Jumaat, 30 Julai 2021

Cik Yaya

Dulu, dulukala, aku ada beberapa kawan rapat.
Salah sorangnya bernama Cik Yaya.

Tapi Cik Yaya ni sangatlah ramai kawan rapat. Jadi beliau selalu rambang mata nak melepak dengan siapa. Kadang² elok² kami tengah melepak sama, Cik Yaya boleh sambung lepak dengan kawan lain.

Terkulat-kulatlah aku sorang.

Lepas SPM, Cik Yaya ajak masuk KIAS. Ambik jurusan Syariah katanya.

Aku tidak berminat. 

Tapi dek pujuk rayu Cik Yaya dengan berat hati aku beli juga borang permohonan untuk ke KIAS.

Semua sudah siap isi tinggal nak hantar sahaja.

Namun tiba masanya, aku masih tetap berat hati. Cik Yaya pula tiba-tiba hilang dari radar.

Hampir tarikh akhir untuk menghantar borang, barulah kedapatan berita dari Cik Yaya. Beliau sedang berorientasi di sebuah kolej di Terengganu.

Lupa maklumkan aku, katanya.

Maka, borang yang dah siap diisi itu aku keronyokkan saja.



----




Aku tidak menyimpan rasa marah terhadap Cik Yaya. Kecewa, ya.

Malah kami masih berkawan hingga kini.

Cuma aku selalu mengingatkan diri agar tidak terbuai tinggi apabila ditabur kata-kata manis, oleh Cik Yaya, atau oleh yang lain.

Kerana yang indah dan nyaman itu hanya dalam mimpi. Kenyataan selalunya lebih kasar dan kejam.

Dalam berhati-hati, selalu juga aku jatuh terhempas. Sakitnya usah ditanya.

Jumaat, 23 Julai 2021

PKPD Oh PKPD

Aku memang selalu cek hotspot di MySejahtera. Dan selalunya lebih kurang 20-30 kes dalam radius satu kilometer.

Tapi seminggu ni nampaknya angka tu meningkat mendadak, dah lebih seratus kes. Dan kalau sebelum ni aku hanya mendengar kes-kes positif nun di blok depan sana, tapi sekarang sudah ada kes-kes positif di blok aku sendiri. Malah hampir setiap tingkat ada keluarga yang kuarantin di rumah.

Cuma, bukan semua mampu mengurung diri. Ada yang masih betah melepak di depan rumah, masih turun ke bawah dengan pelbagai alasan. Kes-kes fasa empat dan lima juga sudah mula bertambah dan ada yang menyebabkan kematian.

Dua malam lepas jiran aku forwardkan satu voice note dari ketua flat. Katanya kini flat ini dalam senarai pendek untuk di-PKPD berikutan peningkatan kes di flat serta penduduk yang gagal mematuhi SOP. Mesej dalam nota suara itu meminta supaya penghuni terus mengamalkan pematuhan SOP supaya PKPD dapat dielakkan.

Bagaimanapun malam tadi aku terima pula beberapa mesej yang mendakwa lockdown akan dikenakan di flat berkuatkuasa malam itu atau selewat-lewatnya keesokan harinya. Penghantar mesej juga bertanyakan kesahihan berita tersebut yang kemudiannya aku nafikan.



----



Aku agak koyak mental juga dengan hakikat kemungkinan bakal terkurung secara total selama sekurang-kurangnya dua minggu, walaupun masih tetap menyimpan harap agar ia tidak akan menjadi kenyataan.

Tapi andai terjadi juga, maka satu-satunya pilihan yang ada ialah terima saja. Lebih cepat ia aku terima, lebih cepat aku dapat sesuaikan diri. 

Lalu begitulah.

Doakanlah agar ia kekal menjadi sebuah cadangan yang tidak perlu dilaksanakan.

Jumaat, 16 Julai 2021

Overwhelmed



---

Jujurnya, aku kurang sihat. Badan terasa lemau dan terlalu banyak dalam kepala yang mahu diselesaikan sedangkan satu pun aku tak buat.

Aku tak pasti kenapa. Nak menyalahkan vaksin, aku sudah selamat mengambil dos kedua lebih seminggu yang lepas. Takkan lah badan masih dalam sesi suai kenal?

Maka aku putuskan yang aku masih dalam fasa terkejut, overwhelmed dengan pelbagai hal.



---

Kira-kira sepuluh hari lepas, aku tiba-tiba semakin dekat dengan dengan impian aku yang paling besar. Angin tidak ribut pun tidak tiba-tiba sahaja aku dihujani satu demi satu tuah.

Aku selalu memutuskan bahawa aku bukanlah seorang yang bertuah, justeru kehadiran rezeki demi rezeki membuat aku sedikit kekok.

Aku bersyukur, tentu saja. Cuma tertanya-tanya adakah aku layak menikmati hasil sebegini?

Sejak dulu aku sukar untuk terharu, apalagi menitiskan air mata. Tetapi hal yang ini membuat aku rasa berbaur. Bercampur-aduk. Dan meski aku mahu tergelak lepas seperti selalu, tubir mata rupanya basah.

Malah, aku galak berkongsi tentangnya - sesuatu yang jarang aku lakukan.


----


Responnya?

Terbahagi dua - sebahagiannya tidak dapat turut sama tersenyum sepertimana aku tertawa, manakala sebahagian lagi tetap menayang riak gembira - walau banyaknya makna tersirat.

Aku kira tindakan aku memutuskan untuk tidak lagi membenarkan sesiapa sahaja mengganggu definisi bahagia seorang aku, adalah tepat.

Jalan itu mungkin nampak kecil untuk kalian, tapi ia melorongkan aku ke destinasi yang aku mahu.
Lalu andai senyum tipis bersulam sinis yang kalian tawar, mohon ketepi. Aku tak sudi menyambut.






---




Jumaat, 9 Julai 2021

Perpustakaan

Sejak kecil aku sudah jatuh cinta dengan bahasa Melayu. 


Aku membesar dengan loghat Kelantan, dan sejak mula pandai menonton TV aku selalu tertanya-tanya mengapa bahasa mereka kedengaran berbeza. 


Mungkin juga kerana membesar sebagai seorang kanak-kanak yang tidak mahir meluahkan keinginan justeru menulis membuat aku gembira.


Untuk menulis dengan cantik tentu sahaja aku perlukan kosa kata yang lebih meluas. Maka aku kerap ke perpustakaan. Apabila semua judul yang menarik dah habis aku baca, yang kelihatan kurang menarik pun aku baca sama.


Sewaktu di sekolah menengah aku kecewa sedikit. Perpustakaannya sangat kecil, aku kira saiz sebuah stor mungkin lebih luas. Malah tidak banyak buku-buku Melayu.


Usai SPM aku hadiri kelas tusyen untuk pengukuhan bahasa Inggeris. Tugasan kelas kerap dibuat di Perpustakaan Awam Kota Bharu. Sengaja aku siapkan bahagianku lebih awal supaya aku punya banyak masa untuk meneroka rak demi rak di situ. Malangnya, hanya buku-buku lama terbitan lebih dua puluh tahun sebelumnya yang memenuhi rak.


Begitu juga apabila aku berada di APIUM Nilam Puri. Hanya buku-buku akademik, terjemahan dari Indonesia, malah aku pernah menemui terjemahan Bible (atau seangkatan dengannya). 


Tapi apabila berada di UM, aku kira aku paling gembira di situ. Perpustakaan induknya yang hanya beberapa minit berjalan kaki dengan Fakulti Sains cukup strategik untuk aku.


Andai kata ada senggang masa satu atau dua jam dengan kelas berikutnya, aku pasti menapak ke perpustakaan. Terus ke aras bawah. Ada beberapa rak di situ yang dipenuhi novel Melayu termasuk beberapa novel remaja. 


Aku biasanya akan mengambil masa beberapa minit memilih mana-mana novel berdasarkan tempoh masa yang ada, dan terus melepak di mana-mana kerusi yang kosong. Lebih tersorok, lebih baik. Tapi tiada kekosongan di aras sama, aku akan mengilik buku itu ke aras dua atau tiga. Lima belas minit sebelum kelas bermula aku akan kembalikan novel tersebut di rak asalnya.


Begitulah aku mengenali Faisal Tehrani dan Ain Maisarah.


Habiskan novel dalam satu ke dua jam?

Ya.

Kerana yang penting adalah jalan ceritanya.

Jika judul itu terlalu menarik maka aku akan mengulang baca semula di lawatan seterusnya.


Hobi ini semakin seronok apabila memasuki alam pekerjaan, terutama bila menyertai (baca:dipaksa) team credit card Singapore. Sela masa antara satu panggilan dengan panggilan yang lain, agak panjang - adakalanya mencecah sepuluh minit. Tempoh selama ini cukup untuk aku habiskan sebuah novel setiap satu atau dua hari.


Begitu jugalah aku mengasah semula hobi menulis yang bertahun juga terjeda akibat kehilangan sumber inspirasi kononnya.


-----



P/S: Perpustakaan/Library/Maktabah


Sabtu, 3 Julai 2021

Hujan Pagi

Pernah hulurkan pemadam kepada teman semeja yang tergagau-gagau mencari?

Pernah tolong pegangkan beg kawan yang sedang terkial-kial mengikat tali kasut?

Ia mungkin hal kecil untuk kita tetapi ia mungkin hal yang besar untuk mereka.


------



Pagi Ahad itu aku kerja cuma tidaklah benar-benar di awal pagi. Lalu dua teman serumah sudah pun ke taman awam untuk jogging. Jika kebetulan off day aku jatuh pada hari minggu, aku tentu bersama mereka.

Pasti. Kerana mereka tidak menerima 'tidak' sebagai jawapan.

Sebaik mencapai kunci motosikal, telefon tiba-tiba bergetar.

Tahukah sedang hujan? Begitu soalan di sebelah sana.

Tanpa menjawab aku segera menyelak langsir. Tergamam melihat hujan sedang memutih di luar.

Terbayang aku yang bakal lencun. Air menitik dari pakaian yang basah ke karpet. Lapan jam pula berteleku di bawah hembusan penghawa dingin yang kejam.

Kami baik hati nak hantarkan, mahu? Suara di sebelah sana terdengar lagi. 

Walau tertanya apa perlunya mereka bersusah menghantar aku ke tempat kerja (malah perlu pula mengambil bila pulang), aku lambat-lambat bersetuju.

Sepanjang perjalanan aku merenung kedua mereka dengan perasaan berbaur. Rasa bersyukur, rasa terhutang budi, rasa terharu, dan rasa aneh, berganti-ganti. Sudahnya aku menelan semuanya sendiri.



-----


Walau peristiwa ini tidak ketemuan dalam kotak memori mereka, ia sentiasa ada dalam ingatan aku.