukup menguntungkan dari Shopee - kurang RM70 untuk sepuluh buah novel. Dan semuanya bergenre thriller.

Cuma, aku sedikit kecewa apabila banyak terdapat typo serta ayat yang tanpa suntingan. 

Mungkin aku cerewet, tapi aku selalu merasakan ejaan adalah antara yang penting dalam sebuah naskhah yang telah diterbitkan. Meski sesuatu manuskrip itu pasti melalui tapisan dan pembaikan editor, namun aku selalu percaya bahawa ia adalah lambang kredibiliti seseorang penulis.



----


Dan begitulah.


Rabu, 2 Mac 2022

Bukan Orang Suci

Beginilah.

Aku bukan orang suci yang tidak pernah marah-marah. Aku juga bukan orang yang terlalu baik hingga aku terima segalanya, atau orang yang besar hatinya boleh memaafkan semua hal (tidak mungkin sama sekali).

Cuma aku juga enggan terikat dengan banyak orang dengan sentiasa memikirkan keburukan yang mereka lakukan, atau katakan.

Namun, jika wanita yang melahirkan aku dimaki dan dihamun, aku kira aku layak untuk berasa marah dan sakit hati bukan?



---



Pun begitu buat masa sekarang aku masih terkawal. Mungkin mengenangkan betapa cetek pengalaman hidup si dia yang mengeluarkan kata-kata kesat itu, mungkin juga memikirkan betapa masih terlalu tidak matang usia si penutur.

Tatkala aku benar-benar di luar kawal, kata-kata kasar terluncur juga. Namun sebolehnya cuba aku kawal supaya rasa sesal tidak kunjung tiba sejurus rasa marah itu memudar. 

Justeru, aku sedang bertahan.



---




Rabu, 23 Februari 2022

Pura-Pura

Kau tahu, kalau di bahu aku hanya ada nama aku, aku tentu takkan bersabar dan bertahan.

Kata orang putih, you scratch my back, I'll scratch yours!

Malangnya di bahu aku ada pelbagai nama. Dan aku perlu mengepung sisa-sisa sabar yang jujurnya tidak banyak. Menyarung watak wanita yang pekak telinganya dengan bermacam kata dan nada.

Andai segala-galanya yang sedang aku pikul umpama memikul seberkas kayu api, tentu saja bebanan itu aku ketepikan sebentar. Cuma itulah, manusia dicipta ada tujuannya.

Untuk mengajak kepada kebaikan dan bersama mencegah kemungkaran. Untuk mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

Serta tidak tunduk kepada tuntutan musuh paling utama - nafsu.



---



Maka sekali lagi aku terpaksa berpura-pura - tulikan telinga dan keringkan hati. Semoga kepura-puraan ini berbaloi.

Sabtu, 19 Februari 2022

Down With Fever & Keputusan

Aku kurang sihat sejak awal minggu lepas.

Khamis minggu lepas akhirnya aku demam. Tekak rasa perit dan pahit. Selepas beberapa siri ujian air liur kendiri, aku nyata tidak dihinggapi virus korona.

Jumaat aku ke kelas seperti biasa. Malangnya pagi Sabtu aku kembali demam. Tidak sedap hati, kali ini aku membuat ujian RTK dan hasilnya masih tetap negatif. Ahad aku mula batuk.

Batuk itu tidak berkurang secara ketara meski aku mengambil ubat batuk. Justeru sepanjang di kelas aku mengenakan pelitup muka hampir sepanjang masa - sekurang-kurangnya semasa penyediaan makanan dan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Petang Selasa ada mesyuarat, walau separuh hati mahu meminta pengecualian tetapi mengenangkan imej aku yang sudah koyak di mata pegawai, maka aku gagahkan hadiri mesyuarat. Ia bermula jam 2 petang dan hanya tamat jam 730 malam. Sepanjang lima jam setengah tersebut aku batuk berterusan. 

Aku tahu aku mementingkan diri dengan masih tetap menghadiri majlis yang menghimpunkan kira-kira empat puluh orang itu, tetapi apabila kesilapan dan kesalahan aku yang menjadi intipati mesyuarat, ketidakhadiran aku (atas apa sahaja alasan) tentu sahaja bagai menyimbah cuka di bukaan luka yang parah.

Rabu, aku bangun dengan mata yang sembab. Tentu saja, malamnya batuk yang berterusan menyukarkan aku melelapkan mata. Meski guru kelas memaklumkan bukanlah satu masalah untuk aku mengambil MC, namun memikirkan para pegawai akan hadir ke kelas dalam masa terdekat dan bila-bila masa, aku tak fikir MC merupakan pilihan terbaik.

Walau jujurnya ada harinya aku menunggang motosikal dengan agak terhuyung-hayang. Dua puluh lima kilometer dalam keadaan kurang sihat bukanlah sesuatu yang menyenangkan.

Amarah yang dihamburkan pegawai sebelum cuti Hari Raya Cina, kelewatan menghantar dokumen tuntutan gaji, kesilapan dalam laporan dan surat dari kelas ke pejabat, aku nekad fokus dan melakukan yang terbaik. Tetapi kerana aku masih punya hati, ungkitan dan umpatan yang sampai ke telinga sebetulnya menghakis benteng sabar yang semakin hari semakin sumbang binaannya.

Entah di atas alasan apa kali ini, aku selagi lagi cuai. Kerana kecuaian itu, aku berada dalam situasi yang cukup-cukup tidak mudah untuk aku hadapi.



----



Sejak Jumaat, aku sudah membuat keputusan. Namun aku masih sedang berfikir sebaik-baiknya baik buruk keputusan yang bakal aku ambil.

Apapun, aku pernah merasa tekanan yang keterlaluan sehingga memberi kesan kepada fizikal dan mental. Emosi aku jadi bercelaru dan sentiasa turun naik. Tiga tahun aku berada dalam keadaan tersebut - sunyi dan sepi.

Untuk mengatakan aku mengalami depresi adalah sukar kerana aku tidak pernah berpeluang mendapatkan diagnos secara rasmi. Tetapi tempoh tiga tahun itu cukup menyakitkan. 

Apa sahaja yang berlaku, aku tidak mahu kembali ke tempoh tersebut.




----



Hanya kerana aku bukan lantikan kontrak, tidak bermaksud aku hilang hak dilayan seumpamanya manusia, bukan?





----




Dan begitulah. Nampaknya Isnin nanti aku punya banyak hal yang perlu diuruskan. Semoga semuanya Allah permudahkan.

 

Sabtu, 5 Februari 2022

Selamat Tinggal Januari

Januari 2022 agak berliku buat aku.

Mungkin dah lama tak punya bos hingga aku lupa bagaimana rasanya jadi mentimun. 

Satu demi satu kesilapan aku lakukan. Alhamdulillah partner aku seorang yang sentiasa memberi tunjuk ajar (walaupun sesekali garangnya muncul).

Aku bergelut dengan keadaan, masa, serta pelbagai situasi di luar jangkaan. 


----


Awal Januari diuji dengan kelas yang tenggelam hampir keseluruhan dek banjir Klang 18 Disember 2021, selain stranded seketika di Seksyen 13 pada hari kejadian.

Proses membersih itu memenatkan, namun percayalah yang lebih penat apabila bermacam pihak ingin meninjau (literally) keadaan kelas.

Meski air sudah surut pada Rabu, dan Khamis kami sudah boleh ke Sri Muda (ya, kelas aku terletak di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam), tetapi kami tidak dibenarkan untuk berbuat apa-apa meski sudah ada satu team yang menawarkan bantuan untuk kerja-kerja membersih.

Semuanya kerana YB Menteri itu dan ini nak turun padang dulu melihat keadaan kelas. Sudahnya, kira-kira seminggu sesudah air kering barulah datang kira-kira 20 orang sukarelawan untuk membersih.

Ia sebuah proses yang panjang dan memenatkan - fizikal dan mental.

Misi sukarelawan ternyata berbeza dengan impian kami. Kami mahu menyelamatkan apa yang dapat, sedangkan sukarelawan mahu membersihkan segala-galanya dari kelas. Sudahnya hampir semua barang dibuang.

Keesokan harinya aku mengutip semula barang-barang tersebut dari longgokan sampah.

Dalam tempoh sebulan ini banyak benar pihak yang melawat ke kelas. Malah aku paling terseksa emosi sewaktu sesi kaunseling pasca-banjir. 

Jujur, aku bukan dalam golongan yang terkesan dengan banjir yang berlaku, tetapi kejadian tersebut tetap mengganggu pertimbangan. Dua jam sesi tersebut, aku meraung dalam hati meminta agar hentikan semua perincian tentang apa yang telah terjadi. Ia terlalu menyesakkan.

Syukur aku memakai pelitup muka dan bercermin mata. Sebahagian perasaan mahu berlari keluar jauh dari situ.


.



Ahad, 16 Januari 2022

Hai 2022 - Pasca Banjir

Entry pertama di tahun 2022. 

--


Sejak banjir besar di Selangor tempohari, kalau sebut Taman Sri Muda, ramai yang kenal.

Antara lokasi yang paling teruk terkesan.

Meski semasa kejadian tersebut rumah aku di Port Klang selamat manakala aku sekeluarga meski antara yang terkepung oleh air, namun kami masih bernasib baik kerana masih sempat daftar masuk ke salah sebuah hotel.

Pun begitu, tabika aku yang letaknya di Taman Sri Muda, tenggelam hampir keseluruhan. Kurang semeter air untuk mencecah bumbung. Justeru tidak ada sebarang dokumen, alat tulis, mahu pun buku-buku berjaya diselamatkan.

Apatah lagi kami hanya dapat ke TamanSri Muda pada hari Khamis sedangkan kelas tenggelam sejak Sabtu malam.

Yang dapat diselamatkan hanyalah tiga buah meja (yang juga sudah mula ada kesan retak pada permukaannya), serta kerusi-kerusi plastik.

Jadi walaupun cuti sekolah ditambah selama seminggu, namun kelas kami belum dapat beroperasi. Minggu pertama penggal tiga dimulakan dengan PdPR.

Pada hari pertama, kami dikunjungi seorang ibu kepada salah seorang pelajar. Aku kenal si ibu itu. Bekerja sebagai tukang sapu, tidak boleh membaca, namun tugasan anaknya sentiasa dikemaskini sepanjang PdPR sebelum ini. Malah anaknya juga antara yang terbaik di dalam kelas.

Cuma pagi itu dia memaklumkan anaknya tidak dapat menyertai PdPR.

Rumah mereka di aras bawah tenggelam hingga ke bumbung, lalu mereka hanya mampu menyelamatkan diri sehelai sepinggang menumpang jiran di tingkat atas. Bila air surut, tiada yang tinggal hatta sebatang pensel.

Sudah diusahakan mencari di kedai-kedai terdekat di sekitar, namun kedai-kedai yang juga turut terjejas teruk masih belum beroperasi dan masih dalam proses membersih pasca banjir.

Cikgu kelas segera mencapai alat tulis (yang telah kami sediakan hasil sumbangan peribadi beberapa cikgu namun belum sempat diagihkan kerana masih menunggu beberapa peralatan yang dibeli dalam talian) beserta beberapa helai kertas A4 lantas dihulur kepada si ibu.

Petangnya aku melihat si ibu sudah menghantar hasil tugasan si anak menerusi Whatsapp.



----



Dalam perjalanan balik cerita si ibu terngiang-ngiang - betapa si anak yang hanya berusia tujuh tahun bertanya di mana bantal kegemarannya, mengapa katil mereka sudah tiada, dan kenapa bajunya tidak berganti. Sedang si ibu hanya mampu meminta anaknya bertahan dan bersyukur dengan apa yang ada.





----



 

Khamis, 23 Disember 2021

"Kenapa Berhenti?"

Aku ex-banker. 

Ini hakikat yang entah kenapa masih sukar untuk aku akui. Tapi sama ada mahu atau tidak ia adalah fakta yang tidak dapat diubah.

Mungkin aku masih rasa rendah diri. Mungkin juga enggan dihakimi.


------



Aku mula memikirkan untuk meletak jawatan sebagai pekerja bank pada 2016. Jika tepat ingatan, aku menyerahkan sepucuk surat perletakan jawatan pada pertengahan tahun itu.

Waktu itu ACSM En.Aziz sedang memangku jawatan BM (Branch Manager). 

Di sebalik perwatakan ceria dan sesekali gila-gila, En.Aziz seorang yang sangat bersifat kebapaan. Beliau selalu punya cara tersendiri untuk membuatkan aku berterus-terang.

Justeru, meski beliau terkejut dengan tindakan tersebut namun cukup pantas mengawal keadaan. Penghujungnya beliau menyelitkan surat tersebut dalam buku notanya dengan kata-kata:

"Saya simpan dulu surat ni."

Sejak itu aku cuba mengumpul semangat semula untuk bekerja dengan lebih gigih. Meski ternyata cawangan amat menghakis perasaan.

Pendek kata, I dont belong to a branch. 

Keadaan semakin buruk pada awal 2017 dengan kehadiran BM yang baru. 

Selepas beberapa siri penderaan mental yang akhirnya turut memberi kesan kepada fizikal (yang masih aku rasai hingga sekarang di penghujung 2021 ini), aku nekad lalu sekali lagi menghantar sepucuk surat perletakan jawatan.

Bezanya kali ini surat tersebut disambut dengan seulas senyum paling sinis pernah aku lihat.

Dan begitulah berakhirnya fasa aku sebagai seorang pekerja bank.




-----




Aku membina karier perlahan-lahan di atas kaki sendiri. Justeru apabila terpaksa melepaskannya, ia menyakitkan.

Beberapa tahun ini aku cuba merawat kesakitan itu sendiri. 

Adakala ia berdarah juga. Namun tentu sahaja aku perlu diamkan sendiri. 

Ada sesiapa sudi tumpangkan bahu tanpa hakimi atau tanpa sebarang unwanted advise?

Ada. Tetap ada. Dan aku sentiasa mengenang kebaikan tersebut.



------




Luka itu sudah menjadi parut. Meski denyutnya sudah mulai hilang namun tujahan kasar tentu saja tetap mengundang perit.

Cuma bezanya hari ini aku sudah mampu untuk reda. Jujur, belum sepenuhnya melepaskan namun insya-Allah aku akan benar-benar mampu tersenyum seikhlasnya - berapa lama lagi, bukan pada aku jawapannya.

Maka, untuk aku berikan jawapan padat dan ringkas untuk soalan 'Mengapa Berhenti Sebagai Banker', maaf. Aku sendiri masih sedang cuba mencari ringkasannya.

Ringkasan ini adalah ringkasan hidup 7 tahun, aku kira ia tidak semudah membuat rumusan 120 perkataan dari 500 mukasurat novel.



----



Rumusan dari entry sepanjang ini?

Mudah.

Jika tidak bersedia untuk pinjamkan telinga, mohon terima sahaja tatkala aku tertawa sebagai jawapannya.